BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Makhluk Halus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Makhluk Halus. Papar semua catatan

Rabu, Ogos 08, 2012

Hantu Kak Limah Kena Tangkap - Makhluk Halus Ganggu Penduduk Marang

Berakhirnya Gangguan Kak Limah - Makhluk Halus Kampung Temiang di Marang
Sumber: SINAR HARIAN

Misteri gangguan makhluk halus menyerupai hantu Kak Limah menyelubungi kehidupan satu keluarga di Kampung Temiang, Marang Terengganu sejak lebih seminggu lalu terungkai apabila seorang ustaz yang menggunakan kaedah perubatan secara Islam tampil membantu.

Proses pemulihan yang dilakukan Ustaz Nor Hasrul Mohd Hassan dari Perubatan Syifa Al Ikhlas yang berpangkalan di Serendah, Selangor itu yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, bermula di rumah pusaka keluarga berkenaan di Jerangau kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun usaha untuk menghalau makhluk halus di rumah Syaawal Mazlan di Kampung Temiang, di sini hanya dilakukan kira-kira jam 9 malam berikutan detik itu dikatakan bermulanya kehadiran makhluk menyerupai hantu Kak Limah itu.

Kak Limah adalah nama watak seorang wanita yang disangka jelmaan hantu dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mendapat sambutan hangat di pawagam tahun lalu.

Usaha Sinar Harian untuk tiba ke lokasi berkenaan agak mencabar berikutan lokasi rumah keluarga terbabit yang agak terpencil, selain keadaan hujan lebat ditambah jarak rumah agak jauh lain merumitkan lagi proses mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung.

Bagaimanapun, selepas berjaya masuk ke jalan yang bakal menghubungkan Kampung Temiang melalui laluan Wakaf Tapai-Marang, kewujudan sebuah warung kopi di tepi jalan dengan kesediaan pelanggannya yang terdiri daripada penduduk tempatan memberi maklumat diperlukan, memudahkan usaha untuk menjejaki rumah Syaawal yang menjadi lokasi liputan bahan berita itu.

Sebaik tiba di lokasi dituju, wartawan Sinar Harian terpaksa pula meninggalkan kereta di tepi jalan kecil kerana rumah itu terletak agak jauh di tengah padang.

Dalam keadaan hujan renyai-renyai, perjalanan menuju ke rumah itu amat mencabar. Terpaksa meredah selut berlumpur selain situasi gelap yang amat menyeramkan.

Sedia menanti termasuk bapa Syaawal, Mazlan Ali, 55, dan ahli keluarga terde­kat selain penduduk kampung turut tidak melepaskan peluang.

Sinar Harian yang tiba ke rumah papan dibina semula daripada perkayuan rumah pusaka keluarga berkenaan bagaimanapun tiba-tiba dikejutkan dengan situasi tegang melibatkan adik Syaawal, Mat Ali, 15, yang secara tiba-tiba menangis, tidak sedarkan diri dipercayai akibat dirasuk.

Selang beberapa minit kemudian, tatkala ahli keluarga sedang menenteramkan Mat Ali, kakaknya, Masliana, 31, tiba-tiba dikatakan terpandang lembaga berambut panjang duduk di alang rumah.

Ustaz Hasrul pada ketika itu berada di rumah berdekatan selepas menikmati makan malam sebaik dimaklumkan perkara itu, bergegas ke rumah Syaawal lalu terus memulakan proses menghalau makhluk halus yang merasuk.

Pada masa itulah, Masli­ana tiba-tiba menunjukkan aksi dan tenaga luar biasa, membuka pencak silat untuk bertarung dengan Ustaz Hasrul. Tiada langsung ciri-ciri kewanitaan pada lagaknya, yang kelihatan hanya langkah pendekar. Namun, biar begitu hebat pun Masliana, mudah sahaja langkahnya dimatikan Ustaz Hasrul dengan ayat suci al-Quran. Ternyata yang bersilat itu bukan Masliana sebenar tetapi makhluk halus yang menguasai tubuhnya.

Bacaan ayat al-Quran selain azan akhirnya berjaya membuat jin yang menguasai wanita itu terperangkap. Masliana pulih apabila jin terbabit berjaya dikurung di dalam botol oleh Ustaz Hasrul.
Kena sembelih

Mat Ali dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat dirasuk makhluk halus dipercayai jin kafir itu sempat berkomunikasi dengan Ustaz Hasrul sebelum jin itu dimatikan melalui sembelihan leher secara kaedah kebatinan.

