BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Akademi Fantasia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akademi Fantasia. Papar semua catatan

Ahad, April 05, 2009

Zizi Ratu Rock Akademi Fantasia 7 - Tersingkir Sebagai Juara

Zizi AF7 - Ratu Rock Akademi Fantasia 7
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Malam tadi saya tidak sempat menonton Akademi Fantasia 7, maka saya meluangkan masa untuk menyaksikan siaran ulangan Akademi Fantasia 7 sekitar tengah hari tadi.

Penyingkiran Zizi AF7 pada malam tadi merupakan satu kejutan besar buat tenaga pengajar. Zizi AF7 sebelum ini banyak membantu pelajar-pelajar Akademi Fantasia 7 yang lain untuk menghayati lenggok lagu. Dalam erti kata lain, sebelum Zizi AF7 meninggalkan Akademi Fantasia bersama Rubisa AF7, beliau telah memberikan satu sumbangan yang baik kepada para peserta Akademi Fantasia 7 yang lain. Kejayaan kebanyakan pelajar AF7 yang lain untuk Konsert Akademi Fantasia Ke-4 ini bukan sahaja dibantu oleh tenaga para pengajar, tetapi juga Isma AF7 dan Zizi AF7.

Biarpun Zizi AF7 tersingkir, namun Zizi AF7 telah terbukti seorang Ratu Rock yang berjaya dilahirkan di Akademi Fantasia. Malah kita ketahui sebelum ini, tidak semua peserta yang gagal ke konsert terakhir Akademi Fantasia Ke-7, akan gagal di persada seni yang sebenar. Contohnya Aizat yang berjaya muncul di peringkat akhir Juara Lagu, dan muncul dengan lagu-lagu yang mendapat sambutan hangat.

Saya cukup suka dengan kata-kata optimis Zizi AF7 kepada para penyokongnya, "Penyokong-penyokong saya masih boleh jumpa saya di luar sana!"

Memang tepat apabila saya memilih Zizi AF7 sebagai salah satu daripada peserta Akademi Fantasia 7 pilihan saya. Beliau memiliki sikap optimis yang perlu ada dalam diri seorang penanding, dan beliau telah buktikannya di depan kaca televisyen secara realiti. Sekarang saya mahu lihat Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7 dan Aril AF7 beraksi di pentas seterusnya.

Selain Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7, Zizi AF7 dan Aril AF7 saya juga ingin mengulas peserta-peserta lain menerusi entri ini.

Isma AF7 - Berkeyakinan, berbakat dalam nyanyian, serba boleh, personaliti yang menarik, mempunyai kebolehan untuk menyelesaikan masalah, ada kebolehan memimpin, matang dan bijaksana.

Hafiz AF7 - Seorang lagi pelajar yang memiliki kecerdasan muzikal yang sangat tinggi. Potensi Hafiz AF7 masih belum ditonjolkan sepenuhnya. Barangkali beliau merupakan peserta Akademi Fantasia terunggul pernah wujud dalam sejarah Akademi Fantasia.

Claudia AF7 - Salah seorang peserta berbakat dan mempunyai suara yang menarik dalam Akademi Fantasia 7. Beliau memiliki identiti dan tingkah laku yang unik. Namun, apabila menyanyi, beliau boleh menjadi seorang penghibur yang amat baik.

Zizi AF7 - Memiliki sikap yang ceria sebagai seorang penghibur, dan merupakan penyanyi berbakat dalam bidang rock yang sejati.

Aril AF7 - Kualiti Aril dari segi nyanyian biasa sahaja, tetapi suaranya agak menarik. Kelebihan utama Aril adalah dari segi persembahannya secara fizikal yang memaparkan dirinya sebagai seorang penghibur yang memang menghiburkan. Aril mempunyai keyakinan terhadap apa yang dilakukannya. Dia selamba tetapi persembahannya menjadi. Kelebihan Aril dari segi persembahan fizikal adalah antara yang terunggul di Akademi Fantasia 7.

