BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 22, 2009

2012 - Bukan Filem Hari Kiamat - Mesej Kemanusiaan Untuk Umat Manusia

SEBELUM ULASAN FILEM DIBUAT: Hari ini saya melakukan kerja-kerja yang perlu disiapkan sebelum Hari Raya Aidil Adha menjelma. Saya harus berterima kasih dan bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan rakan-rakan sekerja yang memahami saya. Dunia pekerjaan tidak begitu sama dengan dunia semasa belajar. Kadangkala kita siapkan tugas kita dengan cepat, tetapi tidak semestinya orang lain juga boleh menyiapkan tugas dengan cepat. Kadangkala pergantungan dan birokrasi berlaku. Kadangkala kerana menunggu orang lain menyelesaikan kerjanya, kerja kita tertangguh dan kita didatangi pula dengan kerja-kerja lain. Dan apabila orang lain menyiapkan tugasan yang perlu dihantar kepada kita, kerja kita menjadi bertindan-tindan.

Dunia pekerjaan, perlu didahului dengan matlamat. Tuhan lebih mengetahui apa yang berlaku. Cuma niat yang menyelamatkan kita di akhirat kelak. Namun saya bersyukur kerana rakan-rakan setugas memahami apa yang berlaku ke atas saya. Mereka menawarkan diri untuk membantu. Pada mulanya saya agak berat hati untuk membiarkan mereka membantu saya, namun mereka memberi alasan yang munasabah. Benar, saya terpaksa melakukan banyak kerja dalam satu masa. Ini kerana ada beberapa individu yang sepatutnya lambat menghantar laporan yang perlu saya uruskan. Lambatnya mereka sehingga 19 November 2009 pun masih ada yang baru hantar. Sepatutnya segalanya telah selesai selewat-lewatnya 17 November. Namun saya memahami tidak semua orang memiliki kemampuan untuk menyelesaikan tugas tepat pada masanya. Ada kekangan lain dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itu, saya membenarkan mereka menghantar laporan selewat-lewatnya pada 19 November. Dan pada 19 November, segala-galanya selesai. Sementara itu pada 18 November, saya dijadualkan untuk terlibat dengan tugasan yang lain pula. Namun segalanya tertangguh kerana kelewatan sesetengah individu dan nampaknya mereka memiliki banyak masalah. Antaranya tidak yakin kerana kurang pengalaman dan kemahiran dalam tugas yang disediakan. Ada pula yang terlupa untuk mengirimkan laporan. Maka terdapat beberapa perkara yang perlu diselaraskan semula supaya semua kerja dapat diselesaikan tepat pada masanya. Melihatkan keadaan seperti ini, maka ramailah rakan sekerja yang membantu saya. Menurut mereka, kerja-kerja saya amat penting, maka biarlah kerja yang satu lagi itu dibantu oleh rakan sekerja yang lain. Tambahan pula, bukan kesalahan saya kerana terlalu sibuk. Ini kerana ada pihak yang lambat dan lewat dalam menguruskan kerja mereka sehingga menjejaskan jadual kerja saya.

Apa pun kelemahan dan ketidaksempurnaan dalam tugasan bukan lagi menjadi isu kerana semua orang berusaha untuk menyelesaikan masalah dan mencapai sasaran. Dalam kes ini, tidak ada masa untuk menyalahkan sesiapa biarpun saya sememangnya boleh berbuat demikian. Melaksanakan misi organisasi adalah perkara utama berbanding hal-hal emosi. Berfikir secara rasional untuk menyelesaikan masalah yang timbul adalah lebih utama.

Akhirnya tugas wajib saya selesai juga lebih awal daripada masa yang ditetapkan. Lalu saya pun meminta kembali bahagian tugas saya untuk diselesaikan. Menurut rakan-rakan sekerja, tugas ini tidak patut dilaksanakan oleh saya seorang dan sebab itu mereka tidak kisah untuk menolong saya. Tugas itu terlalu banyak dan mencapah dan sememangnya perlu ada orang yang membantu saya. Terima kasih saya ucapkan. Dengan ini saya tidak lagi memiliki 25 jam sehari. Saya tidak lagi menjadi robot yang beroperasi sepanjang hari.

