BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Mei 17, 2012

Amiene Rev Mengarah Teater dan Filem Tempatan

16 MEI 2012 baru sahaja berlalu. Jika seorang guru, pada tarikh ini, pasti ramai bekas anak murid yang mengucapkan selamat. Barangkali sudah lama aku tidak menulis catatan peribadi. Sejak akhir-akhir ini aku cukup suka menulis skrip. Ini kerana kini aku sudah mula mengarah persembahan lakonan, seperti teater. Menulis skrip, mencipta  personaliti watak, mengadakan uji bakat pemilihan kesesuaian watak, merancang kostum, membina prop dan set, penataan cahaya, bunyi latar dan kesan khas. Semakin lama, semakin luas dan semakin banyak kemahiran yang aku cuba. Tahun depan, berkemungkinan besar aku akan mengarah filem pertamaku untuk ditayang di panggung-panggung tempatan. Aku ingin sekali menerapkan elemen yang bertepatan atau bersesuaian dengan syariah.

Elemen-elemen agama, elemen-elemen semangat kebangsaan dan setia kepada negara, semua ini menjadi intipati filem-filem yang ingin aku arah. Aku berhasrat untuk menyambung pengajian dalam pengarahan filem dan menerbitkan filem-filem bertemakan keagamaan dan semangat setia negara secara kreatif. Semua filem adalah karya kreatif. Jadi, kreatif yang bagaimana yang dimaksudkan di sini?

Ya, aku ingin mengubah persepsi orang asing tentang Islam. Juga, secara halus, menarik kembali minat sesetengah orang Islam yang semakin jauh dengan cara pergaulan Islam untuk kembali menyukai watak-watak Islamik dan watak-watak yang menjaga batas pergaulan dalam Islam. Aku ingin cuba menunjukkan banyak contoh pergaulan yang dibenarkan dalam Islam sebagai alternatif terhadap gaya pergaulan Barat yang banyak menceroboh kemuliaan batas pergaulan dalam Islam. Aku ingin membuatkan orang ramai tertarik dengan konsep kehidupan Islam dalam cara kesederhanaan.

Mungkin terbayang di mata sesetengah orang, filem yang aku ingin terbitkan nanti akan dipenuhi orang-orang berjubah, berserban dan purdah. Bukan semuanya begitu. Apa yang aku ingin tampilkan ialah cara pergaulan Islam, di mana batas aurat dijaga. Setiap pelakon menjaga aurat, dan menjaga batas perhubungan antara bukan muhrim. Aku ingin menampilkan keselesaan para pelakon dalam menjaga batas-batas ini. Jalan ceritanya juga lebih kepada banyak unsur-unsur pengajaran yang bertepatan dengan tema mesra agama.

Kenapa filem? Pertama, kos produksi filem semakin hari semakin rendah. Teknologi perfileman kini boleh diperolehi oleh kebanyakan orang. Filem Olive (2011), misalnya, telah dirakam hanya dengan menggunakan kamera Iphone 4 yang dipertingkatkan dengan lensa-lensa tertentu. Malah filem The Avengers juga turut menggunakan kamera Canon EOS 7D dan Canon EOS 5D Mark II. Begitu juga dengan filem Captain America - The First Avenger (2011) yang menggunakan Canon EOS 5D Mark II. Filem-filem seperti IronMan 2 (2010), Black Swan (2010) dan MD House (Musim Terkini) turut dirakamkan menggunakan Canon EOS 5D Mark II. Kelebihan kamera DSLR adalah kecil, ringan dan mudah dibawa ke mana-mana.