BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Penjenayah Siber. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penjenayah Siber. Papar semua catatan

Sabtu, Disember 01, 2012

Kisah Benar Jutawan Wanita Jadi Pekebun Sayur - MANGSA KASANOVA AFRIKA

KUALA LUMPUR: Seorang usahawan wanita kerugian lebih RM5 juta manakala empayar perniagaan miliknya turut merudum selepas termakan tipu daya seorang kasanova Internet dengan menyerahkan enam gambar bogelnya kepada lelaki dipercayai warga Afrika itu sebelum dia diugut dan dipaksa menyerahkan wang berulang kali sehingga bankrap.

Keterlanjuran ibu tunggal yang berusia 40-an itu menyebabkan dia diperas ugut lelaki terbabit yang mahu mengedarkan gambar berkenaan di Internet jika dia enggan menyerahkan wang setiap kali diminta.

Akibatnya, semua wang dan harta mangsa dikikis dan ibu kepada seorang anak remaja itu kini terpaksa pulang ke kampung dan melakukan kerja di kebun untuk menyara hidupnya.

Lebih menyedihkan, mangsa rugi besar dan seluruh hidupnya terjejas selepas dua bulan berkenalan dengan suspek melalui Internet, tanpa sekali pun bersua muka.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Unit Siasatan Jabatan Siber Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berkata, kes membabitkan usahawan wanita itu menjadikan dia mangsa sindiket penipuan Internet oleh lelaki Afrika mengalami kerugian paling besar.

Jumaat, Jun 01, 2012

Penjenayah Siber Amerika Paling Aktif Menggodam

Penjenayah siber Amerika paling aktif
Disediakan oleh Berita Harian

Telefon pintar, tablet, perisian Android dan sistem Macintosh sasaran utama penggodam

SAN FRANCISCO: Penjenayah siber sudah memiliki senjata baru yang berkelajuan tinggi untuk tujuan menggodam dan memusnahkan sistem perisian komputer dengan menyasarkan telefon pintar, tablet dan komputer Macintosh, kebanyakannya dilancarkan dari Amerika Syarikat. Satu ‘laporan ancaman’ yang didedahkan lewat Isnin oleh firma keselamatan komputer McAfee menunjukkan sejumlah kod perosak atau malware menyasarkan mesin Windows dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini. Malah, usaha merosakkan sistem Windows dalam tempoh berkenaan mencatat cubaan paling tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Selain itu, serangan malware turut meningkat dari segi menyerang peralatan telefon bimbit menggunakan perisian Android disokong Google dan komputer Macintosh yang beroperasi berdasarkan sistem operasi Apple, menurut laporan itu.

“Dalam tiga bulan pertama 2012, kita mengesan kira-kira lapan juta malware baru menunjukkan pencipta malware meneruskan pembangunan berterusan,” kata Timbalan Presiden Kanan, McAfee Labs, Vincent Weafer.

“Kemahiran dan teknik serangan sama digunakan ke atas sistem komputer peribadi atau PC semakin meningkat dan diperluaskan kepada telefon bimbit dan Macintosh,” katanya.

Sejak sekian lama penjenayah siber menumpukan perhatian untuk memasuki PC yang digerakkan sistem Windows kerana ramai orang yang menggunakannya.

Tetapi, ketika peralatan Apple dan Android semakin digemari di seluruh dunia, mereka kini menjadi sasaran baru.

“Ketika lebih banyak kediaman dan perniagaan menggunakan kemudahan itu, serangan akan terus meluas,” kata Weafer.

Selain itu, ketika malware yang merosakkan sistem Macintosh berterusan bertambah, ia masih kecil dibandingkan apa yang menyerang PC, menurut McAfee.

Jumlah ‘spam’ atau mesej tidak diundang pada tempoh sama pula menurun sedikit kepada satu trilion sebulan dengan penurunan ketara berlaku di Brazil, Russia, dan Indonesia dan meningkat di China, Britain, Jerman, Poland dan Sepanyol.

Bilangan rangkaian komputer yang dijangkiti virus dirujuk sebagai ‘botnet’, meningkat hampir lima juta dengan Colombia, Jepun, Poland, Sepanyol dan Amerika Syarikat dilihat mengalami peningkatan paling tinggi.

Penggodam menggunakan helah seperti perangkap e-mel atau pautan secara rahsia untuk menjangkiti mesin dengan malware yang membolehkan mereka mencuri bukan hanya data atau mengesan kekunci setiap kali ditekan tetapi menggunakan mesin yang sudah dijangkiti untuk melancarkan serangan baru.

