BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Disember 29, 2014

GERBANG FANTASIA - Kisah Zoologis Remaja dan Anak Gajah

Bakal Menyeru Kasih Sayang Terhadap Haiwan Liar pada Tahun 2015!


SINOPSIS & WATAK-WATAK DALAM GERBANG FANTASIA

Umar, Zoologis Remaja
Gerbang Fantasia adalah sebuah novel fantasi sains fiksyen remaja. Kisahnya bermula dengan kejayaan seorang remaja, Umar untuk melanjutkan pengajiannya di Sekolah Zoologis Antarabangsa. Sekolah yang bertujuan untuk membela nasib haiwan-haiwan liar di dunia ini telah menugaskan setiap pelajarnya untuk mencari sejenis haiwan liar sebagai subjek kajian. Umar memilih seekor anak gajah.

Anak Gajah
Anak Gajah hadir ke Sekolah Zoologis Antarabangsa dengan misi yang tertentu. Perkenalannya dengan Umar telah mengubah tanggapannya terhadap manusia. Adakah Anak Gajah akan meneruskan misinya? Temui Lufa, spesies gajah berbadan ramping yang hanya dapat ditemui di Alam Ghaib Mergastua.

Gerbang Gading
Gerbang Gading, yang merupakan pintu masuk ke Alam Ghaib Mergastua hanya boleh dibuka dengan cara-cara yang tertentu. Utusan Siamang dan Hering Raksasa yang berasal dari Alam Ghaib Mergastua menggunakan Gerbang Gading untuk berhubung dengan haiwan-haiwan liar dari Alam Manusia.

Rwanga, Raja Alam Ghaib Mergastua
Rwanga, Raja Alam Ghaib Mergastua berniat untuk menakluki dunia manusia dan menghapuskan umat manusia. Pada masa yang sama, tindakannya itu tidak dipersetujui oleh Rwanggala, seekor kucing gergasi yang membela kewujudan manusia. Sejarah silam kedua-dua makhluk istimewa itu menyebabkan mereka mempunyai persepsi yang berbeza terhadap manusia. Adakah Rwanga akan meneruskan niat jahatnya?

Utusan Siamang dan Hering Raksasa
Handal dalam pertarungan, memiliki kesaktian dan berkaliber. Siapakah Utusan Siamang yang sebenarnya? Sambil menunggang Hering Raksasa, Utusan Siamang menguasai angkasa raya. Orang kanan Rwanga yang sangat berkuasa. Baikkah dia atau jahatkah dia? Kenapa dia memutuskan untuk menjadi pengikut Rwanga?

Abul, Pahlawan Kongkang Kilat & Ghor, Singa Berbulu Emas
Semasa di Alam Ghaib Mergastua, Umar didampingi oleh pahlawan-pahlawan yang comel dan perkasa. Rupa-rupanya di dunia Alam Ghaib Mergastua masih ada haiwan-haiwan liar yang menyokong dan menghargai manusia!

Rwanggala, Ratu Kucing Gergasi
Kucing gergasi yang memiliki kesaktian yang tidak bersetuju dengan niat jahat Rwanga untuk memusnahkan manusia di Alam Manusia. Adakah Rwanggala akan menyokong perjuangan Umar untuk menghalang Rwanga?

Puak Anak-anak Langit
Sekumpulan burung hantu gergasi yang menggelar diri mereka sebagai Puak Anak-anak Langit. Mereka menjauhi bahaya dunia dan memencilkan diri di sebuah kawasan yang penuh dengan pokok-pokok kelapa sawit yang besar-besar, setinggi Menara Berkembar Petronas! Adakah mereka makhluk yang ganas atau bijaksana seperti yang sering dikisahkan dalam buku-buku cerita dongeng manusia?

Sekuel Gerbang Fantasia akan muncul tidak lama lagi.