BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa. Papar semua catatan

Sabtu, April 21, 2007

Catatan Seorang Pesakit Aneroksia 6

Adakah ini e-mel terakhir daripada manusia misteri ini? Aku menerima satu lagi e-mel daripada beliau. E-melnya kali ini, ditulis dalam keadaan yang menunjukkan dia sangat-sangat letih.

"Ikan emas sudah tidak ada. Aku kelaparan. Namun aku tidak mahu makan apa-apa. Aku berasa sayu, mengenangkan kembali ikan-ikan emas yang berenang-renang bebas di dalam akuarium itu."

Berdasarkan catatan di atas, aku memahami apa yang cuba disampaikan oleh manusia aneh ini. Dia seolah-olah berasa kesal dengan perbuatannya terhadap ikan-ikan emasnya dahulu.

"Aku rindu hendak melihat ikan-ikan emas ini berenang-renang. Mereka seolah-olah teman-teman akrab aku yang telah pergi, jauh, meninggalkan aku seorang di sini. Tidak ada lagi kegembiraan. Tidak ada lagi kedengaran suara mereka bergelak ketawa. Cuma ada, kesunyian."

Hm. Kesunyian? Aku pasti, manusia ini menderita kerana kesunyian, sehingga kesunyian itu meracuni emosi dan pemikirannya. Kerana keadaan inilah, wujudnya ramai manusia yang menyebabkan pelbagai masalah sosial kepada masyarakat. Mereka sunyi, mereka mahukan perhatian, sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menarik perhatian masyarakat, kembali kepada mereka.

"Tahukah kau, cerita-cerita yang aku tulis kepada kau itu, yang telah aku kirimkan menerusi e-mel sebelum ini, adalah peristiwa yang berlalu dua bulan lepas?"

Apa? Jadi? Jadi apa yang telah berlaku kepada manusia aneh ini sekarang?

"Sejak dua bulan lalu, aku tidak pernah makan apa-apa lagi. Selain menghirup air yang pernah menjadi ruang nafas ikan-ikan emas peliharaanku. Berat badanku kini cuma... Tidak! Aku takut bercakap soal berat badan. "

Aku tidak dapat berkata apa-apa lagi. Aku terus membaca catatan e-melnya.

"Aku telah ditinggalkan kekasihku kerana berat badanku berlebihan. Aku diejek oleh orang ramai kerana berat badanku. Mereka mengutuk aku, menyalahkan aku kerana ditinggalkan kekasih, kerana kuat makan. Sekarang, oleh sebab itu, aku tidak mahu makan apa-apa lagi."


Jadi, benarlah. Manusia ini menderita sakit aneroksia nervosa. Dia pasti seorang wanita? Tiba-tiba, aku teringatkan kisah Karen Carpenter. Entri ini adalah dedikasi kepada Karen Carpenter, seorang penyanyi hebat yang meninggal dunia kerana penyakit aneroksia nervosa. Di sebelah kiri ini adalah gambar Karen Carpenter bersama abangnya, Richard Carpenter.

Dan dengarlah lagu ini, Yesterday Once More, sebuah lagu penuh nostalgia, bagi orang-orang yang memahaminya.

Tamatlah 6 siri Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa, ditulis oleh Amiene Rev pada tahun #### di sebuah lokasi misteri di '
Hofgarten Park, Germany'.


Khamis, April 19, 2007

Catatan Seorang Pesakit Aneroksia 5

Ini e-mel kelimanya. Kali ini aku tidak mahu berbicara panjang tentang apa yang ditulisnya kepadaku. E-melnya kali ini sukar digambarkan. Apakah kehendak sebenarnya?


"Semua ikan emas tidak ada lagi. Tiba-tiba aku rasa sangat sunyi. Aku tidak memiliki apa-apa lagi. Aku tidak ada teman buat berbicara."


