BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Matematik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Matematik. Papar semua catatan

Isnin, April 09, 2012

Al-Khawarizmi Penyelamat Malaysia


AL-KHAWARIZMI PENYELAMAT MALAYSIA
Strategi PengIslaman Sains dan Matematik
Penulis: Amiene Rev (C) 2012


Negara kita pernah dijajah Jepun. Pada ketika itu rakyat Malaysia hidup penuh penderitaan. Jika bukan kerana Nagasaki dan Hiroshima diletupkan dengan bom nuklear, barangkali Jepun belum mahu menyerah kalah, dan Malaysia akan terus tinggal mimpi, dengan nama Tanah Melayu dijajah Jepun kekal dalam lipatan sejarah. Bom atom atau bom nuklear yang digugurkan di kedua-dua tempat itu adalah berdasarkan formula algebra yang dicipta oleh Albert Einstein. Namun begitu, siapakah pencipta algebra? Pencipta algebra, adalah Al-Khawarizmi. Dengan izin Allah, secara tidak langsung, penemuan cabang ilmu algebra oleh Al-Khawarizmi, telah membantu Tentera Perikatan mengalahkan Jepun, dan seterusnya Jepun meninggalkan Malaysia.

Al-Khawarizmi adalah nama gelaran bagi Muhammad Ibn Musa Al-Khawarizmi. Nama lain beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Yusoff. Orang Barat pula memanggil Al-Khawarizmi dengan beberapa nama mengikut lidah mereka iaitu seperti Al-Cowarizmi, Al-Ahawizmi, Al-Karismi, Al-Goritmi dan beberapa nama lagi. Namun, Orang Barat tidak pernah memanggil Al-Khawarizmi sebagai Al-Gore.
   
Al-Khawarizmi telah dilahirkan di Bukhara. Beliau mencapai zaman kegemilangannya sekitar tahun 780 hingga 850 Masihi. Al-Khawarizmi telah dilaporkan meninggal dunia sekitar tahun 220 dan 230 Masihi. Kisah kematiannya tidak cukup jelas, kerana ada pula yang mengatakan Al-Khawarizmi hidup di sekitar abad ke-9 Masihi.

Seperti kebanyakan tokoh-tokoh intelektual Islam yang lain, Al-Khawarizmi juga menguasai banyak cabang ilmu termasuklah bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kimia, kejuruteraan dan juga sejarah Islam. Kerana cintanya Al-Khawarizmi terhadap ilmu sehingga beliau mampu menguasai banyaknya cabang ilmu ini, Al-Khawarizmi mula dikenali sebagai Mufatih Al-Ulum.

Al-Khawarizmi telah memperkenalkan Al Jabar atau lebih dikenali sebagai algebra dalam dunia Matematik hari ini. Menerusi ilmu ini, pelbagai formula terhasil. Menerusi ilmu algebra jugalah, Albert Einstein berjaya mencipta formula tenaga sehingga terhasilnya bom nuklear. Boleh dikatakan Al-Khawarizmi secara tidak langsung adalah Penyelamat Malaysia.

Hasil-hasil karya Al-Khawarizmi termasuklah Al-Jabr wa’l Muqabalah, di mana beliau telah mencipta pemakaian secans dan tangens dalam penyelidikan trigonometri dan astronomi. Beliau juga telah menghasilkan karya yang berjudul    Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah. Menerusi karya ini, Al-Khawarizmi telah mengajukan contoh-contoh persoalan matematik dan telah mengemukakan 800 buah soalan yang sebahagian daripadanya merupakan persoalan yamng dikemukakan oleh Neo. Babylian dalam bentuk dugaan yang telah dibuktikan kebenarannya oleh al-Khawarizmi. Menerusi karya beliau yang berkaitan dengan Sistem Nombor pula beliau telah memperkenalkan konsep angka sifar dan kini angka sifar merupakan angka yang sangat penting dan digunakan secara meluas di seluruh dunia sehinggalah ke hari ini. Sistem Nombor telah diterjemahkan ke bahasa Latin, iaitu De Numero Indorum. Karya beliau yang berjudul Al-Jami wa Al-Tafsir bi Hisab al-Hind juga turut diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Prince Boniopagri.

