BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Doa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Doa. Papar semua catatan

Ahad, Julai 14, 2013

Cara Menghilangkan Mengantuk Dalam Apa Jua Keadaan

Ketika bulan puasa, ada sesetengah orang mengadu dan bertanya bagaimana caranya untuk menghilangkan mengantuk ketika di dalam kelas atau pun ketika memandu kenderaan di jalan raya atau ketika bekerja dalam apa jua keadaan. Oleh itu, di sini dikongsikan beberapa ayat-ayat Al-Quran yang boleh dijadikan doa menghilangkan rasa mengantuk dalam apa jua keadaan.

” LA TAKKHUDZUHU SINATUW WALA NAUM…”

Maksud ayat: “ (DIA - ALLAH) TIDAK MENGANTUK DAN TIDAK TIDUR”)
(Sepotong ayat daripada ayat Qursi)

Selain itu, amalan mustajab untuk mengelak berlakunya kemalangan adalah dengan membaca Ayat Kursi 3 kali sebelum memasukkan gear pertama mahu memulakan perjalanan anda ditambah dengan ayat berikut :

“BISMILLAHIL LADZI LA YADHURUHU MA’ASMIHI SYAIUN FIL ARDHI WALA FISSAMAA’ WAHUWASSAMIUN ‘ALIIMM” 
Dibaca 3 kali.
 
Ayat-ayat ini apabila dibacakan boleh membantu kita untuk menjadi lebih segar tidak mengantuk lagi untuk melakukan sebarang pekerjaan.


Berikut adalah saranan daripada Dr. Tengku Ismadi yang dipetik dari Harian Metro:

Faktor-faktor menyebabkan mengantuk ketika belajar dan bagaimana cara mengatasinya

1. Tidak cukup tidur. Ini memang punca utama ramai pelajar mengantuk ketika guru mengajar di sekolah. Ada sesetengah pelajar yang tidur lewat malam sehingga pukul 1 pagi sedangkan esok hari persekolahan dan terpaksa bangun awal.

Ada yang tidur lewat kerana menelaah pelajaran. Ada pula pelajar yang tidur lewat kerana membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti mendengar radio dan melayari Internet sehingga pagi.

Jika ini masalahnya, nyatalah yang anda belum menetapkan matlamat dalam hidup. Pelajar yang bermatlamat tidak buang masa dengan urusan yang sia-sia.

Jika anda tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran, anda perlu mengubah tabiat buruk itu. Ingat pelajar yang cemerlang ialah mereka yang ‘study smart’ bukan semata-mata ‘study hard’.

2. Tidur yang berlebih-lebihan. Tidur yang terlalu lama dan kerap menjadikan anda mengantuk. Tidur yang mencukupi ialah di antara enam hingga lapan jam sehari. Pastikan anda tidak tidur lebih dari tempoh waktu ini.

3. Makan terlalu banyak. Ini satu tabiat buruk. Apabila anda kuat makan, perut anda terpaksa bekerja kuat memproses makanan itu. Proses ini memerlukan ba­nyak oksigen dan mengerah banyak tenaga. Ini membuat­kan anda mudah mengantuk waktu dalam kelas dan ketika mengulang kaji.

4. Badan terlalu letih. Ada ketikanya anda mengantuk disebabkan badan terlalu letih dengan aktiviti sepanjang hari. Jika ada masalah mengantuk cuba senaraikan semua aktiviti luar anda.

Ada ketikanya anda bersukan atau beriadah secara keterlaluan. Bermain bola di waktu petang secara berlebih-lebihan, berbasikal keliling kampung berjam-jam. Semua aktiviti ini memerah keringat dan membuatkan anda keletihan.

Beriadah dan senaman memang baik untuk kesihatan, tetapi tujuannya kena betul. Perbaiki matlamat anda beriadah.

Anda beriadah untuk segar pada waktu malam bagi menelaah pelajaran.

