BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Bencana Alam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana Alam. Papar semua catatan

Khamis, Jun 07, 2012

Ombak Besar Melanda Negeri-negeri Utara Pantai Barat Semenanjung Malaysia

Peristiwa ombak besar yang melanda di bahagian utara Semenanjung, khususnya di kawasan Pantai Barat mengingatkan saya tentang Taufan Durian yang pernah melanda sekitar tahun 2006 dahulu.

7  JUN 2012: Rumah di pinggir pantai diancam ombak besar
07/06/2012 3:08am
Sumber: KOSMO!

KANGAR – Ombak besar dan air pasang melanda kawasan pantai antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang semalam mengakibatkan ratusan buah rumah dimasuki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Perlis, Mat Hassan berkata, ratusan rumah dimasuki air masin apabila air pasang disertai ombak mula berlaku pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, beliau melawat mangsa air pasang itu dan mendapati kebanyakannya telahpun memindahkan barangan ke tempat selamat.

Sementara itu, di kampung Sungai Padang dekat sini, para penduduk berhadapan saat mencemaskan apabila air memasuki rumah separas pinggang dalam masa 15 minit akibat ombak besar.

Tinjauan mendapati jalan pinggir pantai antara Kuala Perlis dan Kuala Sanglang dipenuhi lumpur dan mangsa masih bertungkus lumus membersihkan rumah mereka semalam. – BERNAMA


6 JUN 2012: Ombak kuat sehingga mencapai ketinggian 3.5 meter didapati melanda pantai sekitar Pulau Pinang mulai 2 petang Rabu.
Sumber: HMETRO


GEORGE TOWN: Ombak kuat sehingga mencapai ketinggian 3.5 meter didapati melanda pantai sekitar Pulau Pinang mulai 2 petang tadi.

Di Kampung Tsunami Tanjung Bungah, tidak kurang daripada 11 buah rumah dimasuki air laut kesan pukulan ombak itu.

Seorang penduduk, Tan Eng Kee, 67, berkata air memasuk rumahnya sehingga paras buku lali dan menyebabkan halaman rumahnya berbecak.

"Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku sejak 20 tahun lalu dan ia bencana kedua terburuk selepas kejadian Tsunami empat tahun lepas," katanya kepada Bernama.

Katanya penduduk membina benteng pasir di sekeliling kediaman mereka.

Tinjauan Bernama di sekitar Padang Kota Lama dan Persiaran Gurney yang berhampiran laut, mendapati air laut melimpah sehingga ke jalan raya di samping membasahi ruang pejalan kaki.

Namun bagi kaki pancing, Hamzah Sidik, 54, dia sedikit pun tidak bimbang dengan keadaan itu dan tetap meneruskan hobinya bersama isteri dan dua anaknya, biarpun keadaan ombak berkeadaan tidak seperti biasa.

"Waktu macam ini ikan banyak naik, tiada apa yang hendak dibimbangkan. Jika keadaan berbahaya sudah tentu amaran menjauhi pantai dikeluarkan," katanya.

Di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang pula keadaannya didapati agak lenggang apabila orang ramai menjauhi kawasan pantai sementara nelayan dikatakan tidak turun ke laut sejak semalam.

Namun aktiviti perniagaan masih berjalan seperti biasa.

Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meterologi, Muhammad Helmi Abdullah menyifatkan kejadian itu adalah fenomena biasa kesan pertukaran angin dari monsun timur laut kepada monsun barat daya bermula 4 Mei lalu.

Katanya keadaan ombak turut dipengaruhi angin kuat yang bertiup dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam yang diramal berterusan sehingga Jumaat ini.