Al-Khawarizmi turut memperkenalkan konsep kos, sin dan tan dalam trigonometri penyelesaian persamaan, teorem segi tiga sama, mengira luas segi tiga, segi empat selari dan bulatan dalam geometri. Selain itu, beliau turut memperkenalkan permasalahan melibatkan pecahan dan sifat nombor perdana dan teori nombor.

Al-Khawarizmi telah dianggap sebagai sarjana Matematik yang masyhur oleh orang Islam dan ia diperakui oleh orang Barat. G.Sarton telah mengatakan “pencapaian-pencapaian yang tertinggi telah diperolehi oleh orang-orang Timur....” dan ini turut melibatkan Al-Khawarizmi.

Menurut Wiedmann pula berkata, "al-Khawarizmi mempunyai personaliti yang teguh dan seorang yang bergeliga sains".

Strategi Pengislaman Sains Matematik

Dalam melaksanakan proses pengIslaman Sains Matematik, konsep ilmu Sains Matematik perlulah mengambil kira aspek tauhid, syariah dan akhlak.

DEFINISI

Tauhid: Tauhid merupakan landasan falsafah matematik Islam sepertimana dengan ilmu-ilmu Islam yang lain.  Mengikut matlamat  Islam, semuanya Ayyatullah [tanda-tanda Allah iaitu simbol kebesaran, kewujudan dan keEsaan Tuhan.  Ungkapan yang wujud sewajarnya mencorakkan kegiatan Matematik. Setiap falsafah dan epistemologi Sains Matematik kita tidak harus diterima bulat-bulat tanpa syarat.

Syariah: Berasaskan kepada undang-undang yang mengenali tindak tanduk masyarakat.  Keharmonian dan tanggungjawab kepada umat dan hak diri.  Dari sudut ini, ahli Matematik Islam yang cuba menyelesaikan masalah yang melibatkan perbuatan hukum syariah seperti judi, riba dan mencabar kebenaran hakiki daripada agama samawi untuk memperkukuhkan lagi Institusi.  Oleh itu, Matematik Islam hendaklah berkembang selari dengan keperluan manusia dan perkembangan ini juga harus di dalam sudut syariah.

Akhlak: Ciri-ciri akhlak mulia hendaklah disemaikan ke dalam Matematik dan juga ia perlu dimasukkan ke dalam ilmu-ilmu Islam yang lain agar manusia dapat menerapkan nilai murni.  Ilmu yang dipelajari contohnya akhlak yang terdapat dalam bidang Matematik ini adalah penemuan aljabar yang melambangkan keadilan.  Ini kerana keadilan itu dituntut oleh agama Islam itu sendiri.  Melalui asas paradigma tauhid dan syariah itu dapat memperkukuhkan lagi pembinaan akhlak.

Sabtu, Februari 11, 2012

Bahasa Inggeris Antara Punca Pelajar Tidak Minat Subjek Sains dan Matematik

Bahasa Kebangsaan Penyatu Bangsa: Satu Bahasa Satu Malaysia
Penulis: Amiene Rev
  
"Sejak penggunaan Bahasa Kebangsaan dan buku teks berbahasa Melayu digunakan untuk subjek Sains dan Matematik, didapati minat, semangat dan keghairahan pelajar untuk menguasai konsep-konsep di dalam subjek Sains dan Matematik mula meningkat. Ini kerana wujudnya perasaan mesra dan rapat antara diri pelajar dengan kedua-dua subjek tersebut apabila mereka dibolehkan untuk mempelajari kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa yang mereka paling fahami dan sering gunakan dalam kehidupan seharian mereka sebagai warganegara Malaysia, negara yang berdaulat." - Amiene Rev

Antara faktor minat pelajar terhadap subjek Matematik dan Sains merosot, adalah sejak Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar untuk kedua-dua subjek tersebut. Ini merupakan kerugian yang besar buat negara, di mana kita mungkin akan kekurangan ramai pelapis pakar dalam bidang Sains dan Matematik untuk beberapa tahun akan datang. Tindakan segera bagi menyeragam penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa tunggal untuk subjek ini mampu menyelamatkan Malaysia daripada ketandusan generasi celik Matematik dan Sains.