Ada pelajar keletihan disebabkan aktiviti kokurikulum yang berlebih-lebihan. Anda tidak perlu terlalu aktif dalam kegiatan kokurikulum hinggakan tiada masa untuk mengulang kaji dan sehingga memenatkan badan.

Oleh itu, pastikan kegiatan harian anda seimbang antara pencapaian akademik dan pembabitan kokurikulum. Pastikan anda tidak kesuntukan masa supaya anda tetap segar dan tidak mengantuk di waktu malam.

5. Tiada minat belajar. Masalah ini sering dijadikan alasan ramai pelajar. Sebelum saya pergi lebih jauh, cuba fikirkan sejenak antara minat dengan belajar, manakah yang wujud dulu?

Minat tidak tercetus dengan sendirinya dalam diri anda. Ia sesuatu yang wujud disebabkan pengaruh tertentu seperti guru yang baik, penguasaan pelajaran yang sempurna dan markah yang tinggi.

Pernahkah anda dengar adanya pelajar yang dapat markah 90% dalam sejarah berkata yang dia tidak minat sejarah?

Minat timbul apabila anda lihat dalam diri ada potensi untuk pergi lebih jauh. Minat mula timbul apabila anda dapat rasakan yang anda mula menguasai sesuatu mata pelajaran.

Oleh itu, yang perlu anda perbaiki ialah cara belajar anda dan kegigihan anda sendiri. Anda perlu mempunyai kemahiran belajar yang tinggi agar mudah menguasai setiap perkara baru yang dipelajari.


Berikut adalah beberapa saranan apabila anda membaca buku-buku pelajaran:

Lihat seimbas semua muka surat yang anda baca. Dapatkan rangka kasar tentang teks yang bakal anda baca. Dapatkan satu gambaran menyeluruh.

Selasa, Mac 19, 2013

Doa Melembutkan Hati Sesiapa Sahaja Rumi

Doa Melembutkan Hati Sesiapa Sahaja Rumi

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksud ayat:
200 . Hai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah, supaya kamu berjaya.

Bacaan dalam huruf rumi:-
1. Yaaaa Ayyuhalladziina aamanuszbiruu waszaabiruu waraabithuu wattaqullaha la'a'llakum tuflihuuuun.
(Ayat 200 Surah Al Imran)
Ayat terakhir daripada surah Al Imran ini hendaklah dibaca ketika memasak/menyediakan makanan dan dihembus ke dalam makanan tersebut bertujuan untuk melembutkan hati anak-anak.

إِنَّهُ مِن سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِأَلَّا تَعْلُوا عَلَيَّ وَأْتُونِي مُسْلِمِينَ
Maksud Ayat :-
Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya (isi)nya : 'Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa janganlah kamu sekelian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri".

Bacaan dalam huruf rumi:
2. Innahuu min sulaimaana wainnahuu bismillaahirrahmaanirrahiiiim. Allaa ta'luu a'layya wa'tuunii muslimiiiin.

(Ayat 30-31 Surah AnNaml)
Ayat ini dibaca dan dihembus ke muka atau ke arah orang yang dimaksudkan secara berdepan. Ayat ini adalah untuk mengatasi masalah anak-anak yang tidak mendengar kata, tidak hormat kepada ibubapa dan sebagainya.

Quote:
Dalam menangani karenah anak...aku ada cara nak share ngan kawan2..dan ianya juga sebagai ingatan kpd aku sampai bila2...almaklumlaaa..syahmi dah makin membesar dan byk karenahnya. Aku kena byk bersabar...
Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia dan baiti jannati. Sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak.

Semua kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa adalah sebenarnya doa dan akan terkesan ke dalam jiwa anak. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak.
Di sini, aku ingin berkongsi antara doa2 yang patut diamalkan dalam menangani kerenah anak sendiri.

Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran, baca zikir Ya-Latif sebanyak 129 kali diikuti ayat 19, surah as-Syura bermaksud: “Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

Sebaiknya dibaca selepas Subuh iaitu dibaca pada pada air pada semua botol air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.

Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200, surah Ali Imran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir 'Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang. Semua ini insya-Allah adalah doa pelembut hati.

