Deretan dua tiga pucuk surat elektronik tersenarai di dalam peti e-mel aku. Salah satu daripadanya adalah e-mel keempat, kiriman manusia aneh itu.
Dia bercakap mengenai ikan emas lagi. Nampaknya hidupnya bertemankan ikan emas, biarpun ikan emas itu menemani dirinya secara terpaksa:
"Suatu hari ikan emas itu melompat keluar dari akuariumnya. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin ikan emas itu sudah berasa bosan dengan akuarium itu. Kalau begitu, ikan emas juga memiliki perasaan seperti manusia."
Betulkah ikan emas itu merasa bosan? Atau, ada kucing yang mengganggu ikan emas itu? Mungkin kucing yang seperti ini telah menyebabkan ikan itu ketakutan? Kucing dan ikan emas jarang-jarang dapat dipisahkan. Bagaimana pula dengan peribahasa yang berbunyi:
"Seperti kucing dengan ikan emas?"
"Seperti manusia aneh dengan ikan emas?"
"Sebenarnya, sejak hari itu, cuma tinggal seekor ini sahaja ikan emas di dalam akuarium itu."
Oh, rupa-rupanya dia sudah memakan kesemua ikan emasnya. Secara mentah-mentah? Jadi bagaimana pula dengan ikan emas putih itu? Tidak pula dia bercerita mengenainya.
"Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan dengan ikan emas ini. Lalu aku berhajat untuk memakannya dalam satu hidangan yang cukup enak. Aku menamakannya, nasi lemak ikan emas."
Bagaimana pula kalau selepas ini dia memelihara ikan kap? Ikan kap yang lebih berisi itu rasanya tentu lebih enak jika dipanggang.
"Inginkah kau tahu, bagaimana resipi nasi lemak ikan emas ini?"
Hm... adakah manusia aneh ini benar-benar seorang pesakit aneroksia nervosa atau seorang kaki melantak? Aku tidak boleh begitu prejudis, dia cuma makan ikan emas sahaja, dan sekarang dia sedang bercerita tentang satu resepi yang kemungkinan besar 'gila' dan belum pernah dibuat orang. Dunia ini sekarang, sudah ramai orang gila.
Entri ini juga sudah tentu merupakan satu kegilaan!
NOTA: Siri ke-4 Catatan Seorang Pesakit Aneroksia Nervosa, ditulis oleh Amiene Rev pada tahun #### di sebuah lokasi misteri di 'Hofgarten Park, Germany'.
|