"Keadaan laut agak bergelora pada ketika ini. Walaupun masih pada kategori pertama, nelayan dinasihati supaya tidak turun ke laut sehingga keadaan reda," katanya. - Bernama


IMBAS KEMBALI: Taufan Durian kian lemah, tetapi terus mengancam
Khamis Disember 07, 2006
SUMBER: MSTAR Online


KUALA LUMPUR:  Taufan Durian kini semakin lemah dan dijangka tidak melanda Malaysia, tetapi beberapa kawasan di utara Semenanjung dan Pantai Timur masih terdedah kepada ancaman cuaca buruk dengan laut bergelora

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, angin kencang kadang kala mencapai kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dan ombak dengan ketinggian 4.5m dijangka melanda perairan Kelantan dan Terengganu dan keadaan ini akan berterusan sehingga hari ini.

Jabatan itu berkata keadaan angin yang serupa dengan ombak setinggi 4m pula dijangka berterusan di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sehingga Jumaat.

Ia juga memberi amaran bahawa angin kencang antara 40 dan 50km sejam dengan ombak besar sehingga 3.5m dijangka berterusan di perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak, dan Sabah Timur sehingga hari ini.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai.

Katanya lekukan taufan Durian kini masih berada di Teluk Siam dan akan menjadi semakin lemah dalam masa 24 jam.

Lekukan tropika itu akan bergerak ke arah barat merentasi Teluk Siam dengan kelajuan 20km sejam dan melintasi selatan Thailand petang Semalam.

Kelajuan angin maksimum 60km sejam dijangka berlaku berhampiran lekukan tropika tersebut, kata jabatan itu.

Sementara itu, di SUNGAI PETANI, Bernama melaporkan, lebih 600 nelayan Kuala Muda yang menjadi mangsa ombak besar Tsunami pada Disember 2004, mahu pihak berkuasa memaklumkan segera perkembangan Taufan Durian yang dijangka melanda pantai negara esok, sebagai panduan sebelum keluar ke laut menangkap ikan.

"Kami sentiasa mengikuti perkembangan pergerakan Taufan Durian namun adalah lebih baik pihak berkuasa sendiri yang memaklumkannya atau mengumumkannya melalui radio dan televisyen," kata mereka.

Hashim Yahya, 57, dari Kampung Kepala Jalan, Kuala Muda dekat sini, berkata bencana taufan itu yang melanda Filipina seminggu lepas dan Vietnam selepas itu membuatkan mereka perlu lebih peka sebelum ke laut.

"Kami terpaksa turun ke laut menangkap ikan kerana itu adalah pekerjaan dan punca rezeki kami," katanya yang sentiasa mengikuti perkembangan Taufan Durian melalui radio.

Sahidan Abdullah, 56, dari Kampung Permatang Katong, Kuala Muda berkata sehingga ini keadaan laut tempat mereka menangkap ikan tidak bergelora cuma kadangkadang sedikit berombak.

Terdapat lebih 100 buah bot berenjin dalam (bot besar jenis kayu) dan hampir 300 bot fiber yang berpangkalan di pantai Kuala Muda, membabitkan lebih 600 nelayan, keluar menangkap ikan setiap hari.

Isnin, November 21, 2011

Cuaca Hujan Lebat dan Banjir Mula Meragukan Sesetengah Penduduk

Pengaruh filem 2012 yang mengisahkan tentang banjir besar yang melanda bumi nampaknya mungkin salah satu faktor yang mempengaruhi sesetengah manusia untuk berfikir, apakah apa yang dinyatakan oleh filem itu benar? Begitu juga ramalan Nostradamus mengenai kiamat, dan juga kaum bawah tanah yang meramalkan kiamat akan berlaku pada tahun 2012.

Hakikatnya, sebagai umat Islam, hendaklah kita berpegang pada apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah, menerusi hadis dan juga kitab Allah, Al-Quran. Telah disebut tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar sebelum berlakunya kiamat. Maka yakinlah kita sebagai umat Islam mengenai apa yang tertulis di dalam kitab agama kita dan bukannya mudah dipengaruhi oleh perasaan yang tidak berasas sama sekali.