Begitu juga, Surah Toha ayat 1-8, surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam kegiatan lain seperti ketika menemani anak menelaah buku dan membaca al-Quran.

Bagi ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik, elok amalkan ayat 38, Surah Ali-Imran iaitu doa Nabi Zakaria bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. ”

Kita juga digalakkan menyentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Amalkan apabila anak ada masalah emosi atau tingkah laku.

Selepas solat lima waktu,amalkand oa daripada ayat 74, Surah al-Furqan bermaksud: “Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.”

Ayat 40, Surah Ibrahim bermaksud: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku.”

Selasa, November 27, 2012

Doa Hilangkan Keinginan Untuk Berzina

Doa agar dapat menghilangkan nafsu anak-anak untuk berzina ini boleh digunakan oleh ibu bapa untuk membersihkan hati anak-anak daripada terjerumus ke perbuatan zina atau seks bebas. Keinginan seks boleh jadi sesuatu yang sukar untuk dikawal, oleh itu, doa untuk menghapuskan niat untuk berzina ini boleh diamalkan oleh ibu bapa dengan cara-cara yang dijelaskan seperti berikut:

Doa Agar Hilang Keinginan Untuk Berzina

Disarankan ibubapa mengamalkannya untuk anak-anak:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ وَحَصِّنْ فَرْجَهُ
Makudnya: Ya Allah, ampunkanlah dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya.

Bacakan ke atas anak ketika dia sedang tidur dengan meletakkan tangan anda di atas dadanya (anak lelaki) dan tempat yang sesuai (anak perempuan). - Majalah Gen-Q

Jumaat, Ogos 17, 2012

Doa Menghilangkan Susah Hati, Kebingungan dan Masalah Hutang

Doa Menghilangkan Susah Hati, Kebingungan dan Masalah Hutang

Saya telah dihantar email yang saya kira amat sesuai untuk dikongsi bersama. Berikut adalah email yang saya terima tentang doa untuk menghilangkan rasa susah hati, bingung dan bebanan hutang.

Abu Said Al-Khudhri ra bertutur:

“Pada suatu hari Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam masuk masjid. Tiba-tiba ada seorang sahabat bernama Abu Umamah radhiyallahu ’anhu sedang duduk di sana.

Beliau bertanya:

”Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di luar waktu solat?”

Ia menjawab:

”Aku bingung memikirkan hutangku, wahai Rasulullah.”

Beliau bertanya:

”Mahukah aku ajarkan kepadamu sebuah doa yang apabila kau baca maka Allah ta’aala akan menghilangkan kebingunganmu dan melunasi hutangmu?”

Ia menjawab:

”Tentu, wahai Rasulullah.”

Beliau bersabda,

”Jika kau berada pada waktu pagi mahu pun malam hari, bacalah doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

”Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari bingung dan sedih. Aku berlindung kepada Engkau dari lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari pengecut dan kikir. Dan aku berlindung kepada Engkau dari lilitan hutang dan kesewenang-wenangan manusia.”

Kata Abu Umamah radhiyallahu ’anhu:

”Setelah membaca doa tersebut, Allah berkenan menghilangkan kebingunganku dan membayarkan lunas hutangku.”

[HR Abu Daud 4/353]

Selasa, Ogos 07, 2012

Waktu Berdoa Yang Paling Mustajab

Berdoa merupakan satu strategi. Jika kena caranya, mustajablah doa. Kesan doa yang paling mujarab dapat dilihat apabila kita berjaya merebut waktu-waktu tertentu. Ada waktu-waktu tertentu yang mempunyai nilai mustajab doa. Maka jangan sia-siakan kesempatan untuk berdoa di waktu itu. Waktu-waktu berdoa yang paling makbul adalah seperti berikut:

1. Waktu sepertiga malam yang akhir

Sesungguhnya Rasulullah bersabda:
“Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Sewaktu berbuka puasa bagi orang yang berpuasa


“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

3. Doa selepas solat fardhu

“Doa itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu” (HR Al-Tirmizi)