Aishah AF7 - Memiliki personaliti yang memikat hati boleh berlakon, menjadi pelawak atau menjadi model iklan. Aishah AF7 jika diperhatikan adalah jenis wanita yang sentiasa mahu menjaga hati orang lain dan mengelakkan permusuhan. Beliau memiliki sifat yang suka kepada kedamaian. Personaliti seperti ini sangat saya suka. Aishah AF7 merupakan pilihan ke-6 saya selepas Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7, Zizi AF7 dan Aril AF7.

Qhaud AF7 - Sekali imbas beliau seperti Mawi, namun jika kita memberi perhatian kepada beliau, kita akan dapati bahawa Qhaud bukan Mawi. Identiti Qhaud terletak pada keningnya yang selalu bergerak-gerak, mulutnya yang sentiasa kelihatan tertawa riang dan manis. Qhaud mempunyai lenggok suara yang menarik. Ciri-ciri istimewanya ialah sebagai penenang keadaan. Kelemahan Qhaud ialah beliau kelihatan agak kurang mesra dengan para penyokongnya.

Rubisa AF7 - Beliau boleh menyanyi dengan baik, namun aura juara seakan-akan hilang dalam diri beliau. Rubisa AF7 tetap adalah seorang penyanyi yang baik.

Rini AF7 - Mempunyai bakat lakonan terpendam. Perlu diberi peluang dalam dunia lakonan. Persembahan terakhir beliau, iaitu pada minggu ke-3 merupakan persembahan terbaik beliau. Konsep lagu sebegitu sesuai dengan Rini AF7.

Yazid AF7 - Kelebihan dan mungkin juga aspek negatif yang ada pada diri Yazid ialah rambutnya yang panjang yang menjadikan diri Yazid kelihatan agak garang. Yazid memiliki kelebihan dari segi tarian, tetapi beliau belum dapat menonjolkan kelebihan ini sepenuhnya. Adakah Yazid bercadang untuk menggunakan kelebihannya itu sebagai satu senjata rahsia untuk merebut kejuaraan di Akademi Fantasia 7 pada kemudian hari?

Akim AF7 - Beliau memiliki bakat terpendam dalam bidang nyanyian, dan masih belum menonjolkan potensi sepenuhnya.

Sidi AF7 - Peserta yang paling berprofil rendah. Kurang menonjolkan diri tetapi tetap memiliki kesungguhan dalam pembelajarannya di Akademi Fantasia 7. Mempunyai ton suara yang agak unik.

Obri AF7 - Saya kurang dapat mengenali Obri disebabkan beliau merupakan salah seorang peserta yang tersingkir di minggu terawal selain Fadila. Jadi apa yang dapat saya komen ialah, beliau seorang yang kelakar.

Adila AF7 - Beliau kelihatan amat pemalu dan suka menyendiri. Adila perlukan imej atau perwatakan yang lebih hangat dan mesra.

Pemerhatian saya terhadap konsep rancangan realiti setakat ini ialah, jika seseorang peserta itu sudah sedia popular atau mempunyai ramai kawan di dunia luar, maka apabila dia masuk ke satu-satu pertandingan realiti (di mana kuasa menentukan pemenang terletak di tangan pengundi), maka peluangnya untuk muncul juara adalah tinggi.

Kebanyakan pengundi mengundi peserta berdasarkan personaliti, diikuti dengan potensi dalam diri peserta dan persembahan semasa hari pertandingan. Sesiapa yang ingin memenangi pertandingan realiti seperti Akademi Fantasia tidak seharusnya bergantung kepada bakat semula jadi, tetapi juga perlu mengubah diri menjadi satu personaliti yang disukai ramai dan mudah didampingi. Yang penting, harus ikhlas, harus mandi supaya sentiasa wangi.

Rabu, April 01, 2009

Pelajar Akademi Fantasia - Masalah Hafiz AF7

Rakan Seperjuangan & Tanggungjawab
Diari AF7 Minggu Keempat Paling Menarik
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Hafiz AF7 merupakan pelajar yang sentiasa menonjokan persembahan terbaik di setiap konsert tetapi belum pernah mencetuskan sebarang kontroversi di Akademi AF7. Namun, tiba-tiba hari ini dia meluahkan perasaan kecewa sehingga menitiskan airmata. Apakah sebenarnya perkara yang selama ini dipendamkan? Semuanya akan dapat anda tonton dalam Diari Akademi Fantasia 7 jam 9 malam ini. - www.astro.com.my/akademifantasia

Jika ditanya siapakah pelajar Akademi Fantasia pilihan Amiene Rev? Maka saya akan menjawab, Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7, Zizi AF7 dan Aril AF7 merupakan 5 pelajar Akademi Fantasia pilihan saya. Namun ini bukan bermaksud pelajar-pelajar lain tidak bagus, sebab apa yang saya tertarik dengan Akademi Fantasia 7 ialah semangat dan keyakinan yang ada pada para pesertanya.