Amerika adalah sumber utama pelancaran botnet dan serangan siber dalam tempoh suku pertama tahun ini, lapor McAfee.

Lebih mengejutkan, penjenayah siber menjual perisian peralatan malware dan menyewa botnet, menurut pakar keselamatan internet dan penguat kuasa undang-undang. – AFP

Ahad, April 22, 2012

KIAMAT ALAM SIBER - Ratusan ribu komputer berisiko hilang akses Internet Julai depan

Ratusan ribu komputer berisiko hilang akses Internet Julai depan

WASHINGTON, Amerika Syarikat - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran lebih 570,000 ribu komputer di seluruh dunia akan kehilangan akses Internet pada Julai depan.

Menurut satu kenyataan FBI, masalah itu bermula apabila penggodam antarabangsa menjalankan aktiviti penipuan pengiklanan di Internet untuk mengawal komputer yang dijangkiti virus.

Bagi menghalang gangguan Internet berlaku ke atas komputer yang digodam atau sakit, FBI telah mewujudkan satu jaringan keselamatan atas talian beberapa bulan lalu melalui komputer pihak berkuasa AS.

Namun, sistem keselamatan berkenaan akan ditutup tidak lama lagi.

Buat masa ini, pihak FBI menggalakkan pengguna supaya melayari sebuah laman web yang dikendalikan oleh sebuah badan keselamatan AS, www.dcwg.org.

Laman web berkenaan akan memaklumkan sama ada komputer mereka telah dijangkiti virus dan menerangkan cara-cara bagi menyelesaikan masalah itu.

Selepas 9 Julai depan, komputer yang dijangkiti virus tidak dapat digunakan bagi mengakses Internet. - Agensi

Khamis, Oktober 13, 2011

90 peratus kanak-kanak ketagih layari internet

90 Peratus Kanak-kanak Ketagih Layari Internet
BAHAYA INTERNET: 9 daripada  setiap 10 orang kanak-kanak 
terdedah kepada perkara negatif

Pelan strategik lindungi kesan negatif siber dirangka

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dan remaja di negara ini dilaporkan melayari internet pada purata 19 jam seminggu, sehingga menyebabkan mereka terdedah dengan pengalaman negatif menerusi penggunaan teknologi itu termasuk buli, penipuan identiti dan pornografi. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata situasi itu mewakili kira-kira 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak atau sembilan daripada 10 daripada mereka berusia lima hingga 18 tahun di negara ini yang dilaporkan terdedah dengan gejala negatif dunia siber, sekali gus mampu mempengaruhi emosi mereka. Sehubungan itu, katanya, kementerian akan merangka satu pelan strategik merangkumi kajian sama ada perlunya undang-undang atau polisi untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa kesan negatif internet.

“Data diperoleh daripada Norton Online Family Report 2010 juga melaporkan hanya empat daripada 10 ibu bapa mengetahui apa dilayari anak mereka dalam internet.

“Jadi, kementerian akan memimpin pihak berkepentingan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity dan DIGI mengolah pelan strategik bagi memberi perlindungan kepada golongan sasar kerana ini amat berbahaya dan sejajar dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang dipersetujui kerajaan pada 2009,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Seminar Perlindungan Kanak-kanak Dalam Alam Maya (Child Online Protection) dan pelancaran buku Guide to a family friendly internet experience, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri.

Shahrizat berkata, selain penekanan aspek perundangan, kementerian melalui pelan strategik juga akan turun padang bagi menganjurkan program advokasi dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memberi pengetahuan kepada ibu bapa mengenai situasi berkenaan.

Katanya, rangka kerja pelan strategik itu rentetan persetujuan kerajaan supaya negara menyertai ‘Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the Sale of Children, Child Prostitution and Child Pornography, September lalu.

“Jadi, dengan pelancaran buku ini, ia permulaan bagi pelan strategik itu sebelum kita melakukannya secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Husin berkata, CuberSecurity menerima aduan 11,930 insiden membabitkan jenayah siber sepanjang tahun ini sehingga September lalu yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999.

Beliau berkata, berdasarkan Statistik Insiden Keselamatan Siber, bilangan itu melonjak sehingga 130 peratus berbanding jumlah insiden pada tahun lalu, iaitu hanya 5,181.

Katanya, jenayah siber yang dilaporkan merangkumi penipuan (4,175), spam (3,452), pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), cubaan pencerobohan (525), gangguan siber (354), kelemahan laporan (87), gangguan perkhidmatan (77) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).