4. Doa di dalam sujud

“Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhl ah berdoa keraan saat itu sangat tepat untuk dikabulkan” (HR Muslim)
“Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah ketika waktu sujud , maka perbanyakkanlah berdoa” ( HR Muslim )

5. Sesaat pada hari Jumaat

“Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah bertepatan seorang hamba muslim shalat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Ketika Lailatulqadar
Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w:
“Sekiranya saya bertemu dengan Lailatul Qadar , apakah yang perlu say abaca? Jawab Rasulullah s.a.w sebutlah olehmu Ya Allah, sesungguhnya Kamu Maha Pemaaf lagi Maha Mulia . Kamu sukakan kemaafan . Jesteru , maafkanlah aku .” (HR Al-Tirmizi, Ibn Majah & Al-Nasa’ie , lihat sahih Al-Tirmizi )

7. Ketika Hari Arafah
 
Dari ‘Amr bin Syu’aib Radhiyallahu ‘anhu dari bapaknya dari datuknya bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”. (Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da’waat 13/83)

8. Doa antara Azan dan Iqamah


“Tidaklah ditolak doa diantara azan dan iqamah .” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

9. Ketika Hujan

Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim.

Ahad, November 07, 2010

Doa Pengubat Duka dan Stres - Tekanan

اللهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَ ابْنُ عَبْدِكَ ، وَ وَ ابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ أنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَداً مِنْ خَلْقِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ اْلغَيْبِ عِنْدَكَ ، أنْ تَجْعَلَ القُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي،وَ نُوْرَ صَدْرِي ، وَجَلاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu (lelaki) dan anak hambaMu (perempuan). Ubun-ubunku dalam genggamanMu, hukumanMu berlalu kepadaku, Qada’ (keputusan) Mu kepadaku adalah adil, aku mohon kepadamu dengan setiap nama yang telah engkau berikan untuk diriMu, atau yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang engkau simpankan dalam perbendaharan ghaib dari ilmuMu, agar Engkau jadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya dadaku, pelenyap dukaku dan penghilang kesedihanku”.

Petua Beramal Doa Penawar Perasaan Duka dan Sedih serta Tekanan Perasaan atau Stress
Sesiapa ditimpa perasaan sedih dan duka, maka hendaklah dia berdoa dengan apa yang dianjurkan oleh Nabi S.A.W ini. Tatkala Nabi S.A.W selesai mengajar doa ini, seorang sahabat bertanya kepada Baginda S.A.W : Wahai RasululLah, orang yang lemah adalah orang yang meninggalkan doa ini?

Jawab Baginda S.A.W, "Ya! sebab itu bacalah olehmu doa ini dan ajarkanlah ia. Sesiapa yang yang membacanya menurut apa yang tersebut itu nescaya Allah S.W.T akan menghilangkan dukacitanya dan memanjangkan perasaan senangnya.

Jumaat, November 06, 2009

Doa memohon perlindungan daripada kejahatan semua makhluk

Doa memohon perlindungan daripada kejahatan semua makhluk
'Ya Allah, Tuhan kami. Engkau Tuhan, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Engkau. Kepada Engkau kami bertawakal dan Engkaulah Tuhan Arasy Yang Maha Besar.

Sesuatu yang dikehendaki Allah pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki Allah pasti tidak akan berlaku. Tiada daya upaya dan tiada sebarang kekuatan yang dapat menjaya dan menggagalkan sesuatu melainkan dengan keizinan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. Kami mengetahui sesungguhnya Allah atas tiap-tiap sesuatu amat berkuasa. Dan, sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya pada tiap-tiap sesuatu.
Ya Allah. Tuhan kami. Sesungguhnya kami memohon berlindung dengan Engkau daripada kejahatan dan keburukan pada diri kami dan daripada kejahatan tiap-tiap makhluk yang melata (jin, syaitan, binatang dan manusia). Engkaulah yang mengawasi ubun-ubunnya (segala gerak geri). Sesungguhnya Tuhan kami di atas jalan yang benar.
Dan, cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad s.a.w dan atas keluarganya serta sahabat-sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.'
  • Amalkan membaca doa ini selalu, jika tiada kesempatan pun, seumur hidup. Insya-Allah akan terhindar dari penyakit yang berbahaya.
  • Menurut riwayat, doa ini adalah menjadi amalan Abi Darda, seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang didapatinya daripada baginda.