Aku cuba sedaya upaya aku untuk memperindahkan lagi bahasanya. Bahasa SMS adalah bahasa yang teruk. Jarang aku melayan orang yang menghantar kiriman e-mel sebegini kepadaku. Apatah lagi jika isi kandungan e-melnya panjang. Aku abaikan sahaja atau labelkan sebagai e-mel sampah.

"Aku tiba-tiba berasa sangat rindu dengan ikan emas itu. Aku rasa, ikan emas itu cuba memberitahu kepadaku, betapa dia sangat sayang kepadaku."

Nampaknya, manusia aneh ini telah mempunyai hubungan istimewa dengan salah seekor ikan emas yang diseksanya. Kejam sekali, apabila aku melabelkan manusia aneh ini sebagai penyeksa ikan emas.

"Aku mula menyedari hakikat ini, selepas ikan emas itu menjadi darah dan dagingku."

Aku tersilap. Hubungan dia dengan ikan emas itu bukan sebagai teman istimewa, tetapi antara manusia dengan makanan.

NOTA: Siri ke-5 Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa, ditulis oleh Amiene Rev pada tahun #### di sebuah lokasi misteri di 'Hofgarten Park, Germany'.

Rabu, April 18, 2007

Catatan Seorang Pesakit Anoreksia 4

Deretan dua tiga pucuk surat elektronik tersenarai di dalam peti e-mel aku. Salah satu daripadanya adalah e-mel keempat, kiriman manusia aneh itu.

Dia bercakap mengenai ikan emas lagi. Nampaknya hidupnya bertemankan ikan emas, biarpun ikan emas itu menemani dirinya secara terpaksa:

"Suatu hari ikan emas itu melompat keluar dari akuariumnya. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin ikan emas itu sudah berasa bosan dengan akuarium itu. Kalau begitu, ikan emas juga memiliki perasaan seperti manusia."

Betulkah ikan emas itu merasa bosan? Atau, ada kucing yang mengganggu ikan emas itu? Mungkin kucing yang seperti ini telah menyebabkan ikan itu ketakutan? Kucing dan ikan emas jarang-jarang dapat dipisahkan. Bagaimana pula dengan peribahasa yang berbunyi:

"Seperti kucing dengan ikan emas?"

"Seperti manusia aneh dengan ikan emas?"

"Sebenarnya, sejak hari itu, cuma tinggal seekor ini sahaja ikan emas di dalam akuarium itu."

Oh, rupa-rupanya dia sudah memakan kesemua ikan emasnya. Secara mentah-mentah? Jadi bagaimana pula dengan ikan emas putih itu? Tidak pula dia bercerita mengenainya.

"Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan dengan ikan emas ini. Lalu aku berhajat untuk memakannya dalam satu hidangan yang cukup enak. Aku menamakannya, nasi lemak ikan emas."

Bagaimana pula kalau selepas ini dia memelihara ikan kap? Ikan kap yang lebih berisi itu rasanya tentu lebih enak jika dipanggang.

"Inginkah kau tahu, bagaimana resipi nasi lemak ikan emas ini?"

Hm... adakah manusia aneh ini benar-benar seorang pesakit aneroksia nervosa atau seorang kaki melantak? Aku tidak boleh begitu prejudis, dia cuma makan ikan emas sahaja, dan sekarang dia sedang bercerita tentang satu resepi yang kemungkinan besar 'gila' dan belum pernah dibuat orang. Dunia ini sekarang, sudah ramai orang gila.

Entri ini juga sudah tentu merupakan satu kegilaan!



NOTA: Siri ke-4 Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa, ditulis oleh Amiene Rev pada tahun #### di sebuah lokasi misteri di 'Hofgarten Park, Germany'.



Jumaat, April 13, 2007

Catatan Seorang Pesakit Anoreksia 3

E-mel (kali ketiga) itu sampai lagi. Kali ini agak lambat. Agaknya, manusia misteri penyeksa ikan emas ini kesibukan hari ini. Apa agaknya si bulimia ini akan perkatakan kepadaku pada hari ini?