Isnin, Oktober 24, 2011

Banjir Bangkok Diramal Sebulan, Sebulan Tanpa Pelancong

Selama sebulan ini, kemungkinan besar Bangkok tidak akan menerima kunjungan pelancong. Bangkok yang terkenal sebagai sebuah kota raya yang penuh dengan pelbagai kemungkaran, telah ditimpa bala. Kebanyakan filem memaparkan tentang gejala sosial Bangkok, dan kini Bangkok betul-betul seolah-olah telah terkena sumpah. Malah dalam salah sebuah filem The Hang Over 2, pernah dinyatakan satu istilah yang dipanggil "Mangsa Bangkok" di mana terdapat banyak kes orang tempatan atau pelancong asing yang datang ke Bangkok dan hilang tanpa dapat dikesan oleh pihak berkuasa Bangkok. Benar atau tidak, begitulah tahap bahaya yang dikaitkan dengan Bangkok. Dunia politik dan pemikiran para pemimpin di Bangkok seperti keanak-anakan, sehingga rakyat menjadi mangsa. Seperti kebanyakan negara, kesemua cerita buruk tentang Bangkok itu tidak semestinya menyebabkan kita mesti percaya bahawa tidak ada perkara yang baik tentang Bangkok. Masih ada kebaikan yang tersembunyi di Bangkok, dan barangkali kebaikan ini tidak didedahkan dengan berkesan.

Banjir Bangkok diramal sebulan
Yingluck selia gerakan kawal bencana alam

BANGKOK: Perdana menteri Thailand semalam memberi amaran bahawa negara itu akan dilanda banjir sekurang-kurangnya sebulan lagi, sambil meminta penduduk terutama di ibu negara, Bangkok bersiap sedia menghadapi kemungkinan kenaikan paras air lebih tinggi. Pihak berkuasa melancarkan usaha untuk menyalurkan air banjir dari tengah ibu kota itu ke laut menerusi terusan di bandar raya terbabit, yang sudah menyaksikan kenaikan air hingga paras pinggang di beberapa bahagian di utara pinggir Bangkok. Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, yang menggunakan satu undang-undang bencana bagi mengawal penuh keadaan kecemasan itu memberitahu penduduk Bangkok supaya mengalihkan barangan mereka ke tempat lebih tinggi sekurang-kurangnya satu meter. “Bangkok perlu membuka semua pintu penghalang banjir untuk membenarkan pengaliran keluar air,” kata Yingluck. “Jadi ketika hujung minggu yang panjang ini penduduk perlu mengalihkan barangan mereka, kereta dan barangan berharga lain ke tempat sekurang-kurangnya satu meter lebih tinggi.” “Ada pengaliran air dalam jumlah yang besar dari utara dan kita tidak dapat menghalangnya secara berkesan tetapi boleh memperlahankan pengalirannya kerana penghalang yang ada bersifat sementara,” katanya melalui ucapan mingguan kepada seluruh negara yang disiarkan melalui televisyen. “Ia adalah satu keadaan yang amat serius kerana menjejaskan nyawa dan harta benda penduduk,” kata Yingluck di mana kerajaan beliau yang berusia dua bulan berusaha untuk menangani bencana kemanusiaan itu. Hujan lebat selama tiga bulan menyebabkan sekurang-kurangnya 256 orang terbunuh di Thailand dan memusnahkan kediaman serta kehidupan sembilan juta penduduk kebanyakan adalah di utara dan tengah negara itu. Yingluck berkata kira-kira 113,000 penduduk diarahkan berpindah ke penempatan sementara, sambil menambah ketika beberapa kawasan di negara itu menyaksikan air mulai surut, banjir yang menghala ke ibu negara tidak dapat dihalang. Secara keseluruhan banjir akan berterusan selama empat hingga enam minggu, katanya. Di Bangkok yang menempatkan 12 juta penduduk dilaporkan menyimpan bekalan makanan dan air minuman, manakala orang ramai meletakkan beratus-ratus kenderaan mereka di atas jambatan atau jalan lebih tinggi. Puluhan ribu askar dan polis ditempatkan untuk menjaga ketenteraman awam dan keselamatan. Pembangkang menggesa kerajaan untuk mengisytiharkan darurat bagi memudahkan mengawal penduduk dan melindungi banjir tetapi menolak tindakan itu. – AFP