Khamis, November 05, 2009

Kaedah dan Adab Berdoa - Cara-Cara Berdoa Supaya Cepat Makbul

Kaedah dan Adab Berdoa
Sumber: HARIAN METRO
  • Hendaklah dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar selain memakai pakaian bersih serta tempat berdoa yang selesa.
  • Menghadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk tawaduk selain merendah diri kepada Allah.
  • Doa dimulakan dengan membaca al-Fatihah atau memuji Allah sekurang-kurangnya, “Alhamdulillahirabbilalamin” diikuti dengan membaca selawat atas nabi.
  • Angkat tangan hingga kelihatan kedua-dua ketiak di samping perut anak jari menghadap ke atas.
  • Selepas selesai berdoa, sapukan kedua-dua tangan ke muka.
  • Berdoa perlulah dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memperkenankan doa kita itu. Jangan sekali-kali berdoa dalam keadaan hati lara dan lalai atau kurang yakin kemahuannya.
  • Rasulullah bersabda, maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan penuh yakin Dia akan memperkenankan doa kamu. Dan, ketahuilah sesungguhnya Allah tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai atau keluh kesah. (Riwayat At-Tarmizi).
  • Setiap orang Islam hendaklah banyak berdoa kepada Allah ketika dalam keadaan senang atau mudah supaya Allah akan memperkenankan doanya dalam keadaan susah.
  • Berdoa dengan suara yang perlahan dan merendah diri selain mengakui segala kesalahan serta dosa-dosa yang pernah dilakukan.
  • Firmah Allah yang bermaksud: Berdoalah kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan (Surah al-Araaf ayat 55).
  • Sebaik-baik doa ialah dengan kata-kata yang mudah dan ringkas serta mempunyai pengertian yang luas, contohnya:
  • “Ya, Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka”.
  • Untuk memohon sesuatu hajat, ulangi perkara itu sekurang-kurangnya tiga kali
  • Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau kejahatan, perpecahan dalam masyarakat atau keluarga. Ingat, apabila berdoa jangan meminta sesuatu yang mustahil.
  • Jangan mudah merajuk apabila doanya tidak dikabulkan Allah. Sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa selain berserah diri kepada Allah.
  • Sebelum mengakhiri dengan ucapan Amin, setiap doa perlu ditutup dengan selawat ke atas Nabi s.a.w selain puji-pujian kepada Allah.

9 Petua Berdoa Supaya Cepat Makbul
Hadis-hadis Nabi Berkenaan Doa Yang Cepat Dimakbulkan

BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa mustajab.
  1. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."
  2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.
  3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."
  4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."
  5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."
  6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."
  7. Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."
  8. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'
  9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."

Rabu, September 10, 2008

Hadis Berkaitan Doa Malaikat Jibrail Menjelang Ramadhan Ternyata Palsu

Doa Malaikat Jibrail Menjelang Ramadhan Ternyata Palsu
Susunan: Amiene Rev (C) 2008

Beberapa hari sebelum bulan Ramadhan tiba, saya menerima banyak
forward message, forward e-mail dan membaca pos, entri dan buletin di laman web sosial mengenai hadis yang berkaitan dengan doa malaikat Jibrail menjelang Ramadhan. Dari segi logik dan rasionalnya, saya mendapati ada kecacatan dalam hadis tersebut, lalu saya mencari dan menyiasat kebenaran hadis ini. Hadis tersebut ternyata palsu. Berikut adalah pendedahan berkaitan hadis palsu.


