KITAB Hari Terakhir
Malam ini tamat sudah Program Khidmat Tutor Percuma Untuk Anak-anak Desa Bakti. Program ini akan disambung lagi pada semester hadapan dengan elemen-elemen baru yang lebih menarik. Beberapa hari yang lalu, iaitu pada malam selepas Program KITAB, aku dilanda satu mimpi yang aneh.
Di dalam mimpi itu aku melihat, seorang budak lelaki, tutee, seolah-olah tidak puas hati denganku. Dua tiga kali aku termimpi perkara yang sama. Aku tidak mengendahkan mimpi tersebut pada mulanya. Aku anggap itu mimpi mainan tidur.
Malam tadi, aku sempat berkunjung ke bilik kelas khusus untuk pelajar UPSR. Baru aku sedar, rupa-rupanya ada seorang budak lelaki UPSR merajuk dengan aku. Puncanya, aku tidak mengajar dia pada minggu lepas, sebab ketika itu aku mengajar budak yang lain, sekolah menengah. Aku tak sangka, dia akan kecil hati kerana tidak dapat belajar dengan aku.
Aku bertanya kepada AJK, AJK menceritakan apa yang berlaku kepada budak itu pada minggu lepas. Dia mendapat tutor yang lain. Sepatutnya tidak ada masalah. Namun budak itu pernah memaklumkan kepada aku dan tutor yang lain, dia suka belajar dengan Cikgu Amien. Dia berebut-rebut mahu belajar dengan aku setiap minggu, cuma malam itu aku, selaku pengasas dan pemimpin besar dalam Program KITAB, mempunyai banyak urusan kerja yang perlu diteliti.
Bercakap soal ini. Aku cukup bimbang apabila mengenangkan ada antara murid-muridku yang bergaduh kerana aku. Bagi mereka, aku ini seperti ayah atau abang kandung mereka. Mereka tidak mahu aku dikongsi oleh orang lain. Aku harap tugasan dan tanggungjawab aku, tidak akan menyebabkan anak-anak aku rasa tersisih, pada suatu ketika nanti.
Aku tidak melakukan apa-apa yang luar biasa. Cuma mengajar mereka. Cuma membentuk mereka. Namun, ini hakikat yang perlu aku terima, dan kadang-kala rasa kecewa apabila melihat perkara yang tidak diingini ini berlaku. Bergaduh kerana berebut seorang guru... cemburu apabila melihat guru tersebut mengajar orang lain. Perkara sebegini, menyebabkan aku rasa patut bersikap dingin terhadap budak-budak.
Aku tidak tahu, siapa aku, apa nilai diri aku terhadap mereka. Namun, kadangkala... aku cuma berharap, suatu hari nanti aku boleh jadi ayah yang terbaik. Cuma aku harap anak kandung aku nanti, tidak akan bergaduh kerana cemburu, apabila aku mengambil anak-anak yatim tinggal bersama keluargaku untuk dididik dan dilatih menjadi pemimpin generasi pada masa akan datang.
Suatu hari nanti, budak itu akan besar dan matang, seperti anak-anak muridku yang lain...
Pada semester hadapan, Fasa 2 akan bermula.
|