BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Cerita Seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerita Seram. Papar semua catatan

Selasa, Disember 07, 2010

Kisah Hantu Asrama - Merokok Di Belakang Blok - Temubual 5

Kali ini, Amiene Rev dijemput untuk menemubual beberapa orang pelajar di sebuah sekolah asrama yang lain pula bagi mengesan sama ada wujudnya persamaan antara satu kisah dengan satu kisah yang lain berkenaan gangguan hantu di sekolah tersebut. Temubual ini telah diringkaskan.

Amiene Rev: Sudah berapa lama adik-adik semua bersekolah di sini?

Pelajar 1: Baru setahun.

Pelajar 2: Sama. (Pelajar ini menemani rakannya)

Amiene Rev: Ada tak apa-apa kisah yang berkaitan dengan histeria di sekolah ini?

Pelajar 1: Ada.

Amiene Rev: Bila kejadian histeria tersebut berlaku?

Pelajar 1: Banyak kali. Dalam bulan lepas.

Amiene Rev: Masa tu ada tak peperiksaan atau ujian?

Pelajar 1: Ada. Adakan? (bertanya kepada rakannya)

Pelajar 2: (Angguk)

Amiene Rev: Apa punca histeria itu berlaku?

Pelajar 1: Budak tu nampak hantu.

Pelajar 2: Lembaga hitam.

Amiene Rev: Di mana dan bila?

Pelajar 1: Malam-malam. Banyak tempat.

Pelajar 2: Kelas prep.

Amiene Rev: Apa hantu tu buat?

Pelajar 1: Dia merayau-rayau.

Amiene Rev: Bagaimana rupa hantu tu?

Pelajar 1: Macam bayang-bayang. Orangnya tak nampak tapi nampak bayang-bayang.

Amiene Rev: Boleh jelaskan rupa bayang-bayang tu?

Pelajar 2: Warna hitam. Macam bayang-bayang orang, tapi orangnya tak ada.

Amiene Rev: Pelajar-pelajar yang nampak ada ambil apa-apa tindakan?

Pelajar 2: Dia marah-marah dekat bayang-bayang tu. Ada yang jerit "Hoi!"

Amiene Rev: Siapa pelajar tersebut.

Pelajar 2: Senior.

Amiene Rev: Bila kejadian tu berlaku. Boleh ingat dengan lebih spesifik?

Pelajar 2: Dalam sebulan lepas. Masa tu dalam dorm. Lepas kelas prep. Saya dengan senior nampak benda tu rayau-rayau. Dekat koridor sampai belakang blok.

Amiene Rev: Ada tak sumber lampu, atau apa-apa lampu yang menyala masa bayang-bayang tu berkeliaran.

Pelajar 2: Ada.

Amiene Rev: Di sekolah ni ada tak pelajar yang lepas kelas prep, pergi rayau mana-mana?

Pelajar 2: Ada.

Amiene Rev: Dia orang merayau dekat belakang blok?

Pelajar 2: Ya.

Amiene Rev: Waktu hantu tu lalu? Atau sebelum?

Pelajar 2: Sebelum. Dia orang ponteng kelas prep.

Amiene Rev: Dia orang tak takut dengan hantu?

Pelajar 2: Tak. Tapi dia orang pesan dekat budak-budak junior, jangan pergi belakang blok.

Amiene Rev: Ada tak jumpa apa-apa belakang blok. Macam puntung rokok?

Pelajar 1: Ada.

Pelajar 2: (Menarik-narik tangan Pelajar 1).

Amiene Rev: Ada tak kes jumpa rokok di sekolah ni masa spot check?

Pelajar 1: Ada.

KESIMPULAN: Berdasarkan keterangan beberapa orang pelajar yang lain lagi, didapati cerita-cerita hantu yang dibuat di sekolah ini ada kaitan dengan taktik pelajar-pelajar tertentu untuk menyembunyikan kegiatan ponteng kelas prep dan merokok di belakang blok. Namun, kemudiannya cerita itu telah diceritakan semula dan dianggap benar atau mungkin telah menimbulkan rasa gerun di kalangan mereka. Pendek kata, walaupun mereka tahu cerita hantu tersebut pada asalnya direka-reka, namun cerita hantu tersebut telah mempengaruhi minda para pelajar di asrama tersebut.

Isnin, Disember 06, 2010

Kisah Hantu Asrama - Cerita Hantu Asrama - Temubual 1-4

Kisah Hantu Asrama - Cerita Hantu Asrama 1:
"Nak Balik ke? Haa... Dah Tau Dah."
Temubual Amiene Rev dengan Warga Asrama

Kisah-kisah hantu di asrama memang banyak di dengar. Kali ini, Amiene Rev menerima aduan daripada sekumpulan manusia yang meminta Amiene Rev menyiasat kewujudan hantu di sebuah sekolah di satu negeri yang dirahsiakan. Menurut pengadu menerusi e-mel yang dikirimkan kepadaku, dia takut hendak belajar di sekolah itu lagi, tetapi kewujudan hantu tersebut dikatakan rekaan pelajar semata-mata. Sebagai anggota pengkaji peristiwa mistik dan paranormal, Amiene Rev pun bergegas ke tempat kejadian.

TEMUBUAL 1: MOHON MESIN BASUH AUTOMATIK UNTUK ELAK DIGANGGU HANTU
NOTA: Temubual Amiene Rev Dengan Pelajar Di Sekolah Asrama Berhantu. Temubual ini telah diringkaskan.

Amiene Rev: Saudarikah yang menghantar e-mel kepada saya mengenai sesuatu yang mengganggu pelajar-pelajar di asrama ini, tempoh hari?

Pelajar 1: Sebenarnya ini cerita kawan saya, saya takutlah.

Amiene Rev: Bagaimana ceritanya?

Pelajar 1: Ada kawan saya tengah basuh baju dalam bilik air, lepas tu dia jumpa hantu tak ada kaki dalam bilik air.

Amiene Rev: Lepas itu apa yang terjadi?

Pelajar 1: Kawan saya itu larilah.

Amiene Rev: Lari macam itu saja?

Pelajar 1: Tak, sebelum tu, hantu tu suruh dia kutip berus. Lepas tu baru dia lari. Tapi bila nak kutip berus tulah baru kawan saya sedar yang hantu tu tak ada kaki. Hantu tu sempat tanya, dah nak balik dah? Tapi kawan saya lari macam itu saja. Hantu tu pun cakap "Ha... dah tau dah"

Amiene Rev: Berus tu siapa yang punya?

Pelajar 1: Hantu tu yang punya. Lepas tu sekarang, kita orang harap sangat-sangatlah kalau pihak asrama sediakan mesin basuh. Kalau boleh yang automatik.

TEMUBUAL 2: TAKUT BELAJAR DI STUDY ROOM KERANA DIGANGGU HANTU STUDY ROOM
Temubual yang kedua ini, melibatkan pelajar yang lain pula di sekolah yang sama. Untuk memastikan kesahihan cerita sebelum melakukan siasatan lanjutan dengan memanggil pakar-pakar perunding hantu, aku perlu melakukan pengesahan terlebih dahulu supaya tidak menyusahkan individu-individu yang hendak dipanggil nanti. Manalah tahu jika cerita hantu asrama yang diceritakan ini sekadar rekaan semata-mata?

Amiene Rev: Sudah lamakah cerita hantu di asrama sekolah ini tersebar?

Pelajar 2: Lama jugalah. Sejak dari tingkatan 1 sampai sekarang, saya selalu dengar cerita fasal hantu-hantu yang kacau budak-budak ni.

Amiene Rev: Di mana hantu tu selalu ganggu pelajar?

Pelajar 2: Selalunya di bilik belajar. Study room. Sesiapa yang rajin sangat belajar di bilik belajar tu sampai larut malam mesti kena. Dah ramai dah yang kena.

Amiene Rev: Berapa ramai?

Pelajar 2: Ramai.

Amiene Rev: Cerita mereka sama?

Pelajar 2: A'ah. Hantu tu pura-pura pen jatuh. Lepas tu dia suruh pelajar tu kutip.

Amiene Rev: Rupa hantu tu macam mana?

Pelajar 2: Macam orang. Dia menyamar jadi pelajar lain.

Amiene Rev: Agak-agak tahu tak siapa nama rupa pelajar yang hantu tu samarkan?

Pelajar 2: Ramai. Tapi selalunya macam kawan baik pelajar tulah.

Amiene Rev: Apa ciri-ciri fizikal rupa hantu tu semasa dia menyamar jadi pelajar?

Pelajar 2: Hantu tu tak ada kaki. Dia suruh ambil pen, lepas tu masa nak ambil pen, tengok kaki pelajar tu tak ada. Terus pelajar tu cabut lari.

Amiene Rev: Hantu tu ada kejar pelajar tu tak?

Pelajar 2: Tak. Dia tanya saja, dah nak balik dah? Lepas tu hantu tu cakap, "Ha... dah tau dah."

Amiene Rev: Apa tindakan para pelajar bila dah tau ada hantu di bilik belajar tu?

Pelajar 2: Kita orang dah jarang pergi belajar kat study room. Takutlah.


TEMUBUAL 3: HANTU MENGIRA BERAPA ORANG PELAJAR DAH TIDUR DI ASRAMA
Kedua-dua pelajar yang ditemubual menunjukkan ada persamaan dalam kisah gangguan hantu. Apa pun sama ada cerita ini disebarkan menerusi kawan-kawan yang kemudiannya diingati atau dihafal oleh pelajar-pelajar di sekolah itu tidaklah dapat disahkan. Oleh itu, Amiene Rev meneruskan temubualnya dengan pelajar yang lain. Ternyata, hasilnya kali ini berbeza.

Amiene Rev: Saudara mengakui pernah diganggu hantu?

Pelajar 3: Betullah tu. Takutlah!

Amiene Rev: Di mana hantu itu mengganggu saudara?

Pelajar 3: Di bilik asrama kita orang. Seram!

Amiene Rev: Bagaimana saudara tahu yang mengganggu itu ialah hantu?

Pelajar 3: Masa tu saya dan tiga orang kawan saya ada dalam bilik. Kawan saya semua dah tidur. Saya belum.

Amiene Rev: Apa hantu tu buat?

Pelajar 3: Hantu tu cakap, "Katil satu dah tidur, katil dua dah tidur, katil tiga dah tidur... katil empat belum tidur lagi." Lepas tu hantu tu mengilai kuat-kuat.

Amiene Rev: Hantu tu ada di mana?

Pelajar 3: Dekat atas almari atau celah siling dekat langsir. Tak pastilah! Takut!

Amiene Rev: Almari tu berada di mana? Dekat dengan tingkap?

Pelajar 3: Ya. Lepas tu saya tak duduk asrama lagi dah. Lagi sanggup berulang dari rumah ke sekolah. Tak jauh pun. Naik bas saja.

Amiene Rev: Suara hantu tu suara lelaki ke suara perempuan? Ada nampak tak hantu tu?

Pelajar 3: Suara hantu tu macam lelaki, tetapi kepit-kepit macam perempuan. Macam pondan pun ada. Tapi biasalah suara hantu memang macam tu.

Amiene Rev: Ada kemungkinan tak, ada pelajar nakal di luar bilik asrama?

Pelajar 3: Tak pastilah pula.

RUMUSAN: Berdasarkan keterangan Pelajar 3 di atas, ada kemungkinan hantu yang dimaksudkan oleh beliau itu adalah hantu yang dibuat-buat. Mungkin ada pelajar lelaki lain dari bilik asrama yang lain yang mengusik beliau.

TEMUBUAL 4: HANTU MENYAMAR KAWAN, TEMANKAN PELAJAR PERGI KE TANDAS
Temubual yang keempat ini menyaksikan perkaitan antara hantu dari bilik asrama ke tandas. Nampaknya bilik asrama dan tandas merupakan dua lokasi popular untuk cerita-cerita hantu di asrama dikaryakan.

