BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, April 30, 2008

Apabila Cinta Itu Berputik Bajainya Dengan Iman



Semudah itu, kau tinggalkan aku di lautan pasrah. Semudah itu juga aku mendendamimu. Sebelum hayatku musnah dan jiwaku bercerai dari jasadku, maka aku bersumpah seluruh keturunanmu tidak akan tenteram, selagi milikku tidak kau pulangkan!

Gerummmmm!!!! Guruh berdentum. Berdentum tanda murka dengan kesesatan Amrita. Amrita terus tenggelam di lautan hitam. Tiba-tiba seekor ikan kap merah meragut Amrita. Pak Burhanuddin Syafi dengan pantas memintal tali kailnya.

Klup! Klap! Klup! Klap! Taring perak berbentuk 'J' telah melukai bibir ikan kap itu. Amrita telah mati. Mati selepas sebelum ini, bergelumang dengan kepingan-kepingan batang pisang yang dipotong dan butir-butir tahi kambing dan tahi lembu. Amrita telah dimanjai sekian lama oleh usahawan cacing. Namun hari ini, hayatnya habis di mata kail perak Pak Burhanuddin. Pak Burhanuddin membeli Amrita bukannya untuk dicintai, tetapi untuk dijadikan umpan mengail ikan.

Pak Burhanuddin lebih mementingkan hobi memancingnya, daripada menghayati erti cinta daripada seekor cacing. Sekian, cerita daripada Amiene Rev untuk para pengunjung blognya pada hari ini.

-0-

Hari ini, aku bertemu dengan seorang gadis Filipina. Katanya dia datang ke Malaysia untuk bercuti. Dia menetap di rumah kakaknya. Dia mengambil jurusan Bahasa Inggeris.

Dia datang ke sini mewakili sebuah organisasi di negaranya. Untuk mengutip derma bagi tabung organisasinya. Jauh sungguh dia mengembara. Katanya tiket kapal terbang pergi balik adalah sekitar 7000 peso. Jika dicongak ke mata wang Malaysia adalah sekitar 500 ringgit. Organisasinya menaja tambangnya ke mari. Aku berasa aneh. Kenapa mahu datang ke Malaysia dengan wang tambang sebanyak itu semata-mata mahu mengutip derma. Sedangkan organisasinya mengeluarkan banyak wang untuk menampung tambang tiket bagi dia dan beberapa orang rakannya yang lain.

Aku mengambil peluang ini untuk bertanya dengan lebih lanjut. Dia kelihatan agak tergagap-gagap apabila berbicara denganku. Bukan sebarang orang boleh berdepan denganku.


Bagaimana dia boleh datang kepadaku?
Ketika itu aku sedang makan. Dia menghampiriku dan bercakap dalam bahasa orang Inggeris. Selalu benar di tempat makan ini aku diganggu oleh orang-orang tertentu.

Sebelum ini pernah datang seorang lelaki cina, meminta wang untuk makan tengah hari. Katanya dia ada penyakit dan tidak boleh bekerja, sedangkan rupanya sihat sahaja. Aku menyoal siasatnya sehingga dia bergementar. Kelentongnya tidak menjadi. Setelah tergagap-gagap mahu meneruskan percakapannya dengan aku, lelaki cina itu pun beredar seketika untuk mencari sasaran yang baru. Aku tahu bukan mudah untuk mencari wang, tetapi aku tidak suka meminta wang dengan orang begitu sahaja. Mesti berusaha, mesti bekerja.

Namun, gadis yang mengakui dirinya adalah seorang pelajar ini lain sedikit. Dia membawa barang jualan. Beg-beg kecil untuk mengisi syiling atau butang baju yang comel dan gelang batu akik. Beg comel itu berharga sepuluh ringgit seunit, manakala gelang rantai batu akik itu berharga lima ringgit seutas.

Gadis itu turut menunjukkan kad pelajarnya. Dia cuma berada di sini untuk tiga bulan sahaja. Cuti semester. Dia pelajar tahun tiga. Sebelum ini dia turut menjaja barang-barang jualannya itu di Kuala Lumpur dan Singapura.

Dia menerangkan bahawa barang-barang ini adalah buatan Filipina dan lebih menguntungkan kalau barang-barang ini dijual di Malaysia. Dalam masa sebulan ini dia telah berjaya mengumpul wang sekitar 5000 pesos atau 350 ringgit.

Aku tidak percaya kalau dia datang ke sini sekadar hendak menjual barang-barang ini. Lalu dia dengan agak takut-takut memberitahu aku bahawa organisasinya juga ada melakukan aktiviti di sini. Hm, nasib baik dia seorang wanita dan dia tidak meminta derma secara langsung.

Aku menyoal siasatnya lagi sehingga aku merasa puas hati. Gadis ini kelihatan takut-takut. Pasti dia ingat aku ini seorang anggota polis atau detektif. Gaya dan rupa aku pun kadangkala seperti polis penyamar. Apa lagi bukan semua orang berani berdepan atau bermain-main di depan aku (tetapi aku baik orangnya, biarpun agak tegas. Kalau tidak, orang tidak akan melantik aku sebagai ketua dalam apa-apa kumpulan atau pasukan).

Selepas berpuas hati dengan jawapan-jawapannya, aku pun membeli seutas gelang rantai itu. Boleh juga dijadikan hadiah. Batu akik itu pun sejuk juga dan menyegarkan kulit. Aku membelinya untuk dihadiahkan kepada orang lain nanti. Gadis itu pun berterima kasih mengikut polisi organisasinya. Agak skema atau lebih tepat seperti cashier di kaunter McDonald.

Ini kali pertama aku melihat gadis Filipina dari jarak dekat. Duduk semeja. Rupanya memang iras-iras orang Melayu. Balik ke kolej, aku menyimpan gelang rantai batu akik itu di dalam bakul mengkuang, cenderamata yang aku perolehi semasa berkunjung ke majlis kenduri kahwin seorang kawanku, seorang pensyarah di sebuah universiti lain.

Malam itu, bakul mengkuang itu pun bercahaya hijau kekuningan. Sungguh misteri ini, kata aku dengan gaya kelentong. Haha.