"Aku cemburu melihat ikan emas itu. Bercinta siang dan malam. Akuarium itu tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada mereka. Aku pula sentiasa kesunyian. Tanpa teman. Tanpa kawan."

Oh, nampaknya manusia aneh ini kesunyian. Mungkin, sikapnya yang aneh itu adalah punca dia mengalami kesunyian?

"Tahukah kau apa yang berlaku kepada ikan emas putih itu? Dia tetap seperti itu. Kabur. Tidak jelas. Terus meniup-niup keluar buih-buih udara dengan mulutnya. Ikan itu seperti berbicara kepadaku. Tahukah kau, apa agaknya dia mahu beritahu kepada aku?"

Hm, nampaknya dia sudah mula menganggap ikan emas itu sebagai kawannya. Semoga dia tidak menyeksa ikan emas itu lagi.

"Aku memberi ikan emas itu makan. Ikan emas itu makan seperti biasa. Nampaknya dia tidak menunjukkan tanda-tanda kerinduan biarpun aku telah memisahkan dia, daripada rakan-rakannya."

Dia masih bereksperimen dengan ikan itu?

"Aku faham. Ikan itu tetap cuba sedaya upaya meneruskan hidupnya. Biarpun dia diseksa, dikurung, dibiarkan kesunyian, hidup dalam kegelapan. Ikan emas, makan untuk hidup."

Habis. Manusia aneh ini pula, berlapar untuk hidup? Tak perlu makan apa-apa?

"Aku pula, hidup untuk menyeksa diri aku. Menghukum diri aku. Sebab, aku benci diri aku. Aku benci sebab aku terpaksa hidup sunyi. Orang lain gembira ada kawan. Orang lain gembira ada orang hendak bercakap dengan dia! Aku! Sunyi! Tak ada kawan! Tak ada orang nak kawan dengan aku! Kenapa? Kenapa kamu semua zalim! Bo___! Be___! Lak__! Ce____! Maki hamun. Maki hamun. Maki hamun."

Nota: Perkataan yang tidak lengkap dan seterusnya mengandungi unsur-unsur maki hamun.

"Aku kecewa dengan semua orang! Aku kecewa dengan semua manusia!"

Jadi, kerana marahkan manusia, ikan emas diseksa? Begitu?

"Aku mahu jadi ikan emas... ikan emas sungguh bahagia! Aku... Aku... Aku tengah menangis ni! Sob... sob... sob... uuuuuu......"

Oh, sedihnya. Nampaknya, selepas menaip kata-kata terakhirnya ini, dia menghantar e-mel ini kepadaku sambil mengalirkan air mata. Apa kata kita dengar lagu tangisan serigala untuk menenangkan jiwa dalam keunikan malam?


NOTA: Siri ke-3 Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa, ditulis oleh Amiene Rev pada tahun #### di sebuah lokasi misteri di 'Hofgarten Park, Germany'.


Khamis, April 12, 2007

Catatan Seorang Pesakit Anoreksia 2

Nampaknya, manusia aneh ini telah pun mengirimkan e-mel keduanya. Mungkinkah pukul 3 pagi tadi? Belum boleh dikatakan di sini, bahawa dia merupakan seorang yang berkomitmen dalam mengirimkan e-mel yang ganjil ini. Temanya masih berkaitan dengan ikan emas. Huh?

Kali ini tulisannya masih lagi mengekalkan identiti Bahasa Buruk (Bahasa SMS). Tulisannya berbunyi begini:

"Ikan emas adalah sumber inspirasiku. Sejak aku berasa kesunyian, aku memelihara banyak ikan emas. Ikan emas ini berenang-berenang dengan sungguh tenang. Dapatkah kau bayangkan betapa tenangnya ikan emas itu, biarpun terperangkap di dalam akuarium?"

