BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, April 09, 2007

Sekolah Kluster Bakal Tingkatkan Profesionalisme Perguruan

Saya tertarik dengan isu sekolah kluster. Isu pentadbiran sekolah yang seolah-olah diswastakan, tetapi hakikatnya bukan swasta. Sekilas lalu, saya berpendapat, kewujudan sekolah kluster mampu meningkatkan profesionalisme dalam dunia pendidikan. Dunia pendidikan adalah bidang saya, jadi, ini adalah dunia yang saya fahami.

Dahulu, salah satu sebab kenapa profesionalisme perguruan dipersoalkan ialah faktor autonomi. Tidak memiliki autonomi, bermaksud guru tidak mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan. Sebenarnya, hanya guru dan pihak sekolah yang lebih memahami 'pelanggannya' atau para pelajar yang belajar di sekolahnya, berbanding dengan pihak kementerian, oleh itu mereka patut diberikan autonomi.

Autonomi yang diberikan ini akan membolehkan pihak sekolah dan para guru memberi fokus berdasarkan keputusan yang dibuat sendiri. Guru yang berdepan dengan pelajar, sekolah yang menguruskan pelajar, maka biarlah guru dan sekolah itu sendiri yang memiliki autonomi. Terima kasih, Kementerian Pelajaran, anda telah bebaskan para guru dan sekolah daripada cengkaman dan kongkongan. Sekarang guru-guru, buktikan profesionalisme anda!

Dahulu anda, para guru sering dipersoalkan apabila membincangkan soal-soal profesional. Sekarang, apa lagi yang anda tunggu? Teruskan perjuangan!