Amiene Rev: Cuba ceritakan bagaimana kisah kawan anda itu disakat hantu.

Pelajar 4: Masa tu kawan saya ada lagi di sekolah ni. Dia hendak pergi tandas seorang diri, memang takutlah. Jadi dia ajak kawan saya seorang lagi.

Amiene Rev: Masa tu saudara tingkatan berapa?

Pelajar 4: Masa tu tingkatan 2.

Amiene Rev: OK. Baiklah, undang-undang apabila pergi ke tandas pada waktu malam. Hendaklah berteman dan membawa lampu suluh. Pastikan, tinggalkan nota atau pesanan kalau pergi ke tandas.

Pelajar 4: Betul. Betul. Masa kita orang pergi kem pun, kem komandan selalu cakap macam tu. Jangan berani pergi tandas seorang diri malam-malam. Tempat tu keras!

Amiene Rev: Teruskan dengan cerita tadi.

Pelajar 4: Kawan saya ni pun ajaklah seorang lagi kawan kami. Mudah saja kawan saya tu bangun. Memang dua-dua mengantuk. Jadi tak perasan sangatlah rupa masing-masing. Bila keluar dari tandas, kawan saya yang tolong teman tadi dah hilang. Dia panggil-panggil tapi tak ada orang jawab. Dengar bunyi air, "Tik! Tik! Tik!" saja. Dia rasa seram sejuk, terus lari balik. Tup, tup, tengok kawan dia tengah syok tidur atas katil.

Amiene Rev: Lepas tu apa dia buat?

Pelajar 4: Dia tanya kenapa kawan saya yang seorang lagi ni tinggalkan dia. Kawan dia cakap, "Jangan mengarutlah, aku mengantuk ni. Mana ada aku ikut kau tadi." Lepas tu kawan saya pun seram.

Amiene Rev: Kemudian apa jadi?

Pelajar 4: Kawan saya tu tidur balik. Tarik selimut. Lepas tu dia tak berani pergi tandas malam-malam lagi. Kalau dia nak buang air, dia buang air sebelum pukul 10 malam. Selamat.

Amiene Rev: Sebab itulah, peraturan pada waktu malam, kalau hendak tidur, pergi ke tandas dulu. Kalau nak tidur pula jangan lambat-lambat. Basuh kaki sebelum tidur.

KESIMPULAN: Kisah gangguan hantu di asrama tersebut sehingga kini belum dapat disahihkan. Apa pun berdasarkan sejarah pembinaan sekolah tersebut, ternyata sekolah tersebut dikatakan dibina di atas kawasan yang agak keras pada dahulu kala.

Isnin, Januari 19, 2009

Koleksi Cerita Seram Melayu Malaysia: Karya-karya Pendek Amiene Rev

Di bawah adalah koleksi cerita-cerita seram berbahasa Melayu yang ditulis oleh Amiene Rev sekitar tahun 2006-2008. Cerita-cerita seram ini juga memuatkan kisah-kisah hantu yang pelbagai seperti pontianak, pocong, toyol, makhluk halus dan seumpamanya.

  • Kereta Waktu Malam: Kisah Seram Berdasarkan Pengalaman Sebenar - Dua orang sahabat memandu kereta pada larut malam menuju ke Kuala Lumpur, tiba-tiba diserang oleh beberapa orang budak kecil yang bergigi runcing dan tajam. Dapatkah mereka selamat sampai ke Kuala Lumpur. Klasifikasi: Cerita Seram Misteri. Penulis: Amiene Rev.

  • Cerita Seram Suami dan Isteri Di Tepi Jalan - Cerita ini adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku di tepi sebuah lebuh raya yang sunyi. Kisah tragis ini menyaksikan kewujudan sejenis makhluk hitam, berbadan tinggi dan berbulu lebat yang meragut nyawa manusia. Klasifikasi: Cerita Hantu Seram Misteri. Penulis: Amiene Rev.

  • Hantu Siling Berambut Panjang - Seorang pelajar sekolah berasa bosan kerana sering diganggu oleh wajah hantu yang sering muncul di siling asramanya. Pelajar perempuan itu mengambil tindakan untuk mencabar hantu siling tersebut. Namun tindakan pelajar perempuan itu menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk. Klasifikasi: Cerita Hantu Parodi. Penulis: Amiene Rev.

  • Tengkorak Di Atas Kubur - Terdapat satu tengkorak hidup yang sering kelihatan di atas kubur pada waktu malam. Tengkorak ini sering mengganggu budak-budak yang pulang dari mengaji pada waktu malam. Klasifikasi: Cerita Hantu Parodi. Penulis: Amiene Rev.

  • Penunggu Di Tanah Larangan - Seorang pelajar telah berkenalan dengan satu makhluk halus yang berada di kawasan larangan sekolah. Pelajar sekolah itu akhirnya menjadi Juara Pertandingan Shuffle. Apakah yang telah berlaku sebenarnya? Klasifikasi: Cerita Hantu Komedi. Penulis Amiene Rev.

  • Kelawar Terbang Tanpa Kepala - Selepas mengalami satu peristiwa seram di sebuah landasan keretapi, seorang sahabat dilanda trauma dan mengalami gangguan mental sehingga mengakibatkan maut. Klasifikasi: Cerita Seram Misteri. Penulis: Amiene Rev.

  • Pocong Tersengih Di Dalam Tandas - Salah faham terhadap orang yang dicintainya berakhir dengan epilog yang mengharukan apabila pelajar lelaki itu menemui kebenaran menerusi surat yang ditulis oleh kawan kepada orang yang dicintainya. Ternyata konflik yang berlaku sebelum ini ada kaitan dengan penemuan pocong di dalam tandas. Pelajar lelaki itu akhirnya menemui satu rahsia yang terselindung berhampiran parit di tepi kawasan sekolah. Klasifikasi: Cerita Hantu Romantik. Penulis: Amiene Rev.

  • Hantu Pemanggil Di Telefon Bimbit - Sekumpulan pelajar siswi di sebuah blok asrama diganggu oleh panggilan misteri yang berterusan pada waktu malam. Mereka bercadang untuk menyiasat asal usul panggilan misteri tersebut. Kerana perbuatan berani tersebut, mereka nyaris-nyaris menjadi korban. Klasifikasi: Cerita Seram Misteri. Penulis: Amiene Rev.

  • Misteri Kotak Barang Kemas - Dua orang adik-beradik tertarik dengan sebuah kotak kecil yang pernah digunakan oleh ibu saudara mereka untuk menyimpan barang-barang berharga. Kerana melanggar larangan ibu saudara mereka, nyawa seorang kawan baik mereka menjadi cagaran. Klasifikasi: Cerita Seram Misteri. Penulis: Amiene Rev.

  • Kisah Pontianak Rumah Sewa - Sebuah rumah sewa di hujung jalan menjadi perhatian apabila satu lembaga pontianak sering dilihat berada di sekitar rumah sewa itu pada malam hari. Hal ini menyebabkan penduduk setempat berpakat untuk membakar rumah tersebut kerana dipercayai didiami oleh pontianak. Klasifikasi: Cerita Hantu Parodi. Penulis: Amiene Rev.

  • Makhluk Halus Di Dapur Rumah - Anak kecil di rumah mewah itu berkelakuan luar biasa sejak akhir-akhir ini. Sebelum itu, pembantu rumah yang bekerja di rumah mewah itu telah melarikan diri. Kehilangan barang-barang berharga di rumah itu menimbulkan spekulasi. Apakah sebenarnya rahsia yang terdapat di dapur rumah mewah itu? Dan, siapakah pula lembaga-lembaga misteri yang berkawan dengan anak kecil itu? Klasifikasi: Cerita Hantu Seram Parodi. Penulis: Amiene Rev.

  • Hotel Hantu Hantu Hantu Hantu - Kisah sebuah hotel terpinggir yang mengundang misteri. Hotel tersebut dikatakan dijaga dan diuruskan oleh hantu-hantu yang mendiaminya. Seorang pemberita bercadang untuk menyiasat misteri di sebalik bangunan hotel tersebut. Klasifikasi: Cerita Hantu Misteri. Penulis: Amiene Rev.

  • Sebuah Hotel Dihuni Hantu - Sambungan kepada cerita Hotel Hantu Hantu Hantu. Di sebuah kawasan hutan yang terpencil, terdapat sebuah hotel mewah bak istana raja, yang hanya akan muncul setiap kali titisan hujan turun melebati bumi. Dan pada hari itu, tiga kumpulan manusia entah bernasib baik, entah tidak, kerana mereka berpeluang merasai pengalaman seram untuk tinggal di hotel berhantu itu. Klasifikasi: Cerita Hantu Misteri. Penulis: Amiene Rev.

Jumaat, Ogos 29, 2008

PCS 011 - Hotel Berhantu Hujan Malam

PCS 011: Parodi Cerita Seram - Siri 11
Sebuah Hotel Dihuni Hantu
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Hayakallah dan salam sejahtera. Saya memaklumkan kepada para pembaca setia semua, bahawa siri Parodi Cerita Seram ini akan dihentikan sempena bulan Ramadhan. Maka ini adalah siri terakhir yang akan dapat anda saksikan untuk hari ini. Siri kali ini adalah kesinambungan daripada siri sebelumnya yang boleh anda baca di sini: Hotel Hantu Hantu Hantu

dan sambungannya pun bermula...

Di sebuah kawasan hutan yang terpencil, terdapat sebuah hotel mewah bak istana raja, yang hanya akan muncul setiap kali titisan hujan turun melebati bumi. Dan pada hari itu, tiga kumpulan manusia entah bernasib baik, entah tidak, kerana mereka berpeluang merasai pengalaman seram untuk tinggal di hotel berhantu itu.


Encik John, Puan Maya dan dua orang anaknya.

Keempat-empat ahli keluarga itu terus masuk ke dalam hotel yang serba seram itu. Hotel ini tidak ada sebarang debu, cukup klasik, dengan hiasan sepasang patung singa bersayap yang bertindak seolah-olah pengawal pintu.

Krekk.... "Selamat datang. Sila masuk," kedengaran satu suara menyapa, tetapi tidak ada sesiapa pun di dalam bangunan hotel itu.

"Masih dibuka untuk penginapan?" tanya Encik John, kepada siapa pun dia tidak pasti.

"Ya, sila datang ke kaunter." Tidak ada orang. Tidak kelihatan pun empunya suara. Namun kedengaran bunyi tapak kasut mengetuk lantai kayu di serata tempat di dalam bangunan itu.

Keempat-empat ahli keluarga itu berasa agak pelik. Seram. Misteri. Mistik.


Gloris Yam dan Chow Eng Kiat. Pasangan kekasih berdarah panas.

Gloris Yam leka di dalam bilik mandi. Seronok sungguh dapat merasai air pancuran panas ketika cuaca begitu sejuk di luar sana. Chow Eng Kiat mengetuk pintu bilik mandi, katanya:

"Gloris, gue mahu berjalan-jalan sebentar. Loe mandilah puas-puas. Gue mahu melihat-lihat.

Chow Eng Kiat terus membuka pintu bilik hotel, lalu berjalan menuruni tangga. Bangunan Hotel itu sungguh besar, seperti sebuah istana di Barat, bentuknya.

Hotel itu lengang tanpa orang, tetapi Chow Eng Kiat merasa sungguh aneh. Bagaikan terdapat orang lalu lalang, di segenap penjuru hotel itu.

"Apa khabar Encik Chow. Bergembiralah," tiba-tiba satu suara menyapa Chow Eng Kiat.