Artikel di bawah ini ditulis sekitar tahun 2009. Kajian daripada 53 pakar bahasa mendapati bahawa minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk mempelajari Sains dan Matematik telah dibunuh oleh PPSMI. Malah saya juga mendapati bagaimana kelonggaran yang diberikan untuk memilih sama ada penggunaan Bahasa Inggeris atau Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar untuk subjek Sains dan Matematik sedikit-sebanyak telah menjejaskan usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia.

Penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa tunggal dalam pendidikan Malaysia mesti ditegaskan. Malah, rakyat Malaysia sepatutnya diwajibkan untuk menguasai Bahasa Kebangsaaan sebagai tanda kesetiaan kepada negara. Pengorbanan rakyat Malaysia untuk mempelajari dan menguasai Bahasa Kebangsaan adalah satu tanda aras yang benar untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia benar-bena cintakan negara, dan setia kepada negara.

Sikap acuh tidak acuh sesetengah rakyat Malaysia terhadap kepentingan Bahasa Kebangsaan merupakan bukti bahawa semangat kebangsaan di kalangan golongan ini rendah. Kesetiaan mereka kepada negara diragui, dan status kelangsungan kedaulatan Bahasa Kebangsaan di Malaysia berada di paras yang boleh dibimbangkan. Ada golongan yang sengaja tidak mahu mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, dan ini dikhuatiri akan menjadi salah satu punca rakyat berpecah-belah.

Demi memastikan hasrat kerajaan untuk mengukuhkan semangat Satu Malaysia, penguasaan Bahasa Kebangsaan mesti diwajibkan seberapa segera. Setiap hari saya melihat masa depan kesatuan rakyat Malaysia berada pada paras yang semakin membimbangkan. Mungkin, kedamaian negara kita sekarang ini menyebabkan kita leka, atau tidak dapat merasai wujudnya benih-benih perpecahan dan tumbuhnya kulat-kulat beracun yang bakal menjejaskan perpaduan negara, apabila wujudnya golongan yang lebih mengutamakan kepentingan diri sendiri dan keluarga sendiri berbanding pengorbanan terhadap kedaulatan negara. Apa yang dimaksudkan sebagai mengutamakan kepentingan diri sendiri di sini ialah, apabila satu-satu keluarga tidak sanggup mengorbankan masa untuk menguasai Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar untuk mempelajari Matematik dan Sains.

Logiknya, seorang yang memahami konsep Matematik dan Sains tidak kisah untuk berfikir mengenai konsep Matematik dan Sains dalam Bahasa Kebangsaannya. Jika ada pelajar mendakwa bahawa dia tidak dapat memahami Matematik dan Sains apabila bahasa pengantar telah ditukar dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, maka ini bermaksud pelajar itu sebenarnya menghafal konsep, dan bukannya betul-betul memahami satu-satu konsep bagi tajuk Matematik atau Sains yang dipelajarinya. Pelajar yang mampu memahami konsep bagi satu-satu topik Matematik dan Sains yang telah dipelajarinya seharusnya boleh menghuraikan konsep tersebut dalam pelbagai bahasa yang telah dikuasainya.

Adalah amat pelik bagi seorang warganegara Malaysia yang sepatutnya paling menguasai Bahasa Malaysia, tidak dapat menghuraikan tentang kefahamannya mengenai satu-satu konsep, atau tidak dapat berfikir tentang satu konsep dengan menggunakan Bahasa Malaysia, sebaliknya lebih mampu berfikir dalam bahasa asing (Bahasa Inggeris). Ini tidak masuk akal, melainkan jika seseorang itu membesar di luar negara. Setiap rakyat Malaysia yang menetap di Malaysia, mesti diwajibkan menguasai Bahasa Malaysia, dan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa paling utama.

