BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Oktober 14, 2010

Abdul Halim Bustaman - Saya Ketua Saintis Dunia

Abdul Halim Bustaman adalah seorang bekas guru Matematik yang sering kelihatan di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Ipoh yang pernah mendapat liputan media massa tempatan.

Kosmo!
SEKALI imbas jika terserempak dengannya di ibu kota, kita pasti menyangka dia tidak lebih daripada seorang penjual ubat jalanan.

Lebih ekstrem, ramai mendakwa dia mungkin gila apabila melihat tulisan yang digayut di dadanya ‘Saya Ketua Saintis Dunia’.

Tapi bagi Abdul Halim Bustaman, biar apa pun gelaran diberi orang ramai, dia tetap dengan caranya yang mengemukakan idea sains dan matematik ciptaannya di jalanan.

Dengan berketayap dan berjubah, lelaki berusia 54 tahun itu sebenarnya hampir lapan tahun memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kajian dalam bidang sains dan matematik yang didakwanya sering dipandang serong oleh masyarakat di negara ini.


“Saya bukan gila. Tujuan saya lakukan semua ini hanya untuk mendatangkan minat kepada orang ramai mengenai ilmu matematik dan sains.

“Saya sudah lali dengan pandangan masyarakat yang memandang rendah pada ilmu yang saya peroleh ini,” kata bapa kepada lapan orang anak berasal dari Ipoh, Perak ini.

Menurut Abdul Halim, dia sebelum ini pernah berkhidmat sebagai seorang guru yang mengajar mata pelajaran matematik selama 10 tahun dan kemudiannya berhenti menjadi guru dan mula membuat kajian terhadap sistem pengajaran matematik. Sistem logik yang pernah dipopularkan oleh Edward de Bono dari Universiti Oxford.

“Teknik dan kepakaran saya dalam bidang matematik diakui golongan cerdik pandai tempatan mahupun luar negara. Malah, beri peluang pada saya membentangkan kertas kerja di institusi pengajian tinggi dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka,” katanya.

Ujar penceramah ini lagi, kerjaya sebagai penceramah jalanan telah dilakukan sejak lapan tahun lalu dan selama tempoh itu, Abdul Halim juga mendakwa sudah mengelilingi semua daerah dalam negara untuk menyampaikan hasil kajiannya itu.

“Saya akan berceramah di kaki lima antara 40 minit ke satu jam, kemudian balik rumah anak-anak atau balik Ipoh terus. Sepanjang tempoh itu juga, lebih 10,000 buah buku hasil kajiannya telah dijual,” katanya.

Apabila ditanya apakah impian yang ingin dicapai sebagai penceramah jalanan pada tahun baru ini, beliau dengan pantas membalas:

“Tahun depan saya beri ceramah di kota London. Pada masa ini saya cuma menunggu untuk mendapat kebenaran berceramah di sana sahaja lagi,” katanya.

Selain berazam ingin melahirkan lebih ramai pemikir Islam, Abdul Halim juga berhasrat bersemuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk bercerita sendiri pengalaman dirinya menjadi penceramah jalanan dan kajian dilakukan.

Pada satu pertemuan di Kuala Lumpur, Abdul Halim sempat menunjukkan beberapa helai sijil penyertaan dan penglibatan dalam beberapa siri lawatan dan gambar ketika berjumpa dengan tokoh akademik yang disimpan dalam kotak di atas troli yang digunanya membawa papan putih ketika memberi ceramah.

Utusan Malaysia
Kisah 'orang tak betul' mengenai pesawat angkasa
SAYA hendak sampaikan satu cerita berkenaan seorang lelaki yang dianggap 'tak betul' yang telah menghadiri ceramah yang saya sampaikan di USM Tronoh, 10 tahun yang lalu pada bulan Julai 1999.

Semasa seminar itu saya menyampaikan ceramah bertajuk Pelancongan Angkasa - dan percaya saya adalah orang pertama yang menyampaikan ceramah mengenai pelancongan angkasa di Malaysia.

Ceramah saya itu dihadiri oleh seorang lelaki (yang tidak diundang dalam seminar itu), yang berada di situ bersama-sama pelajar Sekolah Kejuruteraan Aeroangkasa USM dan beberapa orang pensyarah mereka serta pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan 4 dan 5 di sekitar Ipoh iaitu seramai 500 orang.

Lelaki ini memang dikenali ramai oleh orang Ipoh kerana sering berada di halaman masjid pada hari Jumaat dan dia akan berceramah mengenai bidang matematik dan fizik. Dia memakai jubah dan serban dan meninggikan suara ketika berceramah serta kerap memberikan komen terhadap pembelajaran matematik dan fizik semasa.

Dia turut menyampaikan ceramahnya di pasar barang terpakai di Ipoh. Malah saya pernah terserempak dengannya di Seksyen 2 Shah Alam pada suatu hari Jumaat ketika dia sedang mencetak nota-nota ceramahnya - mungkin untuk ceramahnya di masjid di Shah Alam.

Ceramahnya kerap menyentuh mengenai space travel. Saya sendiri pernah beberapa kali mendengar ceramahnya. Tetapi, disebabkan cara penyampaian ceramahnya, dia dianggap sebagai 'tidak betul' oleh masyarakat.

Saya memang menyedari kehadirannya ketika saya berceramah di USM pada masa itu.

Ketika saya minum dan makan bersama beberapa orang pegawai dan pensyarah pada waktu rehat, seorang daripada mereka memberi amaran kepada saya agar jangan melayan sebarang pertanyaan dari 'orang tak betul' tu. Saya tanya, kenapa, dan dia jelaskan bahawa 'orang tak betul' itu mempunyai kefahaman yang berbeza dari biasa terhadap konsep space travel.

Saya bertanya, apakah konsepnya, dan dia memaklumkan bahawa, 'orang tak betul itu' percaya bahawa cara terbaik untuk melancarkan pesawat angkasa adalah dengan menggunakan konsep kapal terbang iaitu berlepas secara mendatar sebelum terbang menegak ke angkasa!

Tapi pada hari ini, 10 tahun selepas peristiwa itu, konsep 'orang tak betul' inilah menjadi perhatian pereka sistem pengangkutan angkasa canggih, kerana itulah konsep pesawat angkasa (spaceplane).

Jadi saya merumuskan, 'orang tak betul' itu adalah antara orang Malaysia yang paling awal yang dapat memahami konsep spaceplane.

Pada hari ini, 'orang tak betul' itu masih lagi menyampaikan ceramahnya di pekarangan masjid pada hari Jumaat dan pasar barang terpakai pada hari Ahad di sekitar Ipoh.

STS-MC bercadang untuk memberikan beliau sedikit 'penghargaan' bersempena dengan Ulang Tahun Ke-10 Pelancongan Angkasa di Malaysia.

NORUL RIDZUAN
Institut Kajian Aero Angkasa Malaysia (STS-MC )