Minggu ini ada beberapa perkara yang menyebabkan saya rasa mahu mengulas mengenai Diari Akademi Fantasia 7. Pertama, kesungguhan para pelajar untuk memahami dan menghayati tugasan yang diberikan. Inilah baru namanya pelajar!

Saya seronok melihat Isma AF7 dan Zizi AF7 membimbing pelajar-pelajar lain untuk menghayati lagu tugasan mereka. Isma AF7 memang mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin. Zizi AF7 memang seorang rocker!

Sementara itu saya melihat Hafiz AF7 dilanda konflik peribadi. Ya, apa yang dialami oleh Hafiz AF7 adalah masalah yang selalunya dialami oleh kebanyakan pelajar yang selalu menerima pujian daripada guru atau pengkritik. Melihat Diari Akademi Fantasia Ke-7 di Saluran @15 Astro tadi membuatkan saya mengimbas semula kenangan lama semasa masih di bangku sekolah.

Semasa di sekolah, saya selalu menjadi pelajar cemerlang, sering dipuji oleh guru-guru, dan diberikan jawatan penting yang sepatutnya dipegang oleh senior sekolah. Dari situ saya lihat wujudnya dua kelompok pelajar. Pertama kumpulan besar pelajar (senior dan junior) yang menyokong saya. Kedua, seorang dua orang pelajar senior yang tidak berpuas hati. Ini kerana kedudukan tersebut dirasakan penting bagi mereka untuk mendapatkan sijil ko-kurikulum tetapi mereka tidak terpilih untuk memegang jawatan penting tersebut.

Begitu juga dengan isu pujian. Apabila guru dan orang lain melabelkan kita sebagai serba sempurna, maka sukar untuk orang lain memberikan komen kepada kita. Saya rasa saya memahami situasi Hafiz AF7. Mungkin komen juri terhadap Hafiz AF7 boleh dianggap sebagai 'minyak yang dilontarkan ke bara api' secara tidak langsung. Peserta-peserta lain didapati ada menyuarakan rasa rendah diri terhadap kewujudan Hafiz AF7.

Saya masih ingat bagaimana saya menghadapi situasi ini dahulu. Apa yang saya lakukan adalah seperti yang dilakukan oleh Isma AF7. Saya mengajar pelajar-pelajar ini apa yang mereka tidak faham, berkongsi masalah dengan mereka. Tujuannya ialah untuk menamatkan konflik tersebut.

Isma AF7 juga menerima pujian, tetapi beliau lebih matang berbanding Hafiz AF7 untuk menangani masalah konflik di Akademi Fantasia ke-7. Mungkin setakat ini semua peserta beranggapan Hafiz AF7 mendapat undian tertinggi, memandangkan kebanyakan pujian dilontarkan kepada Hafiz AF7 maka tidak ada peserta yang berani atau yakin mampu mencari kesilapan Hafiz AF7 dari aspek pertandingan. Mungkin ada di kalangan mereka berkata di dalam hati, "Siapa aku nak kritik, nak beri tunjuk ajar, nak tegur Hafiz AF7. Dia tu kan perfect. Tiap-tiap minggu juri asyik puji dia sahaja. Aku pula teruk dikritik."

Ya. Saya rasa Hafiz AF7 perlu mendapatkan pandangan daripada Isma AF7. Isma AF7 seorang yang matang, dan boleh mengendalikan konflik. Ini kelebihan yang ada dalam diri seorang ibu beranak lima. Isma AF7 tentu sudah biasa menangani konflik kelima-lima orang anaknya, dan pengalamannya itu digunakan semasa di Akademi Fantasia 7. Saya juga suka melihat Zizi AF7 membantu rakan-rakannya. Memang tidak salah saya meletakkan Isma AF7 dan Zizi AF7 dalam senarai pelajar Akademi Fantasia 7 pilihan saya.