Sejak pengunaan Bahasa Melayu dikuatkuasakan kembali, didapati pelajar-pelajar yang menduduki kelas corot kini semakin berupaya untuk menyelesaikan soalan-soalan Matematik berbentuk penyelesaian masalah. Ini merupakan satu berita gembira untuk masa depan negara. Pelajar juga kini sudah mula mampu berfikir tentang konsep-konsep Matematik dan Sains, tidak lagi begitu fanatik menghafal, sebaliknya mereka mula menghayati konsep Sains dan Matematik. Ini kerana, sejak mereka didekatkan dengan konsep Matematik dan Sains dalam bahasa yang mereka sedia fahami, mereka mula merasakan adanya kemesraan atau hubungan antara diri mereka, masa depan mereka, pemikiran mereka dengan subjek Matematik dan Sains. Tidak lama lagi, kita akan dapat lihat, wujudnya minat, semangat dan keghairahan untuk menguasai konsep Sains dan Matematik di kalangan pelajar-pelajar kita.

Di sini, saya berdoa, agar semua rakyat Malaysia akan menjadi semakin cinta kepada negara, dan akan sentiasa bersatu-padu dalam usaha menjulang Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. Malaysia adalah negara berdaulat, dan Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan di Malaysia.


Kajian: Hanya 4% kuasai BI melalui PPSMI
Penulis: Jimadie Shah Othman, 18 Mac 2009
Sumber: MalaysiaKini.com

Kajian mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa asing itu, dan sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari dua subjek tersebut.

"PPSMI hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang empat peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya," laporan bertajuk 'Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid' dipetik.

Menurut kajian 53 pakar bahasa itu, dasar kontroversi tersebut juga "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi."

Kajian yang melibatkan tujuh universiti awam itu dijalankan antara Jun hingga Disember tahun lalu oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).

Universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003.

"Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

"Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan," laporan eksekutif setebal sepuluh halaman itu dipetik.

Menurut kajian, analisis keputusan peperiksaan terhadap 5,595 sampel pelajar tahun lima daripada 56 sekolah kebangsaan mendapati pencapaian pelajar makin merosot dan merudum mendadak apabila berpindah ke tahun enam.

Kajian menjelaskan, kemerosotan berlaku akibat kegagalan pelajar memahami konsep sains dan matematik kerana tidak mampu berinteraksi dengan guru atau murid lain menggunakan bahasa Inggeris.

Pola yang sama didakwa turut ditemui daripada kajian Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Daerah dan sekolah tertentu.

Pengerusi eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin yang menaungi kajian itu mengesahkan kajian tersebut kepada Malaysiakini hari ini.

Laporan eksekutif kajian itu diedarkan buat pertama kali kepada umum semalam di hujung Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Kongres itu turut meluluskan resolusi yang membawa akibat pemansuhan PPSMI apabila mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti.

Hasil kajian yang sama pernah dibentangkan dalam mesyuarat meja bulat membahaskan dasar tersebut anjuran Kementerian Pelajaran tahun lepas.

Menjelaskan latar belakang kajian, Abdul Raof berkata, walapun pakar bahasa yang terlibat hanya diberikan saguhati minimum, namun kajian tujuh bulan itu tetap melibatkan kos besar kira-kira RM470,000.

Beliau berharap kajian itu mampu memberikan gambaran sebenar pelaksanaan PPSMI kerana, sampelnya besar dan luas, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara.

Seramai 553 guru – termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah – turut dipilih sebagai sampel.

Abdul Rauf menegaskan, kajian itu dilakukan secara bebas dan tidak dibuat berdasarkan kepentingan tertentu.

"Kami hanya mengemukakan hasil kajian. Kalau positif, positiflah, kalau negatif, negatiflah," katanya.

Khamis, Oktober 14, 2010

Abdul Halim Bustaman - Saya Ketua Saintis Dunia

Abdul Halim Bustaman adalah seorang bekas guru Matematik yang sering kelihatan di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Ipoh yang pernah mendapat liputan media massa tempatan.

Kosmo!
SEKALI imbas jika terserempak dengannya di ibu kota, kita pasti menyangka dia tidak lebih daripada seorang penjual ubat jalanan.

Lebih ekstrem, ramai mendakwa dia mungkin gila apabila melihat tulisan yang digayut di dadanya ‘Saya Ketua Saintis Dunia’.

