BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Mac 05, 2008

Amiene Rev Naik Ke Pentas, Romantis Selatan Bernasib Baik Di Ibnu Sina


Sebenarnya Amiene Rev tidak pasti sama ada Romantis Selatan membaca atau tidak segala tulisannya berkaitan dengan Romantis Selatan di sini. Pun begitu, dia telah dimaklumkan sebelum ini oleh empunya nama, bahawa tulislah apa-apa sahaja, kerana South memahami apa pun tindakan Amiene Rev, pasti bertujuan kebaikan.

Romantis Selatan enggan mengemaskini blognya, kerana dia mahu melupakan kisah silam, penderitaan dan kesunyian yang telah sekian lama membelenggu jiwanya. Sebab itulah, dia telah mengamanatkan Amiene Rev untuk menjaga blognya dan menulis kisah-kisah hidupnya dalam novel jibunsyi, pada masa akan datang.

Hari ini kedua-duanya berkongsi cerita lagi. Kisah pagi tadi. Amiene Rev secara tidak sengaja telah bertemu dan berbual-bual dengan seorang pensyarah. Pensyarah itu memberitahu Amiene Rev supaya bersiap-siap untuk naik ke pentas dalam satu majlis yang cukup besar untuk menghargai Amiene Rev.

"Saya tidak pasti sama ada saya telah berjasa besar atau pun tidak. Apa-apa yang saya lakukan tempoh hari masih jauh dari sempurna, masih lagi boleh dikatakan bersifat eksperimental, masih lagi boleh diperbaiki."

Amiene Rev tidak pasti, sama ada perlu atau tidak dia hadir ke majlis tersebut untuk naik ke pentas. Di depan ratusan, mungkin ribuan orang, untuk menerima suatu penghargaan bukan suatu perkara yang disukai. Amiene Rev sebelum ini berselindung dengan nama Dragonizer, untuk membuka ruang dalam bidang akademik. Usianya masih amat muda ketika itu, masih mentah dan fikirannya belum lagi sematang sarjana dan tokoh-tokoh intelek yang mashyur.

"Saya enggan hadir, tapi perbuatan itu pasti perbuatan biadab. Bukankah begitu?"

Romantis Selatan berfikir sejenak kemudian berbicara, "Menulislah. Menulislah untuk menyelesaikan masalah."

Mendengar kata-kata Romantis Selatan itu, Amiene Rev pun tersenyum sambil berbicara,"Nampaknya, kata-kata saya telah diubahsuai secara inovatif. Barangkali, bagus juga kalau saya naik ke pentas, tetapi perbuatan itu sama mendedahkan diri. Saya tidak mahu mendedahkan diri kepada orang. Biar perbuatan baik saya itu mendatangkan hasil, tetapi sama sekali, saya tidak mahu naik ke pentas. Namun, saya serba salah."

Amiene Rev diam seketika. Sebelum sempat Romantis Selatan menjawab, Amiene Rev lantas mengubah topik dan bertanya berita baik yang melanda Romantis Selatan pula.

"Saya juga ada berita baik. Seorang pensyarah Matematik dari Ibnu Sina telah bersetuju untuk mengajar saya, bermula Mei ini. Seorang hawa yang bijak dalam bidang logik matematik." Kegembiraan, terpapar menerusi serlahan cahaya pada wajah Romantis Selatan, tatkala dia memaklumkan berita itu.

"Dan Ketua Jabatan yang mengambil berat, juga gembira mendengarnya." Kata Romantis Selatan lagi. "Oh, ya, ada beberapa orang pensyarah yang bercerita tentang awak, Amiene Rev. Mengenai jasa besar yang telah awak lakukan."

"Begitu juga dengan awak. Syukurlah," Amiene Rev membalas makluman positif itu.

Sebenarnya, terlalu ramai pensyarah dan staf-staf universiti yang mengambil tahu hal-hal Romantis Selatan. Romantis Selatan boleh dianggap sebagai satu legenda di fakultinya.

"Alhamdulilah... Berita gembira, akhirnya untuk kita semua. Semoga selepas ini, kita semua akan dapat berbakti kepada masyarakat, membalas jasa ibu bapa dan mencapai cita-cita yang diredhai Allah, di dunia dan di akhirat." Kedua-duanya pun menadah tangan, berdoa yang baik-baik, kemudian sama-sama mengaminkannya. Selepas makan tengah hari bersama-sama, dua sahabat baik itu pun berpisah dan kembali ke kolej kediaman masing-masing.

Berita gembira tidak sekadar itu sahaja, Amiene Rev semakin sibuk dengan urusan akademik. Pun begitu, hatinya masih terdapat ruang untuk menghayati kegembiraan, apabila mengetahui berita baik yang turut berlaku di kalangan sahabat-sahabatnya.