Walaupun Isma AF7 seorang wanita, tetapi saya rasa pemikiran Isma AF7 dan saya mungkin serupa dari segi menangani konflik seperti itu. Chewah! Ha! Ha! Ha!

Kepada Hafiz AF7, anda mungkin antara peserta yang mendapat pujian paling hebat di Akademi Fantasia 7, anda seorang pendiam tetapi mesra, dan mudah terasa. Sebab itu saya anggap pujian itu sebagai racun.

Saya bersetuju dengan pandangan Hafiz AF7, pujian itu ada bahagian positif dan negatif. Bahagian positifnya ialah pujian itu dapat membantu kita melihat apa kelebihan dalam diri kita dan seterusnya menolong kita untuk memajukan kebolehan tersebut ke tahap yang lebih tinggi. Keburukannya pula, jika kita sering dibuai pujian itu, kita boleh terkena racun 'riak'.

Hafiz AF7 cuma dilanda masalah yang biasa dialami oleh pelajar cemerlang. Perasaan sunyi seperti ini biasa dirasai oleh pelajar cemerlang atau dominan dan hidup dalam satu-satu bidang. Apabila mengingati masalah Hafiz AF7 ini, membuat saya dibuai nostalgia silam. Sehingga kini, saya masih berusaha mencari jalan penyelesaian yang lebih tepat, tetapi hakikatnya, kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Ini kerana syaitan sebagai makhluk pengantara akan sentiasa mewujudkan permusuhan dalam hati pesaing-pesaing kita. Kepada Allah, kita berlindung.

Ahad, Mac 29, 2009

Akademi Fantasia 7 - Isma AF7 dan Hafiz AF7 peserta pilihan Amiene Rev

Akademi Fantasia 7 sudah bermula. Kata kunci temanya ialah "Transformasi." Jika diperhatikan pada dua-tiga konsert Akademi Fantasia Ke7 setakat ini, saya memang bersetuju untuk mengatakan bahawa transformasi memang sedang berlaku dalam Akademi Fantasia Ke-7.

Pertama dari segi pentas. Pentasnya nampak lebih hebat dan akan berubah dari semasa ke semasa. Selain itu terdapat juga ruang khas untuk membolehkan para peserta duduk dengan jarak yang lebih dekat dengan para hadirin dan sebaliknya. Kedua, tidak ada format atau tentatif program yang biasa seperti dalam Akademi Fantasia yang sebelum-sebelumnya. Tidak ada tarian penutup. Ketiga, dari segi pakaian atau kostum pelajar. Tidak ada kostum yang melampau-lampau seperti dahulu. Kebanyakan peserta memakai kostum yang ringkas tetapi mantap. Keempat, peserta-peserta Akademi Fantasia kali ini rata-rata kelihatan berani berdepan dengan para hadirin. Mereka yakin dan penuh dengan semangat. Kelima, sejarah sekali lagi terukir dalam dunia Akademi Fantasia apabila pengetua Akademi Fantasia 7 kali ini ialah seorang wanita yang memiliki prestij yang sangat tinggi dalam dunia seni, iaitu Dato' Tiara Jacquelina. Dato' Tiara Jacquelina juga nampaknya seorang yang mesra pelajar. Impaksnya tentu ada terhadap para peserta Akademi Fantasia 7 apabila seorang pengetua sentiasa berkomunikasi dengan cara yang lebih dekat dengan para peserta.

Oleh sebab saya jarang dapat menonton rancangan realiti Akademi Fantasia 7 ini secara langsung, maka saya pun tidak membuka topik-topik ulasan Akademi Fantasia 7.

Tiba-tiba ada pembaca Blog Duke Amiene Rev bertanya, "En. Duke tak nak ulas AF7 ke?"


Kemudian dua tiga minggu selepas itu, datang lagi e-mel dan komen, "Sir Amiene, bila nak ulas Akademi Fantasia 7? Dah mula dah ni."