Tapi bagi Abdul Halim Bustaman, biar apa pun gelaran diberi orang ramai, dia tetap dengan caranya yang mengemukakan idea sains dan matematik ciptaannya di jalanan.

Dengan berketayap dan berjubah, lelaki berusia 54 tahun itu sebenarnya hampir lapan tahun memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kajian dalam bidang sains dan matematik yang didakwanya sering dipandang serong oleh masyarakat di negara ini.


“Saya bukan gila. Tujuan saya lakukan semua ini hanya untuk mendatangkan minat kepada orang ramai mengenai ilmu matematik dan sains.

“Saya sudah lali dengan pandangan masyarakat yang memandang rendah pada ilmu yang saya peroleh ini,” kata bapa kepada lapan orang anak berasal dari Ipoh, Perak ini.

Menurut Abdul Halim, dia sebelum ini pernah berkhidmat sebagai seorang guru yang mengajar mata pelajaran matematik selama 10 tahun dan kemudiannya berhenti menjadi guru dan mula membuat kajian terhadap sistem pengajaran matematik. Sistem logik yang pernah dipopularkan oleh Edward de Bono dari Universiti Oxford.

“Teknik dan kepakaran saya dalam bidang matematik diakui golongan cerdik pandai tempatan mahupun luar negara. Malah, beri peluang pada saya membentangkan kertas kerja di institusi pengajian tinggi dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka,” katanya.

Ujar penceramah ini lagi, kerjaya sebagai penceramah jalanan telah dilakukan sejak lapan tahun lalu dan selama tempoh itu, Abdul Halim juga mendakwa sudah mengelilingi semua daerah dalam negara untuk menyampaikan hasil kajiannya itu.

“Saya akan berceramah di kaki lima antara 40 minit ke satu jam, kemudian balik rumah anak-anak atau balik Ipoh terus. Sepanjang tempoh itu juga, lebih 10,000 buah buku hasil kajiannya telah dijual,” katanya.

Apabila ditanya apakah impian yang ingin dicapai sebagai penceramah jalanan pada tahun baru ini, beliau dengan pantas membalas:

“Tahun depan saya beri ceramah di kota London. Pada masa ini saya cuma menunggu untuk mendapat kebenaran berceramah di sana sahaja lagi,” katanya.

Selain berazam ingin melahirkan lebih ramai pemikir Islam, Abdul Halim juga berhasrat bersemuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk bercerita sendiri pengalaman dirinya menjadi penceramah jalanan dan kajian dilakukan.

Pada satu pertemuan di Kuala Lumpur, Abdul Halim sempat menunjukkan beberapa helai sijil penyertaan dan penglibatan dalam beberapa siri lawatan dan gambar ketika berjumpa dengan tokoh akademik yang disimpan dalam kotak di atas troli yang digunanya membawa papan putih ketika memberi ceramah.

Utusan Malaysia
Kisah 'orang tak betul' mengenai pesawat angkasa
SAYA hendak sampaikan satu cerita berkenaan seorang lelaki yang dianggap 'tak betul' yang telah menghadiri ceramah yang saya sampaikan di USM Tronoh, 10 tahun yang lalu pada bulan Julai 1999.

Semasa seminar itu saya menyampaikan ceramah bertajuk Pelancongan Angkasa - dan percaya saya adalah orang pertama yang menyampaikan ceramah mengenai pelancongan angkasa di Malaysia.

Ceramah saya itu dihadiri oleh seorang lelaki (yang tidak diundang dalam seminar itu), yang berada di situ bersama-sama pelajar Sekolah Kejuruteraan Aeroangkasa USM dan beberapa orang pensyarah mereka serta pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan 4 dan 5 di sekitar Ipoh iaitu seramai 500 orang.

Lelaki ini memang dikenali ramai oleh orang Ipoh kerana sering berada di halaman masjid pada hari Jumaat dan dia akan berceramah mengenai bidang matematik dan fizik. Dia memakai jubah dan serban dan meninggikan suara ketika berceramah serta kerap memberikan komen terhadap pembelajaran matematik dan fizik semasa.

