BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Catatan Peribadi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan Peribadi. Papar semua catatan

Isnin, Mei 27, 2019

Apabila Usia Semakin Meningkat

Apabila usia semakin meningkat, cita-cita kita semakin berkurangan. Tanggungjawab kita semakin bertambah. Pemikiran kita semakin realistik. Kita mula memilih sesuatu berdasarkan keperluan.

Setiap hari kita melihat dunia tidak lagi seperti usia muda kita. Tidak lagi seperti semasa usia remaja kita. Sudah pasti tidak lagi seperti semasa usia kanak-kanak kita. Kita tidak lagi melihat esok sebagai cita-cita, tetapi kita melihat esok sebagai harapan dan amanah.

Kita melihat masa lalu dengan pelbagai maksud dan emosi. Ada rasa puas hati, mungkin. Bercampur dengan rasa kesal, mungkin. Tidak kurang kecewa, sayu dan rindu. Tidak mustahil terselit kebanggaan, legasi yang mahu diwariskan.

Semakin nipis garis usia kita, semakin kita pasrah dan redha. Tidak ada lagi rasa ghairah mengejar cita-cita dunia. Segala kemajuan dan pencapaian yang mengatasi generasi terdahulu, tidak pula mengagumkan kita kerana adanya rasa sedar tentang kebenaran pada penghujung usia.

Apabila usia semakin meningkat, kita semakin sedar apa yang perlu dan apa yang tidak perlu. Kita mula sedar, mencari teras berbanding hias. Tidak banyak perkara lagi yang mampu menarik perhatian kita.

Selasa, Disember 11, 2018

Seorang Hero atau Seorang Legenda?

Adakalanya kita tidak sedar ada semacam seruan memanggil kita. Seruan yang meminta kita untuk membela sesuatu. Kita tidak pernah sedar kerana fokus dan matlamat kita diatur untuk melihat apa yang orang lain lihat.


Seruan itu semakin kuat, memanggil-manggil kita, agar sedar. Kita adalah orang yang dipilih untuk melakukan sesuatu. Ada perkara yang orang tidak mampu lakukan tetapi kita memiliki pakej untuk melaksanakannya. Kita tidak sedar akan itu.

Hentikan beranggapan bahawa semua orang adalah tukang tilik nasib yang boleh menilik masa depan kita lalu menganggap mereka tahu apa yang terbaik untuk kita. Sesetengahnya tidak mahu kita melangkau sempadan menjadi lebih baik dan lebih bagus daripada mereka. Kenaifan, adalah sifat tercela yang mengkhianati diri sendiri.

Bersangka baik kepada orang tidak bermaksud menghalalkan segala cara mereka untuk merampas apa yang menjadi hak dalam kehidupan kita. Sesuatu hak boleh dirampas dengan tiga cara, pertama dengan cara yang kasar, kedua dengan cara yang sopan, dan yang ketiga tanpa disedari atau senyap-senyap.

Cara yang kasar adalah penaklukan, penjajahan secara terang-terangan. Ugutan, serangan, peperangan dan sebagainya. Cara yang sopan adalah dengan cara yang halal, membeli, mengambil alih dan seangkatan dengannya. Cara yang ketiga, kita pun tidak tahu bagaimana ia dilakukan sehinggalah kita sedar ia bukan lagi hak kita, bukan lagi milik kita dan kita sudah hilang kuasa ekslusif, sudah hilang hak istimewa, sudah hilang pemilikan tunggal, sudah tidak bergelar tuan punya hak tersebut.

Terdapat dua jenis manusia sahaja dalam menyatakan tentang hak. Pertama sama ada mereka menentang orang yang mengambil hak kita. Kedua mereka yang tidak menentang orang yang mengambil hak kita. Mereka yang tidak menentang, terdiri daripada orang yang menyokong perbuatan orang yang merampas hak kita dan mereka yang tidak berbuat apa-apa; tidak ambil peduli, tidak masuk campur, tentang hal-hal melibatkan perampasan hak kita kepada orang lain.

Menentang dan tidak menentang. Dua ini sahaja untuk menentukan status seseorang. Cukup!

Jika kamu berfikir ada pilihan lain selain dua di atas, kamu sedang memperbodohkan diri kamu, membenarkan individu lain mencipta peluang untuk memanipulasikan pemikiran kamu, menjajah hak kamu dan membuka ruang dan peluang untuk mempermain-mainkan kamu, tidak menghormati kamu, dan menganggap kamu lemah dan rapuh kerana boleh dipermain-mainkan.

Apabila sesuatu itu melibatkan hak milik kita, kehidupan kita, kamu hanya ada dua status yang boleh dijadikan panduan sebelum kamu dipergunakan atau dipermain-mainkan.

Pertama: Mereka menentang pihak yang cuba merampas atau menjajah hak kamu.

Kedua: Mereka tidak menentang pihak yang cuba merampas atau menjajah hak kamu.

Cukup!

Selasa, Ogos 19, 2014

DUKE AMIENE REV 2014

Tajuk pos yang aku tulis hari ini, mungkin agak pelik. Kenapa, agaknya aku mengangkat nama blog aku sendiri dalam entri yang kutulis kali ini.

Sebenarnya, ini adalah satu permulaan untuk aku kembali bersuara. Merapatkan seluruh Asia. Sudah lama aku meninggalkan medan catatan yang pernah menjadi ruang dan gimnasium untuk aku mengasah bakat penulisanku.

Kehidupan dunia realiti, menyebabkan aku meninggalkan dunia blog yang tampak semakin suram ditenggelami teknologi. Aku walau bagaimana pun, masih menerima banyak surat kiriman daripada pembaca-pembaca blog ini. Sayang sekali, aku tidak dapat membalasnya kerana kesibukan waktu. Ah, alasan!

