BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Sajak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sajak. Papar semua catatan

Isnin, April 17, 2017

Kebaikan Bersarapan - Keburukan Tidak Bersarapan

Sarapan Itu Ada Baiknya

Karya: Amiene Rev

Suatu ketika aku dengar orang berkata
aku tidak suka sarapan kerana aku takut
takut jadi gemuk

Lantas kujerit, "Itu bohong."
Bersarapan tidak menjadikan engkau gemuk
Malah kau akan jadi kelaparan
lalu makan lebih banyak
dan mudah gemuk

Sedangkan dengan bersarapan itu
mampu meningkatkan kadar metabolisma badanmu
menjadi pembakar lemak
menenangkan emosi
menghindari rasa cemas atau mudah panik

Engkau sudah biasa tidak bersarapan
sekarang mindamu lemah
pemikiranmu tumpul
kerana tidak bersarapan
menyebabkan kamu hilang nutrisi penting
kalsium, potassium dan serat

Risiko mendapat penyakit jadi lebih rendah
kamu akan dapat menghindar penyakit jantung,
kencing manis, darah rendah dan juga hipoglisemia

Dengan bersarapan kau akan rasa lebih gembira
lebih bahagia kerana otakmu berjalan lancar
hidup ini kelihatan manis

Malah sarapan juga merupakan satu cara terbaik
untuk kamu berhubung dengan orang lain
memulakan perbualan dan menghindari kemurungan

Ayuh, sarapan!

AMIENE REV
17 APRIL 2017


Ahad, Mei 15, 2016

SAJAK KEMBARA BELON UDARA - AMIENE REV

KEMBARA BELON UDARA

Ketika aku dibuai laman malam
aku teringat nafas sejuk di Doha
semangat beku cair dalam bisikan motivasi
entah kenapa kelalang mindaku bercahaya
ada mancis menyala-nyala jadi petunjuk

belon udara menyambut aku dari tanah yang gersang
aku turuti jemputannya
di langit pemikiranku meluas
aku tatapi cahaya-cahaya dari bingkai bangunan-bangunan
umpama titik-titik minta disambungkan
tersembunyi jawapan

di sebuah masjid
jadi perhentian.

AMIENE REV
15 MEI 2016, 12.15 pagi
Johor Bahru

Khamis, Ogos 16, 2012

Sajak-sajak Kemerdekaan Kutipan Dari Berita Minggu

Sajak-sajak Kemerdekaan

NOTA: Sajak-sajak ini dipetik sepenuhnya daripada Berita Minggu. Semua sajak-sajak ini bertemakan kemerdekaan. Penulis-penulisnya menggambarkan kemerdekaan menerusi sajak-sajak ini. Mari kita menghayati sajak-sajak kemerdekaan ini sempena dengan bulan kemerdekaan kita.


SAJAK KEMERDEKAAN: DI PENTAS KEBEBASAN

Kamu membakar hutan bandar
kedai dan kereta disambar api kemarahan semarak darah generasi abad dua
puluh satu
siapa yang ditentang juga jelas
menegakkan keadilan dengan tangan kasar
meja rundingan pun turut dibakar.
Seorang tua termanggu melihat kejadian
peristiwa yang tidak terlintas di fikiran
apakah yang dicari wahai anak muda?
Aku yang membina tiang kemerdekaan
kau bersorak bangga mematahkan.
Aku yang mengecat tugu sejarah
putih bersih sedap mata memandang
kau conteng dengan niat hitam.
Jari terketar tak mampu menampar
tangannya letih hendak menangani
mereka yang bingung di pentas kebebasan
tercari-cari nama negeri bumi yang dipijak
sedangkan ladang sudah dibajak
benih sudah dipilih untuk disemai.
Orang tua itu berbisik sedih
aku membina kamu meruntuhkan.

KHADIJAH HASHIM
Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur


31 OGOS, 1957
Engkau tarikh keramat
kami terlepas daripada belenggu
akan kami kenang sampai bila-bila.

ISMAIL RESTU
Kg. Bujang, Kedah.



SAJAK KEMERDEKAAN: 31 OGOS TIBA LAGI

Setiap kali tibamu Ogos
mengerling monumen yang lusuh dan tugu berdarah
dalam matang akal fikir
semangat dan kudrat masih berbaki
merisik khabar pejuang yang jauh
dalam lipatan darmawisata merdeka
mahalnya nostalgia.