Jin yang merasuk ke dalam tubuh Mat Ali akhirnya berjaya dikeluarkan selepas hampir setengah jam berhempas pulas dan ia turut dimasukkan ke dalam botol plastik.

Ustaz Hasrul kemudian menepung tawar katil pusaka dipercayai menjadi punca segala kemelut yang berlaku.

Proses rawatan tidak meng­­gunakan sebarang alat lain seperti kemenyan atau asap yang biasa digunakan bomoh tradisional kecuali air penawar itu berakhir kira-kira jam 11.15 malam, sebelum penduduk kampung bersurai setelah kesemuanya berpuas hati dengan kejayaan rawatan diberikan.

Akhirnya, kehadiran Ustaz Hasrul membantu mengusir makhluk halus yang mengganggu keluarga tanpa bayaran, berjaya mengembalikan semula keharmonian hidup keluarga Syaawal.


BERITA SEBELUMNYA: Ayat Kursi Tangani Gangguan Makhluk Halus
Sumber: SINAR HARIAN


KUALA TERENGGANU - Jangan terlalu emosi dan takut pada hantu mengatasi ALLAH, tegas Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz.

Menurutnya, orang ramai khususnya umat Islam tidak perlu takut kepada hantu kerana ia adalah jelmaan iblis, syaitan atau jin dan semua­nya itu adalah makhluk ALLAH.

“Saya bimbang bila orang kita terlalu takutkan hantu sehingga mengatasi kekua­saan ALLAH. Kita tidak perlu gusar atau takut, mungkin apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH tetapi kita perlu ikhtiar dengan bergantung kepada ALLAH TAALA.

“Kejadian diganggu hantu sepatutnya menjadikan kita lebih dekat pada ALLAH dan lebih banyak muhasabah diri,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gangguan hantu Kak Limah yang dikatakan berlaku di Marang.

Ketika ditanya mengenai kejadian itu, Aizi berkata, dia tidak menolak kemungkinan kejadian sihir atau gangguan iblis, syaitan atau jin tetapi dalam bentuk jelmaan, untuk menakutkan orang apabila dilihat.

Bagaimanapun, katanya, jelmaan yang wujud dalam pelbagai bentuk itu tidak perlu ditakuti.

“Apa yang penting, kita perlu kuatkan iman. Kalau kita takut, iman kita mungkin masih lemah. Kita perlu ada kekuatan dalaman bagi mengatasi perkara yang boleh melemahkan iman kita,” katanya.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah gangguan makhluk halus, umat Islam boleh membaca ayat Kursi dan ayat-ayat al-Quran yang lain.

Secara fitrah katanya, amalan ayat 3 Qul dibaca sebelum tidur untuk menghalang gangguan, iaitu dengan menghembus atau meniup bacaan itu pada seluruh tubuh.

Ketika ditanya nasihat beliau kepada keluarga Mazlan yang diganggu Kak Limah, Aizi bersetuju dengan tindakan keluarga itu memulangkan semula barang yang diambil dari rumah pusaka bapanya di Jerangau, Dungun.

“Kadang kala kita tidak tahu mungkin barangan yang diambil dari rumah pusaka itu adalah tempat tinggal bagi makhluk lain seperti jin. Jadi, eloklah kembalikan ke tempat asalnya.

“Saya juga menasihatkan dia agar memagar rumah dan bersihkan rumah dia, sebagaimana amalan kita bagi mengelakkan gangguan,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian berusaha menjejak ‘tapak lama’ rumah keluarga Mazlan di Jerangau untuk melihat secara lebih dekat keadaan di situ, selain membantu mencari penyelesaian ke atas kemelut yang dihadapi keluarga ini.

Rumah Jadi Surau Makhluk Halus

Pelik tapi Benar: Makhluk Halus Tumpang Solat

BATU PAHAT – Terkejut, pelik, tergamam dan banyak lagi persoalan yang bermain di fikiran empat sekeluarga yang menghuni rumah di Kampung Desa Penyayang, Sri Medan, apabila ruang rumah mereka dijadikan tempat untuk solat jenazah makhluk halus.