Chow Eng Kiat melihat ke sekeliling, tidak ada sesiapa pun. Dia cuma terasa seperti ada angin yang meniup di kiri, kanan, depan dan belakangnya. Dia tidak dapat melihat satu apa pun.

Sementara itu, satu makhluk kelihatan muncul di depan pintu bilik mandi. Gloris Yam terdengar suara orang memanggilnya.

"Chow?"

"Tidak, Puan. Saya cuma mahu menghantar beberapa kelengkapan, Puan."

Dan suara cuma tinggal suara. Tidak kelihatan satu jasad pun.


Vasantini. Pemberita Yang Baru Dipecat.

Vasantini tiba di hotel yang serba gelap itu. Dia melihat ada dua buah kereta diletakkan berhampiran hotel itu. Selepas meletakkan keretanya di tempat yang sesuai, Vasantini melangkah masuk ke dalam hotel.

Tang! Tang! Tang! Bunyi jam dinding cukup kuat.

"Merdeka! Merdeka! Merdeka!" Tiba-tiba bayang-bayang manusia semakin lama semakin jelas kelihatan. Kesemua mereka sedang melaungkan perkataan "Merdeka" sekuat-kuat hati.

Melihatkan keadaan yang aneh itu, Vasantini berasa sangat takut. Dia pun menjerit sekuat-kuat hatinya.

"Hantu! Hantu! Hantu! Hantu!"

Encik John, Puan Maya dan dua orang anaknya turut berasa terkejut melihat kehadiran orang ramai yang secara mengejut di hotel itu.

"Hotel apakah ini?" Jerit Encik John dengan pelat lidah Inggerisnya.

Malam itu, bunyi jeritan manusia diselang-seli dengan jeritan merdeka di rumah hantu itu. Apakah yang berlaku kepada mereka sekeluarga. Dan bagaimanakah pula nasib Chow Eng Kiat dan Gloris Yam?

Seorang lelaki berpakaian seperti detektif, dengan kot berjubah hitamnya, dan topi koboi lebar hitamnya, dan kaca matanya yang sekali-kali berkilauan disinari cahaya kilat, dengan wajah yang serius berdiri di tengah hujan, menghadap pintu besar hotel berhantu itu.

"Ianya berlaku, sekali lagi. Sudah sah, khabar angin mengenai tempat ini benar belaka," kata lelaki itu kepada dirinya sendiri. Rupa-rupanya dia mahu menyiasat kewujudan hotel misteri itu, yang hanya akan muncul, pada waktu malam hujan lebat.

NOTA: Cerita ini sedang diproses sebagai sebuah novel. Dua entri ini adalah ringkasan bab pertamanya. Nantikan kemunculannya! Terima kasih atas sokongan yang telah para pembaca berikan. Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-51 dan Salam Ramadhan.

Jumaat, Ogos 22, 2008

PCS 010 - Hotel Hantu Hantu Hantu Hantu

PCS010: Parodi Cerita Seram - Siri 10
Hotel Hantu Hantu Hantu Hantu
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Hayakallah dan salam sejahtera. Dalam siri yang lepas, telah saya terangkan apakah maksud parodi cerita seram. Terima kasih kerana masih setia mengikuti siri kisah hantu ini. Semoga kisah-kisah seram yang dipaparkan di blog ini sedikit sebanyak dapat memberikan kepuasan kepada para pembaca dalam melayari blog ni.

Dan ceritanya pun bermulalah...

Cerita ini adalah mengenai sebuah hotel tinggal yang tidak dijaga atau dimiliki oleh sesiapa lagi. Hotel ini dikatakan sebagai kubu kuat sekalian hantu. Kononnya, pada setiap malam hantu-hantu akan berpesta di hotel tinggal ini.

Lokasinya? Ya, setiap hotel tentulah dibina di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan pelancong. Sekurang-kurangnya ada kolam mandi. Iya, hotel ini ada kolam mandi, perkhidmatan limousin dan hidangan mewah pada waktu malam dan... mangsa, untuk diusik.


Encik John, Puan Maya dan dua orang anaknya.

Waktu itu malam gelap. Jam sekitar 11.40 malam. Encik John memandu kereta dalam kedinginan malam. Hujan turun mencurah-curah.

"Abang, bahayalah memandu malam-malam begini. Hujan pun begitu lebat. Tidak nampak jalan di hadapan. Silap-silap jatuh ke longkang," tegur Puan Maya.

"Nak berhenti di mana?" soal Encik John.

Sementara itu kedua-dua orang anak kembar mereka, Nuri dan Eja tidur lena di tempat duduk belakang. Kedua-duanya berpelukan kerana kesejukan.

"Oh, lihat di sana tu, Bang. Itu ada hotel. Hotel Han?"

"Iya itu sebuah hotel! Apa lagi, marilah kita berhenti dan bermalam di hotel itu," ujar Encik John.

Puan Maya ceria dalam kesejukan. Lalu mereka pun berangkat pergi ke hotel tersebut.


Gloris Yam dan Chow Eng Kiat. Pasangan kekasih berdarah panas.

Jam sudah menunjukkan tepat ke angka 11:45 malam. Lagi lima belas minit sebelum pukul 12 malam. Chow Eng Kiat, si jejaka tampan, memandu keretanya dalam keadaan jalan lebat. Gloris Yam, gadis berkulit seputih salji dengan rambut panjang dan lurus ke paras pinggang berpeluk tubuh, terketar-ketar kesejukan. Malam ini sungguh dingin.

"Gue rasa elok loe berhenti saja. Hujan makin lebat nich. Kita perlu cari tempat berteduh." Ya, pasangan kekasih ini berasal dari Indonesia, mereka datang merantau ke negara ini untuk bercuti.

"Tetapi di mana ya? Tidak ketahuan, tidak kelihatan apa pun di hadapan."

"Kok begitu, kenapa loe masih mahu memandu. Mari kita bermalam di hotel itu!" Gloris menundingkan jari telunjuknya ke sebuah bangunan kira-kira 50 meter dari jalan berbecak yang sedang mereka lalui. Sungguh aneh laluan ini, tidak ada sebarang lampu jalanan. Hendak bergantung pada lampu kereta dalam keadaan hujan lebat begini memang tidak memadai. Jawapan terbaik, ialah berhenti berteduh.


Vasantini. Pemberita Yang Baru Dipecat.

Jam ketika itu sudah mendekati sebelah lima puluh minit malam. Hujan lebat, jalan berbecak digenangi air, namun itu semua tidak menghalang gadis India berambut tocang itu daripada leka dibuai perasaan kesal dan kecewanya. Dia terus memandu dan memandu kereta.

Hajat asalnya melalui kawasan ini adalah untuk menenangkan pemikiran, tetapi entah bagaimana, sudah berapa kali dia berpusing-pusing di tempat yang sama. Vasantini tidak sedar akan hal itu, kerana asyik memikirkan nasib hidupnya.

Kereta Perodua Kancil itu terus bergerak perlahan-lahan. Tiba-tiba kilat menyambar, persekitaran menjadi terang seketika.

"Kreekk... Ptak! Ptak! Krakk! Gebumm!" Sebatang pokok Jati Mas tumbang dipanah petir. Lalu jatuh melintang di tengah jalan. Guruh kuat berdentum, Vasantini tersentak dan membrekkan keretanya secara mengejut. Bumper keretanya hampir melanggar pokok balak yang tumbang itu.

"Shit!" Vasantini menyumpah-nyumpah geram. Laluannya sudah terhalang. Mustahil Vasantini dapat mengalihkan pokok kayu balak yang tumbang itu seorang diri.

Tiba-tiba satu lembaga berpakaian ala-ala detektif muncul di hadapan kereta Vasantini. Lembaga itu bertopi koboi, topinya sangat lebar. Dia memakai kot jubah berwarna hitam gelap. Dia berdiri di atas kayu balak yang tumbang. Wajahnya sukar dilihat, yang kelihatan cuma kaca mata bulat dan klasiknya, yang bersinar-sinar diterangi cahaya lampu kereta, menyilaukan pandangan Vasantini.

Lembaga itu melompat dan menghilangkan diri seketika, lalu tiba-tiba dia muncul di cermin sisi pula, betul-betul rapat dengan cermin kereta di bahagian tempat duduk pemandu. Bersebelahan benar dengan Vasantini. Dia mengetuk cermin tingkap Vasantini beberapa kali. Laju. Bajunya basah disimbahi percikan hujan dari langit dan dari tanah. Air hujan menuruni dari beberapa bahagian topi hitam lebar yang kalis air itu.

Dalam keadaan bergementar, Vasantini menurunkan sedikit tingkap cermin kereta Perodua Kancilnya itu, lalu bertanya,"Siapakah encik ini? Apa yang encik mahu?"

Lelaki itu bercakap separa menjerit. Bunyi angin ribut yang kuat, titisan hujan dan guruh memaksanya bercakap dalam keadaan yang sedemikian rupa. Lelaki berpakaian detektif itu, seorang lelaki tua tanpa misai dan janggut memberitahu:

"Cepat! Cepat berpatah balik! Pergi menginap di hotel di belakang sana! Bahaya jika kamu terus menunggu di sini!"

"Kenapa?" tanya Vasantini.

"Jangan banyak tanya. Pergi cepat, sebelum kamu ditimpa bahaya!" tengking lelaki itu. Garang sungguh dia.

Vasantini keliru. Dia baru sahaja dibuang kerja. Baru sahaja cuba mengikis perasaan sedih, kecewa dan kesalnya. Sekarang tiba-tiba dia ditengking oleh seorang lelaki tua berpakaian detektif yang sungguh misteri.

"Cepat! Pergi!" Keras sekali suara lelaki tua itu.

"Encik tidak ikut?" tanya Vasantini lagi.

"Cepat! Pergi! Pergi!!!!!" Lelaki tua itu terus mendesak Vasantini.

"Ba.. baik," Vasantini akur. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia harus akur.

Selepas mengundurkan keretanya beberapa meter ke belakang, Vasantini membuat pusingan berbentuk U, dan terus memandu sehinggalah dia menemui sebuah bangunan besar yang bercahaya suram. Pada pintu besar bangunan itu tertulis: "Hotel Han."

Bersambung... mungkin esok, atau minggu hadapan. Cuba teka. Mengantuk amat. Penat. Kroh... kroh... kroh...

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com


NOTA PENULIS: Nampaknya sudah lebih dua bulan setengah, entri bersiri parodi cerita seram ini disiarkan di blog ini. Sudah sepuluh minggu cerita kernit seram ini disiarkan di blog ini. Terima kasih di atas sokongan para pembaca semua. Saya juga meminta maaf sekiranya cerita ini tidak seram. Saya berharap tidak ada pihak yang menciplak atau menerbitkan cerita ini di tempat lain atas apa tujuan sekali pun. Sekiranya anda tertarik dengan cerita ini, beritahulah rakan-rakan, teman dan kenalan yang lain mengenai blog ini. Cerita kali ini bersambung, bersempena dengan... dengan... dengan... dengan... tik... tik... tik...

Jumaat, Ogos 15, 2008

PCS 009 - Makhluk Halus Di Dapur Rumah


PCS009: Parodi Cerita Seram - Siri 9
Makhluk Halus Di Dapur Rumah
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Hayakallah dan salam sejahtera. Bertemu lagi kita dalam siri parodi cerita seram. Ramai orang sudah mula tertanya-tanya, apakah parodi? Di sini sebelum saya melanjutkan cerita, maka biarlah saya jelaskan dengan ringkas apa yang dimaksudkan dengan parodi. Mungkin anda pernah dengar perkataan satira. Parodi itu satu bentuk komedi, sindiran atau jenaka. Di sini, saya menjenakakan cerita seram. Penulisan parodi ini sebenarnya memiliki mesej atau teguran atau sindiran yang berkaitan dengan isu-isu tertentu, tetapi, biarlah tidak langsung agar tidak menyinggung perasaan orang lain secara jelas. Saya menjadikan cerita seram itu sebagai medium parodi. Maka jadilah parodi cerita seram.


