BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, April 05, 2007

ULASAN FILEM: Jangan Pandang Belakang - Don't Look Back

Mula Tayang: 5 April 2007
Klasifikasi: Umum
Genre: Seram (Saka, Hantu, Makhluk Halus, Jin, Bomoh, Mistik, Melayu)
Bahasa: Melayu (English Subtitled)
Tempoh: Tayangan 1 jam 40 minit
Pengarah Filem: Ahmad Idham
Penulis Skrip: Pierre Andree
Para Pelakon: Pierre Andre, Intan Ladyana, Rio Elani, Khatijah Tan, Rusminah Sidek.
Penampilan Istimewa: Jalaluddin Hassan dan Cat Ruffedge
Penerbit: Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd

"Sekiranya anda sudah puas bermain rollercoaster atau masuk ke rumah hantu, tontonlah filem Jangan Pandang Belakang! Di panggung, ada penonton yang mengalami histeria kerana menonton filem seram ini. Sesuai untuk dipasarkan ke luar negara. Aksi cemasnya berjaya menggoda dan melemaskan logik akal orang yang menontonnya untuk berasa tertipu, secara sukarela."- Amiene Rev.



SINOPSIS:
Kisah misteri yang cukup menyeramkan ini mengisahkan seorang pemuda bernama Darma (Pierre Andre) yang cuba mencari kepastian tentang sebab kematian tunangnya, Rose (Intan Ladyana). Rose telah didapati mati tanpa diketahui punca sebenar. Darma bersama adik kembar Rose bernama Seri (juga lakonan Intan Ladyana) yang cukup mengenali keperibadian Rose cuba mencari jawapannya.

Mereka telah pergi ke rumah Rose untuk memulakan siasatan dan di sana Darma telah menemui sebiji botol. Darma mengambilnya dan dibawa pulang. Darma dan Seri mengesyaki sesuatu perkara yang pelik dan aneh berlaku di sebalik kematian Rose. Ramalan mereka dikukuhkan dengan beberapa perkara yang berlaku dan ditemui termasuk pada kamera digital Rose yang mereka temui.

Selepas itu, hidup Darma tidak lagi tenteram. Setiap hari dia diganggu oleh ‘sesuatu’ dengan gangguan yang amat dahsyat. Pelbagai peristiwa pelik dan menyeramkan berlaku ke atas Darma. Hidup Darma berubah kepada seorang yang tidak terurus dan menjejaskan prestasi kerjanya!

Darma akhirnya meminta cuti dan pulang ke kampung. Di kampung, pelbagai peristiwa seram, lucu dan pelik berlaku.

Nota: Sinopsis dipetik dan diubahsuai dari laman web movies.mwig.com.


ULASAN FILEM:
Cerita ini mengenai saka. Saka ialah
perjanjian syaitan dengan manusia. Perjanjian bahawa manusia akan menggunakan keistimewaan syaitan itu untuk kehidupannya dan dengan itu, syaitan akan terus menerus menguasai kehidupan manusia.

Syaitan yang menguasai hidup manusia selama beberapa keturunan lamanya. Syaitan ini menghantui anak cucu manusia yang membuat perjanjian tersebut untuk meneruskan perjanjian, untuk
merasuki dan menghuni tubuh anak cucu manusia.

Filem Jangan Pandang Belakang ini menyebabkan saya sekali lagi ingin mengatakan, Ahmad Idham merupakan
pengarah filem kegemaran saya. Skrip yang ditulis oleh Pierre Andre ini juga sangat menarik!

Paling saya suka ialah
permainan kamera yang cuba merakamkan babak-babak seram dan mencemaskan dalam filem ini. Cara mengetengahkan objek dan subjek memuaskan hati saya.

Kostum hantu walaupun kadangkala kelihatan kering, namun agak menyeramkan juga, walaupun kadangkala kelihatan seperti getah yang dicat. Mungkin perlu ditekankan lagi dari aspek pencahayaan cerah dan gelap untuk menghilangkan perasaan melihat getah (bukan kulit). Begitu juga orang tanpa wajah, kelihatan jelas seperti memakai topeng kertas. Pun begitu, susunan plot dan aksi kamera menyebabkan penonton lupa akan kepalsuan tersebut. Syabas!