Kejadian berkenaan disedari apabila penghuni rumah berkenaan pulang setelah beberapa ketika mengosongkan kediaman mereka.

Mohd Amin Kamil, 46, berkata, kejadian pelik di rumahnya mula berlaku tiga tahun lalu, apabila isterinya, Rahimah Mohamed, 49, mengemas sejadah yang terbuka.

Katanya, pada mulanya isterinya menganggap anak mereka menunaikan solat dan terlupa melipat sejadah tersebut.

Bagaimanapun anak mereka menafikan dan memberitahu dia belum lagi menunaikan solat.

“Saya dan isteri mula berasa pelik dengan kejadian ini dan membiarkannya sahaja dan tidak berkata apa-apa. Kami beranggapan mungkin ada di antara kami terlupa mengemas sejadah berkenaan.

“Tetapi perkara itu berulang kembali dan ia berlaku tiga kali berturut-turut, di mana kejadian berkenaan berlaku apabila masuknya waktu solat Asar, Maghrib dan juga Isyak.

“Perkara ini juga akan berlaku ketika matahari sedang naik, dan ia hanya berlaku apabila awal Muharam, tetapi kami diamkannya sahaja dan menganggap ‘mereka’ hanya menumpang solat,” katanya kepada Sinar Harian.

Kain batik lepas terbentang sendiri
Menurut Mohd Amin, bagaimanapun sesuatu mengejutkan berlaku apabila dia pulang sahaja ke rumah Khamis lalu dan mendapati di satu ruang dalam rumahnya terdampar sejadah untuk solat berjemaah.

Katanya, lebih mengejutkan di hadapan sekali dia melihat bantal dan juga kain batik lepas dibentang seperti menutup seorang jenazah.

“Saya terkejut dengan kejadian berkenaan dan bergegas keluar memberitahu isteri.

“Isteri saya memberitahu, sebelum dia keluar, rumah dikunci. Lalu kami teringatkan perkara yang berlaku sebelum ini di rumah.

“Sebelum itu, awal pagi dan sehari sebelum ini, saya mendapati sejadah di rumah kami terbentang seperti selalu. Kami membuat andaian mungkin salah seorang daripada makhluk halus berkenaan telah meninggal dunia,” katanya.

Sebelum ini, katanya, dia berhubung dengan beberapa ustaz dan mereka menyatakan makhluk berkenaan hanya untuk menumpang sahaja dan tidak mengganggu isi rumah.

Sebelum ini katanya, kejadian seumpama ini tidak pernah berlaku walaupun mereka telah mendiami rumah tersebut hampir 19 tahun.

Sumber: SINAR HARIAN

Khamis, Ogos 02, 2012

Tanda-tanda Lelaki Dicintai Jin


Tidak mustahil bagi manusia untuk dicintai oleh jin. Terdapat banyak kes di muka bumi ini di mana manusia dibawa masuk ke alam jin atau alam bunian dan alam makhluk halus kerana makhluk halus, bunian atau jin ini mencintai manusia. Artikel ini mungkin menyeramkan anda. Anda perlu bersiap-sedia dari segi mental dan rohani apabila anda mengalami salah satu keadaan yang tersebut di bawah ini:


1. Apabila diganggu atau dirasuk jin betina, anda mungkin akan berkelakuan seperti jin betina itu. Anda akan mempunyai sikap seperti seorang wanita seperti sangat kuat emosi seperti pemarah, kuat merajuk, sangat pemalu, mudah panik atau gelabah, putus asa dan sebagainya.



2. Anda akan jadi pemalu seperti jin betina. Ini menyebabkan anda menjadi sangat suka menyendiri, sangat tidak selesa berada di khlayak ramai, apa lagi kalau menjadi tumpuan ramai dan anda mungkin dapat perhatikan sekurang-kurang jari anda akan menggeletar atau mungkin diri anda sepenuhnya panik dan menggeletar.



3. Jin betina akan membisikkan kata-kata romantik kepada anda tanpa anda sedari. Kata-kata romantiknya akan menusuk ke kalbu anda dan menyebabkan anda menjadi suka mengelamun dan berkhayal membayangkan perkara-perkara romantik contohnya berasamara atau 'berkasih-kasihan' dengan wanita (siapa saja wanitanya samada sesorang yang anda kenal, pernah lihat atau anda cipta sendiri orangnya).


