Kata-kata Amiene Rev Kepada Pelajarnya
Kata-kata Amiene Rev Kepada Pelajar-Pelajarnya
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Dalam dunia ini, kita mungkin sudah tahu, tidak ada guru yang benar-benar hebat untuk memastikan kejayaan setiap para pelajarnya menjadi kenyataan. Tugas ini terlalu berat, dan kadangkala bagi aku sebagai seorang guru, sentiasa merasa serba kekurangan, serba berdosa kerana tidak dapat memberikan sesuatu yang terbaik untukmu.
Setiap malam, setiap petang, setiap masa bila ada kelapangan, aku mencari, menyusun dan menulis sesuatu yang aku rasa dapat memudahkan engkau memahami apa yang mahu aku sampaikan. Aku menunggu setiap kali, supaya dapat kulihat kau tersenyum mengangguk, berpuas hati, memahami apa yang telah aku sampaikan.
Setiap kali aku melihat engkau kebingungan, tertunduk keliru, cuba memahami apa yang aku sampaikan maka aku gelisah, mengenangkan betapa berdosanya aku kerana tidak dapat mempermudahkan ajaranku. Lalu, apabila itu berlaku, maka aku bersengkang mata mencari penyelesaiannya, sehingga terbawa-bawa ke alam mimpiku.
Di dalam mimpi, aku membayangkan bagaimana caranya supaya aku dapat menyelesaikan masalah yang engkau hadapi dalam pembelajaran sesuatu perkara yang ingin aku sampaikan. Lalu aku memerah otak, mengerutkan dahi, menggenggam rambut di kepalaku, memejamkam mataku cuba mencari ilham dan kemudian aku menadahkan tanganku memohon doa supaya dapat kucari penyelesaian ini, supaya engkau dapat memahaminya pada sesi pengajaran dan pembelajaran akan datang.
Dan keesokkan harinya aku menarik nafas, memulihkan semangat dan tenagaku supaya aku dapat sekali lagi menyampaikan ilmu ini yang penting untuk engkau melayari masa depanmu dengan lebih mudah. Bagiku setiap masa lapang yang aku ada, adalah detik-detik terbaik untuk aku mengkaji cara pengajaranku, cara penyampaianku, isi kandungan pengajaranku dan refleksi terhadap apa yang telah aku lalui semasa mengajarmu.
Di mana silapnya? Di mana kekurangannya? Aku mengubahsuai dan terus merekacipta sesuatu yang baru, supaya nanti, engkau akan mudah memahaminya. Dan, kemudian, kelas yang seterusnya, apabila aku lihat engkau telah dapat menguasai apa yang aku ajarkan kepadamu, maka betapa lapangnya rasa hati, betapa indahnya sinar matahari yang memancar ke dalam bilik, menerangi ruang-ruang di majlis ilmu itu.
Selepas itu, aku mendapati engkau terus cepat memahami, cepat mempelajari apa yang aku ajarkan. Melihatkan keadaan ini, aku tidak berhenti-henti mengucap syukur, kegembiraanku, kebahagiaanku, kesenangan hatiku. Aku menganggap ini sebagai dorongan ke atas usahaku, sebagai ganjaran ke atas setiap usahaku. Terpesona dengan kejayaanmu menguasai apa yang telah aku ajarkan kepadamu, aku seolah-olah terlupa bahawa aku selama ini dibayar gaji untuk menjadi seorang pendidik. Aku terlupa bahawa aku selama ini sedang melaksanakan usaha untuk mencapai matlamat dan harapan bangsa. Ketika itu, setiap matlamat dan harapan bangsa seolah-olan telah menjadi harapan peribadiku. Aku ingin melihat engkau berjaya.Aku ingin melihat engkau menjadi orang yang berguna. Aku ingin melihat engkau mengharumkam nama negara, bangsa dan agama. Aku sudah terlupa bahawa aku ini makan gaji, kerana kepuasan dan kebahagiaanku melihat engkau semakin hari semakin berada di puncak kejayaan, seolah-olah ganjaran sebenar untukku. Ganjaran yang paling agung buatku.
Kemudian, engkau menghadapi peperiksaan untuk menguji kebenaran apa yang telah engkau kuasai selama ini. Aku gelisah, tetapi aku pendamkan. Syaitan-syaitan cuba sedaya-upaya mencampak benih was-was ke dalam hatiku, tetapi aku terus menangkisnya dengan doa dan keyakinan terhadap apa yang kita perjuangkan selama ini. Aku tahu engkau boleh melakukannya. Aku tahu engkau tahu apa tujuan engkau menuntut ilmu selama ini. Aku tahu kenapa aku mengajar engkau selama ini. Selama ini, aku mengajar engkau ilmu-ilmu yang aku miliki supaya engkau dapat menggunakannya untuk menolong dirimu dan bangsamu sendiri, dan masyarakat di sekitarmu, dan alam, dan agamamu untuk terus menstabilkan dunia dan merebut kebahagiaan di akhirat. Lalu tumbuh semula pohon-pohon kepercayaanku terhadap kebolehanmu.