Tidak seperti sesetengah manusia, aku tidak suka bersembang di internet. Aku cuma suka untuk menulis pandanganku. Kini, aku kembali, tidak pasti sekali sekala atau secara total, untuk menulis isi hatiku. Lebih tepat untuk aku katakan, suara perspektifku.

Sabtu, September 29, 2012

Musim Panas Blogger Musim Hujan Blogger

Sekiranya pembaca sedar, sejak akhir-akhir ini, aku jarang menyiarkan tulisan-tulisan yang datang dari lubuk hati atau tulisan-tulisan peribadi. Benar, sejak beberapa tahun ini, aku sangat aktif melayan kerjaya aku. Kemenangan demi kemenangan, kejayaan demi kejayaan dicapai dalam masa beberapa tahun ini. Pelbagai jenis kepuasan kerjaya telah aku rasai.

Namun, tidak dinafikan, aku sekarang sentiasa berada dalam keadaan penat dan lesu. Suasana persekitaran kerja, apalagi berada di tengah-tengah metropolitan, yang di sekelilingnya terdapat berbelas-belas bank, stesen minyak, pusat membeli belah, bangunan-bangunan bersaiz gergasi dan bunyi kenderaan lalu-lalang setiap hari cukup membuatkan daya kreativiti untuk menulis menjadi kurang aktif.

Sebenarnya aku bukan tidak ada masa untuk menulis, cuma aku memiliki banyak masa untuk ditumpukan pada kerjaya aku. Tanggungjawab tetap tanggungjawab. Hakikatnya, dengan status rezeki yang Allah Taala berikan pada hari ini, boleh sahaja aku melancong ke Paris, London, Beijing, Guangzhou, Hokkaido, Pulau Jeju, Maldives, Canada, Melbourne atau mana-mana tempat yang aku mahu. Namun begitu, tanggungjawab tetap menjadi perkara utama.

Jadi sebagai seorang penulis blog, aku mula menyedari adanya musim panas dan ada juga musim sejuk untuk blogger. Pada musim panas, blogger tekun mencari bahan untuk diolah menjadi isi-isi baru penulisannya. Apabila tiba musim sejuk, blogger akan tidur berhibernasi menekuni kerja-kerja harian.

Hari ini, sampai di sini sahaja tulisan aku. Minggu depan, ada mesyuarat dan aku juga akan bertugas di luar kawasan. Hampir setiap minggu aku akan berada di luar kawasan.

Ya, selamat malam.

Khamis, Mei 17, 2012

Amiene Rev Mengarah Teater dan Filem Tempatan

16 MEI 2012 baru sahaja berlalu. Jika seorang guru, pada tarikh ini, pasti ramai bekas anak murid yang mengucapkan selamat. Barangkali sudah lama aku tidak menulis catatan peribadi. Sejak akhir-akhir ini aku cukup suka menulis skrip. Ini kerana kini aku sudah mula mengarah persembahan lakonan, seperti teater. Menulis skrip, mencipta  personaliti watak, mengadakan uji bakat pemilihan kesesuaian watak, merancang kostum, membina prop dan set, penataan cahaya, bunyi latar dan kesan khas. Semakin lama, semakin luas dan semakin banyak kemahiran yang aku cuba. Tahun depan, berkemungkinan besar aku akan mengarah filem pertamaku untuk ditayang di panggung-panggung tempatan. Aku ingin sekali menerapkan elemen yang bertepatan atau bersesuaian dengan syariah.

Elemen-elemen agama, elemen-elemen semangat kebangsaan dan setia kepada negara, semua ini menjadi intipati filem-filem yang ingin aku arah. Aku berhasrat untuk menyambung pengajian dalam pengarahan filem dan menerbitkan filem-filem bertemakan keagamaan dan semangat setia negara secara kreatif. Semua filem adalah karya kreatif. Jadi, kreatif yang bagaimana yang dimaksudkan di sini?

Ya, aku ingin mengubah persepsi orang asing tentang Islam. Juga, secara halus, menarik kembali minat sesetengah orang Islam yang semakin jauh dengan cara pergaulan Islam untuk kembali menyukai watak-watak Islamik dan watak-watak yang menjaga batas pergaulan dalam Islam. Aku ingin cuba menunjukkan banyak contoh pergaulan yang dibenarkan dalam Islam sebagai alternatif terhadap gaya pergaulan Barat yang banyak menceroboh kemuliaan batas pergaulan dalam Islam. Aku ingin membuatkan orang ramai tertarik dengan konsep kehidupan Islam dalam cara kesederhanaan.

Mungkin terbayang di mata sesetengah orang, filem yang aku ingin terbitkan nanti akan dipenuhi orang-orang berjubah, berserban dan purdah. Bukan semuanya begitu. Apa yang aku ingin tampilkan ialah cara pergaulan Islam, di mana batas aurat dijaga. Setiap pelakon menjaga aurat, dan menjaga batas perhubungan antara bukan muhrim. Aku ingin menampilkan keselesaan para pelakon dalam menjaga batas-batas ini. Jalan ceritanya juga lebih kepada banyak unsur-unsur pengajaran yang bertepatan dengan tema mesra agama.

