BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Julai 04, 2008

Parodi Cerita Seram Siri 3

Penunggu Di Tanah Larangan
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com


NOTA: Amiene Rev adalah penulis cerpen seram yang mulai disebarkan di blognya. Oleh kerana cerita seramnya kadangkala agak pendek, maka ia juga boleh dipanggil cernit seram yang bermaksud 'cerita kenit seram'. Anda juga boleh membaca cerita-cerita seram tulisan Amiene Rev menerusi Majalah Digital Amiene Rev pada masa akan datang. Muat turun percuma di blog ini. Anda dilarang mencetak rompak atau memplagiat tulisan Amiene Rev di dalam blog ini. Sekiranya nafsu fotokopi anda tidak tertahan untuk menyiarkan cerita ini di mana-mana tempat, pastikan anda memberi kredit atau penghormatan kepada penulis cernit seram ini iaitu Amiene Rev dengan menyertakan alamat sumber asal iaitu: http://dukeamienerev.blogspot dan nama Amiene Rev sebagai penulisnya. Insya-Allah, anda akan selamat di dunia dan di akhirat.


Dan, inilah ceritanya,

Ketika itu, Shahriman Supardi sedang berjalan pulang dari surau sekolah. Dia kemudian singgah sebentar di kantin untuk menuang air panas dari mesin air panas ke dalam termos besi yang berkapasiti 1 liter setengah.

Kemudian entah bagaimana, dia terlajak lalu di kawasan larangan. Di kawasan itu didirikan satu nisan yang diperbuat daripada batu. Menurut Pak Erwan, tukang sapu sekolah, nisan itu didirikan sebagai satu tanda terdapat kubur lama di kawasan larangan itu.

"Berhenti, jangan lalu! Situ ada kubur lama!" Laungan Pak Erwan tempoh hari terngiang-ngiang di telinga Shahriman Supardi.

Menyesali dirinya sudah terlajak memijak kawasan larangan, Shahriman Supardi pun bergementarlah. Dia bimbang dirinya terkena badi.

"Dulu ada seorang tukang rumput tercantas pokok-pokok di kawasan larangan ini. Tak sampai beberapa jam, tukang rumput itu jatuh sakit. Mulutnya berbuih-buih. Rupa-rupanya ada kubur lama di sini. Sudah ramai yang cuba memindahkan kubur ini tetapi gagal. Oleh itu kubur lama ini kekal di sini." Sekali lagi, terngiang-ngiang suara Pak Erwan. Tahyul! Tahyul semua ini, kata hati Shahriman Supardi.

Namun rasa bergementar tidak alah juga olehnya. Shahriman Supardi bimbang dirinya akan menerima nasib yang sama seperti tukang rumput yang dirahsiakan namanya itu.

"Maaf, tok penunggu. Walaupun cucu tahu ini semua tahyul, cucu mohon lalu untuk pulang ke asrama," ujar Shahriman Supardi dengan nada yang takut-takut.

"Tidak mengapa," tiba-tiba kedengaran satu suara garau dan serak yang teramat sangat, seolah-olah suara orang tercekik tulang ikan puyu di balik pokok buah katak puru yang berselirat urat-urat kayunya. Shahriman Supardi semakin bergementar, dia mahu lari tetapi tulang-tulang kakinya seolah-olah sudah hilang dan otot-otot kakinya sudah lembik seperti getah keping yang boleh digulung-gulung. Shahriman Supardi jatuh melutut dengan spontan.

"Te.. terima kasih, Tttok!" Tergagap-gagap Shahriman Supardi menuturkan kata-kata penghargaan itu.

"Tetapi dengan satu syarat! Tok dahaga, Tok mahu air. Selepas cucu berikan air, barulah Tok beri izin cucu untuk lalu. Nak berjoget atau 'shuffle' pun boleh," ujar penunggu di kubur lama itu.

"Bbbaikk... Tok," Shahriman Supardi lalu menuangkan air dari termosnya ke dalam penutup termos yang serba guna itu. Lalu, dengan cermat dia meletakkan penutup termos yang dijadikan cawan itu di tepi batu nisan kubur lama itu.

"Ini sahaja yang ada Tok, kantin tutup. Kalau tidak cucu beri Tok minum air sirap."

"Cukuplah air suam-suam kuku ini. Kalau Tok minta Root Beer, mana cucu mahu cari," balas Tok Penunggu Kubur Lama. Air di dalam penutup termos itu berasap-asap dan semakin surut dan mengering.

"Ahh, dan ada Pepsi di langit," kata Tok Penunggu.

Shahriman melihat ke langit dan kelihatan belon Pepsi melayang-layang. Agaknya tali pengikat belon Pepsi itu terputus lalu belon Pepsi itu terbang ditiup angin yang lalu.

"Terima kasih, cucu. Sekarang cucu boleh pergi." Suara Tok Penunggu Kubur Lama tidak lagi seserak dahulu. Namun nada garaunya kekal sediakala.

Shahriman pun mengambil penutup termos lalu berlalu pergi. Sejak itu, Shahriman Supardi sering dilihat menuju ke kawasan kubur lama itu.

Sebulan kemudian, Shahriman didapati sering menyertai pertandingan 'shuffle' yang diadakan di mana-mana sahaja. Tidak kira peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Dia juga sering mendapat tempat pertama dan mengharumkan nama sekolah. Misteri kehandalan 'shuffle' yang dimiliki oleh Shahriman menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

SEKIAN.

Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

Cerita seram dan parodi, dengan izin Allah akan cuba diterbitkan oleh Amiene Rev setiap minggu di blog Duke Amiene Rev ini. Jika anda suka janganlah mencetak rompak cerita ini, jika anda tidak suka atau benci sekali pun, janganlah cetak rompak cerita ini. Semoga anda akan sentiasa berada di dalam keberkatan. Salam hormat kepada semua pembaca, jumpa lagi pada lain masa.