BLOG DUKE AMIENE REV
Memaparkan catatan dengan label Setiap Gambar Ada Cerita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Setiap Gambar Ada Cerita. Papar semua catatan

Ahad, Julai 13, 2008

Setiap Gambar Ada Cerita - Siri 3

Photo Received Via Forwarded E-mail.
Original Story By Amiene Rev (C) 2008.
Cerita ini adalah rekaan semata-mata.

Isu kenaikan minyak telah membimbangkan Puan Meri. Puan Meri pun duduk berfikir. Kemudian dia mendapat satu idea yang bernas.

"Aku akan jual bahagian depan kereta ini, dan termasuk dengan enjinnya sekali sebagai besi buruk atau 'spare part' untuk mendapatkan duit. Kemudian aku akan menggunakan Klak Gabel, kuda kesayanganku itu sebagai enjin organik." Puan Meri tersenyum.

Kereta Puan Meri kini sudah berubah menjadi pedati dan menjadi salah satu tarikan utama di Bandar Oilitik. Tidak berapa lama kemudian, idea Puan Meri turut ditiru oleh beberapa orang penduduk yang lain.

Fenomena Kereta Pedati Puan Meri merebak dengan pantasnya di seluruh dunia. Puan Meri mempatenkan rekaannya itu dan sesiapa yang menggunakan ideanya perlu membayar royalti kepadanya.

Puan Meri telah berjaya mengatasi masalah kewangannya. Kenaikan harga minyak bukan lagi satu halangan tetapi merupakan punca kekayaan baru bagi Puan Meri.

Ahad, Julai 06, 2008

Setiap Gambar Ada Cerita - Siri 2

Photo Received Via Forwarded E-mail.
Original Story By Amiene Rev (C) 2008.
Cerita ini adalah rekaan semata-mata.

"Naseem!" Kuat sekali laungan Encik Umar. Suaranya berkumandang menggegarkan gerabak keretapi yang sedang meluncur laju di landasannya.

Naseem yang berada di gerabak sebelah terkejut. Dia memasang telinga lagi, takut-takut tersalah dengar.

"Naseem! Cepat pergi ke pintu keluar! Pintu tersangkut!"

"Kenapa mahu pergi ke pintu keluar? Pintu gerabak kan ada?"

"Pintu gerabak sudah sangkut! Ini bawa makanan ini ke garabak kamu! Cepat!" Encik Umar melaung lagi.

"Angin kuat sekarang! Kita tunggu keretapi perlahan sedikit!" Naseem memijak jerjak-jerjak besi di luar keretapi. Dia memegang kuat pada palang pintu keluar keretapi.

Perbuatan mereka berdua yang seolan-olan mencari maut itu menarik perhatian penduduk di sekitar kawasan luar. Ada yang terjerit-jerit seperti terkena histeria. Namun keretapi terus bergerak laju.

"Kita mesti mahu menghantar makanan ini kepada pelanggan yang memesannya. Mati sekali pun, kita sudah berjanji! Kita mesti tunaikan!" ujar Encik Umar dalam nada melaung.

Dup! Dup! Dup! Keretapi bergegar kerana memijak landasan keretapi yang kurang rata. Naseem hampir-hampir terjatuh. Dia memanjangkan lengannya, menolak seluruh otot-otot bahu dan lengannya. Urat-urat di lengannya hampir tercabut.

"Sedia! Ambil!" Encik Umar menghulurkan dulang berisi makanan dan minuman menerusi tingkap keretapi dari gerabak sebelah. Naseem menyambutnya. Tangannya agak menggigil.

"Berjaya!"

Naseem perlahan-lahan membawa masuk makanan yang di atas dulang itu. Sebaik-baik sahaja dia menarik nafas lega dan mengimbangi badannya untuk berjalan semula di dalam gerabak, dilihatnya para penumpang semuanya terpaku memandang ke arahnya.

"Siapa Encik Amran, yang telefon minta telur separuh masak, roti bakar dan kopi panas?" Sambil berlagak tenang, Naseem bertanya kepada semua penumpang.

"Saya!" Lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu menyahut. Dia tiba-tiba mengangkat kedua-dua belah tangannya ke arah paras dada seperti mahu berdoa, sebelum bertepuk tangan beberapa kali. Penumpang-penumpang yang lain turut bertepuk tangan.

Rabu, Julai 02, 2008

Setiap Gambar Ada Cerita - Siri 1

Photo Received Via Forwarded E-mail.
Original Story by Amiene Rev
(C) 2008.
Setiap cerita adalah rekaan semata-mata.

Jaffa adalah seekor kambing gurun. Dia mencintai Wendonok, si kera ayu dari hutan Shire. Kedua-duanya adalah pasangan kekasih sejati. Oleh kerana cinta mereka berdua adalah cinta terlarang, di mana bangsa kera dilarang bercinta dengan bangsa kambing gurun.

"Kanda, marilah kita tinggalkan tempat ini. Cinta kita, cinta terlarang," pujuk Wendonok, sambil mengurut-ngurut bahu dan leher kekasihnya.

"Bagaimana kanda hendak meninggalkan tempat ini? Ini tanah air kanda. Setiap hari kanda mengembek di sini memanggil dara-dara kambing gurun di sini," jawab Jaffa, sempat bergurau mengusik kekasihnya.

"Nakal," Wendonok menepuk manja bahu Jaffa.

"Kanda tidak takut dengan cemuhan dan kata-kata orang mengenai cinta kita?" Air muka Wendonok berubah menjadi serius. Dia sudah tidak dapat menahan kata-kata haiwan lain mengenai percintaan terlarang antara mereka.

"Apa kita peduli? Darjat kita tetap sama, kita sama-sama adalah binatang. Dinda usah takut, kanda sentiasa berada di sampingmu," Jaffa menyatakan pendiriannya dengan tegas.

"Ini adalah ujian cinta kita," bisik Jaffa dengan romantisnya. Senyuman kambing yang terpapar di bibir Jaffa meredupkan kebimbangan hati Wendonok.

"Kalau begitu, dinda akan terus sehidup dan semati dengan kanda." Wendonok memeluk leher Jaffa.