Khamis, Ogos 27, 2009

Bantuan Pihak Berkuasa Untuk Menjejaki Pembuli Siber

Pembuli Siber atau Pengganggu Misteri: Tertarik Tetapi Takut Untuk Berdepan Dengan Mangsa
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Saya ada satu kisah benar. Seorang kenalan saya yang juga merupakan seorang blogger telah diganggu oleh 'stalker' atau barangkali mungkin 'secret admirer' atau juga dikenali sebagai 'pemerhati tersembunyi'. Hal ini merupakan perkara yang biasa berlaku bagi sesiapa yang mempunyai laman web peribadi. Saya mencadangkan kepada beliau supaya meminta bantuan pihak berkuasa untuk menjejaki penjenayah siber ini. Sebelum ini kita pernah dikejutkan dengan kes di mana seorang artis menghentam seorang artis yang lain, juga kes di mana seorang pembuli siber atau pengganggu misteri ditangkap kerana mengganggu ketenteraman seorang artis menerusi blog artis tersebut.

Dari segi psikologi, 'pemerhati tersembunyi' ini mempunyai rasa tertarik terhadap mangsa dan pada masa yang sama cemburu terhadap orang yang diperhatikannya secara diam-diam itu. Ini adalah satu penyakit mental minor di mana 'pemerhati tersembunyi' ini merasakan dirinya perlu atau mungkin 'terpaksa' melibatkan dirinya dalam kehidupan mangsa. Biasanya 'stalker' akan cuba mengganggu ketenteraman mangsa dengan menghantar mesej yang mengandungi elemen 'taunting', 'troll' atau 'mengganggu' dengan harapan mangsa akan berasa sakit hati atau bersedih dengan tindakannya. Bagi merujuk kepada tingkah laku abnormal 'pemerhati tersembunyi' ini, istilah peracau juga boleh digunakan.

Pembuli Siber atau Pengganggu Misteri: Ketakutan dan Tarikan Terhadap Mangsa
Pemerhati tersembunyi biasanya takut untuk berdepan dengan mangsa, justeru, dunia siber merupakan jalan belakang bagi pemerhati tersembunyi untuk menghentam, mengganggu, atau melepaskan geram atau nafsunya terhadap mangsa. Pemerhati tersembunyi barangkali adalah seorang fanatik, pendendam, seorang pendengki, seorang gila seks, dan kemungkinan juga merupakan pengamal seks songsang. Disebabkan pemerhati tersembunyi tidak dapat meluahkan perasaan atau hajatnya secara langsung kepada mangsa, maka terdorong oleh kegagalan pemikiran untuk berfikir secara normal dan matang menyebabkan pemerhati tersembunyi cuba mendekati dan mengganggu mangsa menerusi alam siber.