"Amiene Rev tak nak komen pelajar AF ke? Nak tengok la macam mana opinion Amiene Rev pasal pelajar AF ni."

"Saya harap blog Duke Amiene Rev ni ada ulasan Akademi Fantasi Ke-7. Hari tu dah ada komen pasal Raja Lawak, sekarang ni musim Akademi Fantasia."

Dan komen, e-mel yang bertanyakan hal ini makin lama, makin bertambah. Maka...

Baiklah. Ini jawapan saya. Buat masa ni masih ada belasan pelajar Akademi Fantasia yang sedang bertanding, dan boleh dikatakan hampir semuanya bagus dan cemerlang. Sebenarnya saya jarang tonton Akademi Fantasia ni. Kalau saya tengok pun yang ulangan sahaja. Akademi Fantasia Ke-7 ni pada pandangan saya memang lain dari yang lain. Memang nampak sungguh bergaya, dan kostum yang dipakai oleh para peserta pun kelihatan direka secara profesional. Rekaan-rekaan bajunya ringkas dan para pemakainya tampak hebak.

Malam tadi pun saya sempat tengok empat atau lima peserta terakhir, antaranya yang saya ingat ialah Isma AF7 dan Hafiz AF7. Memang hebat. Tengah hari tadi saya sempat tengok yang depan-depan tapi belum tengok persembahan daripada kesemua peserta. Jadi, sebab tu saya pun belum buka topik mengenai Akademi Fantasia Ke-7 ini.

Kalau berdasarkan prestasi-prestasi peserta Akademi Fantasia Ke-7 pada minggu ke-2 dan minggu pertama, saya ada beberapa peserta pilihan.

Isma AF7 - Salah satu daripada dua peserta pilihan utama saya. Saya suka Isma AF7 sebab dia nampak matang, tidak terlalu menonjolkan diri, bercakap bila perlu dan bijak dalam menyampaikan persembahan. Isma AF7 nampak profesional, beliau tidak seperti peserta-peserta sebelum ini yang bila masuk ke AF7, terus makin lama makin malap dilanda kemurungan. Bagi saya, Isma AF7 dapat menjadikan Akademi Fantasia seperti rumahnya sendiri, dia basuh pinggan sambil menyanyi, berlatih dan menuntut ilmu. Saya suka semangat Isma AF7.

Hafiz AF7 - Salah satu daripada dua peserta pilihan utama saya. Keistimewaan Hafiz AF7 bukan sekadar pada rambutnya, tetapi cara dia menyampaikan sesebuah lagu, mimik mukanya yang bersemangat dan merendah diri, serta keyakinannya terhadap persembahannya. Apabila dia mula menyanyi, dia akan membawa lagu itu tanpa ada rasa terpaksa.

Selain itu Claudia AF7, Zizi AF7 dan Aril AF7 juga merupakan antara peserta pilihan kedua saya. Claudia mempunyai potensi untuk meningkat naik. Zizi dengan kelebihan suara 'rock' dan Aril yang memiliki semangat untuk tidak mudah kalah selain kelihatan selesa dan seronok dengan kehidupan di Akademi Fantasia.

Peserta-peserta yang lain pun memang bagus-bagus. Pendek kata selain Isma dan Hafiz, saya susah hendak membuat pilihan yang mana lebih cemerlang. Kualiti peserta-peserta Akademi Fantasia Ke-7 memang antara yang terbaik pernah dilihat.

Bagaimana pun ada beberapa faktor yang menyebabkan peserta-peserta Akademi Fantasia 7 yang tertentu tidak menjadi pilihan saya. Pertama, suka gosip dan bercakap kosong semasa di Akademi Fantasia. Tidak kira gosip yang baik atau gosip yang buruk, apabila seseorang peserta itu berada di akademi, maka dia perlu bersikap sebagai seorang pelajar. Yang paling saya kecewa, apabila saya melihat ada peserta-peserta yang duduk di depan kamera dalam Diari Akademi Fantasia dan menggosipkan peserta-peserta lain.

