BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, April 19, 2008

Pertunangan Ini Tidak Sekali-kali Kita Rancang

Diam tanda setuju,
bilang orang tua-tua;

Hati yang dingin bagaikan salju,
bagaimanakah baru boleh diduga?


Episod 4: Rajuk

Kali ini kakandaku merajuk. Merajuk gara-gara aku enggan hadir pada majlis pertunangannya yang beratus-ratus kilometer dari sini kerana jadual peperangan yang begitu genting. Masa yang tidak mengizinkan untuk aku menambahkan ceria dan seri pada majlis itu. Aku akur pada kehendak tanggungjawab, lalu aku mengabaikan kehendak keluarga.

Lalu, malam itu aku berangkat pulang ke kamar ilmu, dengan sedikit reaksi kesal pada kedut dahi dan seguris pahit pada bibir yang kontang. Tamar malam langsung tidak terasa zat dan khasiatnya, tetapi tetap kukunyah dan kutelan demi mengenyangkan perut lapar agar dapat kuperhebatkan ilmu yang kumiliki untuk tujuan peperangan intelektual.

Perasaan rajuk itu, jangan dibiarkan menikam hatiku.



Episod 5: Desakan

Kadangkala seseorang itu enggan menikah, lalu trauma hadir pada detik pertunangan, kerana bimbangkan nilai wang ringgit yang kian meningkat nilai untuk satu-satu harga pemberian yang harus dibeli, tunai tanpa cagaran. Kerana desakan seorang bonda, seorang saudara kandung harus akur dan mengikatkan hubungan dengan jelas, bagi mencerminkan keikhlasan perhubungan antara dua jantina yang berakal waras.

Hati siapa yang tidak tegar, apabila memikirkan betapa perlunya ada perancangan jangka panjang untuk mengembalikan semula modal bagi melangsaikan janji-janji material yang harus dipulangkan semula pada tuan punya mata wang. Ruang-ruang yang ada telah disesakkan lagi dengan tanggungjawab baru, perbelanjaan besar demi memuaskan hati pihak yang lain.

Kacau, fikiran ini kacau.



Episod 6: Pertunangan

Apabila matahari terbit, maka detik itu sudah semakin tiba. Pertunangan yang tidak dirancang, tiba-tiba sahaja menjadi kencang. Masa begitu singkat untuk menyediakan hantaran, namun tetap dilunaskan juga di dalam beberapa jam sahaja.

Pertunangan itu manis, maka hadiah berupa makanan pasti berintikan manisan. Tanggungjawab itu pedas, dan cinta itu hadir dari hati yang merah, lalu dikirim bingkisan sirih menghijau serta ros merah dan ros putih yang segar sebagai penunai hasrat hati. Dan bukan dekat perjalanan ini, demi sebuah ikatan, yang bakal tersebar luas sebelum sah dan sahih.

Aku, terus menyendiri, menatap ilmu perang. Perang intelektual yang serba dahsyat. Akan aku hadapi tanpa sikap dayus.