Terdapat beberapa kes 'pemerhati tersembunyi' yang agresif di seluruh dunia. Berikut adalah contoh beberapa kes 'pemerhati tersembunyi' atau 'pembuli siber atau pengganggu misteri' yang berjaya diselesaikan di serata dunia:
  • VN seorang gadis yang bekerja di sebuah firma kewangan. Beliau diminati secara diam-diam oleh seorang rakan sepejabatnya yang bernama DJ. Disebabkan VN tidak melayan atau memberi perhatian terhadap DJ, maka perasaan tertarik DJ kepada VN bertukar mencari cemburu apbila VN didapati lebih mudah mesra dengan lelaki lain. DJ mengetahui VN memiliki laman peribadi, lalu dengan menggunakan nama samaran, DJ mengganggu ketenteraman VN. VN membuat laporan kepada pihak berkuasa dan DJ didakwa di atas kesalahan cuba mengganggu ketenteraman VN.
  • RK merupakan seorang 'happy go lucky' dan kelakar. Hal ini menyebab RK diminati ramai rakan sekerjanya. Pada masa yang sama SD yang berbadan gempal dan berkepala botak telah tertarik dengan RK kerana keistimewaan RK. SD yang juga merupakan seorang homoseks mula meminati RK dalam diam dan tidak berani meluahkannya kerana takut ditolak oleh RK. Apabila SD mengetahui RK memiliki laman blog peribadi, SD sering mengunjungi laman blog tersebut dengan nama samaran dan berharap RK akan memberi perhatian terhadap komentarnya. Namun, setelah didapati RK tidak begitu melayan SD, SD telah bertukar menjadi agresif dan mula menggunakan nama samaran untuk mengganggu RK. RK membuat laporan kepada pihak berkuasa dan alangkah terkejutnya RK apabila mendapati SD adalah adalah seorang pekerja yang bekerja di syarikat yang sama dengannya.
  • NN sering aktif di internet. Ini kerana NN bekerja dari rumah dan memperolehi pendapatan menerusi internet. Kerja NN ialah mencari seberapa banyak prospek untuk membeli produk jualannya. NN juga sering dipuji oleh majikannya kerana banyak menulis artikel yang berguna untuk produk-produk yang dijual selain cadangan-cadangan yang bermakna. Hal ini menyebabkan sesetengah pekerja yang lain berasa cemburu dengan NN. Pada suatu hari NN telah mengkritik sikap segelintir promoter yang menyebabkan jualan mereka tidak laris. Salah seorang promoter yang dikritik itu bernama KJ. KJ mula berasa tidak puas hati terhadap NN dan menyerang NN secara anonymous di blog NN. Pada mulanya NN tidak menghiraukan KJ, namun ini menyebabkan KJ semakin panas hati dan agresif mengganggu NN. NN membuat laporan kepada pihak berkuasa dan KJ berjaya dikesan dan ditangkap.
  • TK suka menulis tentang kejayaan dirinya dan harapan masa depannya di blog peribadinya. Kebetulan ada seorang pengunjung bernama LK sering mengunjungi blog TK. Entah bagaimana LW berasakan seperti ada tarikan dalam penulisan TK. Disebabkan TK selalu menulis perkara-perkara yang berkaitan dengan cita-cita dan kehidupan TK yang bahagia, LW menjadi cemburu dan berasa tidak puas hati terhadap TK. LW cuba merosakkan kebahagiaan dan ketenteraman TK dengan menafikan apa yang ditulis oleh TK atau apa yang dirasai oleh TK. LW pada mulanya menggunakan 'chat box' untuk menyerang TK, tetapi selepas TK memadamkan 'chat box' itu LW mula bertindak menyerang TK menerusi ruangan komentarnya. LW mencabar dan melakukan provokasi terhadap TK beberapa kali. Disebabkan tindakan LW itu sudah melampau batas dan biadab, TK telah membuat laporan kepada pihak berkuasa. LW ditangkap beberapa minggu kemudian.
  • CT merupakan seorang pekerja yang popular di tempat kerjanya. CT juga sering mendapat sesuatu kelebihan di tempat kerjanya berbanding pekerja lain. Hal ini mengundang rasa dengki dan tidak puas hati oleh beberapa pekerja lain. CT sering menulis di blog mengenai pengalaman bekerjanya setiap hari. Kemudian, datang seorang pengganggu bernama JP yang mengganggu ketenteraman CT dengan menulis sesuatu yang berunsur provokasi dan memperkecil-kecilkan tulisan CT. CT tidak memberi perhatian pada mulanya, dan ini menyebab JP semakin ketagih untuk mengganggu ketenteraman CT. Pada masa yang sama, JP tertarik dengan CT tetapi tidak berani untuk meluahkan perasaannya terhadap CT. CT kemudiannya membuat laporan kepada pihak berkuasa dan JP berjaya ditangkap.
Ketagihan Pembuli Siber atau Pengganggu Misteri
Berdasarkan beberapa kes yang disebutkan di atas, didapati 'pemerhati tersembunyi' biasanya akan tertanam rasa ketagih di dalam dirinya untuk terus mengganggu mangsa. Pemerhati tersembunyi juga ada kalanya mempunyai tekanan dalam kehidupannya dan memilih mangsa tertentu untuk melepaskan geramnya. Kes ini boleh dikategorikan sebagai 'buli siber'. Rasa ketagihan untuk mengganggu mangsa ini semakin meningkat, umpama satu kepuasan seks bagi 'pembuli siber atau pengganggu misteri' untuk merapati mangsa. Hakikatnya, 'pembuli siber atau pengganggu misteri' sukar untuk merasa puas dan berhenti. Jiwa 'pembuli siber atau pengganggu misteri' tidak tenang. Mereka juga berharap mangsa tidak tenang. Hakikatnya mereka lupa, mangsa mungkin telah menunjukkan segala tulisan komentar pembuli siber atau pengganggu misteri itu kepada ahli keluarga, rakan-rakan atau pihak berkuasa. 'Pembuli siber atau pengganggu misteri' tidak sedar mereka mungkin menjadi bahan jenaka atau ditertawakan atau dikutuk oleh ahli keluarga, rakan-rakan mangsa, dan mungkin juga mangsa tertawa geli hati membaca tulisannya.