Apa pun, berdasarkan peristiwa tersebut, saya akhirnya menyedari potensi kerja saya. Saya dapati saya mampu melakukan kerja yang jauh lebih sukar berbanding ini. Saya juga menemui cara yang lebih mudah dan fleksibel. Hasil daripada masalah kerja tersebut, saya mendapat idea-idea baru dan sistem-sistem baru yang boleh diperkenalkan untuk kemudahan rakan sekerja dan juga dapat meningkatkan lagi kualiti kerja di jabatan terbabit. Saya bercadang melaksanakan satu bengkel atau program latihan khusus untuk memperkenalkan teknik atau sistem kerja yang baru ini pada tahun hadapan. Sebenarnya, ada cari yang lebih fleksibel dan mudah berbanding sistem kerja sedia ada. Selepas ini, saya rasa tidak ada alasan lagi untuk sesiapa pun lewat atau lambat dalam melaksanakan kerja ini kerana semuanya sudah menjadi lebih senang. Saya memahami status saya sebagai orang baru di jabatan ini, oleh itu perancangan yang dibuat harus mengambil kira ego orang lama. Bahasa pertuturan harus disusun agar tidak ada yang terasa. Niat bekerja haruslah ikhlas. Lillahi Taala.

Pagi ini saya meneruskan bahagian kerja saya yang satu lagi. Saya mahu mengisi perut yang lapar dan mencari idea-idea baru sebelum meneruskan kerja. Sekitar jam 12 tengah hari, saya rasa saya perlu berehat dan mencari sesuatu untuk menyegarkan otak. Terlintas di fikiran saya untuk menonton filem 2012. Susah betul untuk mendapatkan tiket kerana filem itu sering SOLD OUT. Namun saya bernasib baik.

Ketika itu sampai giliran saya untuk membeli tiket. Seorang lelaki Cina datang menanyakan kepada staf di kaunter tiket tentang filem 2012. Sepatutnya lelaki ini memberi ruang kepada saya untuk memilih dan menetapkan tiket wayang terlebih dahulu kerana jualan tiket berdasarkan siapa cepat dia dapat. Terdapat banyak kaunter tiket yang sedang beroperasi dan setiap saat, peratusan untuk mendapatkan tiket wayang 2012 akan semakin tipis.

Namun lelaki Cina itu kelihatan begitu terdesak untuk bertanya kepada staf di kaunter. Lalu kerana dia sekarang sedang 'menyampuk' urus niaga kami, maka saya pun memasang telinga dan masuk campur. Lelaki itu bertanya, "Sampai bila filem 2012 itu akan ditayangkan?"

Staf kaunter berfikir sejenak kerana terpaksa melakukan dua kerja dalam satu masa. Saya lantas mewakili staf kaunter dan memberi jawapan yang sesuai. Ya, staf kaunter bersetuju. Lelaki Cina itu bertanya lagi, tarikh-tarikh tayangan filem tersebut. Kali ini saya membiarkan staf kaunter menunjukkan kertas jadual tayangan. Lelaki Cina itu berpuas hati dan pergi.

Saya tidak mengharap masih ada tiket tayangan 2012 kerana carta tayangan menunjukkan semua tiket tayangan filem 2012 telah SOLD OUT. Staf kaunter juga mengatakan tiket filem itu sudah SOLD OUT untuk hari ini. Jadi saya meminta staf kaunter supaya mencari tiket apa-apa filem yang paling awal tayangan pada ketika itu supaya saya dapat balik awal juga untuk menyiapkan kerja saya yang berbaki sedikit lagi.

Semasa staf kaunter itu sedang menyemak slot tayangan, tiba-tiba dia menanyakan kepada saya jika saya mahu melihat filem 2012. Saya menjawab sekiranya ada lagi, boleh juga. Maka, staf kaunter memberikan saya tiket untuk satu tempat duduk yang paling menarik, di bahagian tengah yang kebetulan ketika itu ada kekosongan. Nampaknya tentu ada orang yang membatalkan niat untuk menonton filem 2012 pada saat-saat akhir. Dan tempat tersebut merupakan tempat yang bertuah pula.