Adakah mereka lupa yang setiap perkataan mereka mengenai peserta-peserta lain itu akan didengar oleh para penonton di rumah? Kalau mereka hendak bercakap atau berbual-bual dengan kamera saya tak kisah. Sebab saya anggap itu satu cara untuk mereka meluahkan perasaan mereka, tetapi apabila mereka menggosip peserta-peserta lain di depan kamera, saya tak rasa itu benda yang menarik.

Saya lebih suka tengok peserta-peserta yang menghabiskan masa dengan berlatih, sama ada berlatih bersendirian atau berlatih dalam kumpulan, saling memberi semangat, saling melawak secara natural ketika waktu rehat atau bukan dalam masa latihan (masa latihan untuk berlatih dan bukan untuk suka-suka, gosip, berborak dan sebagainya).

Saya juga suka tengok peserta yang begitu tekun belajar, mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang mungkin timbul semasa persembahan mereka seperti masalah vokal, masalah penghayatan, masalah gerak tari dan sebagainya.

Peserta yang paling saya tidak suka ialah mereka yang suka bergosip, suka melawan atau memotong atau menyampuk cakap cikgu, suka mengacau kawan-kawan yang sedang tekun berlatih, suka bersedih atau memurungkan diri dan pemalas.

Rajin berlatih, kreatif, bergurau pada tempat yang sesuai, hormat cikgu, sentiasa positif dengan satu-satu tugasan yang diterima dan berusaha membuat persembahan terbaik di atas pentas merupakan ciri-ciri peserta pilihan saya.

Kalau ada peserta yang semasa di pentas bukan main bersungguh membuat persembahan tetapi semasa latihan dia ketawa, dia main-main dan lebih teruk malas berlatih, maka, biar pun sesedap mana pun vokal dan persembahannya, saya tetap rasa dia bukan pelajar Akademi Fantasia pilihan utama saya.

Jadi, begitulah ulasan saya untuk program realiti Akademi Fantasia 7. Kalau ada pembaca yang ingin lihat saya mengulas persembahan Akademi Fantasia ke-7 pada entri-entri yang akan datang, saya minta maaf sebab saya tidak dapat memberi jaminan. Ini kerana saya sekarang lebih fokus terhadap kerjaya saya.

Ahad, Februari 22, 2009

Panduan Uji Bakat Akademi Fantasia

Panduan Uji Bakat Akademi Fantasia
Bersempena dengan Akademi Fantasia Ke-7
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Sejak akhir-akhir ini program realiti semakin mendapat tempat di rancangan-rancangan televisyen di Malaysia. Saya meneliti rancangan uji bakat Akademi Fantasia 7 yang diadakan di seluruh Malaysia, seperti di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak. Berdasarkan uji bakat yang diadakan untuk Akademi Fantasia 7, saya mendapat beberapa idea mengenai cara pemilihan peserta-peserta finalist yang layak untuk masuk ke Akademi Fantasia 7. Di sini, ingin saya sertakan tips atau petua yang mungkin dapat membantu para pengunjung laman blog Duke Amiene Rev yang berminat untuk menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia Ke-7 pada tahun ini, agar berjaya masuk ke Akademi Fantasia 7.


Barangkali ramai yang berasa hairan kenapa ada penyanyi yang suaranya sedap tetapi masih tidak terpilih sebagai peserta finalist Akademi Fantasia Ke-7? Bagaimana caranya untuk mudah memenangi hati para juri untuk terpilih sebagai peserta Akademi Fantasia 7? Di sini saya sediakan beberapa panduan yang mungkin boleh membantu anda untuk menjadi salah seorang peserta finalist Akademi Fantasia Ke-7. Semoga anda berjaya menjadi peserta AF7.

1. Juri
Juri merupakan orang yang menentukan sama ada anda layak menjadi peserta finalist Akademi Fantasia 7. Pastikan anda tahu siapa juri anda. Kalau boleh lakukan sedikit kajian tentang orang yang bagaimanakah yang disukai oleh juri anda. Apakah perkara-perkara yang berkaitan dengan sikap manusia, gaya percakapan yang tidak disukai oleh juri anda? Apakah kegemaran juri anda? Pastikan anda tidak melakukan apa yang juri anda tidak suka semasa sesi uji bakat Akademi Fantasia berlangsung.