Dia turut menyampaikan ceramahnya di pasar barang terpakai di Ipoh. Malah saya pernah terserempak dengannya di Seksyen 2 Shah Alam pada suatu hari Jumaat ketika dia sedang mencetak nota-nota ceramahnya - mungkin untuk ceramahnya di masjid di Shah Alam.

Ceramahnya kerap menyentuh mengenai space travel. Saya sendiri pernah beberapa kali mendengar ceramahnya. Tetapi, disebabkan cara penyampaian ceramahnya, dia dianggap sebagai 'tidak betul' oleh masyarakat.

Saya memang menyedari kehadirannya ketika saya berceramah di USM pada masa itu.

Ketika saya minum dan makan bersama beberapa orang pegawai dan pensyarah pada waktu rehat, seorang daripada mereka memberi amaran kepada saya agar jangan melayan sebarang pertanyaan dari 'orang tak betul' tu. Saya tanya, kenapa, dan dia jelaskan bahawa 'orang tak betul' itu mempunyai kefahaman yang berbeza dari biasa terhadap konsep space travel.

Saya bertanya, apakah konsepnya, dan dia memaklumkan bahawa, 'orang tak betul itu' percaya bahawa cara terbaik untuk melancarkan pesawat angkasa adalah dengan menggunakan konsep kapal terbang iaitu berlepas secara mendatar sebelum terbang menegak ke angkasa!

Tapi pada hari ini, 10 tahun selepas peristiwa itu, konsep 'orang tak betul' inilah menjadi perhatian pereka sistem pengangkutan angkasa canggih, kerana itulah konsep pesawat angkasa (spaceplane).

Jadi saya merumuskan, 'orang tak betul' itu adalah antara orang Malaysia yang paling awal yang dapat memahami konsep spaceplane.

Pada hari ini, 'orang tak betul' itu masih lagi menyampaikan ceramahnya di pekarangan masjid pada hari Jumaat dan pasar barang terpakai pada hari Ahad di sekitar Ipoh.

STS-MC bercadang untuk memberikan beliau sedikit 'penghargaan' bersempena dengan Ulang Tahun Ke-10 Pelancongan Angkasa di Malaysia.

NORUL RIDZUAN
Institut Kajian Aero Angkasa Malaysia (STS-MC )

Isnin, Ogos 24, 2009

Jaguh Matematik - Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO)

Kebetulan saya menemui satu artikel yang menarik di dalam akhbar mengenai Matematik. Ini dapat membantu saya menulis novel blog saya yang bertajuk Catatan Seorang Guru Matematik dan ICT. Barangkali ramai pelajar tidak tahu, sesiapa yang mempunyai minat yang cukup mendalam dalam subjek atau bidang Matematik boleh mewakili negara dalam bidang Matematik. Seperti seorang ahli sukan Matematik. Sekiranya anda berminat untuk menjadi salah seorang anggota kontinjen Malaysia bagi mewakili negara dalam bidang Matematik, sila baca petikan berita di bawah:

Jaguh Matematik - Oleh Mohd Azis Ngah
Sumber: Berita Harian

TIDAK ramai yang tahu, bidang Matematik juga sebenarnya ada seni kreatif tersendiri. Bukan setakat bermain dengan nombor tetapi juga membabitkan pemikiran kreatif dan kritis bagi membolehkan seseorang itu layak digelar pakar Matematik.

Ini bermakna, pelajar sekolah khasnya digalakkan sentiasa berfikir bagi mencari jalan penyelesaian sendiri bagi setiap permasalahan dan bukan setakat menerima dan mengamalkan kaedah tertentu dalam buku pelajaran atau diajar guru.

Mohd Suhaimi Ramly, 27, yang kini bergelar Ketua Jurulatih Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO) Malaysia adalah antara genius Matematik yang terpilih sebagai juri termuda untuk menghakimi pengiraan markah pertandingan IMO peringkat dunia.

Anak muda itu mengakui, pertandingan IMO itu bukannya suatu yang mudah kerana ia membabitkan pelajar terpilih di seluruh dunia, namun di situlah terletaknya keseronokan menyahut cabaran sebagai peserta dan kini beliau bertindak selaku jurulatih.

