BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Oktober 21, 2010

Surat Pembaca - Pelajar Aliran Sains Tulen Banyak Masalah

Surat Kiriman Daripada Wani:
Kesusahan Hidup Seorang Pelajar Tingkatan 4

Masalah 1: Jurang Keputusan Antara Subjek-subjek Yang Dipelajari
Assalamualaikum... saya mahu kongsi masalah saya ni, sekarang saya sedang mengambil aliran sains tulen + ICT di tingkatan 4. Yang saya susah hati sekarang ini, ada sesetengah subjek saya boleh dapat A macam Additional Mathematics, Mathematics, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, manakala subjek lain pula sangat teruk, macam D, E, F terutamanya Fizik, Kimia, Biologi, Sejarah. Maknanya, keputusan saya tidak seimbang. Tolonglah saya.. macam mana saya mahu lakukan untuk sesuatu subjek itu, biar tidak terlalu teruk sangat?

Jawapan daripada Amiene Rev:
Waalaikumussalam. Untuk subjek-subjek yang teruk tersebut, saya cadangkan agar Wani kerap menemui guru-guru, berbincang dengan rakan-rakan, atau mengambil tuisyen peribadi. Saya lebih galakkan tuisyen peribadi berbanding ke pusat tuisyen, kerana lebih mudah untuk Wani fokus terhadap kelemahan diri sendiri dan mendapat 100% tumpuan daripada pengajar.


Masalah 2: Kejutan Sosial
Masalah saya yang lain pula, semenjak saya masuk tingkatan 4, saya tidak biasa dengan pelajar-pelajar di kelas saya, mereka semua bukan dari kelas saya semasa di tingkatan 3 dulu, keyakinan diri saya mulai luntur, kadang-kadang saya rasa macam kelas yang mengawal saya. Saya pun rasa tertekan juga! Saya mahu mengawal kelas, saya mahu rasa gembira ketika belajar dulu seperti di tingkatan 3. Saya tidak mahu rasa tertekan bila belajar. Kekadang cikgu pun terlalu menekan pelajar-pelajarnya. terlalu banyak kerja yang diberikan sampai saya tidak mahu buat! Tolonglah, berilah saya sedikit penunjuk, supaya saya bersemangat balik.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Beginilah, janganlah Wani bersusah hati kerana Wani tidak dapat mengawal kelas, kerana Wani bukan cikgu, dan mungkin juga bukan ketua kelas. Biarkan pelajar lain dengan cara mereka. Wani sekarang berada dalam keadaan terkejut, kerana perubahan suasana yang drastik.

Tentang kerja rumah yang terlalu banyak pula. Wani perlu ingat, seorang guru mengajar kadang-kadang sampai beratus-ratus orang pelajar. Jika mereka memberi Wani 40 soalan latihan untuk dijawab, mereka pula perlu menanda, meneliti dan memeriksa mungkin lebih daripada 4000 jawapan atau langkah penyelesaian! Jika Wani rasa sukar untuk menyiapkan kerja rumah, Wani perlu ingat, guru-guru di sekolah lagilah penat untuk menyiapkan kerja-kerja menanda latihan pelajar. Bekerja jauh lebih penat daripada belajar. Jadikan ini sebagai satu renungan.


Masalah 3: Pengurusan Jadual Harian
Msalah lain pula, saya mahu tanya, apa yang patut saya buat untuk sesuatu hari itu, biar semuanya seimbang, kalau saya balik dari sekolah dalam pukul 3.30 petang, saya dekat rumah sudah sibuk untuk mengemas rumah dan sebagainya, saya adalah anak ke-2, kakak saya pulak sibuk dengan kerja, mak saya lumpuh, maknanya saya yang bertanggungjawab menguruskan rumah. Kerja-kerja sekolah yang cikgu beri saya akan buat malam, sampai pukul 12-1 pagi setiap hari, adakah cara saya betul, bagus ke kalau saya sebagai pelajar tidur lambat setiap hari, jadi apa yang perlu saya lakukan? Terima kasih kerana menolong saya.

Jawapan daripada Amiene Rev:
Saya ingin bertanya kepada Wani, apakah banyak sangat rumah sehingga kerja-kerja mengemas rumah perlu dilakukan setiap hari? Apa yang hendak dikemaskan setiap hari? Berapa banyakkah baju yang perlu dibasuh setiap hari? Mungkin kerja-kerja yang perlu dilakukan setiap hari ialah memasak dan mencuci pinggan. Itu perkara rutin yang biasa dilakukan. Berapa banyakkah lauk yang perlu dimasak setiap hari? Berapa banyakkah pinggan mangkuk yang perlu dibasuh setiap hari?

Pastikan resepi atau menu masakan yang dimasak adalah berkhasiat, cepat dan mudah. Tidak perlu terlalu banyak lauk. Satu atau dua jenis sudah cukup. Masak ikut bilangan ahli keluarga sahaja. Jangan terlebih sehingga membazir pula. Masyarakat Melayu beruntung kerana diajar makan ulam yang terkenal dengan pelbagai khasiat. Pastikan susunan rumah adalah teratur dan ringkas. Jual atau kitar semula barang-barang yang tidak dipakai. Jangan bawa pulang benda-benda yang tidak dipakai biarpun berharga. Berharga tetapi tidak ada fungsi tidak berguna juga. Susun jadual waktu mengemas rumah, memasak yang sesuai dengan jadual belajar.

Sebagai seorang pelajar, waktu tidur yang paling baik ialah sebelum jam 11 malam. Namun, bagi sesetengah pelajar yang melalui kehidupan yang luar biasa kerana kehidupannya yang unik, mungkin pelajar tersebut mempunyai kelebihan seperti Wani, untuk berjaga hingga ke pukul 1.

Apa pun, saya kagum dengan Wani kerana masih berdaya untuk menyiapkan kerja rumah pada waktu malam biarpun dibebani tugasan harian. Ingatlah, pengurusan masa yang efektif akan memberi lebih ruang masa untuk Wani.

Saya harap Wani akan sentiasa tabah dan berdoa kepada Allah, semoga Allah memberi kemudahan kepada keluarga Wani.