Kenapa filem? Pertama, kos produksi filem semakin hari semakin rendah. Teknologi perfileman kini boleh diperolehi oleh kebanyakan orang. Filem Olive (2011), misalnya, telah dirakam hanya dengan menggunakan kamera Iphone 4 yang dipertingkatkan dengan lensa-lensa tertentu. Malah filem The Avengers juga turut menggunakan kamera Canon EOS 7D dan Canon EOS 5D Mark II. Begitu juga dengan filem Captain America - The First Avenger (2011) yang menggunakan Canon EOS 5D Mark II. Filem-filem seperti IronMan 2 (2010), Black Swan (2010) dan MD House (Musim Terkini) turut dirakamkan menggunakan Canon EOS 5D Mark II. Kelebihan kamera DSLR adalah kecil, ringan dan mudah dibawa ke mana-mana.

Sabtu, Disember 03, 2011

THANK TO GOD - AMIENE REV

Thank To God
from Amiene Rev to God

Thank to God,
God that made me brilliant,
God that made me rich,
God that made me smart,
God that made me healthy
God that made me wealthy,
God that made me happy,
God that made me wise,
God that made me powerful,
God that made me... a good leader,
God that made me strong,
God that protect me everywhere,
God that put the light inside my heart,

Thank to God.

NOW THAT I AM A MILLIONAIRE.

Khamis, November 24, 2011

24 NOVEMBER 2011 - SELAMAT HARI LAHIR - AMIENE REV

Hari ini aku menerima banyak ucapan Selamat Hari Jadi, aku berasa sangat gembira dan bersyukur. Ucapan yang datangnya dari dalam dan luar negara. Dari seberang lautan, merentas benua.

Dalam hidup ini kita selalu cuba untuk menyenangkan hati orang tetapi kita rasa kita tidak mampu berbuat demikian. Namun, apabila tiba Hari Lahir, dan ramai orang mengucapkan Selamat Hari Lahir, kita akan berasa terharu, kerana rupanya ramai orang yang menyenangi kita. Biarpun kesibukan dengan jadual kerjaya dan aktiviti harian, namun rupanya kita masih sentiasa diingati orang. Alhamdulillah kepada Allah yang Maha Mengasihani lagi Maha Mengetahui.

Ucapan Hari Lahir wujud dalam pelbagai bentuk. Sama ada kata-kata, tulisan, grafik, bahasa badan, sentuhan, audio, elektronik dan banyak bentuk. Namun, apakah bahan yang terkandung dalam Ucapan Selamat Hari Lahir yang menyebabkan setiap manusia berasa tersentuh. Mesej yang menyebabkan kewujudan kita di dunia ini diterima.
Bagi setiap manusia, satu-satunya perkara yang paling mampu membuatkan manusia terharu, barangkali adalah perasaan kewujudan dirinya dihargai. Itulah mesej yang paling kuat dalam ucapan Selamat Hari Jadi.

Rabu, November 16, 2011

Anti-Islam, Perkauman dan Bahasa SMS

Kelibat anti-Islam dan perkauman semakin jelas dan berani kini. Di kebanyakan tempat, generasi hari ini jelas lebih suka bergaul mengikut kaum mereka sendiri. Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia hilang tempat dalam jiwa generasi muda. Generasi muda hari ini rata-rata seronok menggunakan bahasa SMS yang dianggap kreatif. Perjuangan sasterawan, wartawan, guru-guru, kakitangan kerajaan, aktivis bahasa semakin dilupakan. Anak-anak muda lebih tertarik dengan dunia hiburan. Budaya yang dipanggil 'slacker' yang membawa maksud remaja masa kini yang tidak peduli dengan isu-isu penting di dunia, dan cuma bernafsu terhadap hiburan semata-mata, individualistik, dan cuma memikirkan keseronokan dan kepuasan diri sendiri sahaja, kini menular bagaikan ular-ular berbisa yang bersedia memagut dan melumpuhkan bangsa. Bangsa Malaysia pada kemudian hari akan menjadi mangsa budaya individualistik jika tidak ada langkah pencegahan segera dibuat dengan peka dan jelas.

Di mana-mana tempat, di tempat awam, di sekolah, di kawasan perumahan, manusia membuang sampah di merata-rata tempat. Pada hari ini, sukar untuk ditemui seorang remaja yang berhati mulia, mengutip sampah yang dilihat ke dalam tong sampah. Sebilangan besar golongan remaja hari ini rata-rata lebih tertarik untuk bergurau senda sesama mereka biarpun mengetahui ada sampah sekaki dua jaraknya dari tempat mereka bercengkerama. Inilah pelapis bangsa Malaysia pada akan datang. Tidak ada apa pun yang boleh dibanggakan dengan sikap anak-anak muda seperti ini. Kekecewaan tersebar, provokasi mekar. Terang-terang agama Islam dihina, dan kebersihan separuh daripada iman dipersenda-senda secara tidak langsung. Berduyun-duyun anak-anak remaja belasan tahun menjauhi masjid, melangkahkan kaki ke sekolah, pada ketika azan solat Jumaat dilaungkan. Tidak ada seorang pun lelaki Islam dewasa yang mahu menegur anak-anak ini. Budak-budak berusia 18 tahun masih dianggap kanak-kanak, dimanjakan, dibiar berpelukan, dibiar meluahkan apa sahaja dosa dalam bentuk perbuatan fizikal.

Berapa orang anak remaja pada hari ini yang mampu merenung dosa yang bersepah-sepah di sekeliling mereka? Berapa orang anak remaja pada hari ini yang peka, yang sensitif, yang ada rasa kecewa dan mahu berjuang untuk memulihkan kembali budaya bangsa mereka? Tidak ada. Tidak ada seorang pun yang kelihatan pada masa kini. Pincang sudah objektif kehidupan. Gugur sudah semangat jati diri dalam diri anak-anak bangsa. Inilah kekecewaan yang nyata, apabila membincangkan mengenai sikap warganegara Malaysia pada hari ini.