Tambahan pula babak-babak cemas disusun dengan sangat baik. Sehingga menyebabkan para
penonton trauma. Penonton seolah-olah menjadi pengarah filem di dalam panggung. Mereka mengarah-ngarah Darma dan pelakon-pelakon lain supaya melakukan sesuatu. Nampaknya filem Jangan Pandang Belakang telah berjaya memukau fikiran penonton.

Penonton seolah-olah tidak sanggup lagi untuk terus menonton filem ini kerana
terdera dengan perasaan cemas dan takut, namun mereka mahu tahu apa yang berlaku. Seperti bermain rollercoaster di taman tema, begitulah keadaan penonton apabila menonton filem ini.

Babak seram dan cemas diredakan seketika dengan kemunculan
Cat Ruffedge sebagai pemandu bas yang membantu Darma di pertengahan jalan gelap yang sunyi. Lakonan Cat sungguh mencuit hati. Begitu juga lakonan Rusminah Sidek sebagai Opah. Kedua-duanya kelakar, seram dan comel (begitulah bisikan pendapat penonton-penonton perempuan di dalam panggung ketika itu).

Namun, perasaan lega itu cuma seketika. Selepas kita bergelak ketawa dengan babak kelakar seram yang dihidupkan oleh Rusminah Sidek, kita akan mula berasa kasihan dengan Opah. Watak Opah makin lama makin menyeramkan! Opah yang pada mulanya menganggap hantu atau saka itu sebagai
kawan Darma yang berupa buruk dan berpakaian kotor, akhirnya berasa takut dengan saka tersebut. Tak perlu saya jelaskan dengan terang, sebab lebih baik pembaca menontonnya sendiri untuk kepuasan maksimum!

Anugerah
pelakon terbaik dalam filem ini, saya serahkan kepada Rusminah Sidek. Namun watak Mak Lang yang dihidupkan oleh Khatijah Tan tidak kurang hebatnya.

Jeritan audio suara garau dan jeritan yang menakutkan menghidupkan lagi filem ini. Digabungkan dengan pergerakan kamera, cerita ini tampak berbisa dalam memberikan kesan seram dan cemas, sungguh menghiburkan! Filem ini
lebih seram daripada filem Dark Water!

Penonton histeria di dalam panggung. Seketika kedengaran gelak-gelak dan perbualan antara para penonton, seolah-olah tersesat akal selepas menonton filem ini. Jaga-jaga jika anda membawa
anak kecil untuk menonton filem ini. Bimbang jika dia tidak mahu tidur seorang diri lagi selepas menonton filem ini.

Pendek kata, filem ini sudah mula mencengkam jiwa takut penonton pada awal-awal lagi. Prolognya bagus, cuma penamatnya sahaja menyebabkan saya kurang selesa.Namun, saya rasa, cara penamatan filem ini membolehkan filem ini mempunyai potensi untuk dibuat kesinambungannya. Ya, barangkali lebih seram, apabila syaitan yang tertipu itu marah!

Logiknya penggunaan
jagung rebus untuk menipu syaitan. Syaitan itu akan dibebaskan apabila jagung rebus yang ditanam itu tumbuh. (Pasti sesiapa pun tahu, jagung rebus itu tidak akan tumbuh! Jadi syaitan itu akan terus terperangkap!). Apa yang saya ceritakan ini? Anda akan faham, apabila menonton filem ini. Filem ini sememangnya menarik bagi anda yang inginkan hiburan filem seram. Semua kaum dan bangsa dijemput menonton filem ini.

Setelah kita berhibur menonton filem ini, jangan anda lupa, seorang pelagak ngeri telah meninggal dunia semasa melakonkan satu babak dalam filem ini. Allahyarham Nazari Omar Bakri telah pergi, jangan kita lupakan jasa beliau dalam filem ini. Al-Fatihah.


Nota: Hari ini saya berkesempatan untuk menonton filem yang ditunggu-tunggu ini. Selepas ini saya akan kembali sibuk dengan tugas-tugas harian. Filem arahan Ahmad Idham memang menarik minat saya, kalau boleh saya mahu mengulas kesemua filem arahan Ahmad Idham! - Amiene Rev.