Dan beginilah ceritanya...

"Emmmakkkk...! Mmmaaakkkk!" Suatu hari Siti memanggil Remlah.

"Iya? Ada apa?" sahut Remlah.

Remlah bukannya ibu kandung Siti. Remlah sekadar pembantu rumah sahaja. Namun kerana sudah sekian lama Siti membesar bersama Remlah, maka Siti yang baru berusia lima tahun itu sudah menganggap Remlah sebagai ibunya. Ibu kandung Remlah, Puan Rohida Samentar adalah seorang ibu tunggal, dan merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

"Kamu ini keanak-anakan, sih. Memanggilnya begitu, menakutkan bibi."

Ternyata, Remlah enggan membahasakan dirinya sebagai emak kerana dikhuatiri akan menyinggung perasaan Puan Besar.

"Emak, Siti dapat kawan baru!" beritahu Siti.

"Kawan Siti itu di mana?" Remlah yang sedang sibuk menggosok baju enggan melayan kehendak Siti. Dia sekadar bertanya sahaja sambil terus mengosok baju-baju Puan Besar.

"Di dapur! Emak, itu kawan Siti!" jerit Siti.

"Di mana?" Remlah memanjangkan lehernya, pura-pura memandang ke dapur, tetapi matanya masih tidak lekang memerhatikan kain yang digosoknya.

"Itu yang berwarna hijau itu!" jerit Siti.

"Oh, yang berwarna hijau itu. Ah, sudah ketemu Kroko kamu ya?" Remlah pura-pura sudah nampak 'kawan' Siti. Baginya, 'kawan berwarna hijau' yang berwarna hijau itu ialah patung mainan buaya kepunyaan Siti yang hilang tempoh hari. Siti memanggilnya 'Kroko'.

"Bukan, Mak! Bukan 'Kroko'! Lihatlah, kawan Siti, matanya merah-merah saja!" kata Siti lagi.

"Oh, Alfred. Siti mainlah dulu dengan Alfred. Bibi mahu sudahkan kerja ini. Sebentar..."

"Bukan Alfred! Makk!! Mari! Mari!!" Siti menarik tangan Remlah. Remlah terjinjit-jinjit ke dapur.

"Sitiii!!! Sitiii!!! Kain! Kainnya! Ya, Tuhanku!" Remlah mulai bimbang. Bimbang kalau-kalau pakaian Puan Besar hangit dimakan terma panas seterika elektrik itu.

"Itu! Itu kawan Siti! Comelkan, mak?" Siti tersengih-sengih sehingga sepet mata bulatnya.

Remlah ternganga. Dia menggeletar. Seekor makhluk yang sebaya kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan tercegat di dapur. Matanya merah garang, kulitnya agak hijau kekuningan. Sudah pasti kerana kesan revolusi telekomunikasi masa kini.

"Itu kawan Siti. Mari," Siti kelihatan garang menarik tangan Remlah. Dia mahu Remlah mendekati makhluk tersebut.

Liang-liang roma Remlah terasa sejuk. Kaki Remlah lemah longlai.

"Itu... tuyul!!!" Jerit Remlah sekuat-kuat hatinya.

-0-

Sudah beberapa hari Puan Rohida Samentar bercuti gara-gara mahu menjaga Siti. Siti enggan ke taman asuhan kanak-kanak. Siti mengamuk apabila hendak dibawa ke sana. Amukannya lain macam. Siti gigit ibu jari kaki cikgu di taska. Siti gigit ibu jari kawan-kawan di sana.

"Kenapa Siti gigit ibu jari Cikgu Mok?" tanya Puan Rohida Samentar. Cikgu Mok sudah takut dengan Siti.

"Siti tak mahu orang lain, Siti mahu emak!" radang Siti.

"Kan Mama ada di sini?"

"Bukan! Siti mahu Emak!"

Emak yang dimaksudkan oleh Siti itu ialah Remlah, pembantu rumah yang telah melarikan diri tempoh hari.

"Emak kamu itu sudah lari! Habis baju-baju emak kena curi!" Puan Rohida meninggikan suaranya sedikit. Emosi barannya tercetus gara-gara teringatkan perbuatan Remlah.

Puan Rohida menyangka Remlah yang melarikan baju mewahnya. Dia tidak tahu baju mewah itu telah hangus dimakan haba seterika elektrik. Dia tidak tahu ada sesuatu di dapur rumah yang menakutkan Remlah. Dia tidak tahu Siti berkawan dengan makhluk tersebut.

Bukan setakat baju sahaja, barang-barang kemas Puan Rohida juga sudah banyak yang hilang. Buat sementara waktu, Puan Rohida enggan mencari pembantu rumah. Namun, kini, masalah lain pula yang timbul. Siti tidak mahu ke taska.

"Bukan Emak yang curi!"

"Habis, kamu ingat siapa? Toyol?" Nampaknya begitulah sikap Puan Rohida sehingga dia ditakuti oleh orang-orang bawahannya. Seorang majikan yang tegas dan garang, terutama apabila berkaitan dengan soal untung rugi.

"Eh, Mama tahu?" Siti ternganga. "Mama cerdik!"

"Aaa? Mana ada toyol! Semua itu karut!" nafi Puan Rohida.

"Tapi tadi, Mama kata ada!" Siti memuncungkan mulutnya. Keningnya diberatkan ke bawah.

Puan Rohida mati akal.

-0-

Malam itu gelap. Puan Rohida tiba-tiba ternampak kelibat Siti di bucu katilnya. Siti gigit ibu jari Puan Rohida.

"Eish! Budak ni, mana belajar gigit ibu jari kaki ni!"

Minta dibuatkan airlah tu, fikir Puan Rohida di dalam hati. Puan Rohida mengantuk, dia pun memanggil Remlah. Senyap. Selalunya Remlahlah yang buatkan air untuk Siti.

Puan Rohida menepuk dahi. Dia bangkit dari katil. Stresnya masih belum hilang. Dalam keadaan mengantuk itu dia ke dapur. Rumah itu besar. Dapurnya juga besar.

Puan Rohida berjalan perlahan-lahan ke dapur. Lembaga kecil itu mengekorinya.

"Nak air apa?" tanya Puan Rohida. Dia tidak memandang ke arah Siti. Matanya fokus ke arah gelas dan tin-tin berisi serbuk minuman.

"Ara...." Terdengar bisikan jawapan. Halus. Cilik.

"Aaa? Sirap? Sirap dah habislah, sayang."

"Mama buat susulah, ya?" Tidak ada jawapan daripada Siti. Puan Rohida pantas memasukkan beberapa serbuk susu ke dalam gelas. Menuang sedikit air panas dan kemudian air suam. Tidak ada apa-apa bantahan daripada Siti.

Siti ni diam semacam saja, fikir Puan Rohida. Dia mengantuk, dia tidak memandang pun ke belakang. Dia tidak pandang pun ke arah Siti. Puan Rohida terasa seram juga dengan tingkah laku anaknya sejak akhir-akhir ini. Macam dirasuk. Puan Rohida terus mengacau air susu di dalam gelas. Biar larut.

"Dah siap," Puan Rohida lantas berpaling dan memberikan gelas berisi susu itu kepada lembaga kecil yang berada di belakangnya.

Sepasang tangan kecil menyambutnya. Siti meneguk susu itu sedikit.

"Cepat minum." Puan Rohida menyandarkan dirinya pada kabinet dapur, tempat dia membuat air susu untuk Siti.

"Mama..." panggil Siti perlahan.

"Hmmm?"

"Kawan Siti pun nak."

"Aaa? Sayang mengigaulah," Puan Rohida mengeluh. Penat. mengantuk.

"Itu... kawan Siti tu."

Perlahan-lahan, kelihatan seorang anak kecil; seekor toyol, malu-malu, menampilkan dirinya dari balik almari pinggan mangkuk. Matanya merah darah dan agak tersembul keluar. Anak matanya hitam. Kulitnya hijau kekuningan. Pucat.

Toyol itu tersengih. Nampak taring dan gigi-gigi runcingnya. Puan Rohida terkeut. Semangatnya terbang. Dia pengsan.

-0-

Subuh itu, Puan Rohida tersedar. Dia mendapati dirinya di atas katil. Dia melihat jam. Sudah pukul lima pagi.

"Aku mimpi rupanya," bisik Puan Rohida.

"Mama!" Puan Rohida terkejut apabila didapati Siti ada di sebelahnya.

"Eh? Bila masa Siti tidur dengan Mama?"

"Siti jaga Mama," jawab Siti.

"Jaga Mama? Buat apa, sayang?"

"Mama pengsan malam tadi, nasib baik Pak Cik Momok tolong angkat," jujur Siti menjelaskan sambil memandang ke arah sisi katil.

Puan Rohida memandang ke sisi katil. Alangkah terkejutnya Puan Rohida apabila dilihatnya, seekor lembaga berbulu lebat dan tinggi berdiri di sisi katil. Dan, di hujung ibu kakinya, kelihatan kepala seekor toyol, sedang menganga mulut, menampakkan taring dan gigi runcingnya.

"Nak... araaa!!" Nafas panas Toyol itu terasa dekat di ibu jari kakinya Puan Rohida. Ibu jari Puan Rohida terasa seram sejuk. Semangat Puan Rohida terbang. Puan Rohida pengsan lagi.

"Araaa!!!" Toyol itu bersuara lagi. Siti ketawa terkekek-kekek.


SEKIAN.

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

NOTA PENULIS: Nampaknya sudah lebih dua bulan, entri bersiri parodi cerita seram ini disiarkan di blog ini. Sudah sembilan minggu cerita kernit seram ini disiarkan di blog ini. Terima kasih di atas sokongan para pembaca semua. Saya juga meminta maaf sekiranya cerita ini tidak seram. Saya berharap tidak ada pihak yang menciplak atau menerbitkan cerita ini di tempat lain atas apa tujuan sekali pun. Sekiranya anda tertarik dengan cerita ini, beritahulah rakan-rakan, teman dan kenalan yang lain mengenai blog ini.

Jumaat, Ogos 08, 2008

PCS 008 - Kisah Pontianak Rumah Sewa


Parodi Cerita Seram - Siri 8
Pontianak Menyewa Rumah
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Kali ini, saya bersengkang mata sekali lagu untuk menulis cerita, entah seram, entah tidak ini. Untuk pengetahuan semua, bermula minggu ini, saya akan menggunakan singkatan PCS untuk Parodi Cerita Seram. Alhamdulillah, nampaknya sekarang siri cerita parodi seram ini sudah masuk siri ke-8. Apa pun saya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sokongan para pembaca. Saya juga berharap tidak ada orang yang akan menciplak atau menerbitkan semula karya ini dalam apa jua cara pun tanpa mendapat keizinan daripada saya dahulu. Terima kasih di atas kerjasama anda semua.

Dan, beginilah ceritanya...


Sejak beberapa hari yang lepas, ramai ahli Rukun Tetangga mengadu tidak berani lalu di Jalan Chempaka. Kononnya di jalan itu ada seorang wanita serba putih sering berjalan ke hulu ke hilir dan mengilai panjang. Kononnya wanita serba putih itu wajahnya pucat, matanya berurat merah, air matanya berwarna hitam dan tidak berhenti-henti mengalir. Kononnya lagi, wanita itu sering menangis apabila ditegur, dan selepas itu dengan matanya yang terbeliak liar, dia akan merenung ganas ke arah orang yang menegurnya. Apa lagi, lari lintang pukanglah orang yang menengurnya.

"Aku pelik betullah Jalan Chempaka tu. Nama sahaja Jalan Chempaka, tetapi bau harumnya macam bau bunga Kemboja. Tak wangi macam bunga Chempaka," kata Usin Jerad di Warung Mak Mandin suatu hari.