SEMUANYA BERSALAH JIKA TIDAK AMBIL KISAH! SEMUANYA BUTA TULI JIKA TIDAK ADA SEORANG PUN YANG AMBIL PEDULI.

Jika kamu seorang pembaca blog ini, dan kamu membaca tulisan ini. Renungkan kembali bagaimana kamu boleh membantu mengubah pemikiran masyarakat Malaysia, supaya bersatu memulihkan kembali budaya Timur yang asli.

Yang benar,
Amiene Rev


Kementerian diminta siasat guru anti Islam
SUMBER: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin meminta Kementerian Pelajaran menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan pelajar sebuah sekolah mengenai tindakan beberapa guru yang didakwa bersikap perkauman dan anti Islam.

Ahli Parlimen Bebas itu mendakwa menerima lebih 20 aduan daripada pelajar termasuk pelajar beragama Islam dan Kristian yang tidak puas hati dengan tindakan beberapa guru bukan Melayu yang juga penyokong dan petugas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Johor. “Saya tidak bercadang menyebut nama secara terbuka di dalam dewan ini, saya akan serah nama kepada menteri kerana aduan yang dibuat sangat serius. “Guru berkenaan mengutuk agama Islam dengan mengatakan Islam sebagai agama palsu, al-Quran ditulis oleh manusia, selain membangkitkan peristiwa 13 Mei berlaku kerana tindakan orang Melayu, sebaliknya orang Cina hanya mempertahankan diri serta menyatakan sepatutnya orang Cina menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat, malam tadi.

Ahad, November 06, 2011

Program Mencipta Pemimpin Muda Untuk Negara

"Kita perlukan pemimpin-pemimpin muda untuk melapisi barisan pemimpin sedia ada negara. Pemimpin-pemimpin muda yang sentiasa sanggup mengorbankan diri, mengabaikan kemewahan dan kesenangan hidup untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Jika kita tidak menemui golongan muda yang boleh menjadi pelapis pemimpin negara, maka kita harus 'mencipta' mereka. Ini akan menjadi salah satu daripada perjuanganku. Aku ini warganegara Malaysia, dan aku mahu negara ini sentiasa ada pelapis pemimpin yang berkaliber dan mampu membantu membuka minda rakyat Malaysia supaya menjadi bangsa yang termaju, terbaik, terkuat, paling bijak dan paling penyayang di dunia." - suara Amiene Rev kepada Perdana Menteri Malaysia.

Rabu, Ogos 24, 2011

Kehadapan Mimi Asmida Abdullah

Salam keberkatan daripada Sang Guru,

Guru berharap, agar anakanda di sana sentiasa dalam keadaan aman dan tenteram. Baru-baru ini, Guru mendapat khabar berita mengenai rusuhan di serata Eropah. Semoga Anakanda Mimi Asmida sentiasa dalam keadaan selamat.

Guru terpaksa menangguhkan hajat Guru untuk ke sana pada tahun ini, berikutan terhadap kawalan daripada pihak kerajaan di sini. Segala-galanya demi memastikan keselamatan rakyat Malaysia hendaknya.

Andai kata Anakanda Mimi Asmida membaca tulisan ini, ketahuilah, bahawa satu hari nanti pasti kita akan dapat bertemu lagi.


Salam hormat daripada Gurumu,
Sir Amiene Rev
MALAYSIA
14 OGOS 2011

Rabu, Jun 08, 2011

Sejarah Melayu - The Malay Annals (1948 Pindaan Dari Mei 1909)

Kisah Pengembaraan Amiene Rev ke Cambodia
Penulis: Amiene Rev (C) 2011

Naskah Kuno Sejarah Melayu yang juga dikenali sebagai The Malay Annals kini berada di tanganku. Lalu aku membuat perbandingan antara kedua-dua naskah ini, untuk meneliti tentang susur galur orang-orang Melayu. Ada pendapat mengatakan orang Melayu berasal dari Cambodia, Kemboja atau juga disebut sebagai Kampuchea. Cambodia yang bersempadan dengan Thailand, Laos dan Vietnam dihuni oleh para penduduk yang rupa paras yang agak mirip orang-orang Melayu. Namun, penceritaan di dalam The Malay Annals ini tidaklah pula menceritakan secara langsung mengenai asal-usul orang-orang Melayu dari Cambodia. Sejarah Melayu ini banyak menceritakan tentang asal-usul kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Apa pun, aku menemui algoritma tertentu yang pasti akan menjelaskan asal-usul 64 Askara Lapan Triagram yang menjadi harta pusakaku selama ini. Barangkali, rahsia sebenar orang-orang Melayu, telah berada di dalam tanganku sejak kelahiranku di muka bumi ini lagi.

SEJARAH MELAYU or THE MALAY ANNALS
Pendahuluan
(Bagi cetakan yang ketiga)
Halaman xiii

Bahawa dengan kebenaran daripada waris-waris hak mendiang Tuan W. G. Shellabear yang baharu meninggal di Amerika beberapa bulan dahulu cetakan ini telah dibaiki seberapa dapat daripada cetakannya yang akhir dalam bulan Mei tahun 1909. Perkara-perkara yang telah dibaiki itu yang terutamanya sekali ialah tentang isi ceritanya pada beberapa tempat, dan juga tentang ayat-ayatnya yang di dalam Bahasa Arab, dan tentang setengah-setengah ejaannya.