Sabtu, Oktober 15, 2011

Penduduk Thailand Keliru Berita Ancaman Banjir Benar Atau Tidak

Pihak kerajaan Thailand seharusnya mengambil tindakan tegas dengan mewartakan mengenai banjir besar dan arahan berpindah secara jelas. Malah ada antara penduduk di Thailand dilanda bencana kerana mereka tidak faham isi kandungan arahan kerajaan yang tidak ditulis dalam Bahasa Inggeris. Dalam kes ini, kuasa sebenar untuk menyampaikan berita tentang tahap bahaya banjir di Bangkok ialah jabatan yang dikhususkan. Disebabkan terlalu banyak mulut yang mahu menjadi tukang lapor keadaan banjir kepada rakyat Thailand, maka mesej-mesej yang berbeza-berbeza ini akhirnya mendatangkan kerugian kepada rakyat Thailand sendiri. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Thailand pada ketika ini masih dalam keadaan kucar-kacir serta tidak memiliki sistem yang kemas dan boleh dipercayai untuk mentadbir rakyat jelata. Demi kebaikan rakyat Thailand, pihak pentadbiran Thailand seharusnya memperbaiki kelemahan sistem menghadapi krisis bencana seperti ini.

Banjir terburuk kian menghampiri Bangkok - Mesej berbeza ancaman bencana kelirukan penduduk

BANGKOK: Sembilan juta penduduk di tengah kota Bangkok takut dan keliru selepas menerima mesej bercampur baur daripada pihak berkuasa khususnya sama ada banjir terburuk dalam sejarah Thailand akan memecahkan benteng penebat di ibu kota metropolitan terletak di kawasan rendah itu. Laporan terbaru menyatakan, paras air Sungai Chao Phraya meningkat kepada 2.13 meter, melepasi rekod tahun lalu 2.10 meter manakala 230 lebuh raya, kebanyakannya di wilayah utara dan Dataran Tengah, tidak boleh dilalui kerana banjir. Kerajaan Thailand memberi jaminan kepada penduduk bahawa ibu kota ini akan terselamat daripada banjir yang menenggelami keseluruhan bandar di seluruh Dataran Tengah selain memusnahkan sawah padi dan menutup beratus-ratus kilang.

Ia berasaskan keyakinan kota itu terletak di balik tembok banjir kukuh yang diperkuatkan sejak beberapa hari lalu.

“Saya menegaskan banjir hanya akan menjejaskan kawasan luar Bangkok dan tidak akan masuk ke kawasan lain,” kata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Pihak berkuasa sejak beberapa hari lalu memberi amaran banjir mencapai tahap krisis dan air yang mengalir dari utara mungkin bercampur dengan hujan dan air pasang dalam beberapa hari lagi menyebabkan bah melanda Bangkok.

Ada pihak lain mengatakan aliran air mungkin amat kuat dan tiada apa dapat dilakukan untuk menahan kota itu tenggelam.

Mesej berbeza daripada sesetengah agensi, jabatan dan pihak berkuasa membawa kekeliruan, kadangkala ia berlaku dalam sidang media sama.

Ia ditambah dengan kesilapan pengumuman kelmarin mengatakan banjir memecahkan satu tembok utama, menyebabkan seorang menteri mengarahkan penduduk di satu kawasan segera dipindahkan.

Kerajaan kemudian memohon maaf atas kesilapan itu mengatakan arahan dibatalkan kerana kerosakan itu disalah tafsir.

Maklumat bertentangan itu menyebabkan ramai penduduk di ibu kota ini menggaru kepala dan tertanya-tanya sama ada tempat mereka benar-benar terancam dan bagaimana cara segera pindah.