Sehubungan itu, setiap kali tiba musim pertandingan IMO peringkat dunia membabitkan 108 negara, ketika itulah pasukan IMO Malaysia sibuk mencari bakat baru dan melatih mereka supaya berfikiran kreatif. Mohd Suhaimi turut berkongsi ilmu dengan menulis buku.

"Ramai yang tersalah anggap. Tidak semestinya pelajar yang cemerlang dalam Matematik dan sering mendapat markah A layak menyertai IMO.

"Matematik sebenarnya memerlukan pelajar sentiasa ligat berfikir mencari jalan penyelesaian bagi setiap soalan atau permasalahan. Mereka perlu kritis dan kreatif. Sebab itulah pada sesi latihan, hubungan mereka dengan pengajar umpama jurulatih dan pemain.

"Hubungan ini berbeza jika dibandingkan antara guru dengan murid kerana jurulatih akan mendedahkan taktik dan pemain akan melaksanakan dengan pelbagai cara. Sudah semestinya mereka perlu berfikir dan idea sentiasa berkembang," katanya.

Mohd Suhaimi sendiri pernah muncul antara pelajar terbaik pernah dilahirkan bagi pertandingan IMO, termasuk meraih anugerah juara Olimpiad Matematik Kebangsaan pada 1998 dan 2000.

Berdasarkan kejayaan itu, Suhaimi terpilih mewakili negara selama empat tahun berturut-turut bagi IMO peringkat Asia Pasifik dan peringkat dunia di Romania, Korea dan Amerika Syarikat bermula 1999 hingga 2001.

Namun, sejak pertandingan Olimpiad Matematik peringkat kebangsaan diperkenalkan mulai 1970-an, sering kedengaran rungutan pelajar dan guru mengenai masalah mereka tidak biasa dengan kaedah, soalan dan cara penyelesaiannya.

Menyedari masalah itu, Suhaimi mengambil pendekatan bijak untuk berkongsi pengalamannya melalui penulisan buku khas mengenai asas Matematik bagi pertandingan Olimpiad bertujuan memudahkan guru dan pelajar membuat rujukan.

"Buku itu mengandungi empat siri dan ia sebenarnya membabitkan nota lama yang disimpan sejak peringkat sekolah hingga sekarang. Ia terbukti banyak membantu dan pada masa sama saya sering mendapat input baru daripada pelajar yang banyak menampilkan idea bernas," katanya.

Menyingkap sejarah pembabitan awalnya dalam bidang Matematik Olimpiad, anak jati Kuala Lumpur ini mengakui ia menyedari bakatnya selepas terpilih mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk pertandingan peringkat kebangsaan dengan muncul naib juara.

Tanpa sebarang latihan, beliau terkejut dengan keputusan itu seterusnya ditawarkan berlatih bersama Prof Abu Osman (Universiti Kebangsaan Malaysia) untuk mewakili negara. Kini beliau menjadi ketua jurulatih menggantikan gurunya dan sudah 10 tahun mengetuai kontinjen Malaysia.

Sekalipun ahli keluarga langsung tidak terbabit dalam bidang itu, beliau mengakui dorongan kuat keluarga yang banyak memberi kemudahan mendapatkan buku dan internet banyak membantunya belajar untuk mendapatkan maklumat tambahan.

Selain menerbitkan buku panduan khas untuk Olimpiad Matematik, beliau juga banyak memberikan ceramah kepada pelajar dan guru serta terbabit dalam pertandingan peringkat MRSM dan Matrikulasi. Beliau memiliki kepakaran dalam bidang-bidang
Matematik seperti Algebra, Kombinatoriks, Teori Nombor, Geometri, Analisis Fungsian

Informasi: Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa
  • Hampir 600 pelajar terbaik dunia terpilih
  • Ujian peperiksaan dua hari
  • Enam soalan dalam masa sembilan jam
  • Markah berdasarkan kaedah pemikiran kreatif pelajar menjawab soalan
  • 108 negara bertanding.
  • 100 juri profesional seluruh dunia
  • Peserta mesti berusia bawah 20 tahun dan belum memasuki universiti.