2. Penampilan
Penampilan anda mestilah tidak menjelekkan mata juri yang memandang. Sentiasa senyum dan yakin adalah kunci utama untuk anda terpilih sebagai peserta finalist Akademi Fantasia. Juri suka anda, juri mungkin akan bagi isyarat hijau kepada anda. Juri tidak suka anda, selain wajah yang merah menahan marah, anda juga mungkin akan mendapat isyarat merah daripada juri.

Pastikan anda tidak berwajah kusam. Pastikan juga anda tidak kelihatan terlalu berkeyakinan atau berlagak. Jadilah selamba tetapi mesra. Pastikan pemikiran anda sentiasa positif. Semangat merupakan satu perkara yang sangat penting. Anda mesti menunjukkan minat untuk menjadi seorang peserta Akademi Fantasia, untuk bergelar penghibur pada masa akan datang. Jika anda datang untuk suka-suka, lupakan Akademi Fantasia, kerana anda cuma akan menghabiskan duit SMS para penyokong dan belanjawan ASTRO.

Tampilkan diri anda sebagai seorang penghibur yang berwawasan. Fesyen pakaian tidak semestinya membantu anda untuk lulus. Jangan keterlaluan sehingga juri rasa tercabar dengan pemakaian anda. Belum jadi superstar sudah berpakaian seperti superstar. Rekaan fesyen pakaikan yang hebat tetapi wajah yang tidak mesra tetap tidak memberi apa-apa makna.


3. Sikap
Jadilah seorang yang mudah mematuhi arahan. Pastikan anda memberi perhatian apabila juri bercakap. Senyum sentiasa, tapi jangan senyum yang dibuat-buat. Senyumlah secara natural. Pastikan fikiran anda terbuka untuk menerima sebarang komen atau provokasi daripada juri di depan mata. Buat apa yang juri minta anda buat. Lakukan dengan rasa seronok. Kelakar dan pandai bergurau secara bertempat mungkin memberikan satu bonus untuk anda. Namun jangan keterlaluan atau buat apa yang tidak disuruh.

Anda juga seharusnya menghafal dan berlatih menyanyi beberapa buah lagu yang telah ditetapkan. Ini membantu memberi pemikiran positif kepada juri bahawa anda sememangnya berminat dan telah melakukan persediaan untuk uji bakat. Apabila juri melihat anda mampu menghafal lirik lagu dan menyanyikan beberapa buah lagu, anda ada peluang untuk lulus.

Saya melihat, kebanyakan peserta yang terpilih diminta menyanyikan beberapa buah lagu (2-3 buah lagu) sebelum diberikan isyarat hijau.


4. Vokal
Demam, atau sakit bukan alasan yang wajar untuk memancing belas kasihan juri. Melainkan anda sudah berjaya sebagai finalist Akademi Fantasia. Ini kerana juri Akademi Fantasia mahukan bukti bahawa anda boleh menyanyi dan menjadi penghibur yang baik. Pilihlah lagu yang sesuai dengan vokal anda.

Sebagai seorang manusia, anda mungkin ada kelemahan untuk mencapai not-not tertentu. Jangan nyanyikan lagu yang boleh menunjukkan kelemahan vokal anda. Seorang penyanyi harus tahu kekuatan dan kelemahan diri. Lagi pun anda masuk ke Akademi Fantasia 7 adalah sebagai pelajar. Anda akan mendapat tunjuk ajar pada kemudian hari.

Jadi, semasa uji bakat, pastikan anda banyak menyanyi dan merakamkan suara nyanyian anda, bagi setiap lagu-lagu yang telah ditetapkan untuk Uji Bakat Akademi Fantasia Ke-7. Cuba dengar kembali dan singkirkan mana-mana lagu yang anda rasakan tidak sesuai dengan vokal anda. Pastikan anda bersedia dengan beberapa buah lagu sampingan (yang telah ditetapkan untuk uji bakat), kerana juri mungkin meminta anda menyanyikan beberapa buah lagu. Ya, ini petanda baik.

Jika anda benar-benar bersemangat, setahun atau dua tahun sebelum anda mahu menyertai uji bakat Akademi Fantasia Ke-7, masuklah ke kelas vokal dan kursus untuk memperbaiki imej dan penampilan anda. Wah, terlebih sudah!



