BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, April 23, 2008

Teknologi Mata Bionik - Harapan Baru Untuk Orang Buta


Penulis/Penterjemah: Amiene Rev (C) 2008


Rod dan Kon: Sel Penterjemah Cahaya Daripada Solar Kepada Impuls Elektrik.

Di dalam otak manusia terdapat dua sel penting yang dipanggil rod dan kon. Rod dan kod ini juga dikenali sebagai sel solar biologi yang menukarkan cahaya kepada impuls elektrik. Impuls-impuls elektrik ini akan dihantar ke otak menerusi saraf optik untuk membentuk imej. Tanpa rod dan kon, manusia tidak akan dapat melihat. Rod dan kon telah memberi idea kepada para saintis untuk mencipta mata bionik.

Penyelidikan mengenai mata bionik ini telah dikaji di Space Vacuum Epitaxy Center (SVEC) dengan tajaan NASA. Sementara itu, sekumpulan saintis dari Universiti Johns Hopkin, MIT dan di beberapa tempat lain telah menggunakan silikon dalam proses pembuatan rod dan kon tiruan. Pun begitu, silikon adalah bahan yang toksik yang merbahaya kepada badan manusia dan akan memberi reaksi negatif terhadap cecair di dalam mata. Masalah ini walau bagaimana pun, tidak wujud pada pengesan seramik SVEC.

Menerusi eksperimen yang dijalankan di Wake Shield Facility (WSF), iaitu sebuah platform berbentuk cakera dengan diameter 12 kaki yang telah dilancarkan dari sebuah anak torak angkasa, para saintis telah menemui kaedah mencipta filem oksida nipis dengan menggunakan atom oksigen yang diperolehi di persekitaran orbit bumi. Eksperimen ini telah membantu para saintis untuk membina pengesan oksida atau seramik untuk Projek Mata Bionik.

Percubaan merealisasikan mata bionik bermula seawal tahun 2002. Pada ketika itu, seorang doktor dari Universiti Sekolah Perubatan Texas, Houston, Dr. Charles Garcia telah diamanatkan untuk menjalankan pembedahan ini.

Pada ketika itu, retina buatan yang dibuat di SVEC mengandungi 100,000 pengesan seramik mini yang setiap satunya adalah 1 per 20 daripada saiz rambut manusia.

Para saintis pada ketika itu belum dapat memastikan bagaimanakah caranya otak akan menterjemahkan voltan-voltan asing yang datang daripada rod dan kon yang dibuat. Saintis-saintis percaya, otak akan dapat mempelajari dan menerima input-input tersebut perlahan-lahan secara semulajadi.


Prototaip Mata Bionik - 16 Elektrod

Sekitar tahun 2002, sebuah syarikat di Amerika Syarikat, Second Sight telah mencipta prototaip mata bionik. Prototaip ini memiliki 16 elektrod yang disusun secara 4x4 di atas sekeping grid.

Seorang nenek, Linda Morfoot, 64 tahun yang tinggal di Long Beach, California disahkan menghidap retinitis pigmentosa pada usia 21 tahun, dan menjadi buta sepenuhnya pada usia 50 tahun. Pada tahun 2004, dia telah menggunakan mata bionik 16 elektrod.

Menurut Linda Morfoot, sejak menggunakan mata bionik, dia sudah boleh melontar bola keranjang, bermain dengan cucu-cucunya, berjalan-jalan dan melihat cucu perempuannya menari di atas pentas.

Nenek itu berkata, "Semasa kami pergi ke New York, saya dapat melihat betapa besarnya Patung Liberty. Di Paris, pada waktu malam, kami mendaki hingga ke puncak Menara Eiffel dan menatap keindahan cahaya lampu di sekitar bandaraya. Saya merasa lebih rapat dengan apa yang ada di sekitar saya."


Generasi kedua mata bionik - Argus II - 60 Elektrod

Generasi terkini mata bionik mengunakan 60 elektrod, yang dikenali sebagai Argus II. Semakin banyak elektrod, maka semakin jelaslah penglihatan. Professor Mark Humayun berkata, sekitar lima hingga tujuh tahun lagi, para saintis berharap mata bionik dengan 1000 elektrod akan dapat dihasilkan untuk membolehkan pengguna mengenali wajah.

Mark Humayun, Professor dalam bidang oftalmologi dari Institut Mata Doheny, Universiti California Selatan, berkata, sekiranya tidak ada apa-apa masalah, mata bionik akan mula memasuki pasaran pada tahun 2009 dengan harga sekitar £15,000 ke £30,000 (termasuk proses instalasi).


Struktur Mata Bionik: Bagaimana Mata Bionik Berfungsi?

Mata bionik terdiri daripada tiga elemen utama. Mula-mula, satu kamera miniatur yang dipasang pada cermin mata gelap, akan menghantar imej ke sebuah radio penerima yang diimplan berdekatan mata pengguna.

Kemudian, satu signal akan dihantar pada silikon kecil dan cip platinum, sekitar 4mm persegi yang terletak di retina. Elektrod yang terdapat pada cip ini akan merangsangkan sel-sel ganglion supaya maklumat visual akan dapat dihantar menerusi saraf optik terus ke otak dan pada akhirnya membentuk imej visual.

Menurut Profesor Humayun lagi, imej akan terbentuk seakan-akan mesin cetak dot-matriks, atau susunan piksels pada skrin komputer.

Teknologi ini walau bagaimana pun tidak akan dapat mengembalikan penglhatan pesakit yang buta akibat kerosakan saraf optik yang disebabkan oleh glaukoma atau stroke.

Pesakit-pesakit biasanya akan mengambil masa sekitar satu atau dua bulan untuk membiasakan diri dengan peralatan mata bionik Argus ini, sebelum otak mereka dapat menterjemahkan imej-imej. Sebelum ini, pembedahan untuk memasang peralatan mata bionik ini adalah sekitar tujuh jam, namun sekarang hanya memerlukan 90 minit.

Percubaan mata bionik ini akan diadakan di lima pusat sekitar Amerika Syarikat ke atas warganegara berusia melebihi 50 tahun. Pihak US Food and Drug Administration telah mengizinkan hanya subjek-subjek yang telah berusia sahaja layak untuk menyertai eksperimen ini kerana bimbang kesan-kesan buruk yang mungkin dihadapi pada kemudian hari. Setakat ini, beribu-ribu orang buta telah menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan bagi percubaan mata bionik.




Teknologi Mata Bionik - Fantasi Star Trek Menjadi Nyata

Geordi LaForge berpangkat ketua jurutera di atas kapal angkasa U.S.S Enterprise dan dia dilahirkan buta. Geordi menggunakan VISOR untuk membolehkan dia melihat menerusi input visual yang dihantar secara terus ke otaknya.

Jika diperhatikan pada peralatan mata bionik Argus II, dapat dilihat bagaimana pada suatu masa nanti teknologi VISOR boleh menjadi kenyataan.



Diterjemah dan ditulis semula oleh Amiene Rev berdasarkan sumber-sumber berikut:
  • http://science.nasa.gov/headlines/y2002/03jan_bioniceyes.htm
  • http://www.timesonline.co.uk/tol/news/uk/science/article1395798.ece
  • http://www.guardian.co.uk/science/2008/apr/22/medicalresearch.news
  • http://www.foxnews.com/story/0,2933,252600,00.html