BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Oktober 21, 2010

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 4

Keko - Kisah Kucing Yang Menjadi Guru - Siri 4
Penulis: Amiene Rev (c) 2010
"Di dunia ini, kadangkala ada manusia yang senasib dengan binatang, dan ada binatang yang senasib dengan manusia. Bezanya, manusia memiliki akal dan binatang tidak. Namun, seperti manusia, binatang juga memiliki perasaan. Perasaan ini membolehkan manusia dan binatang saling memahami. Juga, seperti binatang, manusia juga memiliki naluri. Lalu, dengan adanya naluri dan perasaan, manusia dan binatang saling mampu menjadi rakan". - Amiene Rev

Kisah Keko - Anak kucing yang menjadi guru mengungkap falsafah di atas, yang merujuk kepada kejadian manusia dan haiwan.
Hari berlalu hari, Keko dan Afiq semakin rapat. Namun tidak ada sesiapa pun yang tahu, jauh di dalam hati, Keko selaku seekor anak kucing, masih mahu menemui ibunya. Keko sentiasa mencari peluang untuk pergi mencari ibunya, biarpun Keko merasakan ibunya sememangnya sudah tidak ada lagi di dunia ini.

'Manusia,
jika kau memahami perasaanku,
benarkan aku pergi
menemui ibuku,
buat sekali pun,
tidak mengapa.'

Namun setiap hari pun, biarpun setiap hari pun Keko merenung Afiq, mengungkap kata-kata di atas sebagai puisi di dalam hatinya, tidak pernah Keko melihat Afiq mendengarnya. Afiq seolah-olah tidak memahami isi hati Keko.

Bagi Afiq, setiap kali dia melihat renungan Keko yang sarat dengan kesedihan, Afiq cuma menganggap Keko masih sedang bersedih tentang kematian ibunya. Seringkali Afiq mengungkap kata-kata sedemikian rupa, di dalam hatinya:

"Keko kucingku,
jangan kau bersedih
kerana kehilangan itu pasti
untuk setiap makhluk
seperti aku kehilangan ibuku,
dan kamu kehilangan ibumu.

Keko kucingku,
jangan risau,
kerana aku akan sentiasa cuba
membuat hatimu gembira
dan kehadiranmu juga
adalah hadiah buatku."

Sehingga kini, Keko terus-menerus menunggu peluang itu. Peluang untuk menemui ibunya. Setiap kali itu juga, Keko dilanda kemurungan. Dan, setiap kali itu juga Afiq akan muncul untuk menghiburkannya.

Bersambung...

Keko - Kisah Anak Kucing Yang Menjadi Guru
HAKCIPTA: Amiene Rev (C) 2010