BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Pak Arab dan Kedai Kebab. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pak Arab dan Kedai Kebab. Papar semua catatan

Selasa, Jun 03, 2008

Pak Arab Sungguh Menepati Janji - Spageti Sepinggan RM4

Entri ini ditulis berminggu-minggu lebih awal dan dijangka akan tersiar di blog ini pada tarikh yang sekian-sekian.


Terkenang Semasa Dulu: Spageti Sepinggan Empat Ringgit Sahaja

Sebelum ini, Pak Arab ini pernah berkata kepada aku,"Next time when you come here, SMS me what you want to eat and I'll prepare for you. When you come here, your dinner is ready. Take my phone number."

Dan, kemudian suatu hari aku melakukan seperti yang dipintanya. Apabila aku datang ke gerai, aku mencarinya. Didapati spageti belum siap.

Orang Arab itu serba salah. Dia memeriksa telefon bimbitnya. Didapati ada mesej aku. Sebenarnya telefon bimbitnya tidak ada bersamanya ketika itu, oleh itu dia tidak tahu ketibaan SMS aku.

"I will prepare for your dinner." Dia bergegas ke dapur, memasak spageti. Air mukanya muram sahaja. Barangkali dia tidak puas hati kerana gagal menunaikan janji.

Dia menghidangkan sepinggan besar spageti yang aku rasa cukup untuk tiga orang. Dia memohon maaf kepadaku kerana kesilapannya.

Semasa aku hendak membayar, dia menyatakan harganya sekitar empat Ringgit Malaysia sahaja. Spageti yang boleh mencecah nilai sekitar dua puluh ringgit kini berharga sekitar RM4.

Ternyata, orang Arab yang berasal dari Iraq ini sangat menepati janji. Malaysia patut berurusniaga dengan orang Arab dari Iraq. Ini suatu pelaburan besar dan baik kerana orang Arab sangat menjaga maruah dan janjinya.

Aku juga sebelum ini pernah mendengar kisah seorang Arab di Malaysia, seorang pensyarah yang meminta seorang pemandu teksi supaya datang ke kediamannya setiap pagi untuk menghantarnya ke tempat kerja. Suatu hari dia bangun lambat, dan selepas lama menunggu, si pemandu teksi pun berlalu pergi. Orang Arab itu bangun dan didapati teksi tidak ada, lalu dia menelefon teksi yang lain. Pemandu teksi itu gagal menghubungi orang Arab itu.

Keesokan harinya orang Arab itu bangun awal dan menelefon pemandu teksi itu. Dia meminta maaf kepada pemandu teksi itu dan memberikan wang tambang untuk dua hari. Lihat betapa amanahnya orang Arab.

Malaysia harus mempelbagaikan urusniaga dengan orang Arab. Janji orang Arab bukan sebarang janji. Mereka boleh dipercayai. Pegangan dan pendirian mereka terhadap Islam, cukup kuat.

Janji itu maruah.

Sabtu, Mei 31, 2008

Pak Arab Kata "SMS Me My Friend"

Entri ini ditulis berminggu-minggu lebih awal dan dijangka akan disiarkan di blog ini pada tarikh yang sekian-sekian mengikut fungsi 'scheduled' yang terdapat di dalam sistem Blogger.


Terkenang Dulu-dulu: Pak Arab Kata "SMS Me My Friend"

Orang Arab sangat menghormati tetamu. Sebagai peniaga, pelanggan itu juga adalah tetamu. Sebab itu aku sentiasa mendapat layanan baik di sini. Kita adalah orang yang datang bertandang, kita masuk ke kedainya, kita adalah tetamu.

Orang Arab itu selalu memberi diskaun kepada aku. Harga asal tujuh ringgit dikurangkan menjadi lima ringgit. Suatu ketika dia mencadangkan aku supaya merasa ayam yang dimasak cara arab dengan roti arab. Cara masakannya jauh berbeza.

Masakan Arab selalu membuatkan aku kekenyangan dan rasa mengantuk. Selalunya dia memasak macaroni. Spageti pula khusus untuk aku. Aku terpaksa menunggu sekitar 20 minit sebelum masakan itu siap. Kadangkala orang Arab ini menjemput aku ke dapur untuk melihat bagaimana dia memasak.

Suatu hari dia berkata kepadaku, "My friend, this is my number. Next time before you come here, you can call me first. SMS me, type what you want to eat. I will prepare for you earlier. When you come, the serve is ready."

Aku bersetuju.

"My friend, do you understand what I said?" Ulangnya lagi.

