PARODI: PRIMEVAL
Saya seekor buaya yang ganas. Orang memanggil saya, Gustave. Anda tahu kenapa saya menjadi ganas? Anda sangka, saya menjadi ganas kerana saya adalah buaya mutasi? Tidak betul.
Anda tahu saya tidak bersalah. Saya adalah seekor buaya. Saya makan daging manusia. Manusia bunuh manusia. Buaya tidak bunuh buaya. Buaya bunuh manusia untuk dimakan. Manusia bunuh manusia kerana kuasa, kerana tamak, kerana dendam! Saya buaya, saya tidak berakal. Saya adalah wakil yang dilantik untuk menghukum manusia!
Kenapa, tiba-tiba saya memburu manusia? Kerana pada suatu hari, ketika saya masih kecil, saya melihat manusia membunuh manusia. Kemudian mayat manusia itu dicampak ke sungai. Sejak itu, saya mula merasai kelazatan daging manusia. Sayang sekali, mayat itu tidak direncah dengan kicap atau garam. Jika tidak, tentu lebih lazat.
Sungai tempat tinggal saya menjadi merah kerana darah manusia. Semuanya angkara manusia. Oleh itu saya mahu makan manusia. Saya telah membunuh lebih 300 orang. Saya tidak bersalah, kerana saya tidak berakal...
Anda tentu tahu, saya masih belum dapat dibunuh. Saya masih berkeliaran di sungai tersebut. Anda mahu datang bunuh saya? Datanglah, saya berasa sungguh seronok bermain kejar mengejar dengan manusia yang bernama Steven Johnson itu. Dia sungguh kelakar!
Juga seorang budak bernama Jojo. Sayalah yang membunuh ahli keluarganya. Dia ingin pergi ke Amerika kerana katanya Afrika tidak dapat memberikan kebahagiaan kepada dirinya! Saya masih ingat betapa bodohnya Jojo, masuk ke dalam sangkar jerat. Manusia ingat saya tidak tahu itu adalah jerat. Saya ada pengalaman. Banyak pengalaman.
Oh, tiba-tiba saya terbau sesuatu yang wangi. Ini bau minyak wangi. Oh, tidak! Tidak! Ada orang jatuh dari bangunan! Tidak! Tidak! Semua manusia takutkan saya.
"Berhenti!" Tiba-tiba Encik Michael Katleman memanggil saya. "Balik, mandi!"
"Baik, Tuan Pengarah."
Oh, nampaknya saya harus balik terlebih dahulu. Tuan Pengarah sudah marah. Nanti gaji saya dipotong. Namun ingatlah para pembaca sekalian, saya adalah Gustave, buaya yang pernah membunuh 300 orang.
NOTA: Primeval adalah sebuah filem pengembaraan seram yang ditayangkan pada tahun 2007. Ditulis oleh John D. Brancato dan Michael Ferris. Sebuah filem arahan Michael Katleman. Filem ini dibuat berdasarkan kisah benar, mengenai Gustave, seekor buaya seberat 907 kilogram dan sepanjang 6 meter, yang tinggal di Tasik Tanganyika, Burundi.
ULASAN AMIENE REV: Parodi untuk filem ini baru hendak bermula. Ini cuma pengenalan, belum dapat dibuat parodi.
|