Ada pun tentang isinya yang dibaiki hanya pada enam tempat sahaja, iaitu dipinda mengikut butir-butir yang diberikan oleh Dato' F. W. Douglas, Klang, sebagaimana yang disalinnya daripada suatu naskah Sejarah Melayu lama tulis tangan yang telah ada dalam simpanannya. Malangnya, naskah itu telah dihadiahkannya kepada "Sekolah Gambar" (Museum), Kuala Lumpur, tatkala sebelum perang dahulu, dan Museum itu telah binasa kena bom dalam tahun 1945. Tetapi mujurlah tatkala sebelum dihadiahkannya itu, ia telah menyalinkan ke dalam naskah Sejarah Melayu Shellabearnya mana-mana butir dalam naskah Shellabear itu. Maka ubahan-ubahan inilah yang telah dimasukkan ke sini sekarang menggantikan perkataan-perkataan yang kurang jelas butir-butirnya dalam cetakan lama itu. Ubahan-ubahan baharu ini boleh didapati ditandakankan pada muka 56, 123, 139, 141, 168 dan 172 - iaitu dikurangkan pada permulaan dan penghabisannya dengan kurung persegi, serta ditandakan dengan bintang. Huruf F.W.D. itu ertinya naskah Dato' Douglas.

Naskah tulis tangan tersebut, kata Dato' Douglas, ada tertulis padanya menyatakan iaitu telah disalin daripada suatu naskah tua di dalam milik Sultan Abdul Rahman ...

Halaman xiv Perenggan 1:
... Shah Riau-Lingga; orang yang menyalinnya bernama Shaikh Ahmad bin Omar Baruz Khan, dan salinan itu diperbuatnya dalam negeri Melaka pada 12 Mac 1835 bagi Tuan Birchie Westerhout yang diam di Melaka pada massa itu. Tuan ini ialah orang Belanda, diambil oleh Inggeris ke dalam jawatan kerajaan untuk menolong melihatkan hal jajahan Naning tatkala jajahan itu mula-mula berpindah tadbir dari perintah Belanda kepada perintah Inggeris. Maka adalah tersebut nama Tuan Birchie Westerhout itu dalam Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir Munshi.

Selasa, Jun 07, 2011

Amiene Rev di Ba Ria, Cambodia

Malam ini aku berada di Cambodia. Di sini, aku ada sedikit tugasan yang perlu diselesaikan. Apa pun, aku cuma ingin catatkan satu perkara di sini, waktu di sini tidak sama dengan di Malaysia. Oleh sebab bezanya betul-betul sekitar 1 jam, maka aku tidak perlu membetulkan jam aku. Cukup sekadar memperingatkan diri aku, di sini lewat satu jam berbanding Malaysia. Maka aku pasti, pada ketika ini, waktu di Malaysia sudah menghampiri pukul 12 malam.

Ketika ini, aku sedang menghadap jendela, di ruang tamu. Orang tidak begitu ramai. Masing-masing sedang sibuk dengan tugasan masing-masing. Ada yang sudah pulang.

"Tidak tidur lagi kah?" tanya Chantrea dalam Bahasa Inggeris yang agak fasih. Chantrea selaku penterjemah merupakan salah seorang rakan sekerja yang rapat denganku di sini.

"Oh, ya. Saya sedang menaip sesuatu," beritahuku.

"Apa yang sedang kamu taipkan?" Chantrea datang duduk berhampiranku. Nampaknya tahu benar dia, sebagai seorang Muslim, aku tidak boleh bersentuhan dengan wanita yang halal dikahwini.

Lalu aku pun cepat-cepat menamatkan tulisan ini. Mungkin, ada perkara yang boleh kami bicarakan. Barangkali tentang tugasan pada pagi esok, atau hal-hal peribadi yang halal dikongsi bersama.

Bersambung...

Ahad, Januari 30, 2011

Anak-Anak Angkatku - Kehadiran

ANAK-ANAK ANGKATKU
Kehadiran
Penulis: Amiene Rev (C) 2011

Kira-kira 4 tahun lepas, sahabat baikku dan isterinya berangkat pergi ke alam baka, lalu, di sisiku ditinggalkannya dua orang anak. Seorang dikenali sebagai Alberto Zein, dan seorang lagi dikenali sebagai Aleeka Irwin. Nama keluarga mereka tidak dapat kusebutkan di sini. Kedua-dua mereka kini berusia 6 dan 4 tahun kini. Oleh kerana pada ketika itu kedua-dua mereka ini amat kecil, maka tugas penjagaan mereka dilaksanakan oleh pihak berwajib.

Dalam tempoh tersebut, aku sering berangkat ke luar negara untuk menemui mereka. Pergerakanku adalah senyap dan sunyi, kerana aku tidak suka mendedahkan kisah yang menyedihkan ini untuk meraih simpati sesiapa pun. Lalu, hubunganku sebagai penjaga, atau lebih tepat bapa angkat kepada kedua-dua anak kecil ini menjadi rahsia antara benua.

Sahabat baikku dan isterinya adalah rakan seperjuanganku. Kami berjuang perkara yang sama. Perjuangan kami merentasi lautan, hutan-hutan, gunung-ganang dan selainnya. Namun perjuangan ini menuntut pengorbanan dan kematian. Kematian demi berbilion-bilion manusia yang lain. Kematian demi satu keamanan dan kesejagatan.

Dari jauh, aku memantau mereka. Sekali-sekala aku mengajar dan mendidik mereka. Alberto Zein dan Aleeka Irwin akan diIslamkan apabila usia mereka genap 18 tahun. Sudah pasti, ini bukan perkara yang mudah bagiku.

Kedua-duanya tidak memiliki saudara-saudara jauh. Sesiapa yang melibatkan diri dalam perjuangan ini mesti bersedia untuk berputus arang dengan keluarga masing-masing, demi menjaga keselamatan keluarga. Oleh itu Alberto Zein dan Aleeka Irwin akan sentiasa di dalam perlindunganku. Aku sudah bersedia untuk mengorbankan diri untuk menjaga mereka berdua.