Aku sudah dapat menangkap maksudnya. Namun aku tetap meneruskan pembacaanku:

"Walau pun setiap hari memandang perkara yang sama, ikan-ikan emas itu tetap kelihatan gembira bersama kawan-kawannya. Biarpun mukanya kelihatan hanyut dengan kehidupannya (diterjemahkan daripada perkataan blur). Namun aku di sini, sentiasa mengisi hari-hari aku dengan penuh kesunyian."

Aku rasa dia tentu berhenti sebentar sebelum menyambung penulisannya. Barangkali, dia pergi memberi makan kepada ikan-ikan emasnya.

"Aku telah memberi ikan-ikan emas ini makan setiap hari. Sehingga wang sakuku habis. Oleh itu, sekarang tibalah giliran aku untuk memakan ikan-ikan emas ini. Tahukah kau bagaimana rasanya ikan-ikan emas ini apabila dimakan mentah-mentah?"

Hm. Aku rasa, aku patut mencadangkannya supaya membuat sushi ikan emas. Wasabi yang berwarna hijau dengan kombinasi beras Jepun yang berwarna putih serta ikan emas yang serba kemerahan, pasti akan mendatangkan kesan yang sungguh menarik dari segi selera warna.

Kemudian aku membaca perkataan-perkataan terakhir dalam e-melnya.

"Tahukah kau, seekor daripada ikan-ikan emas itu aku pisahkan dan letakkan di dalam bekas yang gelap tanpa cahaya. Aku mahu ikan emas itu faham apa ertinya kesunyian. Selepas beberapa hari, aku dapati ikan emas itu bertukar menjadi warna putih."

Manusia aneh ini, penyeksa ikan emas rupanya!

"Selama aku mengurung ikan emas putih ini, selama itu juga aku tidak makan apa-apa."

Oh, dan manusia aneh ini bertambah pelik kerana dia juga menyeksa dirinya! Aku patut menyarankan kepada dia supaya berniat puasa sunat sebelum berbuat demikian. Namun, bagaimana seorang penyeksa ikan emas, amalnya dapat diterima? Aku juga lupa bertanya, sama ada dia ada memberi makan ikan emas itu atau pun tidak.


NOTA: Siri ke-2 Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa, ditulis oleh Amiene Rev pada tahun #### di sebuah lokasi misteri di 'Hofgarten Park, Germany'.



Rabu, April 11, 2007

Kisah Seorang Pesakit Aneroksia

Malam itu aku menerima satu e-mel daripada seorang misteri. E-mel itu mengandungi catatan peribadi yang kelihatan sayu. Penulis e-mel itu memberitahuku dengan menggunakan bahasa buruk (SMS). Namun, untuk membolehkan tulisannya itu dipaparkan di sini, maka aku menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu rasmi seperti berikut:

"Hidupku kini tidak lagi bahagia. Aku mahu menghukum diriku, tanpa makan dan minum. Kau adalah orang yang kupilih, untuk memaparkan tulisanku. Paparkan sesuka hatimu. Aku cuma mahu semua orang tahu, betapa aku kini, sedang terseksa."

Di bahagian akhir e-mel itu tertulis:

"Sudah sekian lama, aku memakan ikan emas. Mentah-mentah. Seekor berharga seringgit lima puluh sen. Aku memelihara banyak ikan emas. Ikan-ikan emas ini tidak kuberi makan. Kerana itu, aku juga tidak boleh makan. Sehingga ikan-ikan ini habis, maka aku tidak lagi akan makan apa-apa."

Jadi, aku pun menunaikan permintaan manusia yang aneh ini. Lalu hari, ini, catatan pertamanya mengisi panel tetingkap tulisan entriku. Aku menganggapnya sebagai sebuah karya kreatif.

Harap-harap dia tidak menghantar kesinambungannya lagi.


NOTA: Siri pertama, Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa, ditulis oleh Amiene Rev pada tahun #### di sebuah lokasi misteri di 'Hofgarten Park, Germany'.