"Eissh, takkan kau tak tahu Usin, Jalan Chempaka tu berhantu, ada pontianak!" ujar Muhaimin.

"Cerita-cerita hantu pontianak ni, jangan sebutlah, haram," sampuk Peon.

"Aih, memandailah kau ni, Peon. Apa, mana ada haramnya? Pontianak ni, bukannya najis mutawassitah. Haram apa pulanya," balas Muhaimin.

"Eh, apa pulak najis mutawassitah? Awak ni lulus Fardu Kifayah ke tidak?" balas Peon kembali.

"Ah... sudah-sudah, yang penting kita tahu yang di Jalan Chempaka itu, ada pontianak. Sebut betul-betul... pontianak!" Tiba-tiba Mak Mandin datang bercekak pinggang dengan senduk gulai masih di tangan kanannya. Nampaknya cerita pontianak itu turut menarik perhatiannya.

"Aih, Mak Mandin. Mak Mandin pun tahu juga cerita pontianak di Jalan Chempaka tu, ya?" tegur Muhaimin.

"Mana tidaknya, aku hari-hari lalu dekat jalan tu. Rumah anak saudara aku, si Mandir tu, ada sebuah di situ. Akulah yang mengutip sewanya, tapi tukang sewanya entah tak pernah-pernah nampak mukanya," jelas Mak Mandin.

"Habis tu, macam mana Mak Mandin kutip sewa kalau tak nampak tukang sewanya, Mak Mandin. Ini sudah kes pelik ni," Usin Jerad mula ragu-ragu.

"Entahlah, yang aku tahu, duit sewa tu elok-elok sahaja dimasukkan dalam sampul. Aku datang sahaja, tengok sampul duit tu ada dalam peti surat. Siap dengan nota lagi," jelas Mak Mandin lagi.

"Apa yang tukang sewa tu tulis, Mak Mandin?" tanya Muhaimin.

"Bagus juga bahasanya. Mak Mandin rasalah, si penyewa rumah anak saudara Mak Mandin ni, penulis novel terkenal agaknya, macam si Amiene Rev tu (Insya-Allah, dengan izin Allah). Penulis cernit seram apa tu, macam itulah agaknya," jawab Mak Mandin.

"Boleh tak Mak Mandin baca sedikit apa yang ditulisnya tu?" pinta Muhaimin.

"Dia tulis dalam bahasa orang putih. Take it or leave it. Steal it and I'll suck your blood. Not enough, and I will come into your nightmare. Come only during the sunrise or else, I will haunt you forever. Macam itulah yang ditulisnya setiap kali. Entahlah, aku pun tak tahu apa maksudnya tu," jawab Mak Mandin.

"Hm... sungguh berseni sajak ini," Muhaimin menongkat dagunya.

Take it or leave it.
Steal it and I'll suck your blood.
Not enough, and I will come into your nightmare.
Come only during the sunrise or else,
I will haunt you forever.

"Macam lirik lagu pun ada," komen Usin Jerad pula. "Memang betullah, penyewa rumah anak saudara Mak Mandin ni seorang penulis."

"Wait! Wait!" tiba-tiba Peon berbahasa Inggeris.

"Apa pula Peon?" tanya Mak Mandin.

"Aku tahu. Aku tahu apa maksud ayat-ayat tu," jawab Peon.

"Ayat ayat cinta ke?" tanya Usin Jerad.

"Bukan! Bukan, Usin. Bukan! Penyewa rumah si Man.. Mannnnndirrrrr ttttu, lang... langsuuuuiiiiir! Langsuir!" Menggigil bibir Peon untuk menyatakan pandangannya.

"Eh, kau jangan mengarut Peon. Baik orangnya tukang sewa rumah anak saudara aku tu. Bukan sahaja bayar sewa tepat-tepat tiap-tiap bulan, malah siap bagi lirik lagu lagi tu," betah Mak Mandin.

"Tapi Mak Mandin, maksud ayat-ayat yang penyewa rumah si Mandir tu tulis, menunjukkan, bahawa dia, seorang pontianak!!!"

"Haahhhh!!!" Jerit Usin Jerad, terkejut.

"Hahhh!!!" Jerit Muhaimin pula, terkejut.

"Pontianak!!!!!" Jerit Usin, Muhaimin, Mak Mandin dan dengan si Peon-Peon sekali, gempar!

Kebetulan, Opah Limah yang baru balik dari pasar, menjinjit bakulnya lalu berdekatan dengan Warung Mak Mandin, terdengar cerita itu.

"Eihh...." Opah Limah menggigil ketakutan. Dia pun menjerit, "Penyewa rumah Mandir, Pontianak!!!"

Dan jeritan Opah Limah itu kedengaran sampai ke lubang telinga Din Beca, yang kebetulan membawa Nini Asmara, anak tok penghulu yang cantik rupawan.

"Pontianak!!! Takutnya!!!" jerit Nini Asmara.

"Jangan takut, selagi Abang Beca ada di sini, Nini usah takut. Abang Beca akan lawan pontianak itu," tegas Din Beca sambil tersenyum yakin di depan Nini Asmara yang memakai blaus merah jambu. Misai nipis Din Beca memperlihatkan keyakinan Din Beca dan ini melegakan hati Nini.

"Tetapi, kenapa lutut Abang Beca menggigil?" tanya Nini sebaik sahaja mendapati kayuhan beca Din Beca semakin perlahan.

"Tidak ada apa-apa, Abang Beca cuma mahu pasang telinga sahaja," dalih Abang Beca.

Lalu, Din Beca, Opah Limah dan Nini Asmara mendekati kumpulan orang yang bercerita itu untuk mengesahkan cerita pontianak yang menyewa rumah anak saudara Mak Mandin.

"Betulkah apa yang Peon cakapkan ini? Benarkah ada pontianak menyewa rumah di Jalan Chempaka itu?"

"Sudah sah!" jawab Peon dengan yakin dan sedikit bangga, sambil mulutnya tersenyum sampai ke telinga.

"Kalau begitu, mari kita pergi ke rumah sewa anak saudara Mak Mandir itu, dan kita bakar sahaja rumah itu!" cadang Din Beca.

"Bakar! Bakar! Bakar!" jerit mereka beramai-ramai.

"Err, ada orang panggil aku ke?" tiba-tiba muncul Wan Abu Bakar, anak saudara Mak Mandin yang seorang lagi.

"Tak ada, dia orang nak bakar rumah anak saudara Mak Ngah ni ha..." jelas Mak Mandin.

"Habis tu, takkan Mak Ngah nak biarkan saja?" soal Wan Abu Bakar.

"Bakar ajalah. Rumah tu ada pontianak!"

"Pontianak!!!" jerit Wan Abu Bakar, terkejut. "Weih, tok leh jadi lagu ni (Bahasa Kelantan ke Bahasa Melayu: Eish, kalau begini, tak boleh jadi ni)."

"Bakar! Bakar! Bakar!" jerit mereka beramai-ramai.

Lalu maralah mereka, kaum manusia yang bersemangat waja, menuju ke rumah sewa Mandir, untuk membakar rumah itu.

Setelah beberapa lama berjalan, sampailah mereka semua di depan pintu pagar rumah sewa Mandir itu.

"Hm. Biar aku laung sekarang. Hei, pontianak! Keluarlah engkau dari rumah ini, sebelum aku bakar rumah ini dan engkau hidup-hidup!" jerit Usin Jerad.

"Err, Usin. Pontianak ni bukan ke dah mati?" sempat lagi Peon bertanya.

"Tak kisahlah! Janji kita lawan sama itu Pontianak. Hei, pontianak! Keluar! Keluar!" laung Usin Jerad lagi.

Tiba-tiba pintu rumah di buka. "Ya, Allah, kalian semua ni. Kalau iya pun, bagilah salam dulu. Aku tengah menulis novel ni. Hilang habis idea aku."

Kelihatan seorang lelaki yang berusia sekitar 30-an, keluar dari rumah sewa itu.

"Aah... siapa tuan rumah ni?" tanya pemuda itu.

Semua orang yang bersemangat waja itu pun menunding ke arah Mak Mandin. Mak Mandin pula, oleh kerana dia pun salah seorang daripada ahli kumpulan orang yang bersemangat waja itu, menunding jari ke arah dirinya sendiri.

"Err.. Puan. Puan datang nak kutip sewa, ya? Kebetulan saya baru dapat royalti. Aaa, ini duit sewa untuk dua bulan berturut-turut ni," beritahu pemuda itu sambil menghulurkan duit sebanyak empat ratus ringgit.

"Eih, bukan ke kau dah bayar duit sewa untuk dua bulan lepas?" tanya Mak Mandin, kehairanan.

"Eh, tak ada Puan?"

"Habis, duit siapa dekat dalam peti surat ni? Dah dua kali aku dapat duit tu?"

"Bukan saya, Puan."

Mereka semua kehairanan. Kalau pemuda yang menyewa rumah Mandir itu pun tidak mengaku, maka siapa agaknya yang meletakkan duit sewa rumah itu di dalam peti surat.

"Apa nama kau, nak?" tanya Mak Mandin.

"Buyong, Puan," jawab Buyong.

"Sahlah, Buyong, kau ni, bukan menyewa seorang diri ni. Kau berkongsi rumah dengan pontianak!"

"Err... maksud Puan, isteri saya tu ke?" tanya Buyong, sambil memandang ke arah tingkap rumahnya.

Semua mata yang ada memandang ke arah tingkap rumah sewa itu. Kelihatan seorang wanita bermuka pucat, berbaju putih, sedang merenung dengan sepasang mata merah meliar, rambut yang kusut dan air mata hitam pekat yang mengalir hingga ke bawah pipi.

"Itu, isteri saya..."

Jawapan Buyong itu, sudah cukup meremangkan bulu roma sekalian pengunjung rumah sewa itu.

SEKIAN.

Sumber: http://dukeamienerev.blogspot.com


CATATAN PENULIS: Semoga cerita yang saya sampaikan ini dapat menghiburkan para pembaca sekalian. Maafkan saya sekiranya cerita ini tidak menarik hati para pembaca. Kekurangan itu datangnya daripada saya dan yang baik itu datangnya daripada Tuhan. Saya juga meemohon kerjasama para pembaca dan pengunjung blog ini agar tidak menciplak mana-mana tulisan yang terdapat di blog ini. Salam hormat, jumpa lagi.

Jumaat, Ogos 01, 2008

Parodi Cerita Seram - Siri 7


Misteri Kotak Barang Kemas

Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

Cerita seram di blog ini ditulis oleh Amiene Rev. Amiene Rev adalah seorang penulis cerita-cerita seram pendek di blog Duke Amiene Rev. Anda juga boleh memuat turun Majalah Digital Percuma Amiene Rev menerusi blog ini. Pun begitu, janganlah anda mencetak rompak cerita ini kerana sesungguhnya perbuatan itu tidak akan menjamin keselamatan anda di akhirat kelak.

Ketika Long Mak Mah hendak meninggalkan kami dua beradik pada sebulan yang lalu, Long Mak Mah ada meninggalkan sekotak barang kemas kepada kami. Pesan Long Mak Mah kepada kami masih lagi kami ingati.

"Jangan sekali-kali kalian membuka kotak barang kemas ini." Pesan Long Mak Mah sambil jari telunjuknya dipukul-pukul ke atas angin seperti bermain dram lagaknya.

"Jangan sekali-kali kalian beritahu hal kotak barang kemas ini kepada ibumu, iaitu adikku!" Bibir tebal bergincu milik Long Mak Mah dijuih ke dapur. Padahal, ibu kami tidak ada di dapur.