Pihak Interpol sudah mengesahkan senarai Black Hunters dan Silverine Raiders yang kini bergerak di serata dunia demi memburu pewaris-pewaris pejuang nombor satu dunia ini. Dan aku, adalah Dewa Pelindung anak-anak kecil ini.

Baru-baru ini, dalam satu pertempuran, bahagian belakang tengkukku telah terkena tembakan peluru, dan ini menghasilkan satu lubang yang dalam. Aku tidak mati kerana tembakan itu tidak mengenai titik mautku. Tambahan pula, di negara ini, ada doktor peribadi yang telah ditugaskan untuk mengendalikan kecederaan aku, sekiranya ia melibatkan pertempuran semasa bertugas. Setiap peluru yang dilepaskan memiliki identiti yang tersendiri, dan kecederaan yang melibatkan pertempuran ini tidak boleh dirawat di hospital biasa. Sistem pangkalan data hospital di negara ini pasti akan dicerobohi oleh pihak musuh untuk mengesan identiti aku.
Sekiranya ini berlaku, pihak musuh akan dengan mudahnya mengesan kedudukanku. Mereka tidak tahu di mana aku bersembunyi, dan mereka tidak tahu, aku menyamar sebagai apa. Mereka dapat mencederakan aku, tapi buat masa ini, mereka masih gagal membunuhku. Mereka juga tidak tahu rupaku yang sebenar.

Namun proses penyembuhan itu agak lama, dan aku terpaksa berbohong kepada orang-orang yang mengenali aku bahawa itu adalah satu pembedahan biasa.
Mereka tidak tahu dalam tahun-tahun yang lalu, aku bertempur dalam senyap menangani saki-baki 419 Elites yang masih bebas di luar sana.

Mereka mahu memburu anak-anak angkat aku. Namun mereka tidak akan menemuinya, kerana anak-anak angkatku tidak tinggal bersama aku. Dan aku akan terus menjadi Dewa Pelindung mereka. Tapi aku tidak lupa, Tuhan Pelindung yang sebenar, ada di atas sana.

Kehadiran anak-anak kecil ini bukan satu beban bagiku. Mereka adalah amanah daripada sahabat baikku. Aku akan terus menjaga mereka. Suatu hari nanti mereka pasti akan membaca catatanku ini, selepas mereka berjaya menyelesaikan CODE yang kuberikan kepada mereka. CODE adalah kata kunci yang tersembunyi, yang cuma ada pada diri mereka.

BERSAMBUNG...

Ahad, Januari 23, 2011

Alberto dan Aleeka

Alberto Zein dan Aleeka Irwin adalah dua prodigi di bawah seliaan aku sejak beberapa tahun lepas. Berdasarkan CODE JED, kedua-dua prodigi telah menunjukkan pencapaian yang mengkagumkan dalam beberapa tahun terakhir ini.

Propetus, seorang pengkaji, anak didik kepada Rosemary V. memaklumkan bahawa kedua-dua anak angkat aku ini telah bersedia untuk ke fasa seterusnya. Ini adalah satu pencapaian, di mana kedua-duanya bakal memberi sumbangan yang besar kepada tamadun manusia. Legasi Amiene Rev berterusan.

Sabtu, Disember 25, 2010

Menjelang Lembaran Baru 2011

Sebelum saya menulis dengan lebih lanjut, saya ingin memaklumkan terlebih dahulu mengenai surat-surat pembaca atau lebih tepat, surat-surat elektronik yang telah saya terima daripada para pembaca blog Duke Amiene Rev. Terima kasih saya ucapkan di atas surat elektronik yang telah anda kirimkan kepada saya. Hari ini saya dapat melihat semuanya, dan memang saya tahu masih banyak yang belum sempat saya balas.

Kedua, saya meminta maaf kerana tidak dapat memenuhi kehendak peminat-peminat blog saya, di mana identiti saya sebagai Amiene Rev adalah rahsia. Ini kerana saya tidak suka mendedahkan apa-apa tentang dunia realiti saya dan itu bermaksud diri saya juga. Malah, saya juga tidak mempromosikan blog saya kepada rakan-rakan saya di dunia realiti. Bagi saya, blog saya adalah satu dimensi yang berbeza. Tidak seronoklah menulis blog jika saya mendedahkan diri saya di sini. Lagi pun, saya bukanlah jenis yang suka mempromosikan diri, jauh sekali menginginkan populariti. Saya lebih suka mempromosikan blog saya kepada orang-orang yang jauh, yang bukan terdiri daripada mereka yang berada di persekitaran saya. Saya begitu perahsia orangnya.

Saya tidak pernah memberitahu di dalam blog saya tentang di mana saya tinggal secara jelas, apakah pekerjaan saya, dan apakah status saya yang terkini. Ini kerana saya sememangnya tidak suka dikenali. Sebagai blogger, apa yang saya utamakan ialah tulisan saya dan bukan hal-hal peribadi saya. Tulisan saya adalah ulasan saya berkenaan hal-hal di dunia dan juga di akhirat. Semoga ini menjawab pertanyaan beberapa orang peminat blog Duke Amiene Rev. Semoga anda yang bertanyakan soalan ini dapat menerima jawapan ini.