Manis dan comelmu Ogos ini tiba jua
menyentak lolong makrifat membiak musim
ceriteranya berderai plotnya berkecai
mengirai skrip duga yang tak sudah
atas aspal fatamorgana bumi bertuah.

Ogos yang sujud di kaki merdeka
tanggal tiga puluh satumu tidak pernah hilang
tetap menyimpul senyum
meskipun termateri kenangan pahit
yang mahal dan cantik.

Hari ini mentari 31 Ogos memancar lagi
bersama gemersik angin di bumi bertuah
mendewasakan ukhuwah dan ummah
siap siaga warga berdaulat memahat sejarah
dalam tamadun bangsa yang gah.

Terima kasih pejuang tanah merdeka
terima kasih aduhai tanah airku Malaysia!

WAN ZAHARI WAN ALI,
SMK Saujana, Setiu, Terengganu.


SAJAK KEMERDEKAAN: KETAATAN DAN KEBERANIAN

Berjanjilah kami demi keberanian
melalui suara-suara hijaz
putaran kemerdekaan

menyusur sungai-sungai mati
kepada insan seikat masyarakat
yang telah bebas.

Dalam sejarah kepahitanmu
terselit larian aku anak kecil
dibentuk dalam kelas-kelas rendah
hingga ke kamar dewasa
jiwa ini digantung loceng mongel
lalu direntap-rentap
terbawa-bawa.

Titisan darah ibuku
pada papan cendana pejal
masih melekat di situ
di perigi yang telah terkambus
hanyir masih terbau
tembuni dalam diam berubah fosil
atas tanah yang merdeka.

Seperti selalu
berlarilah kami dengan sebuah bendera kecil
menyamai pemberian hadiah bapamu
kami menyebut MERDEKA!!!
MERDEKA!!! MERDEKA!!!!

NAFISA
Marang, Terengganu


PUISI KEMERDEKAAN: HUJAN MERDEKA

Di langit Ogos
awan gembira mengkhabarkan
hujan merdeka turun lagi
untuk kesekian kalinya
membasahi bumi keramat ini
dinginnya merangkul perasaan nusa
syahdunya menyelimuti hati pembela
damainya bertakhta di tiap jiwa anak-anak bangsa.

Telah kutemui mutiara yang tersembunyi
dalam denai-denai usia yang menjanjikan kebahagiaan
kukecapi aroma pembangunan
kukucupi wangian pembebasan
dan telah kuwarnai kanvas jati diri
mengikut lakaran budaya dan potret bangsaku.

Hujan merdeka turun lagi
titisnya menjelajahi hati srikandi
pertiwi tersenyum menerimamu
memeluk janji yang termetarai
harapan yang terkota
teguh mengepung cinta.

Terima kasih, hujan merdeka
walau langit Ogos berlalu
titisnya membasahi sepanjang musim.

ZULKIFLI MOHD TOP
Universiti Malaya


SAJAK KEMERDEKAAN: MENYAMBUT MERDEKA
Sambutannya berulang lagi
saban tahun ia kembali
keranamu Malaysia aku di sini
menabur bakti ibu pertiwi.

Jalur gemilang berkibar megah
sana sini mencipta indah
namun segelintir tiada endah
satukan hati bukannya mudah.

Hanya Malaysia negara tercinta
pejuang bersusah untuk merdeka
jangan siakan apa yang ada
sayangilah tumpah darah kita.

ZAINAL ABIDIN AHMAD
BTP
012-285XXXX


SAJAK KEMERDEKAAN: POKOK BANGSA ITU ADALAH KITA

Anak merdeka alaf baru!
antara bunga mimpi dan tragedi
dalam membina generasi globalisasi
bukanlah semudah mencipta
cerita kosong di kedai kopi
atau membiarkan bangsa kita dijajah lagi.
Anak merdeka alaf baru!
tanamlah, semailah, bajailah
anak pribumi agar tumbuh menjulang tinggi
demi generasi dan agama
mentafsir wawasan membina jati diri
meraih akar dalam tunjang diri
menegak pepohon yang merendangkan
dedaun semangat.
Anak merdeka alaf baru
siramkanlah falsafah minda
jangan biarkan kering dan mati
kerana pokok bangsa itu adalah serumpun
kerana pokok bangsa itu
adalah kita yang merdeka.