Ada penduduk membeli bekalan tambahan air minuman, beras, mi segera, ubat dan keperluan lain, menyebabkan kekurangan bekalan di sesetengah kawasan.

Yang lain memindahkan kereta ke tempat lebih tinggi di kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah di bandar ini.

Bangunan di kebanyakan tempat di ibu kota menyimpan beg pasir, sementara yang lain membina pelindung daripada simen dan blok simen berlubang. Petugas sistem kereta api bawah tanah bandar itu bergegas memasang penghadang banjir keluli.

“Secara terus terang, saya benar-benar tidak tahu apa akan terjadi kepada Bangkok,” kata Kuealapat Atsawasiramanee, 26, yang tinggal satu kilometer dari Sungai Chao Phraya.

“Sama ada ia akan banjir atau tidak, saya tidak pasti. Ada banyak maklumat dan berita di luar sana dan saya tidak tahu mana satu untuk dipercayai.”

“Jika terjadinya banjir, kerajaan perlu mengatakannya. Jangan melindungi kebenaran kerana ia hanya akan menyebabkan lebih banyak huru-hara.”

Kekeliruan itu tidak terhad di Bangkok. Sebuah organisasi perdagangan Jepun semalam menyelar kerajaan kerana mendakwa gagal menyediakan maklumat sebenar dan tepat mengenai situasi di wilayah tengah Ayutthaya, yang menyebabkan beratus-ratus kilang musnah.

Seiya Sukegawa dari Organisasi Perdagangan Luaran Jepun (JETRO) Thailand berkata, banyak maklumat kerajaan sebelum air banjir menenggelami kawasan itu sudah lewat, bertentangan atau sukar difahami kerana ia tidak dikeluarkan dalam bahasa Inggeris.

“Syarikat Jepun tidak tahu apa yang berlaku atau maklumat mana benar atau salah. Mereka menerima amaran namun tidak cukup maklumat dan tidak cukup masa untuk membuat keputusan,” katanya.

Selain itu, lebih 300 kilang milik Jepun, termasuk pembuat elektronik dan bahagian pembekal automotif, rosak atau musnah akibat banjir.

Sukegawa juga mengadu, kerajaan Thailand tidak melakukan apa-apa untuk membantu syarikat dan kilang mereka dari segi menyelamatkan peralatan dan teknologi yang tidak rosak. – AP

Sabtu, Oktober 01, 2011

Bah Besar Landa Asia - Tujuh Negara Asia Dilanda Banjir

Taufan Nalgae menuju Filipina

HANOI: Tujuh negara Asia ketika ini dilanda banjir besar termasuk Thailand, Kemboja, Vietnam, Filipina, India, Pakistan dan China, berikutan musim hujan sejak sebulan lalu selain ada negara baru dilanda taufan dengan angka korban lebih 1,000 orang. Jumlah korban banjir di Thailand setakat ini 188 orang, 150 lagi maut di Vietnam dan Kemboja manakala sekurang-kurangnya 43 maut di Filipina. Bilangan kematian akibat banjir lebih besar di Pakistan iaitu 430 manakala India, angkanya mencapai 335.

Di Thailand, Jabatan Bencana mendedahkan angka kematian itu sejak ribut tropika melanda lewat Julai lalu dengan hampir dua juta orang terjejas disebabkan banjir serta lumpur runtuh selain 122 jalan raya tenggelam.

Di Chiang Mai, hujan lebat di bandar kedua terbesar Thailand itu menyebabkan air Sungai Ping melimpah menyebabkan stesen kereta api tenggelam sekali gus menjejaskan perkhidmatan. Hujan diramal berterusan hujung minggu ini.

Di Kemboja dan selatan Vietnam, ramai terkorban disebabkan banjir terburuk sepanjang Sungai Mekong dalam tempoh 11 tahun, menghanyutkan jambatan, menenggelami kediaman dan memaksa beribu-ribu penduduk berpindah.