Kami dua beradik melihat pada kotak barang kemas pemberian Long Mak Mah. Ternyata kotak ini tidak berisi banyak barang kemas. Sungguh ringan.

Suatu hari, adik memberitahu saya, dia melihat kotak emas itu bercahaya terang pada waktu malam.

"Sangat terang, Abang Long! Sangat terang! Adik nampak cahaya keluar dari kotak itu macam ada harta karun dalam kotak emas itu," cerita adik perempuanku sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya seperti hendak terbang. Dan terjinjit-jinjit jugalah kedua-dua kakinya menceritakan betapa terangnya cahaya yang terpancar dari kotak barang kemas itu.

"Barangkali ada lampu di dalam kotak ini, apa kata kita buka?" Aku pun mula mahu menyiasat kotak barang kemas itu. Adik perempuanku ternganga.

Di dalam bilik, aku mencapai kotak barang kemas yang disembunyikan di atas almari. Ah, aku rasa tidak ada sesiapa pun berani mengusik kotak ini kerana aku letakkan bangkai beberapa ekor cicak di sekeliling kotak ini. Sudah kering bangkai cicak-cicak ini.

"Membunuh cicak pada waktu malam-malam tertentu, adalah sunat hukumnya," kata Che Adam, anak Che Pudin.

"Mana kau tahu semua ini?" Aku bertanya.

"Entah, aku macam pernah baca di mana-mana."

Kotak itu aku bawa turun. Aku memandang ke luar tingkap. Bimbang kalau-kalau Long Mak Mah tiba-tiba menjelma di luar tingkap dan berkata,"Jangan sekali-kali kalian membuka kotak barang kemas ini," sambil jari telunjuknya dipukul-pukul ke atas angin seperti bermain dram lagaknya.

Mustahil. Mustahil Long Mak Mah akan berada di sini. Aku pun berusaha untuk membuka kotak itu.

"Bang Long, jangan! Jangan buka! Jangan!" Jerit adik perempuanku. Dia pantas merebut kotak barang kemas itu daripada peganganku tetapi aku tidak melepaskan kotak itu.

Lalu kotak itu pun terlepas dan terjatuh ke bawah. Penutup kotak itu sedikit terbuka.


"Hah, kau buat apa tu!" Tiba-tiba aku dan adikku terkejut, kedengarannya seperti suara Long Mak Mah, tetapi mustahil suara Long Mak Mah sesengau itu. Suara itu datang dari luar tingkap, lalu aku pun menjenguk ke luar tingkap.

"Ceh! Adam, apa kau buat di luar tu!" Hampir terjojol keluar biji mata aku dan adikku apabila melihat Adam berada di luar rumah dengan rupa yang agak kelam kerana membelakangi cahaya matahari.

"Kenapa manusia penuh rasa cemburu, pantang lihat orang senang pasti mengutuk, dan senyum bila lihat orang tersungkur?" Che Adam Che Pudin mula melafazkan lirik lagu Robot, dendangan Adam AF2.

"Apa kau nak ni, Adam?"

"Bangkai cicak. Mahu? Stok baru." Adam memegang hujung ekor dua ekor cicak yang telah menghembuskan nafas yang terakhir itu kepada kami.

"Eeeuuwww!" Adik perempuanku mula berasa geli. Dia berlari sambil membawa lari kotak barang kemas itu keluar dari bilik.

"Aku gundu semua cicak ini semasa cicak-cicak ini sedang berkejar-kejaran di dinding rumah malam tadi," selamba, tanpa mempedulikan rasa jijik yang ditimbulkan oleh adik perempuanku, Che Adam menceritakan pengalaman pemburuannya.

"Aku rasa semua cicak yang ada ni dah cukup dah," ujarku.

"Tolong!!! Aaaa!!! Tolong!!! Geli!!!" Tiba-tiba aku terdengar bunyi adik perempuanku terjerit-jerit di ruang tamu.

Aku dan Adam pun bergegas ke ruang tamu. Kami semua sangat terkejut apabila melihat suatu perkara yang aneh telah berlaku!

"Chi.. chi... chi.. chi..." Kedengaran cicak-cicak berbunyi.

Beratus-ratus ekor cicak tidak putus-putus keluar dari kotak itu. Kesemua cicak-cicak itu berdarah pada matanya. Darah merah! Cicak-cicak ini berebut-rebut mencari tempat persembunyian. Masakan kotak barang kemas itu boleh mengandungi beratus-ratus ekor cicak seperti itu? Ini sungguh aneh!

"Chi... chi... chi..." Tiba-tiba beberapa ekor cicak mula menyedari terdapatnya bangkai cicak di tangan Che Adam.

Cicak-cicak itu kemudiannya berkelakuan garang, lalu berlari laju ke arah Che Adam dan masuk ke dalam baju dan seluarnya. Che Adam kegelian lalu berlari meminta tolong. Beratus-ratus ekor cicak bermata merah darah terus mengejar Che Adam seolah-olah berdendam dengan Adam.

Kami terpinga-pinga. Kotak barang kemas itu sudah kosong. Che Adam entah hilang ke mana. Masakan aku dapat mengekorinya dengan bilangan ratusan ekor cicak yang sedang mengganas itu tadi? Apa lagi adik perempuanku yang seorang itu.

Kami mula tidak berani menyentuh kotak barang kemas itu lagi. Kami cuma memerhatikan kotak barang kemas itu di atas lantai dengan penutup yang sudah terbuka.

Ibu pulang. Ibu terkejut apabila melihat kotak barang kemas itu masih ada di situ.

"Mana kamu dapat kotak barang kemas ini? Cepat cakap!" tanya ibuku separuh melaung. Dia nampaknya sangat marah dan berasa terkejut.

"Mak.. Long.. Long Mak Mah..." jawabku tergagap-gagap.

"Kotak barang kemas ni peninggalan moyang kamu, gunanya untuk memuja duit. Ibu mahu musnahkan kotak ini dahulu, tetapi kotak ini hilang," jelas ibu dengan perasaan agak sedih dan kesal. "Tak sangka Mak Long kamu yang sorokkan."

Patutlah selama ini Long Mak Mah kelihatan berduit. Rupanya sesiapa yang meletakkan duit di sekeliling kotak barang kemas itu, akan dapat memuja dan memanggil duit. Jika diletakkan barang kemas, maka akan bertimbunlah barang kemas keluar dari kotak itu.

Jadi, aku yakin, cicak-cicak yang keluar dari kotak itu kerana aku meletakkan bangkai-bangkai cicak supaya orang lain atau pencuri geli untuk mengacau kotak itu. Tidak sangka, perbuatanku itu telah menyebabkan Che Adam ditimpa malang.

"Tapi kenapa Mak tak musnahkan kotak ini cepat-cepat dahulu?" tanya Adik.

"Sebab, kotak ini tidak dapat dimusnahkan. Mak pun tak tahu apa yang boleh dibuat lagi," jelas ibuku.

Malam itu, aku tidak lena tidur. Aku berbaring-baring di katil. Kotak barang kemas itu telah disimpan yang ditempat yang selamat. Oleh sebab kotak barang kemas itu tidak dapat dimusnahkan, ibu tidak berani membuangnya. Takut ditemui dan disalahgunakan oleh orang lain.

"Ku tahu.. oh, no..(oh, no) oh, no.. (oh, no) oh, no.."

Tiba-tiba aku terdengar suara sengau dari luar rumah menyanyikan satu petikan korus dari lagu Robot, Adam AF2. Adamkah itu, yang berada di luar tingkap bilikku?

"Adam? Adam! Kaukah itu?" Aku melihat satu lembaga hitam di luar tingkap. Kerana kegelapan malam, aku tidak dapat melihat dengan jelas rupa Adam.

Aku mendekatkan diriku ke tingkap. Aku melihat Adam merenungku seperti sedang keliru, diam tidak berkata sepatah apa pun. Matanya seperti mata orang buta yang tidak dapat melihat apa-apa.

"Adam?" Aku mula berasa seram melihat keadaan Adam. "Kau marah dengan aku?"

Tiba-tiba mata hitam Adam kelihatan terangkat ke atas, hilang dalam tabir kelopak mata atasnya yang sedikit berkelip-kelip. Bibirnya bergetar dan sedikit terbuka seperti mahu mengatakan sesuatu. Tingkah laku Adam ini cukup membuatkan bulu romaku meremang.

"Adam, dah malam ni! Jangan nak buat benda-benda pelik dekat sini! Nanti datang betul..."

Aku tidak dapat menghabiskan ayat terakhirku apabila melihat mulut Adam yang sedikit terbuka, mengeluarkan seekor cicak bermata merah yang terjelir-jelir lidahnya seperti biawak atau ular.

"Ku... bukannya... sempurna..." kata Adam lagi dalam suara separa garau!

Dan, semakin banyak cicak, berpuluh-puluh ekor cicak bermata merah mula merayap-rayap, menguasai setiap inci kulit di badan dan di muka Adam.

Aku bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.


SEKIAN.

NOTA: Gundu adalah sejenis permainan menggunakan gelang getah yang biasa digunakan untuk mengikat nasi bungkus. Jika saya tersilap penerangan, harap diberikan pembetulan dan contoh yang sewajarnya.

Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com


Cerita pendek seram ini akan disiarkan di blog Duke Amiene Rev setiap minggu sekiranya ada upaya untuk menyiarkannya. Semoga terhibur. Kalau anda suka janganlah cetak rompak cerita ini, kalau anda tak suka janganlah cetak rompak juga. Apalah salahnya kalau kalian buatkan satu jaringan blog ini ke tempat yang anda nak sampaikan cerita ni. Saya tak tahu cerita ini seram atau tidak. Apa pun, terima kasihlah sebab sudi membacanya, ya. Jumpa lagi, minggu depan.

Jumaat, Julai 25, 2008

Parodi Cerita Seram - Siri 6

Hantu Pemanggil Di Telefon Bimbit
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

NOTA: Amiene Rev adalah penulis cerita seram. Sekiranya anda terlanjur atau tidak tertahan nafsu untuk menyiarkan kembali cerita ini di mana-mana tempat, pastikan anda tidak lupa menyertakan nama penulis kisah seram ini iaitu Amiene Rev dan sumber asalnya iaitu http://dukeamienerev.blogspot.com di tempat penyiaran tersebut. Namun saya nasihatkan anda supaya tidak menciplak cerita ini supaya anda terselamat daripada menjadi ahli neraka di akhirat kelak.

Beginilah ceritanya...

Malam itu Nufara sedang tidur lena. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Nufara cuba mengangkat telefon bimbitnya. Telefon bimbitnya terus diam. Perkara ini berulang-ulang banyak kali.

Esoknya, Nufara mengadu hal itu kepada kawan-kawannya. Dia berasa sangat hairan kerana tidak ada satu pun nombor yang keluar pada skrin telefon bimbit itu selain nombor 343 10-1 05. Pelik betul nombor telefon seperti ini.

"Aku pun ada terima jugalah panggilan. Lepas tu aku tak layan terus. Biarlah dia dengar nada dering 'handset' aku," ujar Shiqin, berseloroh.

"Aik, kalian semua dapat. Aku seorang sahaja yang tidak dapat. Panggilan daripada siapa tu?" Muslimah bertanya. Dia berasa pelik kerana dia seorang sahaja yang tidak diganggu dengan 'miss call' berhantu itu.

"Entahlah, hantu agaknya." Nufara datang dan terus menyampuk. Dia duduk di atas katil, di sebelah Janet, pelajar cina yang mengambil jurusan Pengurusan Perniagaan.

"Hai, Nufara. Awak pun diganggu juga. Siapalah budak nakal ni ya?" Elyana yang duduk di penjuru katil menyapa.

"Muslimah, kenapa awak tak diganggu, ya? Janet pun diganggu," Shiqin merenung Muslimah dengan rasa curiga.

