BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Oktober 22, 2009

Ulasan Filem Surrogates - Mengorbankan Nikmat Sebenar Demi Keselamatan Jiwa

Surrogates - Cinta Benar Badan Palsu
Kebaikan dan Keburukan Teknologi Surrogates
Ulasan Filem Oleh Amiene Rev (C) 2009

Sanggupkah manusia mengorbankan kehidupan sebenar demi keselamatan jiwa? Sanggupkah manusia berpacaran, melakukan hubungan seks secara kawalan jauh, menerusi robot pengganti atau disebut juga dengan nama lain, iaitu 'surrogate' yang mampu menggantikan badan manusia untuk melakukan sebarang pekerjaan? Filem Surrogates yang divisualisasikan berdasarkan novel Surrogates, membawa topik perbincangan berkaitan jiwa benar dan badan palsu.

Filem Surrogates dihidupkan oleh watak Tom Greer, lakonan Bruce Willis yang amat terkenal menerusi filem-filem Die Hard, Twelve Monkeys, Fifth Element dan The Sixth Sense. Salah seorang pelakon filem aksi yang memiliki wajah yang selamba tetapi mampu menghidupkan pelbagai watak dengan jayanya.

Sekian lama, tidak ada kes pembunuhan berlaku, sejak penggunaan Surrogate. Tidak ada lagi kes penyebaran penyakit berjangkit dan wabak. Manusia pada zaman itu, tidak lagi keluar dari rumah. Mereka cuma berbaring di katil dan mengawal Surrogate masing-masing dengan menggunakan minda. Sekiranya berlaku kemalangan terhadap Surrogate, tuan punya Surrogate tetap akan selamat.
Mereka cuma perlu membeli atau membaiki Surrogate mereka.

Surrogates juga memberi kepuasan palsu terhadap rupa paras individu. Kalau seseorang itu berkulit putih dan rendah, dan mahukan penampilan dalam bentuk badan yang tinggi dan berkulit gelap, mereka boleh menjadikannya kenyataan. Ada orang yang berbadan gemuk, tetapi Surrogates mereka berbadan ramping. Untuk penambahbaikan seperti deria rasa, rupa paras yang menarik dan sebagainya, mereka cuma perlu membayar lebih. Surrogates juga perlu dicas baterinya dari semasa ke semasa. Dan kemudahan untuk mengecas semula bateri Surrogates boleh ditemui di kebanyakan tempat.

Namun, tidak semua orang menyukai Surrogates. Surrogates dianggap sebagai satu penipuan kehidupan. Golongan yang anti-Surrogates ini dikenali sebagai The Dreads. Mereka hidup seperti manusia biasa, dan diketuai oleh seorang lelaki kulit hitam yang dipanggil sebagai Nabi.

Tom Greer, seorang agen FBI telah ditugaskan untuk menyiasat kes pembunuhan pertama melibatkan Surrogate. Satu senjata yang mempunyai keupayaan untuk membunuh tuan punya Surrogate telah dicipta. Senjata ini akan menyebabkan otak tuan punya Surrogate menjadi cair, dan pada yang sama turut memusnahkan Surrogate tersebut.

Dalam usaha memburu Surrogate inilah, Tom Greer mengalami perubahan prinsip. Perlahan-lahan, Tom Greer menolak kehidupan berasaskan Surrogate. Tom Greer merindui jasad isterinya yang sebenar. Namun, isteri Tom Greer, iaitu Jennifer Peters, (lakonan Radha Mitchell) masih menyokong kuat penggunaan Surrogate kerana trauma terhadap peristiwa kematian anak mereka, suatu ketika dahulu. Hakikatnya Jennifer Peter cuma kelihatan sihat dan cantik menerusi Surrogate, sedangkan rupa paras sebenarnya dicacatkan oleh parut kemalangan, selain terpaksa bergantung kepada pelbagai ubatan untuk terus hidup.

Kes pembunuhan melibatkan Surrogate ini membuka peluang kepada Tom Greer untuk mengembalikan kehidupan manusia seperti sediakala, tanpa Surrogate.

Secara logiknya, penggunaan Surrogate sangat bermanfaat dalam dunia peperangan dan mungkin juga pada suatu ketika nanti untuk memudahkan manusia menerokai alam yang tidak mampu diterokai oleh manusia. Contohnya dasar lautan, kawasan berisiko atau di angkasa lepas. Menerusi filem Surrogate, idea ini disampaikan menerusi babak peperangan, di mana pasukan tentera Amerika menggunakan Surrogate untuk berperang.

Setiap kali Surrogate dimusnahkan sama ada menerusi bom atau roket di medan perang, tuan punya Surrogate boleh meminta Surrogate gantian untuk kembali ke medan perang. Keadaan ini sama seperti 'spawn' dalam kebanyakan permainan komputer atau multiplayer seperti Half-Life, Halo dan Counter-Strike.

Lebih menarik perhatian, apabila robot-robot yang mewakili pihak berkuasa seperti FBI dicipta dengan kekuatan yang luar biasa. Setiap agen FBI memiliki Surrogate yang mampu berlari laju, memanjat dengan tangkas dan melompat dengan amat tinggi selain susuk tubuh yang kebal. Biarpun terlibat dalam letupan atau kemalangan, robot Surrogate FBI mampu meneruskan misi memburu musuh.

Jenayah menerusi Surrogate boleh dikawal menerusi satelit. Terdapat pihak tertentu yang ditugaskan untuk memutuskan kawalan ke atas satu-satu Surrogate sekiranya tuan punya Surrogate cuba melakukan jenayah menerusi Surrogate tersebut. Hal ini juga membenarkan kehidupan privasi seseorang individu dicerobohi menerusi talian.

Salah satu risiko terburuk penggunaan Surrogate ialah penyamaran. Sekiranya Surrogate itu dikawal oleh orang lain, tidak ada sesiapa pun yang mampu membezakannya. Ini kerana suara Surrogate tetap sama, dan kelakuan robotik tanpa mimik muka yang jelas menyukarkan pengecaman. Pendek kata, penggunaan Surrogate juga memiliki kesan sampingan yang buruk.

Pengguna Surrogate juga biasanya memiliki tahap kesihatan badan yang kurang baik. Ada yang terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan dan sebagainya. Semua ini dibincangkan menerusi filem Surrogate.

Adakah teknologi Surrogate akan direalisasikan? Kemungkinannya ada pada suatu hari nanti, tetapi pasti bukan untuk kegunaan umum. Ini kerana apa yang dibicarakan di dalam Surrogate adalah berdasarkan skop pemikiran penulis atau pengkarya sahaja, dan kita tidak boleh menjangka apa yang akan dilakukan oleh individu-individu lain sekiranya mereka memiliki Surrogate.