BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, April 13, 2007

ANAK-ANAK DERHAKA YANG POPULAR

BERITA 1: Profesional mengemis
Oleh Mary Victoria Dass

JOHOR BAHRU: Bakal doktor dan bekas pengetua sekolah menengah berusia antara 30-an hingga 60-an adalah antara golongan profesional yang dicekup Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana menjadi kutu rayau dan pengemis di sekitar bandar raya ini.

Tangkapan itu cukup mengejutkan kerana secara munasabahnya, tiada sebarang keperluan bagi golongan berkenaan untuk menyara hidup dengan aktiviti mengemis berikutan mampu mendapatkan pendapatan bulanan lumayan.

Mendedahkan perkara itu, seorang jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, berkata ada antara mereka juga terdiri daripada golongan yang dikagumi masyarakat dan pernah hidup serba mewah.

Menurutnya, lebih mengecewakan, sesetengah mereka adalah bekas kakitangan kerajaan yang sepatutnya mampu menanggung kehidupan dengan wang pencen yang diterima setiap bulan.

Misalnya, seorang bekas pengetua sekolah menengah yang ditangkap ketika sedang merayau-rayau di pusat bandar raya ini, baru-baru ini, didapati bukan saja sudah mempunyai keluarga, malah menerima pencen bulanan kira-kira RM2,000 sebulan.

“Kebiasaannya, kita menahan pengemis daripada golongan daif yang terpaksa hidup merempat kerana tiada tempat berteduh dan sumber kewangan, cacat dan tidak mampu untuk bekerja bagi menyara hidup.

“Bagaimanapun, dalam beberapa kes, ada lelaki berusia antara 30-an hingga 60-an yang diberkas didapati golongan profesional.

“Bekas pengetua sekolah itu dipercayai disisih keluarganya sehingga menghadapi kemurungan sebelum mengemis di pusat bandar raya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

ULASAN AMIENE REV: Mungkin disebabkan merajuk dengan keluarga (anak-anak), mereka membawa diri menjadi pengemis supaya dapat menarik perhatian anak-anak mereka kembali. Ini mengingatkan saya kepada sebuah novel Inggeris yang berjudul: Rosie.

Nenek itu menimbulkan masalah dengan harapan anak-anak dan orang ramai akan memberi perhatian kepada dirinya.


Jurucakap itu berkata, lebih mengejutkan apabila seorang siswa yang beberapa bulan bakal bergelar graduan dalam bidang perubatan turut mengemis dipercayai akibat mengalami tekanan mental.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian menerima perlindungan JKM apabila mendapati dia menghidap sakit mental.

ULASAN AMIENE REV: Di mana silapnya?


“Sebelum memberi perlindungan kepada seseorang pengemis, kami perlu menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti latar belakang keluarga dan dirinya sendiri.

“Bagaimanapun, apa yang mengelirukan apabila sesetengah individu terpaksa menjadi pengemis dan kutu rayau walaupun sudah mempunyai keluarga dan pendapatan tetap.

“Kami masih kurang memahami tujuan golongan itu mengemis sama ada kerana sakit mental atau ingin mengatasi tekanan kehidupan semata-mata,” katanya.


BERITA 2: Syor potong gaji anak abai ibu bapa
Oleh Mohamad Hussin

KUALA LUMPUR: Marah dan kesal dengan perbuatan tujuh anak mengabaikan kebajikan ibu bapa mereka yang sudah uzur sebagaimana didedahkan Harian Metro, Sabtu lalu, ahli Dewan Rakyat, semalam sepakat melahirkan kekesalan sambil mengutuk tindakan anak derhaka terbabit.

Serentak itu, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan mengenakan potongan gaji terhadap anak berkemampuan yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan, manakala anak yang sanggup menjaga orang tua mereka diberi insentif.

Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) menyarankan anak yang mengabaikan ibu bapa tidak diberikan sebarang bentuk bantuan kerajaan.

“Saya cadangkan kerajaan menutup pusat jagaan warga emas supaya anak lebih bertanggungjawab terhadap ibu bapa yang membesarkan mereka selama ini.

“Justeru, saya berpendapat kerajaan jangan ambil tanggungjawab untuk menjaga orang tua ini. Biar kita keluarkan dalam akhbar siapa bapa yang tak terjaga dan minta anak dia jaga,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pusat Jagaan (Pindaan) 2006 di Dewan Rakyat, semalam.

NOTA AMIENE REV: Saya bersetuju dengan idea Datuk Badruddin. Pusat-pusat jagaan warga emas sepatutnya dikurangkan dan tindakan selanjutnya ialah mewujudkan akta atau undang-undang dunia berkaitan dengan penjagaan ibu bapa oleh anak-anak.