3. Anda suka bersendirian berjalan malam. Mungkin, tanpa anda sedari, anda sedang ditemani oleh jin betina.


4. Anda suka duduk mengelamun dan melayan perasan di bawah cahaya bulan purnama. Mungkin pada ketika itu, jin betina sedang berbisik kata-kata cinta kepada anda, dan anda kini umpama merpati dua sejoli di bawah bulan purnama. Anda mungkin keseorangan pada zahirnya, tetapi tidak pada batinnya.


5. Anda sering merasa gembira, sedih, sayu, atau rindu, kepada seseorang yang anda sendiri tidak tahu kepada siapa. Mungkin kerana pada ketika itu jin betina itu sibuk atau pergi buat kerja lain sehingga anda merasa kehilangannya.



Nota Penting Untuk Mangsa Gangguan Cinta Jin Betina

Anda tidak boleh mendakwa jin betina ini kerana melakukan gangguan seksual kepada diri anda. Apa pun anda boleh berhati-hati supaya tidak terus menjadi mangsa gangguan jin betina. Anda perlu lebih peka dan mengambil tindakan secepat mungkin kerana tanda-tanda yang akan dinyatakan selepas ini adalah amat menyeramkan.

Semua faktor di atas boleh jadi sederhana atau sangat kuat menguasai diri anda bergantung kepada sejauh mana angin bisa atau malah jin itu sendiri masuk ke dalam jasad anda, terutamanya pada bahagian kepala.


Begitu juga ia bergantung kepada kekuatan dan perangai jin betina itu sendiri, di mana kalau ianya sering datang menziarahi atau mengikut anda ke mana saja anda pergi, maka kesan gangguan itu akan anda rasa pada banyak masa, tak kira siang atau malam.


6. Anda mudah jatuh hati atau jatuh cinta pada mana-mana wanita, sama ada yang dah lama atau baru anda kenal malah mungkin yang anda nampak di tengah jalan sekali nampak saja anda akan ingat atau terbayang-bayang orangnya dengan perasaan yang penuh rasa rindu dan cinta.


7. Anda mungkin selalu didatangi perempuan yang anda kenal atau tidak, perempuan yang sama atau berganti-ganti pada masa mula terlelap atau ditengah malam dalam keadaan antara tidur dan jaga.


Kemudian apa saja boleh jadi, mungkin sekadar datang, atau berasmara dengan anda, atau lebih kepada aksi terlampau yang ghaib.


8. Anda mungkin sering bermimpi didatangi dan berasmara dengan perempuan. Dan kalau anda sampai melakukan hubungan jenis dengannya maka ia sangat bahaya, kerana mimpi pada anda, tapi alam nyata baginya ia mungkin ketagih atau menjadi sangat sayang, dan akan terus menjaga anda dengan ketat.


Malah ia akan menjadi lebih berat, bila anda ada anak dengannya di alam jin itu, anda mungkin nampak anak itu dalam mimpi anda, Wallahua'lam.


(Risikonya kalau cuba dipisahkan anda mungkin akan menghampiri, atau jadi gila, atau mungkin melakukan sesuatu yang di luar dugaan dari sebab tekanan angin bisa atau dirasuk oleh perasaan jin itu sendiri.)


9. Pada gangguan yang lebih teruk, jin itu menjelma di hadapan anda seperti manusia, maka anda rasa berhubungan dengannya itu adalah di alam nyata.


Biasanya pada tahap gangguan kuat peringkat ini, sesorang itu sentiasa menyendiri atau mengasingkan diri agar sentiasa dapat bersama dengan 'kekasihnya' itu dan selalu bercakap sendirian sedangkan pada pandangannya ada temannya.


Ia terutamanya kalau jin itu adalah jin hutan dan seseorang itu sentiasa berada pada tempat yang tiada manusia seperti dalam hutan atau rumah-rumah terpencil dan sebagainya.


10. Anda mungkin bangun pagi dan terasa seperti ada orang menemani anda tidur semalamnya dan anda mungkin merasakan orang itu seorang perempuan.


11. Anda mungkin bangun pagi dan merasa ada melakukan hubungan badan semalamnya, walaupun anda mungkin tidur seorang diri.