Keadaan mungkin lebih teruk lagi jika taufan Nesat yang membawa banjir dan menyebabkan lumpur runtuh membunuh 39 orang di China minggu ini, menyebabkan Sungai Mekong melimpah.

Nesat turut menyebabkan air naik di selatan Pulau Hainan dan memaksa lebih 300,000 penduduk keluar dari rumah, lapor Xinhua.

Lembah sungai Mekong menghasilkan lebih separuh daripada beras di Vietnam dan banjir menyebabkan harganya meningkat hingga paras tertinggi minggu ini dan ramai juga maut di Kemboja disebabkan banjir kilat.

Taufan Nesat yang menyebabkan banjir besar di Manila menyebabkan kerosakan bernilai AS$91 juta (RM282 juta) ketika taufan Nalgae pula menuju utara Filipina.

Sementara itu, penternak udang dan ikan di Vietnam turut dipindahkan ke kawasan utara dan tengah selepas angin kencang sehingga mencapai 210 kilometer sejam.

Di Patna, India, beratus-ratus lagi terbunuh kerana banjir menyebabkan pihak berkuasa berusaha menghantar makanan selain memindahkan penduduk ke tempat selamat. Pihak berkuasa meningkatkan usaha menghantar bantuan ketika memindahkan penduduk yang terkandas akibat banjir.

Apabila hujan reda, barulah helikopter tentera dapat menggugurkan bungkusan makanan manakala beratus-ratus bot lagi berusaha memberi bantuan kepada hampir 100,000 orang yang terkandas di 1,300 perkampungan di negeri Orissa,” kata Pesuruhjaya Khas Bantuan, Prabitta Mohapatra.

Kerajaan negeri Orissa dilaporkan bakal kerugian berjuta dolar memaksanya meminta bantuan kerajaan pusat AS$726 juta (RM2.25 bilion) untuk menangani banjir.

Di Pakistan, musim hujan tahun ini yang bermula awal Ogos lalu menyebabkan air naik di sebahagian besar wilayah Sindh yang belum pulih daripada bah setahun lalu menyebabkan tujuh juga penduduk terjejas. – Agensi

Isnin, September 27, 2010

Lidah Matahari Menjilat Bumi - Kiamat Alam Siber 2013?

Kredit Imej: NASA

Bilakah kiamat akan berlaku? 2012? Peristiwa 'solar flare' yang pernah berlaku sekitar tahun 1859, 1989 dan 1921 dijangka akan berlaku lagi pada tahun 2013. Kali ini dijangka lebih hebat.

Setiap kali solar flare berlaku, banyak perkakasan elektrik akan mengalami kerosakan. Pada zaman siber, sudah pasti, solar flare ini akan memberi kesan kepada dunia teknologi maklumat. Kerosakan data pada tahap yang tidak dapat dibayangkan lagi, akan berlaku. Saya memanggil peristiwa ini sebagai kiamat alam siber.

Selasa, Oktober 06, 2009

Bencana Ribut Taufan 222 dan Malaysia

Kata seorang alim, negara kita Malaysia belum ditimpa bencana alam yang buruk seperti lain-lain negara jiran, sebab rakyat di negara kita tidak menentang pemimpin negara secara radikal. Ini bermaksud rakyat kita belum derhaka dengan pemimpin. Selepas kematian Noordin Mat Top, barulah Indonesia ditimpa bencana.

Rakyat di negara kita menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan secara aman. Biarpun rakyat teruk dibelasah orang-orang bawahan pemimpin, rakyat kita tidak melawan seteruk rakyat di negara jiran. Sebab itu, menurut orang alim itu, negara kita masih aman daripada sebarang bencana.

Walaupun maksiat berleluasa di negara kita, namun kerana sikap tidak derhaka kepada pemimpin menyebabkan rakyat kita terselamat daripada bencana alam. Memang benar ada pemimpin yang menyeleweng di negara kita, namun, itu urusan pemimpin tersebut dengan Tuhan.

