BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, April 05, 2009

Zizi Ratu Rock Akademi Fantasia 7 - Tersingkir Sebagai Juara

Zizi AF7 - Ratu Rock Akademi Fantasia 7
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Malam tadi saya tidak sempat menonton Akademi Fantasia 7, maka saya meluangkan masa untuk menyaksikan siaran ulangan Akademi Fantasia 7 sekitar tengah hari tadi.

Penyingkiran Zizi AF7 pada malam tadi merupakan satu kejutan besar buat tenaga pengajar. Zizi AF7 sebelum ini banyak membantu pelajar-pelajar Akademi Fantasia 7 yang lain untuk menghayati lenggok lagu. Dalam erti kata lain, sebelum Zizi AF7 meninggalkan Akademi Fantasia bersama Rubisa AF7, beliau telah memberikan satu sumbangan yang baik kepada para peserta Akademi Fantasia 7 yang lain. Kejayaan kebanyakan pelajar AF7 yang lain untuk Konsert Akademi Fantasia Ke-4 ini bukan sahaja dibantu oleh tenaga para pengajar, tetapi juga Isma AF7 dan Zizi AF7.

Biarpun Zizi AF7 tersingkir, namun Zizi AF7 telah terbukti seorang Ratu Rock yang berjaya dilahirkan di Akademi Fantasia. Malah kita ketahui sebelum ini, tidak semua peserta yang gagal ke konsert terakhir Akademi Fantasia Ke-7, akan gagal di persada seni yang sebenar. Contohnya Aizat yang berjaya muncul di peringkat akhir Juara Lagu, dan muncul dengan lagu-lagu yang mendapat sambutan hangat.

Saya cukup suka dengan kata-kata optimis Zizi AF7 kepada para penyokongnya, "Penyokong-penyokong saya masih boleh jumpa saya di luar sana!"

Memang tepat apabila saya memilih Zizi AF7 sebagai salah satu daripada peserta Akademi Fantasia 7 pilihan saya. Beliau memiliki sikap optimis yang perlu ada dalam diri seorang penanding, dan beliau telah buktikannya di depan kaca televisyen secara realiti. Sekarang saya mahu lihat Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7 dan Aril AF7 beraksi di pentas seterusnya.

Selain Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7, Zizi AF7 dan Aril AF7 saya juga ingin mengulas peserta-peserta lain menerusi entri ini.

Isma AF7 - Berkeyakinan, berbakat dalam nyanyian, serba boleh, personaliti yang menarik, mempunyai kebolehan untuk menyelesaikan masalah, ada kebolehan memimpin, matang dan bijaksana.

Hafiz AF7 - Seorang lagi pelajar yang memiliki kecerdasan muzikal yang sangat tinggi. Potensi Hafiz AF7 masih belum ditonjolkan sepenuhnya. Barangkali beliau merupakan peserta Akademi Fantasia terunggul pernah wujud dalam sejarah Akademi Fantasia.

Claudia AF7 - Salah seorang peserta berbakat dan mempunyai suara yang menarik dalam Akademi Fantasia 7. Beliau memiliki identiti dan tingkah laku yang unik. Namun, apabila menyanyi, beliau boleh menjadi seorang penghibur yang amat baik.

Zizi AF7 - Memiliki sikap yang ceria sebagai seorang penghibur, dan merupakan penyanyi berbakat dalam bidang rock yang sejati.

Aril AF7 - Kualiti Aril dari segi nyanyian biasa sahaja, tetapi suaranya agak menarik. Kelebihan utama Aril adalah dari segi persembahannya secara fizikal yang memaparkan dirinya sebagai seorang penghibur yang memang menghiburkan. Aril mempunyai keyakinan terhadap apa yang dilakukannya. Dia selamba tetapi persembahannya menjadi. Kelebihan Aril dari segi persembahan fizikal adalah antara yang terunggul di Akademi Fantasia 7.

Aishah AF7 - Memiliki personaliti yang memikat hati boleh berlakon, menjadi pelawak atau menjadi model iklan. Aishah AF7 jika diperhatikan adalah jenis wanita yang sentiasa mahu menjaga hati orang lain dan mengelakkan permusuhan. Beliau memiliki sifat yang suka kepada kedamaian. Personaliti seperti ini sangat saya suka. Aishah AF7 merupakan pilihan ke-6 saya selepas Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7, Zizi AF7 dan Aril AF7.

Qhaud AF7 - Sekali imbas beliau seperti Mawi, namun jika kita memberi perhatian kepada beliau, kita akan dapati bahawa Qhaud bukan Mawi. Identiti Qhaud terletak pada keningnya yang selalu bergerak-gerak, mulutnya yang sentiasa kelihatan tertawa riang dan manis. Qhaud mempunyai lenggok suara yang menarik. Ciri-ciri istimewanya ialah sebagai penenang keadaan. Kelemahan Qhaud ialah beliau kelihatan agak kurang mesra dengan para penyokongnya.

Rubisa AF7 - Beliau boleh menyanyi dengan baik, namun aura juara seakan-akan hilang dalam diri beliau. Rubisa AF7 tetap adalah seorang penyanyi yang baik.

Rini AF7 - Mempunyai bakat lakonan terpendam. Perlu diberi peluang dalam dunia lakonan. Persembahan terakhir beliau, iaitu pada minggu ke-3 merupakan persembahan terbaik beliau. Konsep lagu sebegitu sesuai dengan Rini AF7.

Yazid AF7 - Kelebihan dan mungkin juga aspek negatif yang ada pada diri Yazid ialah rambutnya yang panjang yang menjadikan diri Yazid kelihatan agak garang. Yazid memiliki kelebihan dari segi tarian, tetapi beliau belum dapat menonjolkan kelebihan ini sepenuhnya. Adakah Yazid bercadang untuk menggunakan kelebihannya itu sebagai satu senjata rahsia untuk merebut kejuaraan di Akademi Fantasia 7 pada kemudian hari?

Akim AF7 - Beliau memiliki bakat terpendam dalam bidang nyanyian, dan masih belum menonjolkan potensi sepenuhnya.

Sidi AF7 - Peserta yang paling berprofil rendah. Kurang menonjolkan diri tetapi tetap memiliki kesungguhan dalam pembelajarannya di Akademi Fantasia 7. Mempunyai ton suara yang agak unik.

Obri AF7 - Saya kurang dapat mengenali Obri disebabkan beliau merupakan salah seorang peserta yang tersingkir di minggu terawal selain Fadila. Jadi apa yang dapat saya komen ialah, beliau seorang yang kelakar.

Adila AF7 - Beliau kelihatan amat pemalu dan suka menyendiri. Adila perlukan imej atau perwatakan yang lebih hangat dan mesra.

Pemerhatian saya terhadap konsep rancangan realiti setakat ini ialah, jika seseorang peserta itu sudah sedia popular atau mempunyai ramai kawan di dunia luar, maka apabila dia masuk ke satu-satu pertandingan realiti (di mana kuasa menentukan pemenang terletak di tangan pengundi), maka peluangnya untuk muncul juara adalah tinggi.

Kebanyakan pengundi mengundi peserta berdasarkan personaliti, diikuti dengan potensi dalam diri peserta dan persembahan semasa hari pertandingan. Sesiapa yang ingin memenangi pertandingan realiti seperti Akademi Fantasia tidak seharusnya bergantung kepada bakat semula jadi, tetapi juga perlu mengubah diri menjadi satu personaliti yang disukai ramai dan mudah didampingi. Yang penting, harus ikhlas, harus mandi supaya sentiasa wangi.