Orang yang tahu mengenai siapa diri saya cuma penerbit-penerbit akhbar, majalah dan buku-buku yang tertentu sahaja. Itu pun atas dasar urusan 'profesional' atau urusan kerjaya. Saya akui saya pernah beberapa kali dihubungi oleh pihak media, akhbar dan malah penerbit besar itu sendiri. Namun sekali lagi saya beritahu, saya adalah seorang yang low profile. Saya pernah menghadiri majlis ilmu di mana terdapat ramai orang-orang terkenal dan di situ saya masih tidak memperkenalkan identiti saya. Bagi saya, dunia blogger, dunia penulisan dan dunia realiti saya adalah dua perkara berbeza yang semakin dirahsiakan semakin bagus.

Hal di dunia nyata dan hal blogger adalah dua perkara berlainan. Ada orang pernah bertanya dan meminta alamat blog saya di dunia nyata, tidak saya layan. Ada yang berasa pelik kenapa saya tidak mahu memberikan alamat blog saya sedangkan ramai blogger suka memberikan alamat blog mereka kepada kawan-kawan mereka.

Jawapan saya cuma ini, saya mahukan privasi dan pada masa yang sama saya tidak dapat berdiam diri apabila melihat terlalu banyak isu yang kelihatan tidak terubat atau terbiar. Saya juga kasihan melihat ramai manusia dilanda masalah dan tidak berpeluang untuk menyuarakan luahan hati mereka, maka saya wujudkan ruangan tersebut di blog saya.

Asalnya, saya memiliki sebuah web forum sahaja. Temanya "Find Your Destiny Through Unity" dan "Cari Kawan dan Kaunseling" yang bertujuan membantu individu-individu yang mengalami masalah peribadi atau jiwa yang serius. Alhamdulillah, sepanjang beberapa tahun laman forum itu dihidupkan, terdapat beberapa individu yang bermasalah berjaya menemui haluan hidup mereka. Kemudian saya mendapati satu perkara berkaitan internet, yang kalau tidak dibendung boleh mendatangkan ketagihan. Lalu saya meminta semua ahli forum tersebut supaya tidak menumpukan sangat terhadap laman forum saya, dan saya menarik diri supaya ahli-ahli yang lain juga berbuat begitu. Hal ini ada saya ceritakan dalam salah satu edisi majalah elektronik Amiene Rev E-Zine saya.

Ini kerana saya tidak mahu mereka menghabiskan banyak masa di depan komputer. Lebih baik mereka tumpukan hal-hal di dunia realiti. Lalu kemudian, saya muncul kembali secara tunggal menerusi blog Duke Amiene Rev. Biarpun begitu, saya dapati masih ramai individu yang masih mahu membantu, menjadi sukarelawan. Terima kasih.

Saya tidak tahu kenapa ramai orang sudi mengikuti saya. Namun saya tahu, mereka ini semuanya ikhlas mahu membantu saya. Itu pun saya hadkan juga. Saya percaya, setiap orang berhak mencipta laluan sendiri, dan mungkin kita akan sama-sama bertemu dalam laluan tersebut. Jika haluan kita sama, mungkin, ya, mungkin itu ada baiknya. Perjuangan yang seiring.

Di sini saya ingin memaklumkan kepada semua pembaca, pada tahun 2011, saya ternyata akan lebih sibuk. Jadual saya semakin padat. Untuk membaca surat pembaca, saya selalunya akan membacanya apabila saya berada dalam keadaan damai atau tenang. Ini memudahkan saya untuk menghayati masalah atau luahan yang dikirimkan oleh pembaca. Cuma satu sahaja, saya sangat pantang apabila orang menulis surat kepada saya dengan menggunakan Bahasa SMS. Semasa zaman aktif web forum Dragonizer, kerap kali saya mengingatkan ahli-ahli supaya menggunakan Bahasa Melayu Standard dan ejaan yang betul. Alhamdulillah, ahli-ahli pada ketika itu menghormati permintaan saya.

Memang saya akui, saya banyak bersabar apabila membaca surat-surat pembaca. Pada fikiran saya, mereka ada masalah dan perlu saya bantu. Namun cara penulisan surat menggunakan tanda baca, ejaan dan Bahasa SMS menyebabkan surat tersebut susah untuk dibaca. Semoga peristiwa penulisan surat seperti itu tidak berulang lagi. Kadang kala saya lebih kagum dengan orang Barat yang apabila menulis surat, mereka menulis dengan sopan walaupun mereka menceritakan masalah mereka. Lihat sahaja blog-blog mereka. Mereka menyanjungi bahasa ibunda mereka. Kenapa tidak orang Malaysia? Semoga semua pembaca akan semakin mencintai bahasa kebangsaan.

Tahun 2011 bakal menjelma. Saya tidak pasti saya akan ada banyak masa lapang lagi selepas ini, kerana selepas ini, saya perlu banyak membuat persediaan untuk ke tahun 2011. Apa pun saya memohon maaf kepada semua pihak jika saya ada terkasar bahasa atau tersilap kata dalam penulisan saya sehingga ke hari ini, dan semoga bertemu lagi pada tulisan yang akan datang!

Salam hormat,
Amiene Rev

Khamis, Disember 09, 2010

Catatan Dari Honduras - Beberapa Jam Sebelum Kembali Ke Malaysia

Ketika catatan ini ditulis, nakama-nakamaku di Malaysia barangkali ada yang sudah tidur. Di sini, Matahari sudah pun terang, hari sudah pun siang. Hatiku sayu mengenangkan hari ini, adalah hari terakhirku di sini. Catatan ini kutulis ringkas-ringkas sahaja. Seperti pengalaman-pengalaman yang lalu, 99.95% akan menjadi rahsia abadi. Belum mampu kukongsikan sepenuhnya di sini. Barangkali suatu ketika nanti, aku akan menulis catatan pengembaraanku. Ketika itu, usiaku pasti sudah setengah abad atau mungkin lebih. Dalam kehidupan ini, adakalanya keputusan harus dibuat dalam diam, begitu juga matlamat, tujuan hidup dan cita-cita. Tidak semua perkara dapat kita kongsikan dengan manusia-manusia yang lain, tetapi seratus-peratus, atau mungkin lebih, kita berkongsi dengan Tuhan. Bagi manusia yang tidak memiliki Tuhan, bagaimana mereka dapat berkongsi seratus-peratus dengan Tuhan mereka. Beruntung, kita yang memiliki Tuhan. Kerana adanya Tuhan, maka kita dapat berkongsi keseluruhan isi hati kita, sama ada yang mampu digambarkan dengan kata-kata atau yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Kerana Tuhan... mampu melihat segala imaginasi dan isi hati kita. Beruntunglah aku kerana ada Tuhan.