"Ah, saya tidak takut. Yesus akan lindungi saya," tegas Janet yang beragama Kristian, kemudian dia pun turut menyoal Muslimah, "Apa rahsia awak tak diganggu, ya?"

"Saya pakai... nada dering nasyid, agaknya..." Muslimah jadi ragu-ragu hendak menjelaskan pendapatnya. Kesemua mata siswi-siswi di dalam bilik itu memandang tepat ke arah Muslimah.

"Lagu nasyid apa yang awak pasang?" Soal Shiqin.

"Puji-pujian. Lagu Raihan," jelas Muslimah.

"Tapi apa kata malam ni kita cuba siasat," cadang Shiqin.

"Elok juga tu. Janet, apa kata cuba awak kaji nombor telefon si hantu tu," cadang Elyana pula.

"Sekarang pun, saya boleh kaji. Biar saya dapatkan kertas dan pen, semua sudah jadi," ujar Janet, bersetuju.

Janet mengkaji angka-angka yang terdapat dalam nombor telefon itu. 343 10-1 05. Hm, pelik. Setahu aku, tidak ada nombor telefon orang yang sebegini. Haiya, ini sungguh memeningkan kepala. Aku yakin pasti ada perkhidmatan tertentu untuk membolehkan seseorang itu menyembunyikan identiti dan nombor telefon sebenarnya, fikir Janet di dalam hati.

"Nombor 3 sama seperti Tree, pokok. 4 pula seperti seekor bangau. 10-1 seperti Ten Minus One. Sifar Lima. Apakah maksudnya?"

Janet bercakap seorang diri. Shiqin, Elyana dan Nufara memerhati catatan Janet dengan penuh minat. Muslimah diam dan tenang sahaja.


"Tunggu. Cuba kita baringkan nombor 3. Macam huruf M. Ah, apa pula dengan 4? Macam huruf A. Kita sudah dapat perkataan MAM untuk 343."

"Dan, oh apa pula 05 ini? Adakah OS? MAM 10-1 OS? Sepuluh tolak satu? Sembilan?"

"Tidak, tidak! Sepuluh tolak satu. Sepuluh = Sa Puluh. Sa Puluh tolak Satu jadi Puluh."

"Maka sekarang kita sudah dapat MAM Puluh OS?"

"MAMPUS!" Jerit Nufara! Maksud nombor telefon itu sudah terbongkar! Janet, Shiqin dan Elyana mempercayai kata-kata Janet.

"Sudah tentu, orang yang membuat panggilan curi kepada kita ini adalah orang yang sudah mampus," jelas Janet. Semua pun bersetuju.

"Malam ini kita mesti siasat!" tegas Shiqin.

Malam itu mereka berada sebilik. Telefon bimbit masing-masing diletakkan di tengah-tengah lantai beralas tikar getah. Itu bilik Nufara. Janet, Shiqin, Elyana dan Muslimah masing-masing menunggu telefon bimbit mereka berbunyi.

Jam tepat 12 malam. Telefon bimbit berbunyi satu persatu, kecuali telefon bimbit Muslimah. Semua orang sudah bergementar.

Nufara mendapat satu idea. Dia berbaring, berpura-pura tidur di sebelah telefon bimbitnya. Jari tangannya diletakkan dekat dengan butang-butang telefon bimbitnya. Dia menyuruh kawan-kawannya diam. Kawan-kawannya memahami muslihat Nufara.

Telefon bimbit berbunyi satu persatu, Nufara menekan butang 'TERIMA PANGGILAN' secepat kilat. Secepat itu juga pemanggil itu menamatkan panggilan.

"Kena! Padam muka kau, habis kredit!" Nufara tergelak-gelak. Kawan-kawannya yang lain turut tergelak-gelak.

Telefon bimbit berbunyi lagi. Kali ini bukan telefon bimbit Nufara. Telefon bimbit Muslimah jauh sekali. Nufara pun menekan butang telefon Janet lalu secepat itu juga dia menjerit:

"Padam muka. Yeyeh! Wek!" Nufara sempat mengejek si pemanggil.

"Haiya! Ini orang, siapa? Mana Janet?" Tiba-tiba kedengaran suara seorang mak cik. Nufara syak itu pasti ibu atau saudara mara Janet.

"Eh, maaf, Auntie!" Nufara memberikan telefon tersebut kepada Janet, "Emak you!"

Janet membeliakkan mata. Dia mengambil telefon itu dari tangan Nufara. Diperhatikannya nombor telefon. Ya, nombor telefon emaknya.

Janet bercakap seketika. Tiba-tiba air muka Janet berubah. Janet mencampakkan telefon bimbit.

"Bukan. Itu bukan mama I!" Janet ketakutan. Nufara melihat nombor telefon. 343 10-1 05. Ah, pandai sekali hantu itu menyamarkan diri.

"Apa dia kata, Janet?" Shiqin menggoncang-goncangkan bahu Janet. Bimbang. Cemas.

"Dia kata, ini malam, kita semua jangan buka tingkap atau pintu bilik. Ada benda memerhati dan mencari kita semua!"

Semua pelajar siswi itu ketakutan. Mereka duduk diam-diam di dalam bilik. Tiba-tiba pintu kedengaran diketuk-ketuk. Ketukan itu makin kuat. Banyak sungguh tangan yang mengetuk pintu bilik. Mereka juga mendengar bunyi tapak kaki dan besi diheret rapat ke lantai. Berdesing bunyinya. Semua pelajar siswi itu berpelukan.

"Apa kata kita buka lampu?" cadang Muslimah.

"Takut..." tutur Elyana, ketakutan.

"Apa kita kita menjerit beramai-ramai?" cadang Shiqin pula.

"Setuju..... Aaaaaaaaa," Nufara menjerit perlahan-lahan.

"Aaaaaaaahhhhhhh, makkkkkk!!!! Tolong kamiiiii!!!!!! Tolong kamiiii. Kami anaaaak daraaaa ayuuuu!!!!!" Mereka semua menjerit beramai-ramai.

Jeritan itu kedengaran begitu kuat sehingga ke luar kawasan asrama.

"Dam!" Pintu bilik ditendang dengan begitu kuat. Beberapa orang berpakaian jubah dan berserban datang menyerbu. Di kalangan mereka itu ada seorang felo asrama.

"Ahh... nasib baik tok bomoh tahu!" Elyana menangis teresak-esak.

"Bomoh? Bomoh mana?" Dr. Fatima, Felo Blok Siswi bertanya, terpinga-pinga.

"Kami dari Jabatan Pencegah Maksiat, kami mendapat laporan ada beberapa orang lelaki datang ke blok kamu, jadi kami mahu memeriksa bilik kamu," jelas salah seorang lelaki berjubah coklat.

Nufara, Shiqin, Elyana, Muslimah dan Janet terpinga-pinga. Sehingga ke hari ini peristiwa seram itu masih diingati. Misteri panggilan berhantu dan peristiwa pelajar-pelajar ternampak kelibat beberapa lembaga lelaki datang ke blok mereka masih menjadi tanda tanya hingga ke hari ini.

Apabila ditanya soalan mengenai rupa lelaki-lelaki itu kepada seorang saksi, saksi itu pun mengatakan:

"Tinggi macam pemain bola keranjang. Hitam gelap. Semuanya botak dan bogel tanpa pakaian. Hitam berkilat macam orang minyak! Saya tak nampak jelas sebab gelap sangat, tapi badan mereka tegap dan sasa memang macam lelaki. Takkanlah perempuan badan macam tu!"

SEKIAN.

Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com


Cerita kenit seram ini adalah hasil tulisan Amiene Rev. Anda tidak dibenarkan menerbitkan semula karya ini di mana-mana blog atau dalam apa jenis penerbitan pun tanpa kebenaran Amiene Rev. Sekiranya anda berminat atau menyukai cerita ini, ajaklah kawan-kawan datang ke blog ini. Cerita seram ini akan disiarkan seminggu sekali. Semoga terhibur.

Jumaat, Julai 18, 2008

Parodi Cerita Seram - Siri 5

Pocong Tersengih Di Dalam Tandas
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

Cerita seram di blog ini ditulis oleh Amiene Rev. Amiene Rev adalah seorang penulis cerita-cerita seram pendek di blog Duke Amiene Rev. Anda juga boleh memuat turun Majalah Digital Percuma Amiene Rev menerusi blog ini.

Dan cerita seram pun bermula...

Ini satu kisah seram. Begitulah kata pembuka surat yang dibuat oleh Dikmas kepadaku. Kau tahu tak kenapa Junaida tidak lagi bersekolah di sini? Semuanya gara-gara kisah seram di dalam tandas aras empat. Aku tidak tahu bagaimana lagi hendak kusampaikan cerita ini kepadamu. Junaida masih mencintaimu, Awi.

Ah! Cinta monyet semua ini? Nafsu remaja memang liar, aku begitu tandus dengan kegersangan cinta sehingga terjerumus ke lembah monyet. Cinta monyet, cinta terlarang. Ustazah Faradhiya sendiri sudah menegur kami berdua selepas surat cinta kami ditemui semasa 'spot check' tempoh hari. Kami bernasib baik kerana cuma diberi amaran.

"Bercinta ini besar tanggungjawabnya. Kamu masih mentah lagi. Masih teramat muda untuk menanggung beban orang bercinta. Sedangkan makan minum kamu pun ibu bapa kamu yang tanggung. Bagaimana kamu hendak menanggung cinta? Dengan duit ibu bapa kamu?" Begitulah teguran Ustazah Faradhiya.

Junaida masih mencintai awak, Awi. Awak jangan salah faham. Junaida tidak tahu bagaimana mahu memberitahu awak, oleh itu, biarlah aku sahaja yang memberitahu kepada awak. Er, sesiapa yang baca surat ini curi-curi. Ini makluman. Aku tak cinta Awi. Ini bukan surat cinta. Berani 'report' kepada Ustazah, aku lekuk kepala orang yang buat 'report' tu. Penyibuk betul.

Garang juga isi kandungan surat Dikmas. Dikmas, teman setia Junaida. Baru kini aku percaya. Aku terus membaca isi kandungan surat itu. Alah, Dikmas, kalau susah-susah, aku mengurat awak sajalah, tutur aku di dalam hati. Kting! Tiba-tiba wajah Junaida memegang pengguling tepung dengan tangan kanan sambil menghentak-hentakkan pengguling tepung itu ke tapak tangan kirinya terpapar di skrin imaginasiku. Mukanya masam mencuka. Matanya garang dan liar. Cemburulah tu!

Junaida pada malam itu, telah pergi ke tandas. Semasa hendak ke tandas, Junaida mendakwa telah ternampak satu lembaga mencangkung di dalam tandas. Junaida menyuluh ke dalam tandas. Dilihatnya seekor lembaga berwajah tengkorak dengan sisa-sisa daging reput merah, kuning dan hitam pada tulang-tulang tengkoraknya, dan berpakaian ala-ala pocong. Pocong itu berkata:

"Lain kali jangan guna lampu suluh. Buka lampu. Kan, dah kena kacau! Hi! Hi! Hi!" Pocong itu tersengih-sengih. Junaida terjerit-jerit ketakutan lalu berlari keluar dari tandas.

Pocong itu mengejar dari belakang. Entah bagaimana, Pocong itu terpijak selipar di luar tandas yang masih basah dan licin, lalu Pocong itu jatuh berguling-guling ke tangga ke bawah. Junaida tidak peduli, apa lagi berasa kasihan terhadap keselamatan hantu pocong itu. Dia berlari masuk ke bilik, menangis dengan kuat. Kami sebilik sudah terbangun sejak dari tadi. Lampu setiap 'dorm' dinyalakan. Ustazah Faradhiya dan beberapa orang warden lain berlari naik ke aras kami, terus mendapatkan Junaida.