Aku menjawab, "Yup."

Sambil menunjukkan thumb up.

Orang Arab memilki sifat berterus terang dan agak kasar cara percakapannya, tetapi mereka sangat menghormati tetamu.

Aku pun berlalu.

Dia memberi salam pendek dalam Bahasa Melayu kepadaku, "Salamat!"

Ya. "Salamat."

Siapa yang ajar agaknya?

"Salam Alaikh..."

Jumaat, Mei 30, 2008

Orang Arab pun tahu apa itu PAS - Aku yang tidak meminati politik

Entri ini ditulis berminggu-minggu lebih awal dan akan terpapar secara automatik di blog ini mengikut fungsi 'scheduled' yang terdapat di dalam sistem Blogger.


Terkenang Dulu-dulu: Orang Arab pun tahu apa itu PAS


Orang Arab ini pernah bertanya asalku. Aku menjawab aku berasal dari Kelantan, Malaysia.

Orang Arab itu pun kata, "Kelantan is good."

Aku balas, "The food in Kelantan is cheap."

Dia balas balik, "I'm not talking about food. I'm talking about PAS. That goverment is good!"

"Oh!" Aku kagum dengan orang Arab ini kerana mengikuti situasi politik di Malaysia. Aku pun tidak begitu berminat dengan dunia politik ini, tetapi Pak Arab ini sampai ke politik negara aku pun dia tahu.

"Do you agree?" Dia menyoal aku pula.

Aku setuju saja. Hahaha.

Yalah. Di sini, di mana lagi tempat aku hendak makan kalau bukan di Kedai Pak Arab ini. Dengan merekalah aku berborak selamanya aku berada di sini.

Khamis, Mei 29, 2008

Orang Arab dan Orang Sudan - Mereka Menyanyi Seperti Membaca Quran

Entri ini ditulis berminggu-minggu lebih awal dan akan terpapar di dalam blog ini mengikut fungsi 'scheduled' yang terdapat dalam sistem Blogger.


Terkenang masa dulu: Orang Arab Menyanyi Seperti Membaca Quran

Aku gembira aku membeli buku kamus Arab - Inggeris. Dengan cara ini, dapatlah aku memahami perbualan orang-orang Arab di sini.

Hari ini aku makan spageti dan ayam barbeku sebanyak dua keping. Jika dicongak dalam nilai mata wang Malaysia, adalah dalam tujuh ringgit. Belum campur minumannya lagi.

"This drink imported from Iraq. Sure, halal."

Kalau makan di restoran Malaysia, makanan semacam ini selalunya berharga dalam 12-22 Ringgit Malaysia.

"My friend, your dishes is ready." Peniaga di kedai orang Arab ini bagus, makanannya halal dan kita boleh pergi ke dapur dan tengok sendiri bagaimana dia memasak makanan yang kita pesan.

Orang Arab ini, namanya Malikh, selalu mengajak aku pergi dapur kedainya. Dia mahu aku teliti bahan-bahan masakan yang digunakan dan cara sesuatu hidangan itu memasak, supaya aku berasa puas hati dengan apa yang aku bakal makan. Baguskan kalau orang Malaysia pun macam ni.

Orang Arab ni juga selalu berterus terang. Kalau dia berjanji untuk siapkan makanan dalam masa 5 minit, maka selepas 5 minit, pasti siap. Kalau dia kata 25 minit, maka 25 minitlah masa persiapannya. Harga pun boleh runding. Aku selalu dapat diskaun.

Hari itu dia tanya aku, sama ada aku ini mengikut Sunnah atau Syiah.

Oleh sebab aku ni sejak dari kecil, memang belajar, ikut Mazhab Shafie, jadi tentulah Sunnah. Aku pun jawab, "I am Sunnah."

Dia pun bertanya lagi, "Syafie?"

Kebetulan ada seorang negro yang duduk bersantap di meja sebelah, berbangsa Sudan. Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang pengikut Mazhab Hanafi.

Orang Arab kalau menyanyi, macam baca Quran. Kita sedia maklum bahasa Quran itu bahasa Arab. Tidak kira orang Arab atau orang Sudan, bahasa percakapan mereka ini sama sahaja.

Tiba-tiba, orang Arab tu membaca Quran. Aku cuba mengingat surah mana yang dibacanya. Rasanya macam tak pernah didengar. Oh, dia menyanyi rupanya. Lagu Arab.

Kalau dia mengutuk aku pun, mesti aku ingat dia tengah baca Quran. Aku rasa, aku kena belajar bahasa Arab kalau mahu memahami apa mereka semua ini bercakap.