Maka dapatlah saya menonton filem 2012 di bahagian tengah panggung dan juga merupakan tempat paling mudah untuk fokus. Lalu dapatlah saya mengulas filem 2012 pada hari ini. Dan kerja saya juga selesai. Nampaknya saya boleh melalui Hari Raya Aidil Adha dengan gembira. Segala kerja telah selesai.



ULASAN FILEM 2012 - Filem 2012 mengisahkan dilema pemimpin dunia dan saintis-saintis yang bertanggungjawab dalam menguruskan urusan menyelamatkan nyawa manusia daripada bencana alam yang maha hebat. Tagline "Who Will Be Left Behind?" merupakan tagline yang kena dengan jalan cerita 2012.

Ramai orang percaya bahawa 2012 adalah filem tentang hari Kiamat. Setelah menonton filem 2012, saya berpendapat filem 2012 bukanlah berkenaan Hari Kiamat, tetapi lebih kepada bencana alam yang dahsyat. Sememangnya melihat trailer filem 2012, kita akan rasakan seolah-olah Hari Kiamat. Apabila bintang-bintang berjatuhan, ya benar, kebanyakan adegan dalam filem ini menunjukkan tentang perkara-perkara yang ada disebutkan di dalam Al-Quran tentang kiamat, tetapi filem ini lebih merupakan kepada perubahan secara geologi kerak bumi.

Jika kita pernah belajar Sejarah atau Geografi, tentu kita pernah mempelajari bagaimana benua-benua terbentuk dan terpisah. Pada penghujung filem ini, Afrika menjadi satu Dataran Besar dan dunia baru bagi umat manusia. Tanah Tinggi Tibet bukan lagi tempat tertinggi di dunia selepas berakhirnya bencana alam 2012.

Filem 2012 menyangkal teori tentang kiamat secara kreatif dan dibantu dengan ilmu berkenaan geologi. Hari Kiamat dikatakan hari terakhir untuk umat manusia, di mana bumi akan musnah dan lenyap. Namun filem 2012 cuba mententeramkan manusia dengan memberitahu masih ada harapan selepas berlakunya bencana alam yang diramalkan pada tahun 2012.

Dalam filem 2012 ada banyak watak yang syahid dan mati dalam kemuliaan. Watak-watak ini mati sama ada kerana rasa tanggungjawab atau kerana menyelamatkan manusia lain atau kerana sebab-sebab lain. Watak yang saya suka ialah watak Presiden Amerika yang berasa bersalah terhadap sekalian rakyatnya. Beliau memilih untuk tinggal bersama-sama dengan rakyatnya yang tidak mampu membeli tiket yang amat mahal harganya, untuk naik ke kapal besar, dan menghabiskan saki-baki terakhir nyawanya bersama-sama rakyat jelata.

Watak Sasha juga menarik perhatian saya. Beliau mati dalam kemuliaan dalam filem ini. Semasa menonton filem ini saya teringatkan pesan ayahanda saya berkenaan mati syahid dan mati dalam kemuliaan. Ayahanda saya amat marah jika saya menyamakan mati syahid dengan mati dalam kemuliaan. Syahid itu, menurut ayah saya ialah mati yang mulia khusus untuk umat Islam manakala mati dalam kemuliaan itu adalah untuk golongan kafir, dan terpulanglah kepada Tuhan untuk menentukan kedudukan mereka di akhirat.

Watak Yuri Karpov juga menarik. Beliau akhirnya mati dalam kemuliaan semasa hendak menyelamatkan anak-anaknya. Mujurlah filem ini menunjukkan moral yang baik apabila kedua-dua orang anak hartawan itu berubah sikap menjadi anak yang baik selepas tamat bencana 2012.

Salah satu watak utama yang paling saya suka ialah watak seorang saintis geologi yang bernama Adrian. Beliau berani bersuara untuk menegakkan keadilan dan menyatakan hak umat manusia untuk berusaha bagi menyelamatkan diri. Saya menyokong pemikiran Adrian. Memang betul kapal-kapal besar tidak dapat menampung umat manusia yang begitu ramai itu, tetapi apabila diteliti, sebenarnya terdapat banyak ruang di dalam kapal besar itu yang masih boleh memuatkan umat manusia.