Selepas itu, tibalah detik perpisahan antara aku dan engkau. Jika engkau mungkin kehilangan aku dan beberapa orang yang telah mendidikmu, tetapi aku kehilangan engkau dan berpuluh-puluh rakan seperguruan engkau saban tahun. Setiap kali itu juga aku memendam rasa rindu terhadap masa lalu, pada masa kita sama-sama membincangkan tentang sesuatu ilmu yang mahu aku ajarkan kepadamu. Aku mengenangkan kembali pada saat engkau yang tidak tahu apa-apa, kemudian pada akhirnya menjadi seorang yang serba tahu. Rindu aku pada saat itu, tetapi aku tahu sekarang ini masih ramai lagi orang-orang seperti engkau yang dahulu itu, perlu aku didik supaya menjadi seperti engkau pada masa kini atau lebih hebat lagi. Perjuangan ini tidak pernah berhenti.
Kesunyian, rindu terhadap kenangan lama kupendam begitu sahaja. Dan, apabila ada masa terluang, aku ceritakan saat-saat manis dan pahit itu buat pengajaran dan teladan untuk adik-adik segurumu.
Saban hari usiaku makin meningkat, aku tahu aku tidak akan lama hidup di muka bumi ini. Ketika itu harapanku terhadapmu semakin menggunung tinggi. Aku mengharapkanmu supaya mewarisi ilmu-ilmuku dalam pelbagai cara yang dapat memberi kebaikan kepada manusia. Sama ada engkau mengajarkan apa yang telah engkau fahami atau engkau ciptakan sesuatu yang baru untuk membantu umat manusia dan alam ini.
Aku teringatkan masa silamku. Aku teringatkan kesalahanku. Aku teringatkan ketidaksempurnaanku semasa dulu. Aku tidak pasti sama ada kejayaanmu akan dapat menebus kesilapan dan kesalahanku. Bagiku adalah satu dosa apabila aku gagal menjadikan dirimu sebagai seorang yang berjaya.
Bagi setiap anak didikku yang kuketahui kegagalannya dalam mengharungi masa depan, maka akan ada kepedihan dalam hatiku. Setiap kali aku mengingati anak didikku yang gagal dalam hidupnya, aku mendoakan agar dia diberikan peluang untuk mencapai kejayaan untuk kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Supaya dia dapat menjadi orang yang berguna.
Oleh itu, aku rasa kejayaanmu tidak cukup untuk mengubati kesedihan dan kepedihan hatiku. Aku berharap agar engkau akan turut dapat membantu rakan-rakan segurumu yang terkandas, yang gagal dalam pelajarannya, yang gagal dalam kerjayanya, yang gagal dalam hidupnya... berikan mereka peluang untuk melihat masa depan yang cerah yang seharusnya menjadi milik mereka. Berikan mereka keyakinan bahawa masa depan yang cerah itu memang milik mereka.
Aku berharap pada akhirnya, tidak kira engkau atau rakan-rakan engkau, wahai anak didikku, semuanya berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Maka dengan itu, dapat aku menghembuskan nafas terakhirnya dengan mata yang terpejam tenang, dan bibir yang tersenyum senang. Perjuangan ini tidak pernah tamat. Kerana itu aku akan terus berusaha untuk mendidik engkau dan generasi seterusnya. Kerja-kerja mendidik ini tidak pernah selesai.
"Aku hidup sebagai pendidik, mati pun sebagai pendidik." - Amiene Rev
CATATAN AMIENE REV
BUAT PARA PERANTISNYA I
Amiene Rev (C) 2009
Penat lelah aku mendidikmu
Kemudian melepaskan engkau pergi
Setiap kali aku mengenangkan masa itu
pada saat engkau tidak tahu apa-apa
kemudian menjadi bijak pandai
Aku tahu
Selamanya engkau adalah muridku
Selamanya engkau juara
CATATAN AMIENE REV
BUAT PARA PERANTISNYA II
Amiene Rev (C) 2009
Kini giliran aku untuk pergi
demi memenuhi kehendak perjuangan
ajaranku, didikanku
adalah nadi
pusaka hidup dan matiku
yang menggerakkan
perjuangan ini
supaya ia tidak pernah
berhenti
CATATAN AMIENE REV
BUAT PARA PERANTISNYA III
Amiene Rev (C) 2009
Mengenangkan masa silam
bererti mengenangkan
ajaranku dan pembelajaranmu
BUAT PARA PERANTISNYA I
Amiene Rev (C) 2009
Penat lelah aku mendidikmu
Kemudian melepaskan engkau pergi
Setiap kali aku mengenangkan masa itu
pada saat engkau tidak tahu apa-apa
kemudian menjadi bijak pandai
Aku tahu
Selamanya engkau adalah muridku
Selamanya engkau juara
CATATAN AMIENE REV
BUAT PARA PERANTISNYA II
Amiene Rev (C) 2009
Kini giliran aku untuk pergi
demi memenuhi kehendak perjuangan
ajaranku, didikanku
adalah nadi
pusaka hidup dan matiku
yang menggerakkan
perjuangan ini
supaya ia tidak pernah
berhenti
CATATAN AMIENE REV
BUAT PARA PERANTISNYA III
Amiene Rev (C) 2009
Mengenangkan masa silam
bererti mengenangkan
ajaranku dan pembelajaranmu
|