Kaedah dan Adab Berdoa - Cara-Cara Berdoa Supaya Cepat Makbul
Kaedah dan Adab Berdoa
Sumber: HARIAN METRO
Sumber: HARIAN METRO
- Hendaklah dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar selain memakai pakaian bersih serta tempat berdoa yang selesa.
- Menghadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk tawaduk selain merendah diri kepada Allah.
- Doa dimulakan dengan membaca al-Fatihah atau memuji Allah sekurang-kurangnya, “Alhamdulillahirabbilalamin” diikuti dengan membaca selawat atas nabi.
- Angkat tangan hingga kelihatan kedua-dua ketiak di samping perut anak jari menghadap ke atas.
- Selepas selesai berdoa, sapukan kedua-dua tangan ke muka.
- Berdoa perlulah dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memperkenankan doa kita itu. Jangan sekali-kali berdoa dalam keadaan hati lara dan lalai atau kurang yakin kemahuannya.
- Rasulullah bersabda, maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan penuh yakin Dia akan memperkenankan doa kamu. Dan, ketahuilah sesungguhnya Allah tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai atau keluh kesah. (Riwayat At-Tarmizi).
- Setiap orang Islam hendaklah banyak berdoa kepada Allah ketika dalam keadaan senang atau mudah supaya Allah akan memperkenankan doanya dalam keadaan susah.
- Berdoa dengan suara yang perlahan dan merendah diri selain mengakui segala kesalahan serta dosa-dosa yang pernah dilakukan.
- Firmah Allah yang bermaksud: Berdoalah kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan (Surah al-Araaf ayat 55).
- Sebaik-baik doa ialah dengan kata-kata yang mudah dan ringkas serta mempunyai pengertian yang luas, contohnya:
- “Ya, Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka”.
- Untuk memohon sesuatu hajat, ulangi perkara itu sekurang-kurangnya tiga kali
- Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau kejahatan, perpecahan dalam masyarakat atau keluarga. Ingat, apabila berdoa jangan meminta sesuatu yang mustahil.
- Jangan mudah merajuk apabila doanya tidak dikabulkan Allah. Sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa selain berserah diri kepada Allah.
- Sebelum mengakhiri dengan ucapan Amin, setiap doa perlu ditutup dengan selawat ke atas Nabi s.a.w selain puji-pujian kepada Allah.
9 Petua Berdoa Supaya Cepat Makbul
Hadis-hadis Nabi Berkenaan Doa Yang Cepat Dimakbulkan
Hadis-hadis Nabi Berkenaan Doa Yang Cepat Dimakbulkan
BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa mustajab.
- Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."
- Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.
- Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."
- Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."
- Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."
- Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."
- Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."
- Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'
- Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."
|