Saya paling tertarik apabila Adrian mempertikaikan kenyataan pihak pemerintah mengenai golongan yang layak menaiki kapal. Menurut pihak pemerintah, cuma golongan yang terpilih, terbaik dan mampu memberi dana pembinaan kapal, dan yang mampu membayar harga tiket sahaja sahaja yang layak untuk naik ke kapal besar. Memang menjijikkan, apabila ada antara golongan tersebut, kaya-raya tetapi biadab. Hal ini sama dengan realiti masa kini di mana ada manusia mendapat sesuatu yang bukan haknya. Contohnya pembahagian subsidi dan biasiswa kepada para pelajar. Ada golongan yang senang-senang mencuri bahagian subsidi peruntukan kerajaan untuk rakyat negara sendiri, dan ada juga yang sebenarnya tidak layak mendapat biasiswa atau keistimewaan yang khusus untuk pelajar atau rakyat miskin, tetapi mereka mendapatkan juga dan tidak mahu melepaskannya biarpun tahu mereka tidak layak. Golongan seperti ini menindas golongan miskin dengan mengambil hak orang miskin dan ini meliputi hak anak-anak yatim, anak-anak kepada ibu tunggal dan seumpamanya.

Dalam erti kata lain, walaupun tamadun manusia dapat dibentuk semula selepas tragedi 2012, pastinya tamadun itu tidak sempurna kerana ada manusia yang kaya tetapi busuk hatinya.

Sepanjang menonton filem ini saya banyak terkenangkan ahli keluarga saya, sahabat-sahabat saya, guru-guru saya dan pelajar-pelajar saya. Saya terfikir apakah kita semua akan sedar dan insaf selepas menonton filem 2012. Filem ini mampu membuatkan saya mengalirkan air mata apabila memikirkan kesemua orang yang ada kena-mengena dengan diri saya.

Saya mengingati jasa-jasa guru, ibu bapa, atuk, nenek, adik-beradik, sahabat-sahabat saya dan kemudian orang-orang yang pernah menimba ilmu dengan saya. Saya tidak pasti berapa ramai orang yang menimba ilmu dengan saya, dan apa yang saya tahu jumlahnya sudah melebihi beribu-ribu orang. Sejak di bangku universiti lagi saya sudah digelar Sir atau Cikgu kerana suka mengajar orang tidak kira di depan mata atau melalui internet. Namun kini saya lebih suka mengajar orang-orang tentang adab mengenang budi dan menghargai orang lain. Itu jauh lebih bermakna daripada ilmu akademik yang berasaskan keduniaan.

Sememangnya filem ini memberi kesedaran kepada manusia tentang Hari Kiamat biarpun apa yang dipaparkan dalam filem ini tidak merujuk kepada Hari Kiamat. 2012 ialah sebuah filem bencana alam.

Tiba-tiba saya teringatkan tentang dunia akhirat. Tentang kehidupan di syurga dan di neraka. Selama ini saya berharap agar di dunia ini nanti akan ada ramai orang yang beradab, tahu mengenang budi, tahu menghargai manusia lain dan suka memberi sumbangan dengan niat yang ikhlas atas nama persaudaraan kepada orang lain.

Sebenarnya, memang benar amat sukar untuk melihat impian sedemikian menjadi kenyataan. Tetapi pasti di akhirat nanti, di syurga cuma akan ada orang yang baik-baik sahaja. Tidak ada langsung orang yang biadab.

Terfikirkan hal ini, saya lantas merenung diri saya. Memerhatikan diri saya jika masih ada saki-baki biadab dalam diri saya. Sehingga ke hari ini, saya suka bertanya kepada sesiapa yang mengenali diri saya tentang diri saya, melihat sekiranya ada saki-baki yang tidak sempurna tentang sikap saya kepada orang lain dan juga kepada diri saya sendiri.

Filem 2012, memberi kekuatan diri terhadap saya untuk meneguhkan lagi inspirasi saya tentang menegakkan adab bergaul sesama manusia, mengenang budi dan menghormati orang lain. Satu hari nanti, dunia ini akan dipenuhi dengan orang yang memahami erti persahabatan, erti persaudaraan, erti mengenang budi dan adab sopan.