Sabtu, Disember 04, 2010

Surat Istimewa Dari Ireland

Sudah lama aku tidak melayari laman web sosial yang tertentu, jadi seorang individu yang amat istimewa dalam hidupku membuat keputusan untuk mengirimkan surat secara pos. Surat itu dialamatkan ke alamat rumahku di kampung, antara lain petikannya berbunyi:
"Apabila Guru membaca surat ini, ini tandanya kami sekeluarga dalam perjalanan ke Honduras. Saya memohon Guru untuk turut serta dalam ekspedisi ini. Ini kerana kami berhajat untuk mempelajari sesuatu yang baru daripada Guru. Kami akan berada di sini selama 2 minggu, namun Guru bebas untuk datang dan pergi sekiranya Guru ada urusan penting di tempat Guru. Kehadiran Guru amat kami nanti-nantikan." - M.A.
Honduras dan Ireland adalah dua tempat berbeza. Dalam erti kata lain, aku harus berangkat ke Honduras dalam masa terdekat ini. Segera, aku mencapai pakaian tebal (dari pengembaraan di Egypt) yang cuma kupakai apabila ke luar negara. Menempah tiket penerbangan, mengatur kredit dan perbelanjaan. Menyusun manual dan peta. Kemudian aku membuka peti pengembaraanku, dan di dalamnya ada sebuah alat komunikasi yang tahan lasak. Inilah telefon bimbit dengan nombor telefon antarabangsa yang aku miliki. Dan ketika surat ini disiarkan, aku pun telah berangkat pergi.

Jumaat, Disember 03, 2010

Mengembara Lagi: Honduras

Surat rasmi daripada seorang penguasa di sebuah negara telah sampai beberapa hari lepas. Jadi bermula hari esok, Amiene Rev akan merantau lagi. Perantauan kali ini amat singkat namun, atas kehendak sahabat lama, perjalanan ini perlu dilakukan lagi. Sahabat seperjuangan yang sama-sama berjuang sejak 8 tahun yang lalu ini akan membawaku mengelilingi Honduras, untuk mencari satu rahsia abadi. Mungkin juga aku akan menjejakkan kaki ke Nicaragua dan El Savador.

Air adalah simbolik bagi kehidupan. Bagi sesetengah negara, air umpama emas cair yang sangat bernilai. Pengembaraan kali ini, adalah untuk menegakkan keadilan bagi mangsa-mangsa melibatkan air di sana. Dan ini merupakan salah satu riwayat menarik untuk anak-anak dan cucu-cucuku pada masa akan datang.

Rabu, Ogos 18, 2010

Luar Biasa!

Perasaan luar biasa mula beredar di sekelilingku. Angin dwi-kutub melintasi perjalanan hati. Panji-panji kegemilangan mula mengibar kepercayaan. Pendirian semakin utuh. Jati diri, sahsiah diri semakin mantap. Tidak disangka-sangka "Empire" telah mula menunjukkan taring. Menguasai Lautan Merah, hingga ke penghujung Sastis.

Kestabilan Chakra

Kedudukan chakra kini semakin stabil. Ruang privasi telah mengembalikan semula kekuatan yang sekian lama tidak digunakan. Kini kebolehan untuk melaksanakan "Pemburuan Serigala" dan "Pengejaran Bintang" semakin hari semakin dapat ditingkatkan. Kebolehan memiliki "Premonition" juga semakin jelas, menjadikan setiap yang terlintas dapat ditangkap kejap dan dirumuskan dalam beberapa firasat.

Seterusnya adalah untuk membangkitkan semula kebolehan penyembuhan luar biasa, yang sebelum ini sering digunakan untuk merawat kecederaan sel-sel badan diri sendiri atau individu yang diancam bahaya.

Pada tahap selesa, kini mata terus pandang untuk melihat jasad-jasad halus yang sering berkeliaran pada waktu senja juga sudah semakin jelas. Ini bermakna keupayaan "Indigo" telah berjaya dibangkitkan semula.

Kemampuan "absorb", "inject", "release" dan "inception" juga sedang dikuasai semula kini. Melalui keupayaan "absorb", dengan teknik "empathic", segala maklumat indera serta psikometer dapat dihayati.

Ini adalah kepulangan. Personaliti silam telah bangkit semula. Seterusnya, adalah telekinesis dan 4 kekuatan misteri yang dikenali sebagai Vijra, Marsha, Lunar dan Diadalus yang sebelum ini telah dipraktikkan menerusi ilham yang diperolehi seawal usia 4 tahun.

Apabila segala kebolehan telah dibangkit semula, Dragonizer akan menyertai semula "Brotherhood of The Dragon" dan membicarakan segala kes misteri jenayah di dunia untuk diselesaikan secara psikik.

"Don't Ask - We Just Know"
We know, our brothers and sisters are still out there
Reunite
And Save The World
And Grateful To God
For Letting Us To Understand This World

The Realm