BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, April 25, 2007

3 Buah Novel Percubaan Amiene Rev

"Barangkali, inilah teknik menulis paling zenit dalam
era penulisan kemanusiaan secara kreatif.
Teknik Penulisan Novel Amiene Rev"
Masa untuk menulis novel sudah semakin hampir. Aku sudah bosan menjadi penulis tumpang. Jam detik semakin dekat untuk dihidupkan. Ini adalah pertaruhan yang terakhir. Setelah meneliti karyaku satu demi satu, aku membuat pilihan untuk menerbitkan 3 buah novel dalam jangka masa tertentu.

Satu daripada novel ini adalah novel sekuel, dengan 6 ekstra. Manakala dua lagi adalah novel percubaan untuk diterbitkan. Aku bercadang untuk memberi tumpuan terhadap dua novel percubaan tersebut. Hm, buat masa ini, sudah ada 4 buah syarikat penerbitan dalam senarai. Namun ada dua buah syarikat yang aku rasa, yang sesuai untuk permulaan serius sebagai novelis, mengubah status dari penulis amatur ke profesional dalam bidang penulisan.

Sekiranya berjaya, maka aku bercadang untuk menumpukan terus terhadap bidang penulisan novel. Jadual hidup baru telah diatur untuk ke arah kehidupan sebagai seorang novelis sepenuh masa. Semua ini bergantung kepada perjanjian dan komitmen antara aku dengan syarikat penerbitan yang terpilih ini.

Ada dua buah syarikat penerbitan yang aku rasa cukup membela hak-hak penulis. Yup, aku mempunyai strategi dan harapan yang agak tinggi dalam bidang penulisan ini. Melangkah dengan lebih jauh. Kenapa aku memilih dua buah syarikat dan tidak hanya satu. Sebabnya, salah sebuah syarikat ini memberi syarat bahawa segala karya yang hendak diterbitkannya mesti mengikut teknik penulisan tertentu.

Aku tidak peduli kalau-kalau ada penerbit yang memandang rendah potensi teknik penulisan ciptaan aku, tetapi aku percaya, dan aku yakin bahawa teknik ini merupakan aliran tulen, dan akan sentiasa dikaji dan ditingkatkan lagi sehingga mencapai tahap yang tertinggi. Lagi pun yang penting, ialah bagaimana karya yang aku hasilkan itu dapat menyampaikan mesej-mesej tertentu. Aku menekankan aspek pendidikan kemanusiaan yang global dalam karya-karya ini. Teknik ciptaan aku ini merupakan adunan pendidikan kemanusiaan dan kesahihan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Barangkali, inilah teknik paling zenit dalam era penulisan kemanusiaan secara kreatif.

Jadi aku sudah membuat keputusan, dengan syarikat A, aku akan menulis mengikut teknik penulisannya, manakala dengan syarikat B, aku akan menulis menggunakan teknik baru yang aku cipta. Untuk tujuan itu, aku harus memilih karya-karya yang sesuai untuk dihantar ke setiap syarikat. Hm, aku rasa aku perlukan lebih banyak maklumat dalam soal ini sebelum mengaktifkan jam detik.

Potensi dan kreativiti individu tidak boleh dihalang. Teknik penulisan syarikat A juga bagus, tetapi teknik ciptaan aku juga, pasti tidak kalah kepada teknik-teknik penulisan sedia ada.

Apa gunanya hidup jika kebolehan diri sendiri pun tidak boleh dipercayai?