Kesempurnaan sukar dicari. Namun perubahan sikap dan petunjuk boleh dipinta. Saya bersyukur kerana di dunia ini, saya diperkenalkan dengan ramai orang-orang yang baik-baik untuk dijadikan kawan.

Terima kasih kepada semua rakan sekerja yang sukarela membantu meringankan kesusahan saya. Saya akan mengutuskan khabar gembira buat pihak atasan. Dan saya juga telah tahu siapa rakan-rakan semasa susah yang bersedia untuk menolong saya. Memang ramai yang boleh diharapkan. Mereka memang rakan sekerja yang bagus. Saya ingat saya mahu lepaskan satu jawatan penting pada tahun hadapan. Terlalu banyak jawatan penting yang diserahkan. Saya percaya masih ada rakan sekerja yang mampu diamanahkan memikul kerja-kerja penting seperti ini. Mungkin lebih baik lagi daripada saya. Saya ada projek untuk dilaksana pada tahun hadapan dalam bidang yang lain. Oleh itu akan ada jawatan yang akan saya lepaskan pada tahun hadapan. Ini kerana tahun hadapan, saya ingin membantu jabatan saya mencapai matlamat cemerlang dan kualiti untuk bidang-bidang yang tertentu. Oleh itu, pengkhususan bidang tugas wajib dirancang dengan baik tahun ini.

Sepanjang tiga minggu ada tiga perkara yang saya anggap sebagai perkara utama yang menarik untuk diri saya. Pertama saya ada tetamu yang datang dari jauh, dan mereka sudah berjanji sejak beberapa bulan yang lalu untuk bertemu. Saya bersyukur kerana dapat melunaskan tanggungjawab saya dan janji saya terhadap mereka. Sebenarnya, saya sedang melatih diri saya untuk mampu membahagikan masa antara kerjaya dan tugasan peribadi. Saya selalu menetapkan berapa masa untuk diluangkan bersama keluarga. Dan saya berjaya melaluinya dalam keadaan yang paling sibuk. Sebab saya bukan jenis pekerja yang sering membawa tugasan pejabat balik ke rumah lagi. Sejak melihat perubahan adab manusia, saya mula memikirkan betapa pentingnya untuk saya sebagai seorang ketua keluarga tidak lama lagi untuk memberikan perhatian terhadap keluarga saya. Maka latihan ini telah saya mulakan sejak sebulan lalu. Di rumah adalah masa untuk keluarga. Apa pun itulah masanya untuk saya bersama keluarga. Dan saya memahami rakan sekerja yang senior juga memikirkan perkara yang sama. Sebab itu saya tidak menyalahkan mereka atas kelewatan mereka menghantar tugasan kerana ada rakan sekerja yang lain yang lebih lewat kerana dipanggil secara mendadak oleh pihak di Putrajaya. Pendek kata, tidak ada sesiapa yang harus dipersalahkan kerana semua orang berusaha untuk mencapai matlamat kerjaya. Saya memahami perkara ini. Di pejabat dan waktu bekerja rasmi adalah untuk matlamat kerjaya. Kedua, saya mengetahui ada ramai orang yang boleh diharapkan di jabatan ini yang akan sedia membantu saya semasa susah. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana adanya rakan sekerja seperti ini. Ketiga, saya mendapat idea-idea baru untuk dijalankan pada masa akan datang hasil daripada pengalaman sepanjang minggu ini dan saya percaya, tugasan rakan-rakan sekerja akan dapat diringankan lagi pada masa hadapan dan kami semua akan lebih seronok bekerja pada masa akan datang. Seronok bekerja dengan ikhlas. Tidak perlu tertekan, fikirkan secara rasional, luaskan pemikiran dan saling memahami antara satu sama lain adalah kunci kebahagiaan dalam pekerjaan.

Terima kasih buat semua. Tulus ikhlas daripada saya, biarpun saya tahu mereka tidak akan tahu apa yang saya tulis di sini kerana mereka langsung tidak tahu alamat blog saya melainkan orang-orang tertentu sahaja yang terlibat dalam pentadbiran dan pengurusan laman blog saya. Itulah blog. Laman bersuara seorang individu sebagai penulis blog.