Perasaan tertarik, takut cinta tidak berbalas, tidak mendapat perhatian, cemburu, dengki antara punca utama seseorang pemerhati siber cuba mendekati mangsa secara diam-diam. Pemerhati tersembunyi biasanya mempunyai masalah dengan persepsi diri sendiri. Mungkin pemerhati siber tersebut memiliki berat badan yang berlebihan, bentuk tubuh yang tidak menarik atau tidak memiliki ciri-ciri idaman mangsa dan ini menyebabkan pemerhati tersembunyi merasakan mereka mungkin tidak dapat menarik perhatian mangsa. Ada juga kes di mana pemerhati tersembunyi merasakan mangsa mempunyai kelebihan dan lebih keistimewaan berbanding dirinya. Perasaan inferior ini telah mendorong pemerhati tersembunyi untuk mula bertindak menyerang mangsa.

Hakikatnya, blog peribadi umpama rumah bagi seseorang blogger di mana kedatangan pengunjung dialu-alukan tetapi pengunjung perlulah menghormati tuan rumah. Sikap cemburu 'pemerhati tersembunyi' yang tidak senang dengan kebahagiaan mangsa menyebabkan 'pemerhati tersembunyi' berubah menjadi 'pembuli siber atau pengganggu misteri' dan mula menyerang mangsa dengan perkataan. Kesudahannya, 'pembuli siber atau pengganggu misteri' berasa tidak tenteram apabila mendapati dirinya diburu oleh pihak berkuasa, atau menerima hukuman di akhirat kelak atau kedua-duanya.

Pembuli Siber atau Pengganggu Misteri Yang Diketawakan
Rakan blogger saya telah menunjukkan komen-komen pembuli siber atau pengganggu misteri tersebut kepada rakan-rakan dan ahli keluarganya. Komen tersebut juga telah ditunjukkan kepada saya. Kami ketawa lucu. Hal ini juga mendorong saya untuk menulis tentang pembuli siber atau pengganggu misteri di blog saya. Perasaan kelakar. Sambil ditemani oleh seorang seorang ahli keluarga saya yang turut membaca tulisan-tulisan di blog saya, kami sama-sama merancang isi mengenai pembuli siber atau pengganggu misteri di blog ini. Saya juga menunjukkan komen-komen di blog saya yang sengaja tidak disiarkan kepada beliau. Biasanya saya akan meluluskan komen-komen daripada kenalan blogger sahaja atau komen-komen yang saya rasa wajar dibalas, atau komen-komen yang unik dan tidak 'klise'. Ruangan komen ini saya wujudkan untuk teman-teman rapat saya yang berjauhan. Sekiranya komen tersebut melibatkan perkara peribadi yang tidak perlu diposkan (saya boleh balas dengan SMS) maka komen tersebut tidak disiarkan.

Kebetulan selepas ini saya akan mengikuti ayah saya untuk membuka akaun baru di sebuah bank, dan juga akaun Tabung Haji, oleh itu ahli keluarga saya sedang menunggu saya menyiapkan tulisan ini. Cita-cita saya untuk menunaikan umrah atau haji selepas wabak H1N1 mungkin akan tercapai tidak lama lagi. Semoga wabak H1N1 yang merupakan bala yang diturunkan oleh Tuhan ini akan tamat tidak lama lagi.

Balasan Di Dunia atau Di Akhirat atau Di Kedua-duanya
Mangsa-mangsa 'pembulian siber' perlu ingat, setiap perbuatan buruk, khianat atau jahat yang dilakukan oleh 'pembuli siber atau pengganggu misteri' pasti akan dibalas dengan keburukan juga. Ini kerana adalah amat sukar untuk mangsa memaafkan 'pembuli siber atau pengganggu misteri' selagi 'pembuli siber atau pengganggu misteri' tidak memperkenalkan dirinya. Oleh itu, kepada blogger-blogger yang menjadi mangsa pembulian siber, teruskan menulis dan berkarya dengan gembira, kerana seperti satu permainan, dalam perjalanan hidup seorang blogger, pasti akan ada watak jahat. Bezanya, ini permainan realiti di mana watak jahat akan dihukum sama ada di dunia atau di akhirat atau di kedua-duanya. Anda yang menjadi mangsa 'pembulian siber' tidak akan mengalami apa-apa kerugian malah mendapat pengalaman yang mengajar kita betapa rapuhnya hati sesetengah orang sehingga mudah menghasut diri sendiri untuk bertindak jahat.

Kehidupan blogger adalah permainan realiti. Kita bebas berkarya, tentang fantasi atau kehidupan peribadi. Mangsa adalah pemenang manakala 'pembuli siber atau pengganggu misteri' adalah orang yang tewas. Mereka tewas kerana tunduk kepada niat jahat untuk mengganggu ketenteraman orang lain. Laporkan kepada pihak berkuasa dan biarkan pihak berkuasa mengendalikan kes jenayah pembuli siber atau pengganggu misteri tersebut.