BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, April 12, 2007

Catatan Seorang Pesakit Anoreksia 2

Nampaknya, manusia aneh ini telah pun mengirimkan e-mel keduanya. Mungkinkah pukul 3 pagi tadi? Belum boleh dikatakan di sini, bahawa dia merupakan seorang yang berkomitmen dalam mengirimkan e-mel yang ganjil ini. Temanya masih berkaitan dengan ikan emas. Huh?

Kali ini tulisannya masih lagi mengekalkan identiti Bahasa Buruk (Bahasa SMS). Tulisannya berbunyi begini:

"Ikan emas adalah sumber inspirasiku. Sejak aku berasa kesunyian, aku memelihara banyak ikan emas. Ikan emas ini berenang-berenang dengan sungguh tenang. Dapatkah kau bayangkan betapa tenangnya ikan emas itu, biarpun terperangkap di dalam akuarium?"

Aku sudah dapat menangkap maksudnya. Namun aku tetap meneruskan pembacaanku:

"Walau pun setiap hari memandang perkara yang sama, ikan-ikan emas itu tetap kelihatan gembira bersama kawan-kawannya. Biarpun mukanya kelihatan hanyut dengan kehidupannya (diterjemahkan daripada perkataan blur). Namun aku di sini, sentiasa mengisi hari-hari aku dengan penuh kesunyian."

Aku rasa dia tentu berhenti sebentar sebelum menyambung penulisannya. Barangkali, dia pergi memberi makan kepada ikan-ikan emasnya.

"Aku telah memberi ikan-ikan emas ini makan setiap hari. Sehingga wang sakuku habis. Oleh itu, sekarang tibalah giliran aku untuk memakan ikan-ikan emas ini. Tahukah kau bagaimana rasanya ikan-ikan emas ini apabila dimakan mentah-mentah?"

Hm. Aku rasa, aku patut mencadangkannya supaya membuat sushi ikan emas. Wasabi yang berwarna hijau dengan kombinasi beras Jepun yang berwarna putih serta ikan emas yang serba kemerahan, pasti akan mendatangkan kesan yang sungguh menarik dari segi selera warna.

Kemudian aku membaca perkataan-perkataan terakhir dalam e-melnya.

"Tahukah kau, seekor daripada ikan-ikan emas itu aku pisahkan dan letakkan di dalam bekas yang gelap tanpa cahaya. Aku mahu ikan emas itu faham apa ertinya kesunyian. Selepas beberapa hari, aku dapati ikan emas itu bertukar menjadi warna putih."

Manusia aneh ini, penyeksa ikan emas rupanya!

"Selama aku mengurung ikan emas putih ini, selama itu juga aku tidak makan apa-apa."

Oh, dan manusia aneh ini bertambah pelik kerana dia juga menyeksa dirinya! Aku patut menyarankan kepada dia supaya berniat puasa sunat sebelum berbuat demikian. Namun, bagaimana seorang penyeksa ikan emas, amalnya dapat diterima? Aku juga lupa bertanya, sama ada dia ada memberi makan ikan emas itu atau pun tidak.


NOTA: Siri ke-2 Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa, ditulis oleh Amiene Rev pada tahun #### di sebuah lokasi misteri di 'Hofgarten Park, Germany'.