Kita sebagai rakyat sudah menegur pemimpin-pemimpin tersebut, tanpa bertindak menderhakai pemimpin-pemimpin kita. Namun kini terpulanglah kepada para pemimpin untuk memilih yang baik daripada yang buruk.

Selasa, Disember 16, 2008

Tanah Runtuh - Bumi Yang Berjuang Menentang Kezaliman

Kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi perumahan mewah baru-baru ini dianggap sebagai tragedi. Pun begitu (sudah lama saya tidak gunakan perkataan ini), saya tetap menganggap bahawa ini merupakan 'perjuangan alam sekitar' untuk menentang kezaliman. Tuhan telah murka dengan perbuatan manusia yang masih belum insaf-insaf lagi biarpun setelah berpuluh-puluh tahun diberi hukuman dan petunjuk yang sama.

Pertama, kawasan tanah tinggi merupakan kawasan tadahan air hujan yang menghalang banjir di kalangan penduduk di kawasan tanah rendah. Namun, ia telah dijadikan sebagai simbolik kemewahan bagi mereka yang berkuasa terhadap material alam. Justeru alam tidak mahu bersekongkol membiarkan manusia-manusia yang memiliki status kekayaan yang tinggi ini untuk merajai bukit-bukau yang selama ini berjasa kepada kehidupan manusia dengan melaksanakan pemberontakan alam. Maka tercetuslah runtuhan tanah yang mengorbankan jiwa dan anak-anak golongan berharta.

Sejak bertahun-tahun dahulu, di dalam teks buku geografi, dan mungkin juga lain-lain subjek sudah diterangkan mengenai kenapa pembangunan di tanah tinggi tidak wajar disokong atau diberi sambutan. Namun, ramai orang membelakangi hakikat ini.

Saya sedih, sebab saya sayangkan alam sekitar saya. Maka saya menulis entri ini. Saya tidak membuang sampah di merata-rata tempat biarpun sampah itu adalah sampah basah. Saya terkilan sekiranya melihat sesuatu tempat itu tidak ada tong sampah. Suatu ketika, saya menetap sementara di sebuah kawasan perumahan di sebuah bandaraya. Kotor sekali kawasan itu. Saya segera melaporkan kepada pihak akhbar apabila melihat sampah-sampah bertaburan di sesuatu kawasan perumahan, dan syukurlah penerbitan akhbar terbabit mengambil tindakan wajar. Tidak berapa lama selepas laporan dibuat, pihak jawatankuasa di kawasan kediaman terbabit bergegas melancarkan operasi gotong-royong membersihkan kawasan itu.

Dan kita kembali kepada kejadian tanah runtuh. Adakah ahli-ahli keluarga golongan hartawan yang tinggal di lereng-lereng bukit itu tidak pernah bersekolah? Atau pun mereka sudah lupa apa yang mereka pelajari di sekolah? Kawasan tanah tinggi, bukit-bukau yang menjadi sumber tadahan air hujan itu jangan sesekali diterokai. Namun mereka tetap memberi sambutan, membeli rumah-rumah mewah yang berharga mahal, seolah-olah memberi muka kepada pemaju-pemaju rumah-rumah mewah di kawasan tadahan air hujan, untuk terus bersemangat memburu bukit-bukit tinggi untuk dibotakkan, ditarah, dijajah dan dijadikan sebagai kawasan perumahan mewah.

Tidak cukup lagikah contoh dan pengajaran? Tahun ini bukan tahun pertama kejadian tanah runtuh seperti ini berlaku. Ilmu berkaitan alam sekitar yang dipelajari semasa di bangku sekolah dulu langsung tidak dipraktikkan. Inilah akibatnya.

Tidak perlulah saya menyejukkan hati mereka yang dilanda kecelakaan ini. Sebab hati saya sendiri sudah lama terguris melihat bagaimana tanah-tanih di bukit-bukit tinggi yang menjadi kawasan tadahan air hujan itu dinodai sejak bertahun-tahun dulu. Sakit hati ini, sedih dan terkilan, sejak bertahun-tahun lalu melihat kerakusan mereka memusnahkan sumber tadahan air hujan tidak pernah pun cuba diubati? Mereka sebaliknya berbahagia, berpuas hati dengan rumah-rumah mewah yang berdiri megah di atas tanah tinggi tersebut.

