BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Pakaian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pakaian. Papar semua catatan

Selasa, April 09, 2013

Baju dalam kalis rogol dicipta

Baju dalam kalis rogol dicipta
2013-04-04 08:55 Disediakan oleh Berita Harian


Pakaian dalam dihasilkan penuntut kejuruteraan India didakwa mampu menghalang jenayah seksual itu.

New Delhi: Sekumpulan penuntut kejuruteraan di India mencipta baju dalam antirogol yang didakwa mampu menghalang jenayah rogol dan serangan seksual lain.

Baju dalam perlindungan itu dicipta untuk mengalirkan sehingga 82 kejutan elektrik kepada bakal penjenayah apabila pengesan tekanan pada bahan itu mengesan sebarang jenis paksaan.

Pakaian dalam yang dibantu teknologi itu, dinamakan sebagai Society Harnessing Equipment (SHE), juga boleh memberi amaran kepada polis, keluarga atau rakan, menerusi sistem pengesanan global (GPS) yang dipasang.

“Pakaian dalam dengan sistem pengesanan global, sistem global bagi komunikasi telefon bimbit (GSM) dan pengesan tekanan mampu mengalirkan arus kejutan sehingga 3,800 kilovolt selain memberi amaran kepada ibu bapa dan polis.

“Penjenayah yang cuba mencabul gadis akan menerima kejutan dalam hidupnya sebaik pengesan tekanan diaktifkan manakala modul GPS dan GSM akan menghantar pesanan kepada nombor kecemasan India selain kepada ibu bapa mangsa,” kata Manisha Mohan, yang membantu membangunkan produk itu kepada Times of India. - AGENSI

Jumaat, Ogos 17, 2012

Pakaian Semasa Menghadiri Majlis Rasmi Untuk Wanita

Petua Menyesuaikan Pakaian Di Majlis Rasmi Untuk Wanita

Sesetengah orang mungkin merasakan apa yang disukainya maka itulah yang akan cantik pada pandangan orang lain. Sebenarnya, inilah yang dikatakan syok sendiri. Kajian tentang cara pemakaian semasa majlis rasmi telah menunjukkan bahawa ada beberapa perkara yang penting tentang pakaian seorang wanita semasa menghadiri majlis. Ini bagi menghindari perasaan pelik atau janggal di kalangan hadirin majlis rasmi yang lain. Berikut adalah beberapa petua memilih pakaian semasa menghadiri majlis rasmi untuk wanita:
  1. Elakkan daripada memakai kain berkilat / berkilau pada siang hari.
  2. Elakkan daripada memakai satu warna sahaja.
  3. Jangan melebihi 4 warna pada satu-satu masa.
  4. Pilihan warna kain hendaklah berasaskan kepada warna kulit dan bentuk badan.
  5. Jangan terikut-ikut fesyen yang mungkin tidak sesuai.
  6. Gunakan kain jenis nipis, lembut dan serap tetapi tidak jarang.
  7. Bila menggunakan alat solek, jangan keterlaluan.
  8. Gunakan bedak yang tidak mempunyai bau yang kuat.
  9. Rambut hendaklah tersisir rapi.
  10. Semua bahagian rambut tertutup dan diikat kemas, jika memakai tudung.
  11. Jika memakai mini telekong, warna tudung hendaklah bertentangan dengan warna baju.
  12. Bila gunakan sarung kaki pilih warna ‘skin colour’
  13. Corak fabrik tidak lebih dari 4 warna.
  14. Hindarkan daripada memakai anting-anting labuh, rantai tangan yang berloceng yang akan membuat bunyi apabila anda berjalan.
  15. Jauhi daripada memakai baju yang banyak rupol (frills) ataupun berbunga besar.
  16. Perhiasan hendaklah yang minima dan bukan menjolok mata.
  17. Jangan memakai gelang tangan dan jam tangan di tangan yang sama.

Hukum Memakai Menjual Jenama Arak Pada Pakaian

Hukum Memakai dan Menjual Jenama Arak Pada Pakaian

Dalam dunia perniagaan berbagai-bagai cara dibuat untuk melaku atau melariskan sesuatu barangan atau jenama itu. Di sinilah peranan iklan dengan segala macam caranya. Salah satunya ialah dengan menulis nama barang di atas baju, dengan tujuan supaya barang itu dikenali, diminati lalu pengguna akan tertarik dan membelinya.

Carlsberg ialah jenama bagi sejenis minuman keras atau sejenis arak. Khamr atau arak itu adalah haram. Perkara ini telah jelas dan maklum kepada umat Islam.

Pengharaman arak bukan sahaja kepada yang meminumnya, bahkan meliputi segala yang berkaitan dengan pemerosesannya, membawa kepada orang yang menghidangkannya dan lain-lainnya.

Semua orang yang berurusan bagi tujuan-tujuan berkaitan dengan arak .akan mendapat laknat Allah dan RasulNya, sebagaimana perkara ini disebut oleh Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam:
عن شبيب سمعت أنس بن مالك أو حدثنى أنس قال لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم فى الخمر عشرة عاصرها ومعتصرها والمعصورة له وحاملها والمحمولة له وبائعها والمبيوعة له وساقيها والمستقاة له حتى عد عشرة من هذا الضرب.
Maksudnya: “Daripada Syabib, saya mendengar Anas bin Malik (atau: Anas meriwayatkan kepadaku), dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perihal arak kepada sepuluh orang; orang yang memerahnya, orang yang menyuruh memerahnya, orang yang meminta dibuatkan arak, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakan arak, orang yang menjualnya, orang yang meminta dibelikan arak, orang yang memberi minum arak. orang yang minta diminumkan arak, sehingga Baginda menghitung . sepuluh daripada jumlah ini. (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Apabila perkataan Carlsberg itu dilabel atau digambar di atas baju, maka tiada lain tujuannya ialah untuk mempromosi, melaris atau mengiklankan Carlsberg itu supaya ianya diminati dan akhirnya akan dibeli. Ini sudah tentu akan menguntungkan syarikat pengeluarnya.

Maka sesiapa jua yang memakai baju yang ada padanya Carlsberg itu sama ada disedari atau tidak, telah menolong untuk memperkenal, mempromosi dan melariskan jualan Carlsberg.

Oleh sebab Carlsberg itu sejenis arak, maka memakai baju yang ada padanya nama jenama ini adalah termasuk dalam tegahan umum oleh Allah:
ولا تعاونوا على الأثم والعدون
Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. “ (Surah Al-Maidah: 2)
Tidak syak lagi mempamerkan Carlsberg itu tidak sunyi daripada tujuan mempromosi dan memperkenalkan minuman itu supaya ianya lebih dikenali dan diminati sehingga akhimya membawa lebih laris dan lebih laku minuman arak itu. Jika pemakainya ada tujuan sedemikian, maka si pemakai itu telah menolong pada yang haram. Atau jika dia tiada bertujuan yang demikian itu, namun apa jua caranya, sekurang-kurangnya secara tidak langsung dia masih sahaja boleh dianggap menolong perkara-perkara haram seperti yang disebutkan di atas.

Oleh hal yang demikian, bagi mengelakkan orang-orang Islam daripada memakai baju yang ada padanya jenama Carlsberg itu yang boleh menjerumuskan mereka kepada haram, maka adalah menjadi kewajipan kerajaan Islam untuk tidak membenarkan pengedaran atau menarik balik pengedaran mana-mana baju yang mengandungi jenama arak seperti Carlsberg atau yang seumpamanya.

Fatawa Issuing Body : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.
Author/Scholar : Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan
Date Of Issue : 1998