AMYLIA HUSSAIN
Jambatan Merdeka, Sg. Petani

Sabtu, Disember 19, 2009

Cinta 1 - Amiene Rev

Cinta 1
Karya: Amiene Rev (C) 2009

Ada pun cinta itu
sukar beralih arah
kerana cinta itu
kasih

Cinta
satu bentuk emosi
tersirat di dalamnya
nilai kasih

Cinta
wujud tanpa dipinta
berputik tanpa baja
cuma kasih

Cinta
pemergiannya amat menyakitkan
tanpanya hidup ini hening
tanpa kasih

Cinta
adakalanya zalim
mangsa atau penganiaya
kerana kasih?

Sabtu, Oktober 10, 2009

SAJAK: Ini Tulisan Rindu

Sajak: Ini Tulisan Rindu
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Ini tulisan rindu
rindu ini bukan emosi
rindu ini bukan nafsu
ini tulisan rindu
rindu ini terhadap ilmu
rindu ini terhadap sumbu
terangi aku dalam kegelapan
jangan padam
terus!
terus terangi malam ini
kerana esok aku mahu hidup lagi
kerana esok aku mahu ke hadapan lagi
kerana esok aku mahu menjejaki
kekasihku masa saat dan detik
supaya rindu aku
terhadap cita-cita aku
tertulis di dunia realiti

Selasa, Oktober 06, 2009

Sajak: Playboy dan Buaya

Playboy dan Buaya
Penulis Sajak: Amiene Rev (C) 2009

Playboy
ada orang suka
ada orang benci

Playboy
lelaki buaya
tetapi juga jenama baju
yang popular
logo arnab bertelinga tegak
tajam seperti daun
segak
berjenama

Playboy
Buaya
bukan dua perkara serupa

ada juga buaya hidup di sungai
di laut masin
di muara
di daratan

Playboy manakah
jadi pilihan hatimu
memikat jiwa ragamu
duhai wanita dungu
dungu oleh nafsu
oleh materialistik
oleh kemurahan dan kemaruahan
hilang hapus
apa pun tidak ada

Sengketa
bergaduh
gadis itu gadis ini
Playboy jadi rebutan

Playboy tetap akan jadi tua
Playboy tetap akan reput dan koyak
Playboy tetap tampil dengan desain baru
corak baru
warna baru
harga baru
diskaun

Kenapa mesti rebut Playboy?
Bukankah baju cap buaya boleh dipakai
menutup aurat
berbau kedai
tetap cantik bergaya dipandang mata?

Sedar
sedarlah
bukan hanya Playboy
atau buaya
atau cicak

Pyan Habib tetap rock!
Achoo! Achoo!

Sajak: Zaman Ini Kita Bermain Meriam Kabaid

Zaman Ini Kita Bermain Meriam Kabaid
Penulis Sajak: Amiene Rev (C) 2009

Zaman ini kita bermain meriam kabaid
kita gegar satu dunia
satu ceruk kampung
satu jiwa
trauma
sakit hati
bengang
marah tersedar dari tidur yang lena
mimpi indah terburai isi perutnya
tumpah ke realiti
marah
kecewa
putus asa

Hentikan!
Hentikan!

Zaman ini kita tetap bermain meriam kabaid
Ron 97 lebih tinggi sulfurnya
harga makin tinggi
teknologi
mencabar harga
kebanggaan
Malaysia
kini

Tidak ada lagi Mat Trang Tang Tang
Tidak ada lagi bunyi bingitan eksos
meletup memecahkan kesabaran jiran tetangga
tidak ada lagi
zaman itu
lupus
terus

Zaman ini
kita bermain meriam
kabaid
kita gegarkan dunia
bila jari putus
bila mata buta
bila mulut sumbing
kesal
trauma
umpama mengukus nasi
di dalam air berbancuhkan kabaid

Zaman ini kita bermain meriam kabaid
kita bagi gegar satu kampung
satu dunia
duit melayang
dosa kita dapat

Jumaat, September 18, 2009

Debu dan Habuk

Debu dan Habuk
Sajak oleh Amiene Rev (C) 2009

Kali ini saya ingin menghilangkan debu dan habuk. Terlalu banyak debu dan habuk. Kali ini, saya memakai topeng bukan kerana H1N1. Topeng ini saya pakai kerana debu dan habuk. Di sini, tidak ada H1N1. Di sini cuma ada debu dan habuk. Debu dan habuk.