Doa Malaikat Jibrail Menjelang Ramadhan

Hadis palsu yang disebarkan berbunyi bergini:

Doa malaikat Jibril menjelang Ramadhan: "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

- Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
- Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri;
- Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. "

Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdoa adalah Malaikat dan yang mengaminkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.


Hadis ini telah dipalsukan buktinya diterangkan di bawah:

RIWAYAT YANG ASAL (HADIS SAHIH)

آمين، فلما ارتقى الدّرجَة الثالثة قال: آمين، فلما نزل، قلن: يا رسولَ الله لقَدْ سمعنَا مِنْكَ الْيَوْمَ شَيْئاً ما كُنَّا نَسْمَعُه! قال: إن جِبْريلَ عليه السلام عَرضَ لِي فقال: بَعُدَ منْ أدرَكَ رمَضَانَ فَلِمْ يُغْفَرْلَهُ قلت: آمين، فلما رقيت الثانية قال: بَعُدَ منْ ذكرت عنده فلم يصلّ عَلَيْكَ فقلت آمين، فلما رقيت الثالثة قال: بَعُدَ مَنْ أَدرَكَ أبويهِ الكبر عنده أو أَحَدَهُمَا فلم يُدْخِلاَهُ الْجنَّةَ قلْتُ: آمين

Maksud hadis:

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya

Hadis Riwayat Bazzar dalam Majma'uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka'ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)


Sesiapa yang terlibat menyebarkan hadis palsu ini silalah hentikannya ia adalah kerana:

Dalil Pertama

Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka.

Hadis Sahih (Mutawattir): Dikeluarkan Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain. Lihat Sahih al-Bukhari, hadis no – 109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta keatas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam). Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no – 3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta keatas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam).


Dalil Kedua

Barangsiapa yang menceritakan dariku satu hadis yang ia sangka, sesungguhnya hadith tersebut dusta/palsu, maka ia termasuk salah seorang dari para pendusta.

Hadis Sahih: Dikeluarkan Muslim, Ibnu Majah, Tirmidzi, Ahmad. Lihat Muqaddimah Sahih Muslim. Lihat juga Musnad Ahmad (Hadis Daripada Samuroh Bin Jundud radhiallahu ‘anh) dengan lafaz yang sedikit berbeza.

Khamis, Ogos 28, 2008

MP3 Doa Berbuka Puasa - Audio

Sabtu, Oktober 14, 2006

Hadis Dha'if dan Hasan tentang Doa Berbuka Puasa

Salam Ramadhan,

Hadis dhaif tentang doa berbuka puasa:

Dari Muadz bin Zuhrah, bahwasannya telah sampai kepadanya, sesungguhnya Nabi S.A.W apabila berbuka (puasa) beliau mengucapkan, Allahumma laka shumtu wa bika amantu (HR Abu Dawud no. 2358, Baihaqi 4/239 dan lainnya)

Hadis tersebut di atas dikatakan mursal kerana Muadz bin Zuhrah adalah seorang tabiin bukan seorang sahabat, jadi ada sanadnya yang terputus antara sahabat dan tabiin sehingga haditsnya dikategorikan dhaif.

Sementara itu hadis yang hasan tentang doa berbuka puasa adalah sebagai berikut:

Doa yang biasa diucapkan Rasulullah SAW ketika berbuka puasa, DzaHabazh zhuma-u wabtallatil uruqu wa tsabatal ajru insya Allah yang bermaksud Telah hilang rasa haus dan urat-urat telah basah serta pahala telah ditetapkan, insya Allah (HR. Abu Dawud no. 2357, Ad Daraquthni III/1401 no. 2247, dan Al Hakim no. 1/422, hadits ini dihasankan oleh Syeikh Al Albani dalam Kitab Irwaa-ul Ghaliil no. 920)


Rujukan:

1. Al Masaa-il, Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta, Cetakan Kedua, 2004.
2. Adab Harian Muslim Teladan, Abdul Hamid bin Abdurrahman As Suhaibani, Pustaka Ibnu Katsir, Bogor, Cetakan Pertama, Januari 2005, hal. 184-185.