12. Mungkin pada wajah anda ada cahaya lembut, iaitu suatu aura daripada makhluk halus itu dan mungkin menjadi pelembut hati orang yang memandang anda, seperti mereka itu sedang memandang seorang wanita cantik yang penuh kelembutan. Ini barangkali adalah salah satu cara jin betina yang mencintai anda untuk menghalang anda daripada diminati oleh wanita lain.


Kecuali kalau jin itu marah, atau tak puas hati dengan anda terutama kalau amalan pendinding anda mula memberi kesan kepadanya, maka cahaya lembut itu akan hilang dan bertukar kepada cahaya wajah 'mendung' atau gelap seperti orang yang sedang marah.


13. Kalau gangguan lebih berat, anda mungkin akan mengalami rasukan oleh 'awek' anda tersebut.


14. Anda mungkin selalu terasa seperti ada orang mengekori anda ke mana-mana.


15. Orang lain mungkin nampak bayangan hitam atau wanita yang selalu menemani anda. Biasanya ia boleh dilihat dari jarak jauh tetapi apabila sudah dekat, tak ada pula 'orangnya'.


16. Kalau anda terkena jin yang kuat cemburu, nescaya ia akan menghalang anda dari berkahwin, kerana tidak mahu berkongsi kekasihnya. Barangkali ini yang dikatakan susah mendapat jodoh. Mungkin orang yang sukar mendapat jodoh itu disebabkan kerana ada jin betina yang mencintainya?



17. Gangguan jin betina yang mencintai anda akan menjadi dahsyat apabila anda berkahwin. Kalau dapat kahwin tetapi jin itu belum terlepas gangguannya, mungkin rumahtangga anda selalu jadi 'perang saudara laki bini', anda berlaku curang, tidak peduli atau tidak suka mendekati isteri, cemburu atau marah tak tentu pasal dan sebagainya.


Soalnya selagi jin itu belum berpuas hati ia akan terus menghasut dan berusaha memporak-porandakan rumahtangga anda, kalau boleh biar bercerai agar anda akan menjadi miliknya seekor.


18. Nafsu anda naik tidak tentu masa dan tidak ada sebarang sebab munasabah dan tak mustahil kalau isteri 'berhalangan', anda guna atau cari jalan lain termasuk cara yang tak senonoh, kecuali kalau anda seorang yang berilmu dan kuat iman.


Malah ia boleh jadi antara faktor penyebab seseorang itu melakukan keganasan seks, termasuk merogol, terutamanya kalau jin betina itu gila seks kerana ia akan dapat ikut serta.



19. Kalau dapat anak, maka tidak pula mustahil antara anak-anak itu yang didatangi jin betina pada mana-mana cara seperti bapanya juga terutama bagi anak-anak lelaki.

Sebab-Sebab Jin Merasuk Manusia

Artikel di bawah ini menerangkan tentang sebab-sebab jin merasuk manusia dan tanda-tanda gangguan jin atau makhluk halus.

SEBAB-SEBAB JIN MERASUK MANUSIA
Sejak akhir-akhir ini, pada zaman yang serba moden ini, kerap kali pula kita terdengar kisah jin merasuk manusia, jin mengganggu manusia, jin menyukai manusia dan sebagainya. Apakah sebab-sebab jin merasuk manusia? Kenapa jin merasuk manusia? Mesti ada sebab dan faktor kenapa jin itu merasuk manusia. Kita tidak boleh melihat jin dengan mata kasar, tetapi jin boleh melihat kita apabila jin mengamalkan ilmu-ilmu tertentu seperti juga manusia yang mengamalkan ilmu-ilmu tertentu untuk melihat jin. Apa yang menarik sangat dalam diri manusia ini sampaikan jin hendak merasuk manusia? Mungkin seseorang itu memelihara jin, tetapi bagi yang tidak memelihara jin? Macam mana pula dengan muka sebenar hantu? Ada juga yang sempat merakamkan video hantu. Sebab-sebab gangguan jin kepada manusia adalah seperti berikut:

18 SEBAB JIN MERASUK MANUSIA
Sekiranya anda adalah seorang perempuan, dan anda suka bersolek. Berhati-hatilah kerana anda mudah menjadi mangsa rasukan jin. Ini kerana wanita yang suka bersolek dan gemar berpakaian mendedahkan aurat sasaran utama golongan jin untuk dipikat. Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia.