Saya juga berharap pembalakan yang dilakukan di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highland dihentikan. Itu merupakan satu lagi perkara yang menyedihkan dan saya yakin, malapetaka akan berlaku sekiranya pembalakan di tempat tersebut dilakukan. Air-air menguning dan keruh. Alam sekitar semakin penuh dengan parut-parut luka, semuanya angkara manusia. Hentikan, sebelum terlambat.

Maafkan saya sekiranya tulisan ini menyinggung perasaan sesiapa yang membacanya. Sesungguhnya apa yang saya tulis di sini sudah sekian lama berbuku di dalam hati. Kebencian saya terhadap mereka yang merosakkan alam sekitar, dan terhadap mereka yang memberi muka kepada pemaju-pemaju perumahan di kawasan tadahan air hujan.

Insaflah. Berubahlah. Sebab sememangnya kita manusia kadangkala terlalai dan terlupa. Tuhan itu Maha Pemaaf. Masih ada peluang untuk berubah menerima kebaikan dan kebenaran.

Berikut adalah beberapa kes tragedi tanah runtuh yang pernah dicatatkan setakat ini di Malaysia:

  1. 10 Disember 1985 - Dua rumah baru dua tingkat yang belum lagi diduduki di Taman Melawati, Hulu Klang runtuh ketika hujan lebat dalam kejadian 8.50 pagi.

  2. 17 September 1988 - Sebuah rumah di Hulu Klang, ranap akibat tanah runtuh berikutan hakisan tanah.

  3. 29 Mac 1990 - Kejadian tanah runtuh berlaku di Taman Setia Wangsa di Hulu Klang melibatkan 80 keluarga yang mendiami dua blok flat.

  4. 11 Disember 1993 - Tragedi Highland Towers telah mengorbankan 48 nyawa apabila satu daripada 3 blok kondominium di Taman Hillview iaitu Blok A runtuh.

  5. 25 Disember 1997 - Tiga orang terbunuh selepas tertimbus di bawah runtuhan tanah dan sampah dalam satu kejadian di Km 17 Lebuh Raya Ampang-Hulu Klang.

  6. 15 Mei 1999 - Ribuan penduduk di kawasan perumahan Bukit Antarabangsa dan Wangsa Ukay di Jalan Hulu Klang terperangkap apabila tanah runtuh sepanjang 100 meter berlaku dalam kejadian 5.20 pagi yang menimbusi satusatunya jalan keluar masuk ke kawasan perumahan itu.

  7. 24 Februari 2000 - Kejadian tanah runtuh berlaku selepas hujan lebat di Kampung Sri Damai dekat Taman Kencana, Ampang yang meragut nyawa seorang budak berumur 4 tahun.

  8. 5 Oktober 2000 - satu kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Antarabangsa berikutan hujan lebat berterusan tetapi tiada yang cedera.

  9. 20 November 2002 - Sebuah banglo di Taman Hillview milik bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar, yang juga Pengerusi Affin Bank, ranap setelah dirempuh tanah runtuh dari bukit bersebelahan. Isteri Ismail, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua menantu, dua cucu serta dua pembantu rumah Indonesia terkorban dalam kejadian 4.35 pagi itu. Banglo itu hanya terletak kira-kira 300 meter dari tapak Highland Towers.

  10. 31 Mei 2006 - Empat sekeluarga terkorban setelah tertimbus dalam runtuhan tanah yang memusnahkan 49 buah rumah di Kampung Pasir, Hulu Klang pada kira-kira pukul 4.45 petang.

  11. 6 Disember 2008 - 14 buah banglo di Bukit Antarabangsa terlibat dalam runtuhan tanah. Empat orang disahkan terkorban.