Junaida menceritakan apa yang telah berlaku. Tidak ada seorang pun yang percaya cerita Junaida. Kau tahu, Awi, siapakah pocong itu? Pocong itu adalah hantu dari kawasan hutan seberang parit di luar sekolah kita!

Jadi, Awi, janganlah kau sangka yang bukan-bukan. Aku melipat surat penjelasan Dikmas itu baik-baik. Aku memejamkan mata, seakan-akan mahu menangis kerana berasa kesal dengan tanggapan negatifku terhadap Junaida selama ini. Junaida masih setia kepadaku rupanya. Aku melangkah keluar meninggalkan padang. Sejak kehilangan Junaida, aku sering menyendiri di padang ini.

Aku berjalan-jalan menuju ke parit di tepi pagar sekolah. Aku melihat-lihat sekitar di kawasan parit. Aku mendapati sebuah kubur lama di situ dan paling mengejutkan, kubur itu telah digali orang!


SEKIAN.

Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com


Cerita pendek seram ini akan disiarkan di blog Duke Amiene Rev setiap minggu sekiranya ada upaya untuk menyiarkannya. Semoga terhibur. Kalau anda suka janganlah cetak rompak cerita ini, kalau anda tak suka janganlah cetak rompak juga. Apalah salahnya kalau kalian buatkan satu jaringan blog ini ke tempat yang anda nak sampaikan cerita ni. Saya tak tahu cerita ini seram atau tidak. Apa pun, terima kasihlah sebab sudi membacanya, ya. Jumpa lagi, minggu depan.

Jumaat, Julai 11, 2008

Parodi Cerita Seram - Siri 4

Kelawar Terbang Tanpa Kepala
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

Amiene Rev adalah seorang penulis cerita kenit seram di blognya. Karya-karyanya adalah juga yang tersiar di mana-mana penerbitan. Antaranya dalam produk-produk di Dewan Bahasa dan Pustaka, Venton Publishing dan KarnaDya. Cerita-cerita ini dipanggil cerita kenit seram sebab ceritanya pendek-pendek belaka. Kisah-kisah seram kenit akan disiarkan di blog ini setiap minggu, Insya-Allah.

GURAUAN: Selamat datang! Singgahlah dulu membaca cerita kenit seram ini. Semoga anda seronok membacanya. Baca dulu, kalau tak seronok pun tak apa, saya minta maaf. Ada gaya macam kedai cenderamata yang hijau kuning tu tak? Ha. Ha.


Beginilah kisahnya...

Awak masih terasa seram lagi. Pengalaman seram sebegini patut awak lontarkan sahaja jauh-jauh. Ketika itu awak berada di lintasan keretapi di satu kawasan terpencil tidak jauh dari Bandar A. Ah, kenapa awak tak mahu berterus-terang sahaja? Apa nama bandar itu?


Awak geleng. Awak tidak mahu ingat lagi. Ini kisah seram. Trauma. Awak meremang bulu roma bila awak ingat balik cerita ini. Tetapi, hari ini selepas penat memujuk, barulah awak mahu bercerita. Berat betul bila awak dipaksa ingat balik kenangan semasa senja itu.

Ya. Hari itu ada beberapa ekor kelawar terbang dekat sekitar landasan keretapi. Entah macam mana, kelawar-kelawar itu terus jatuh ke atas kawasan lantai. Awak rasa tentu ada medan magnetik atau gangguan bunyi. Kelawar-kelawar jatuh di atas landasan keretapi.

Twuuttt, twuuttttt! Keretapi berlalu dengan pantas. Kelawar-kelawar masih bergolek-golek di atas jalan. Awak nampak keretapi berlalu. Skrap! Skrap! Skrap! Cit! Cit! Cit! Cwiittt! Bunyi kelawar mendecit. Darah terpancar di merata-rata.

Awak sedih. Awak rasa kasihan tengok kelawar-kelawar itu. Awak tak boleh buat apa-apa pun. Tengok saja. Ya, itu saja yang awak boleh buat. Tengok saja... dan awak rasa kesal.

Keretapi berlalu. Bangkai kelawar bergolek-golek. Ada yang masih hidup. Menggigil. Menggelepar! Cuba terbang. Plap! Plap! Plap! Awak terkejut! Beberapa ekor kelawar yang sudah putus atau hancur kepalanya cuba terbang. Berjaya! Kelawar-kelawar malang berjaya terbang! Seekor, kemudian seekor lagi. Semakin banyak!

Kelawar-kelawar terus mengekori jejak keretapi yang baru berlalu tadi. Awak tergamam. Awak tidak lalu makan apa-apa. Awak diam. Sehinggalah ke hari ini, baru awak beritahu kenapa awak hendak menceritakan hal ini.

Tapi, tapi awak sudah tidak ada lagi. Awak tidak lalu makan. Awak tidak lena tidur. Malam-malam awak nampak kelawar tanpa kepala terbang di jendela. Awak mengadu tetapi tidak ada siapa pun mahu percaya cakap awak. Semua orang sudah anggap awak gila.

Bersemadilah. Semoga rohmu tenang di sana.

SEKIAN.

Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com


Semoga Tuhan jauhkan anda semua daripada aktiviti cetak rompak, menerbitkan isi kandungan blog ini tanpa kebenaran dan seumpamanya agar anda mendapat keberkatan dan tidak menjadi ahli neraka. Tidak kira cerita ini menarik atau tidak menarik, jangan ciplak ya? Jika anda terlanjur menerbitkan cerita ini atau mana-mana hasil karya penulisan di blog ini di mana-mana tempat sama ada realiti atau maya, maka hendaklah anda menebus dosa anda dengan mengkreditkan nama saya di dalam penerbitan tersebut, tidak kira blog, web, e-forum dan sebagainya. Dalam kes yang lain pula, sekiranya anda menerbitkan mana-mana karya saya untuk tujuan komersil, maka hendaklah anda memberikan bayaran royalti kepada saya sebagai penulisnya. Tidak ada perpindahan hakcipta ya? Hakcipta bagi semua penulisan saya kekal milik saya.

Jumaat, Julai 04, 2008

Parodi Cerita Seram Siri 3

Penunggu Di Tanah Larangan
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com


NOTA: Amiene Rev adalah penulis cerpen seram yang mulai disebarkan di blognya. Oleh kerana cerita seramnya kadangkala agak pendek, maka ia juga boleh dipanggil cernit seram yang bermaksud 'cerita kenit seram'. Anda juga boleh membaca cerita-cerita seram tulisan Amiene Rev menerusi Majalah Digital Amiene Rev pada masa akan datang. Muat turun percuma di blog ini. Anda dilarang mencetak rompak atau memplagiat tulisan Amiene Rev di dalam blog ini. Sekiranya nafsu fotokopi anda tidak tertahan untuk menyiarkan cerita ini di mana-mana tempat, pastikan anda memberi kredit atau penghormatan kepada penulis cernit seram ini iaitu Amiene Rev dengan menyertakan alamat sumber asal iaitu: http://dukeamienerev.blogspot dan nama Amiene Rev sebagai penulisnya. Insya-Allah, anda akan selamat di dunia dan di akhirat.


Dan, inilah ceritanya,

Ketika itu, Shahriman Supardi sedang berjalan pulang dari surau sekolah. Dia kemudian singgah sebentar di kantin untuk menuang air panas dari mesin air panas ke dalam termos besi yang berkapasiti 1 liter setengah.

Kemudian entah bagaimana, dia terlajak lalu di kawasan larangan. Di kawasan itu didirikan satu nisan yang diperbuat daripada batu. Menurut Pak Erwan, tukang sapu sekolah, nisan itu didirikan sebagai satu tanda terdapat kubur lama di kawasan larangan itu.

"Berhenti, jangan lalu! Situ ada kubur lama!" Laungan Pak Erwan tempoh hari terngiang-ngiang di telinga Shahriman Supardi.

Menyesali dirinya sudah terlajak memijak kawasan larangan, Shahriman Supardi pun bergementarlah. Dia bimbang dirinya terkena badi.

"Dulu ada seorang tukang rumput tercantas pokok-pokok di kawasan larangan ini. Tak sampai beberapa jam, tukang rumput itu jatuh sakit. Mulutnya berbuih-buih. Rupa-rupanya ada kubur lama di sini. Sudah ramai yang cuba memindahkan kubur ini tetapi gagal. Oleh itu kubur lama ini kekal di sini." Sekali lagi, terngiang-ngiang suara Pak Erwan. Tahyul! Tahyul semua ini, kata hati Shahriman Supardi.

Namun rasa bergementar tidak alah juga olehnya. Shahriman Supardi bimbang dirinya akan menerima nasib yang sama seperti tukang rumput yang dirahsiakan namanya itu.

"Maaf, tok penunggu. Walaupun cucu tahu ini semua tahyul, cucu mohon lalu untuk pulang ke asrama," ujar Shahriman Supardi dengan nada yang takut-takut.

"Tidak mengapa," tiba-tiba kedengaran satu suara garau dan serak yang teramat sangat, seolah-olah suara orang tercekik tulang ikan puyu di balik pokok buah katak puru yang berselirat urat-urat kayunya. Shahriman Supardi semakin bergementar, dia mahu lari tetapi tulang-tulang kakinya seolah-olah sudah hilang dan otot-otot kakinya sudah lembik seperti getah keping yang boleh digulung-gulung. Shahriman Supardi jatuh melutut dengan spontan.

"Te.. terima kasih, Tttok!" Tergagap-gagap Shahriman Supardi menuturkan kata-kata penghargaan itu.

"Tetapi dengan satu syarat! Tok dahaga, Tok mahu air. Selepas cucu berikan air, barulah Tok beri izin cucu untuk lalu. Nak berjoget atau 'shuffle' pun boleh," ujar penunggu di kubur lama itu.

"Bbbaikk... Tok," Shahriman Supardi lalu menuangkan air dari termosnya ke dalam penutup termos yang serba guna itu. Lalu, dengan cermat dia meletakkan penutup termos yang dijadikan cawan itu di tepi batu nisan kubur lama itu.

"Ini sahaja yang ada Tok, kantin tutup. Kalau tidak cucu beri Tok minum air sirap."

"Cukuplah air suam-suam kuku ini. Kalau Tok minta Root Beer, mana cucu mahu cari," balas Tok Penunggu Kubur Lama. Air di dalam penutup termos itu berasap-asap dan semakin surut dan mengering.

"Ahh, dan ada Pepsi di langit," kata Tok Penunggu.

Shahriman melihat ke langit dan kelihatan belon Pepsi melayang-layang. Agaknya tali pengikat belon Pepsi itu terputus lalu belon Pepsi itu terbang ditiup angin yang lalu.

"Terima kasih, cucu. Sekarang cucu boleh pergi." Suara Tok Penunggu Kubur Lama tidak lagi seserak dahulu. Namun nada garaunya kekal sediakala.

Shahriman pun mengambil penutup termos lalu berlalu pergi. Sejak itu, Shahriman Supardi sering dilihat menuju ke kawasan kubur lama itu.

Sebulan kemudian, Shahriman didapati sering menyertai pertandingan 'shuffle' yang diadakan di mana-mana sahaja. Tidak kira peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Dia juga sering mendapat tempat pertama dan mengharumkan nama sekolah. Misteri kehandalan 'shuffle' yang dimiliki oleh Shahriman menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

SEKIAN.

Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

Cerita seram dan parodi, dengan izin Allah akan cuba diterbitkan oleh Amiene Rev setiap minggu di blog Duke Amiene Rev ini. Jika anda suka janganlah mencetak rompak cerita ini, jika anda tidak suka atau benci sekali pun, janganlah cetak rompak cerita ini. Semoga anda akan sentiasa berada di dalam keberkatan. Salam hormat kepada semua pembaca, jumpa lagi pada lain masa.