Pernahkah kita mengalami keadaan di mana kita berniat baik, tetapi ada suara hati yang menghasut atau berfikiran sebaliknya. Maka sedarlah, bahawa itulah suara Qarin atau jin yang mahu kita mengikut kemahuan nafsu mereka untuk melakukan kejahatan. Salah seorang imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani berkata, dalam setiap tubuh manusia ada jin dan makhluk halus itu sentiasa berusaha mempengaruhi kita mengikut telunjuk mereka.

Kita barangkali berasa sentiasa dalam keadaan privasi apabila duduk di dalam rumah atau bilik secara sendirian. Namun, sebenarnya kita tidak bersendirian. Anda berasa seram? Pendakwah bebas lulusan Universiti Al-Azhar itu berkata, ramai manusia tidak menyedari tindak-tanduk mereka sentiasa menjadi perhatian jin.

Jin sebenarnya suka memikat manusia, terutama wanita yang suka bersolek dan gemar berpakaian mendedah aurat,” kata Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani, ketika membentangkan kertas kerja berkaitan peranan jin di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Ustaz Dasuki lagi, jin tidak akan datang mengacau seseorang itu melainkan ia sudah terpikat.

“Bila sudah berkenan, jin akan berusaha memasuki tubuh orang yang dia suka dan terus bersarang di dalamnya," tambahnya.

Lazimnya, kata beliau, jin memilih manusia yang lemah semangat dan tidak mempunyai pendinding diri untuk dipikat.

“Manusia yang sudah lupa Allah dan menjauhi Al Quran tidak lagi mempunyai pendinding diri dan sebab itu mudah dipengaruhi jin,” tambahnya.
Manurut Ustaz Dasuki lagi, jin menyusup masuk ke dalam tubuh manusia dengan berbagai cara, antaranya diminta manusia sendiri sama ada sedar atau tidak. Lebih malang lagi, katanya, manusia sendiri menggunakan khidmat jin sebagai khadamnya untuk melakukan pengkhianatan kepada orang lain.

Ustaz Dasuki menyatakan 18 sebab jin merasuk manusia, iaitu:
1. Apabila manusia meringankan solat dan tidak mentaati perintah Allah.
2. Terdapat alat muzik atau alat melalaikan didalam rumah
3. Meninggikan suara dalam bilik air
4. Menangis dan merintih sebelum tidur
5. Membuang air panas ke dalam bilik air
6. Melompat tinggi tanpa membaca Bismillah
7. Memasuki tempat gelap yang ditinggalkan
8. Perasaan terlalu takut dan terlampau gembira, seperti ketawa berlebihan
9. Selalu bertengkar suami isteri
10. Terlampau marah
11. Mengikut hawa nafsu
12. Terdapat gambar lukisan manusia dan anjing di dalam rumah
13. Terdapat lambang salib pada lantai, sejadah atau langsir
14. Menghadiri majlis yang melekakan tanpa menyebut kalimah Allah
15. Perempuan suka bersolek
16. Berlaku sihir perjanjian di antara jin dan tukang sihir
17. Jin jatuh cinta pada manusia
18. Suka membaca buku cerita hantu dan buku berunsur sihir.
Tanda-tanda Manusia Dirasuk Jin
Beliau juga memberikan beberapa tanda manusia dirasuk jin, antaranya sukar tidur malam, hati berdebar-debar terutama pada waktu senja atau perasaan resah tidak menentu.

Tanda-tanda Gangguan Jin
Mimpi berulang mengenai perkara yang menakutkan seperti melihat anjing hitam, kucing, ular, manusia pelik, dibawa ke kubur atau diusung ke tempat mengerikan juga dikaitkan dengan gangguan jin.

Tanda-tanda Gangguan Makhluk Halus
Selesema berpanjangan juga dikaitkan dengan gangguan makhluk halus selain malas berzikir dan solat,?katanya.

Selain itu, manusia dirasuk jin merasa sakit pada sesetengah anggotanya tapi sukar dikesan oleh doktor.

Lain lain tanda ialah pening berpanjangan terutama pada waktu senja, otak lemah, tidak sedar diri serta telinga berdesing atau mendengar kata-kata suruhan tertentu.