Rabu, September 09, 2009

PUISI: Bicara Tentang Pengalaman - Sebuah Sajak Oleh Amiene Rev

Bicara Tentang Pengalaman
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Pengalaman itu kebenaran
kita hayatinya lalu bermakna
kita dustai ia lalu sampah
kita sampah
pengalaman tetap jadi pengalaman
tak rapuh oleh kerana dusta

Adakalanya kita rasa kita mampu
selagi kita belum cuba melakukannya
namun kebenarannya cuma dapat kita hayati
selepas kita mencuba

Pengalaman hidup itu kita temui
dalam kejujuran dan keberanian
Jati watak kita

Barangkali, unsur penting untuk seseorang itu berlumba
mengejar masa depan
ialah masa
dan himpunan pengalaman
kejayaan dan kegagalan lalu

Selasa, September 08, 2009

PUISI: Di Mana Ertinya Kebahagiaan? - Sebuah Sajak Oleh Amiene Rev

Di Mana Ertinya Kebahagiaan?
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Tertulisnya kata-kata ini
dengan lidah hati
dan pena

Wang yang banyak tidak bermakna
tanpa kebahagiaan
apa gunanya pandai mencari kekayaan
tetapi tidak mampu menjejaki kebahagiaan

Air mata membenihi jalan depan hidupku
namun akhirnya pokok kebahagiaan tumbuh subur

Jiwa ini sering digulai kesedihan
namun ketabahan tetap merimbun
jiwa ini semakin gagah

Kecederaan hati
kulunturkan
lalu hilang nyeri
kegembiraan kembali

Apabila kesedihan melanda
perilaku ini cenderung kosong
air mata mengisi kesedihan
api mengiringi kemarahan

Kehidupan ini
umpama seorang pemikir
bijaksana
cuma bijaksana

Perasaanku
bukan apa-apa
sekadar dilukai
sekadar disenangi
menenangkan yang resah
memujuk yang bersedih
tidak pernah biasa
melainkan ia kebal
daripada segala derita

Tragedi kehidupan
tidak pantas berakhir
namun permulaannya
adalah satu penantian
hasilnya tidak diduga
tidak diminta

Selasa, September 23, 2008

Dia Pergi Supaya Dia Dapat Menunggu Kita

Dia Pergi Untuk Menunggu Kita
Penulis: Amiene Rev (C) 2008

Kita semua tahu,
perpisahan itu sungguh memeritkan
kerana kita tidak tahu
apa yang terjadi ke atas dirinya.

Lalu kita semua tahu
kenapa kita dianjurkan berdoa
supaya mereka yang telah pergi
sentiasa pergi dalam keredhaan-Nya

Adakah dia benar-benar pergi
atau dia menunggu kita?

Adakah kita di sini sunyi
atau dia di sana lebih sunyi?

Kita di sini melihat matahari pagi
di sana cahaya sudah tidak ada lagi
gelap gelitanya seperti sebuah perigi
dalam, teramat dalam

Adakah dalam kegelapan itu,
dia bersama-sama mereka
yang amalnya diterima?

Adakah dalam kegelapan itu,
dia bersama-sama mereka
yang bakal menghuni neraka?

Bimbang kita kepada Jahannam
impian kita terlontar di Jannah
tempat dia pergi dan tidak berpatah lagi
tempat dia pergi dan menunggu kita

di sini


NOTA AMIENE REV: Saya cuba menulis entri ini supaya membentuk sebatang batu nisan. Saya tidak pasti percubaan ini berjaya atau pun tidak. Paparan tulisan bagi setiap pelayar internet pasti berbeza. Internet Explorer, Mozilla Firefox, Apple Safari, Google Chrome, Opera dan lain-lain, setiap satunya mempunyai ketetapan paparan yang berbeza-beza.