Potongan gaji itu juga idea yang bagus. Lancarkan serta-merta!


Beliau berkata, generasi masa kini begitu mudah menjadi ‘anak derhaka’ sehingga sanggup menghantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas sedangkan ibu bapa mereka boleh membesarkan anak.

Datuk Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) berkata, peruntukan yang sedang dibahaskan sekarang bukan untuk menggalakkan anak menghantar ibu bapa ke pusat jagaan, tetapi memastikan orang tua terbela dan anak pula bertanggungjawab menyediakan keperluan ibu bapa masing-masing.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu mengubah persepsi masyarakat bahawa dalam keadaan yang sudah berubah, pusat jagaan perlu dikenali sebagai usaha penjagaan ibu bapa selepas anak keluar bekerja,” katanya.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pula hairan kerana mengikut istilah, emas patutnya disimpan, tetapi warga emas sebaliknya dihantar ke pusat jagaan.

“Sebenarnya emas ini kena simpan, tapi warga emas atau usia emas dihantar ke tempat lain. Dilabur di rumah orang tua,” katanya.

ULASAN AMIENE REV: Rumah orang-orang tua bukan bank emas. Kesilapan manusia zaman sekarang ialah mudah berubah mengikut zaman. Mereka terlalu berpegang kepada prinsip, kita tidak boleh memaksa orang mengikut pemikiran kita, kita harus berubah mengikut rentak sezaman, sehingga nilai-nilai kemanusiaan terus dibiarkan terhakis, lalu mereka pun berkata:

"Tidak semua benda boleh mengikut kehendak kita. Kita terpaksa mengikut kehendak orang lain."

Kehendak orang lain? Kehendak dia betulkah? Atau kehendak kita yang betul? Kenapa yang tak betul itu dibiarkan untuk diikuti? Kenapa yang betul dikorbankan?

Cara penerimaan masyarakat kini terhadap sesuatu perkara perlu diubah, dengan menetapkan nilai-nilai kemanusiaan sebagai elemen terpenting berbanding perkara-perkara lain.


Beliau mencadangkan pusat jagaan orang tua diberi wajah baru, dilengkapi kemudahan selesa dan jangan jadikan seperti pusat tahanan atau pusat serenti.

Mohd Yusof Majid (BN-Setiu) mencadangkan kerajaan memotong gaji anak berkemampuan bagi menyedarkan mereka supaya lebih menghargai dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa yang banyak berjasa.

“Setuju atau tidak, anak yang hantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas dikenakan potongan gaji, manakala yang menjaga ibu bapa diberi insentif selain potongan cukai,” katanya.

Cadangan Mohd Yusof turut dipersetujui Datuk Mahadzir Mohd Khir (BN-Sungai Petani) yang berpendapat tugas menjaga ibu bapa bukan satu bebanan, tetapi tanggungjawab bersama.

ULASAN AMIENE REV: Laksanakan saja. Saya sokong.


Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun) turut mencelah dengan mencadangkan kerajaan menyediakan akta atau undang-undang baru bertujuan memastikan setiap anak lebih bertanggungjawab dan tidak hanya tahu menghantar ibu bapa yang sudah uzur ke pusat jagaan warga emas.

“Ini supaya anak-anak tidak menghantar ibu bapa ke rumah jagaan warga emas sehingga menjejaskan kempen masyarakat penyayang,” katanya.

ULASAN AMIENE REV: Kita memerlukan undang-undang berkaitan penjagaan ibu bapa oleh anak-anak. Perlu diwujudkan jabatan khas berkaitan dengan penjagaan orang-orang tua. Kita sudah ada kementerian untuk wanita tetapi kita juga perlu ada kementerian khusus untuk orang-orang tua untuk fokus yang lebih baik.


Pada 7 April lalu, Harian Metro melaporkan nasib sepasang suami isteri, Bakhtiar Ramli (bukan nama sebenar), 63, dan isterinya yang berusia 50-an yang diabaikan tujuh anak mereka.

Tindakan tujuh beradik itu disifatkan sebagai anak derhaka apabila sanggup membuang ibu dan ayah mereka yang menghidap penyakit asma dan sakit mental sejak setahun lalu, sehingga pasangan warga emas itu terpaksa menumpang dan menagih simpati di rumah saudaranya.

Berikutan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa mengambil alih tugas anak derhaka itu dengan menempatkan pasangan terbabit di pusat jagaan warga emas, Rumah Seri Kenangan (RSK) di Kampung Ungku Mohsin, Johor Bahru.



SUMBER: HARIAN METRO