5. Persembahan
Persembahan mestilah datang daripada diri anda sendiri. Selain vokal yang menarik, persembahan merupakan kunci utama untuk anda terpilih sebagai peserta Akademi Fantasia. Pastikan anda ada eye-contact, sentiasa memandang ke arah juri semasa menyanyi. Jangan syok sendiri. Kebanyakan peserta yang gagal adalah peserta yang menyanyi secara syok sendiri. Tidak ada eye-contact dengan juri semasa menyanyi.

Tangan anda perlu memainkan peranan. Saya lihat kebanyakan peserta yang terpilih pandai memainkan pergerakan tangan mereka untuk menyampaikan mesej sesuatu lagu. Jangan jadi kaku. Bergeraklah secara natural. Jangan lakukan langkah sumbang.

Anggap juri sebagai orang yang hendak anda hiburkan. Anggap juri sebagai penyokong setia yang amat anda hargai. Anggap juri sebagai seseorang yang ingin mengetahui sesuatu daripada anda.

Jangan buat sesuatu yang pelik atau tingkah laku yang membuatkan juri memandang anda seperti rusa masuk kampung. Juri mungkin berasa gerun untuk meluluskan anda.


6. Penghayatan
Anda mesti menghayati lagu yang dinyanyikan. Namun jangan keterlaluan sehingga anda lupa dunia, atau lupa bahawa juri sedang memerhatikan anda.

Mimik muka hendaklah sentiasa berkeyakinan semasa menyanyi. Saya lihat kebanyakan peserta yang terpilih mempunyai penghayatan semasa menyanyi. Mereka kelihatan seronok apabila menyanyikan lagu. Mereka cuba menyampaikan isi kandungan lirik lagu kepada juri. Mereka terus memandang juri dan menyampaikan mesej menerusi air muka dan sinar mata mereka kepada juri.

Tangan dan gerak badan mereka mengalun secara semula jadi mengikut rentak lagu yang mereka nyanyikan. Malah saya sebagai penonton juga merasa terhibur, seolah-olah ada aura pada peserta yang terpilih.

Ya, daya tarikan akan muncul secara semula jadi apabila anda sudah mampu menghayati sesuatu lagu, lirik lagu dan irama lagu. Ingat lagi bagaimana Hetty Koes Endang memberi tunjuk ajar tentang rentak lagu? Ya. Tap! Tap! Tap! Cha! Cha! Cha! Dan sebagainya. Konsert Akademi Fantasia 6 sedang ditayangkan, dan saya sarankan untuk para pengunjung blog Duke Amiene Rev yang berminat, untuk cuba melihat kembali cara menghayati rentak lagu yang pernah diajarkan oleh Ibu Hetty.


7. Ingat lirik
Pastikan anda tidak lupa lirik lagu. Salah satu ciri-ciri penting bagi seorang peserta Akademi Fantasia ialah ingat lirik lagu. Namun jika anda terlupa, redah saja. Jika nasib anda baik, anda akan terpilih. Paling penting, anda sentiasa menunjukkan minat dan semangat. Tidak syok sendiri dan menghargai kewujudan juri di depan mata anda.

Begitulah serba sedikit Panduan Uji Bakat Akademi Fantasia yang dapat saya berikan. Semoga panduan ini boleh memberi idea terhadap anda yang berminat untuk menjadi calon Akademi Fantasia Ke-7 atau yang seterusnya.

NOTA: Amiene Rev memiliki pengalaman beraksi di atas pentas, sebagai pelakon pentas, penulis skrip sketsa untuk lakonan pentas, pengarah runut bunyi untuk persembahan pentas dan pengarah sketsa lakonan pentas di peringkat sekolah dan universiti (minggu orientasi dan persembahan tugasan). Lakonan beliau setakat ini Alhamdulillah, sentiasa mendapat tepukan dan maklum balas positif daripada para hadirin dan dianggap sebagai seorang yang multi-talent. Malah ada dialog-dialog ciptaan beliau menjadi sebutan dan ikutan para hadirin, yang diulang-ulang dan dilakonkan semula oleh orang-orang yang pernah menonton lakonan beliau.