BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Oktober 18, 2010

Surat Pembaca - Masa Depan Anak Tanpa Matematik Tambahan

Surat kiriman daripada En. Akeem: Apakah Kepentingan Matematik Tambahan dalam SPM?

Terima kasih atas jawapan ke atas masalah anak saya yang lemah tempoh hari. Hari ini anak saya telah mendaftar kelas di tingkatan 4. Aliran yang telah di tetapkan oleh pihak sekolah adalah seperti berikut:

Sastera Ikhtisas-Teknologi

8 mata pelajaran wajib
  • Bahasa Inggeris
  • Bahasa Melayu
  • Matematik
  • Sejarah
  • Pendidikan Islam/Moral
  • Sains
  • Pendidikan Jasmani
  • Pendidikan Siviks
  • ICT + PA + Tasawuf Islam
Apakah kepentingan matapelajaran Matematik Tambahan untuk SPM? Sekiranya anak saya tidak mengambil matapelajaran Matematik Tambahan,apakah peluang untuknya menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi amat tipis?


Jawapan daripada Amiene Rev:
Sama-sama. Maafkan saya kerana terlambat membalas e-mel ini lantaran terdapat ribuan e-mel lagi yang sedang menanti untuk dibalas. Kebiasaannya aliran akademik atau bidang akademik yang diambil oleh pelajar semasa memasuki tingkatan 4 diaturkan oleh guru kaunseling atau kaunselor sekolah. Mereka sememangnya arif dan terlatih dalam hal-hal seperti ini. Saya percaya, kaunselor sekolah telah berusaha untuk memilih bidang yang terbaik dan sesuai dengan potensi anak En. Akeem berdasarkan prestasi akademik atau keputusan PMRnya yang terdahulu.

Mengenai sama ada Matematik Tambahan pula, subjek ini sesuai untuk pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat inistitusi pengajian tinggi dalam bidang-bidang sains, kejuruteraan dan teknologi.

Tidak semua bidang di universiti mensyaratkan Matematik Tambahan sebagai keperluan untuk masuk ke satu-satu bidang. Oleh itu En. Akeem tidak perlu risau tentang peluang anak En. Akeem untuk masuk ke universiti.

Bidang sastera, kemanusiaan dan sukan contohnya, tidak memerlukan Matematik Tambahan. Contohnya jika anak En. Akeem ingin mengambil Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris, atau Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling, atau Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, kesemua bidang ini pun tidak memerlukan Matematik Tambahan.

Malahan syarat untuk melanjutkan pengajian dalam Diploma pada ketika ini ialah 5 kredit minimum, dengan kepujian atau kredit dalam Bahasa Melayu, dan empat subjek yang lain.

Sekian sahaja jawapan saya. Untuk penerangan yang lebih lanjut, En. Akeem boleh membawa anak En. Akeem berbincang dengan kaunselor sekolah untuk mengetahui hala tuju akademik anak En. Akeem berdasarkan subjek-subjek yang diambilnya sekarang.