Rabu, Mei 28, 2008

Bilik Ini Sejuk - Aku Mahu Keluar Bersiar-siar

Entri ini ditulis berminggu-minggu lebih awal dan akan disiarkan menerusi fungsi 'scheduled' yang terdapat di dalam sistem Blogger.


Terkenang Semasa Dulu:

Aku sudah 'bosan' dengan udara sejuk. Aku sudah 'bosan' dengan bunyi cengkerik, burung-burung dan udara yang kering. Cengkerik tidak kreatif, asyik menghafal not-not muzik yang sama, burung-burung pun begitu juga.

Bagaimana rasanya bila bibir kita kering, kulit kita kering, dan udara sejuk dan kering? Perasaannya sungguh tidak enak.

Di mana udara yang agak lembab? Udara di dalam bilik ini sungguh kering. Aku mahu keluar dari bilik ini.

Aku sudah puas melihat deretan pokok hutan di luar jendela. Mencari sebakul roti untuk dimakan.

Aku mahu keluar dari sini dan aku mahu berkata: "How are you?"

Di luar sana, terdapat ramai warga asing. Aku ingin bertemu Udayt, pelajar Iraq yang mengambil Ph.D dalam bidang elektrik. Dulu aku ada mengirimkannya video berkaitan dengan tarian roda yang dibuatnya bersama kawan-kawan yang lain yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Selasa, Mei 27, 2008

Akak Kedah Lidah Pelat Orang Putih

Entri ini ditulis berminggu-minggu lebih awal dan akan tersiar pada tarikh yang ditetapkan mengikut fungsi 'scheduled' yang terdapat dalam sistem penyiaran entri Blogger.

Terkenang Semasa Dulu: Akak Kedah Lidah Pelat Orang Putih

Awal tengah hari sebelum itu, seorang kakak di kedai kebab yang satu lagi turut menegurku, "Where you're from?"

Dia bercakap dalam Bahasa Melayu, tetapi sebutannya seakan-akan orang putih.

Aku menjawab pendek. "Kelantan, Malaysia."

"Oh, saya pun orang Malaysia. Utara Malaysia, Kedah." Nampaknya lidahnya pelat orang putih, agaknya sebab sudah lama tidak bercakap dalam Bahasa Melayu. Tauke kebab tu mungkin suami dia. Berbangsa Iran.

"Akak pernah ke Kelantan tapi tak paham apa orang Kelantan cakap. Bla bla bla bla..."

Dia bercakap mengenai orang Kelantan sambil tangannya ligat melakukan kerja-kerja memasak kebab. Aku mendengar tanpa banyak komen, menunggu kebab yang boleh dimakan oleh tiga orang budak (dalam satu pinggan) siap dihidangkan.

"Ah, awak nak roti atau nasi?"

"Nasi? Makan kebab dengan nasi?"

Aku memutuskan untuk makan kebab dengan roti, sebab dibimbangi permintaan terhadap bekalan beras akan meningkat tinggi dan menyebabkan nasi semakin naik harganya di pasaran dunia (ini adalah gurauan).

Kita mesti prihatin (tersenyum).

Isnin, Mei 26, 2008

Terkenang Semasa Dulu: Dua Kedai Kebab

Entri ini ditulis berminggu-minggu lebih awal sebelum tarikh hari ini. Entri ini akan terpapar secara automatik mengikut fungsi 'scheduled' yang ada dalam sistem penyiaran entri Blogger.

Terkenang Semasa Dulu: Dua Kedai Kebab

Hari ini aku mengetahui wujudnya persaingan antara dua kedai kebab di sini. Aku biasa makan di sebuah kedai kebab, yang harga kebabnya ialah dalam RM6 mengikut mata wang Malaysia.

Kemudian, suatu ketika aku sedang melalui kawasan yang berbukit, rumput hijau dengan pepohon oak dan maple, seorang bangsa asing menegurku:

"Where you're from? What's your race?"

"I am Malaysian," jawabku.

"Do you eat here regularly?"

"Errr?" Aku ragu-ragu kenapa dia bertanya sedemikian rupa.

Aku menjawab, "Sometimes."

"If you want to eat kebab, come to my stall, we have lamb steak, and cheaper kebab," beritahu lelaki asing itu.

"Oh, thanks. But, I am not used to eat here regularly."

"Anytime you come here, come to my stall, I give you a good discount."

Nampaknya ada persaingan antara dua peniaga kebab di sini.