BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Oktober 13, 2019

Ulasan Filem GERAN - Padat dengan aksi dan hikmah



Filem Geran sebuah filem aksi yang hebat. Jalan ceritanya mudah difahami, aksi-aksinya logik dan boleh diterima akal kerana semuanya adalah aksi silat sebenar dan dilakonkan oleh ahli-ahli silat Gayong yang sebenar.

Sehingga ulasan ini ditulis, Geran sudah pun menduduki carta TOP 5 filem paling banyak ditonton di Panggung Wayang GSC, membuktikan kehebatan aksi silat Melayu mampu menarik penonton untuk ke panggung wayang.

Filem ini juga menguji kerjasama antara ahli-ahli silat apabila kebanyakan mereka berlakon tanpa bayaran, demi membantu menyiapkan filem yang bermodal kecil ini. Jelas sekali, kata-kata sebuah karya kerdil Areel Abu Bakar ini mempunyai maksud yang tepat.

Berbekalkan model yang kecil, pelakon sukarelawan dan kepercayaan antara ahli-ahli silat, filem Geran tetap muncul sebagai sebuah filem yang berkualiti, mempunyai visual yang menarik dan mampu memukau pandangan.

Pemandangan Gurun Kedah, mempunyai makna tertentu kepada ahli-ahli Pusaka Gayong, di mana di sini, ramai tenaga pengajar PSSPGM dilahirkan.

Filem Geran dimulakan dengan pesan yang bermakna, dihiasi dengan aksi. Aksi dalam filem ini semakin lama semakin meningkat kehebatannya, semakin tangkas, semakin berat pukulannya, semakin menarik perhatian penonton. Masa sekitar 110 minit berlalu pantas dek terpesona dengan aksi silat sebenar dalam filem ini. Filem ini tidak menggunakan khidmat pelagak ngeri, kerana pesilat-pesilat sendiri pakar dalam melakukan lagak ngeri dan aksi.

Hero filem ini, seorang yang merendah diri, bertindak jika perlu, dengan kebijaksanaan akal, mengamalkan adab seorang pesilat. Koharullah diamanahkan untuk memikul tanggungjawab memegang watak utama, sebagai Ali, dalam filem ini. Apabila tindakan seorang hamba Allah itu menepati syariah, maka walaupun dizalimi dan ditindas, tetap masih mampu menegakkan keadilan. Hero patuh kepada orang tuanya, bertindak dalam batas dan keredhaan.

Fad Anuar, memegang watak Mat Arip, adik bongsu dalam keluarga Pak Nayan. Anak yang sering dimanjakan akan memberi masalah kepada keluarga. Walaupun tahu bersilat, tetapi jika jalan kehidupan yang diamalkan bercanggah dengan peradaban Melayu, peradaban silat yang sebenarnya patuh syariah, maka berlakulah pelbagai hal yang tidak baik.

Bayangkan bagaimana seorang kakak, seorang gadis ayu (Feiyna Taj) mampu berubah menjadi srikandi yang bergerak pantas dan tangkas, mempertahankan diri dan menjatuhkan musuh-musuhnya apabila diserang. Ketiga-tiga beradik mahir bersilat, memantapkan lagi jalan cerita silat ini.

Filem Geran menyedarkan masyarakat tentang bagaimana lintah darat memperdayakan masyarakat kita supaya tidak mampu membayar hutang, lalu dijerat supaya menjualkan tanah pusaka. 

Laungan "Pusaka Kita, Maruah Kita" memiliki mesej yang tepat. Jika tanah  seseorang itu tergadai kerana tidak mampu membayar hutang, itu menunjukkan betapa seseorang itu tidak pandai mengurus kewangan. Biar apa sekali pun cabaran, jangan dijual tanah pusaka kita.

Selain hal-hal keduniaan, filem Geran tidak lupa menyentuh jiwa penonton dengan dakwah. Tidak semua perkara di dunia ini mampu kita selesaikan dengan kudrat dan pemikiran manusia, maka kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Tuhan agar diberikan kemenangan.

Konsep silat Melayu, menjunjung agama, ilmunya patuh syariah agama. Filem Geran adalah filem warisan budaya bangsa kita. Apabila sesebuah filem itu dibikin oleh orang-orang silat yang sememang jiwanya jiwa seorang pesilat, maka terhasillah sebuah filem yang penuh bermaruah.

Tahaniah Geran!

Sudah 25 tahun saya menjadi anggota Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia, dan saya bersyukur melihat perkembangan silat di negara ini. Perjuangan orang-orang silat mesti diteruskan, supaya silat akan dapat terus memberi manfaatnya kepada agama, bangsa dan negara.