BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Mei 03, 2009

Antara Matlamat dan Harapan

"Matlamat dan harapan adalah dua perkara berbeza. Usaha dan doa, di tengah-tengah. Matlamat yang tinggi adalah lebih baik daripada harapan yang menggunung tinggi. Harapan yang tidak kesampaian akan menyebabkan kekecewaan, sebaliknya matlamat yang tidak kesampaian boleh diperbaiki lagi. Matlamat adalah salah satu faktor untuk seseorang itu mahu terus hidup dan berjuang." - Amiene Rev
Ironi - Kisah Seorang Guru dan Dua Orang Pelajar
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Dari jauh, aku memerhati mereka yang dahulu dari dekat kuperhatikan, kuberi didikan Aku tertanya-tanya... Sedangkan aku tahu itu bukan lagi urusanku Sebab tugas aku terhadap mereka telah lama... selesai. Aku cuma mengharapkan ibu bapa mereka atau penjaga mereka mengambil langkah yang betul. Jangan sampai anak mereka tersilap langkah.

Aku sudah tidak ada di sana, tidak dapat menjaga mereka lagi... tidak dapat menegur mereka lagi. Mereka kini menapak atas usaha mereka sendiri, jatuh bangun mereka... tidak ada aku untuk menyokong mereka, memimpin mereka. Dengan berat hati, aku meneliti maklumat dan berita terkini tentang mereka yang dahulu pernah menjadi anak didikku.

Di depanku kini ada beribu-ribu tanggungjawab baru. Kuasa baru. Bidang tugas baru... Kalau masa lalu itu boleh diundur, aku akan merotan mereka yang degil, aku tidak peduli ibu bapa mereka marah atau berang, sebab kalau itu caranya untuk menghalang mereka daripada melakukan perkara sia-sia. Aku harus merotan mereka, kerana itu kasih sayang untuk mereka yang degil.

Tapi masa silam tidak akan berulang, Apa yang aku lihat kini, ada yang berjaya, mereka mendengar kata-kataku. Ada yang masih meronta-ronta, ini balasan kedegilan mereka, hipokrit mereka, kerana mengabaikan nasihat dan teguranku.

Mereka ini bakal mengisi jawatan-jawatan 3D, kotor, merbahaya dan daif. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, untuk berpuluh-puluh tahun lagi. Hidup mereka bergelumang dengan keringat, kesusahan dan penderitaan. Mereka ini, patut dirotan dahulu.

Namun kini segala-galanya sudah tidak bermakna lagi. Aku telah dinaikkan pangkat, tetapi kesedihan masih bertaut dihatiku. Selepas hari ini, aku tidak lagi dapat mencari khabar berita, melihat mereka dari jauh.

Jalan hidup mengheret aku untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar. Aku tidak sangka, orang-orang bawahanku nanti yang bekerja sebagai tukang sapu, tukang kebun, pembaiki paip dan lain-lain kerja yang dianggap kotor (hakikatnya suci), daif dan memenatkan adalah anak muridku sendiri.

Jika dulu mereka memanggil aku Cikgu, sekarang mereka memanggil aku Tuan Besar. Tuan Director. Dunia apakah ini?

Jika dulu aku menegur mereka di dalam kelas. Sekarang aku berkuasa memotong gaji atau memecat mereka. Dunia apakah ini?

Jika dulu mereka anak muridku, sekarang mereka kuli di tempat aku. Aku terus naik dan naik, menjawat jawatan yang lebih penting, tetapi mereka memiliki masa depan yang malap.

Kemudian datang pula seorang lagi anak muridku. "Cikgu... er... maaf, Tuan Director."
Apabila seorang anak muridku berjaya dalam hidupnya, memiliki ijazah dan bekerja sebagai orang kananku.

"Ingat lagi apa yang saya ajar kamu semasa di sekolah?"

"Tegas dan garang, Cikgu.. er... Tuan Director."

"Bagus."

Ironinya, pelajar yang malas dan biadab dahulu telah menjadi tukang sapu. Manakala pelajar yang pernah dibulinya pula menjadi orang atasannya.

"Walaupun dia dulu selalu buli kamu, tapi saya harap kamu sebagai pekerja yang lebih kanan, tetap menjaga kebajikan dia. Ingat, hubungan kita kini bukan lagi guru dan anak murid, tetapi antara majikan dengan pekerja."

Inilah kesudahannya... atau mungkin satu permulaan yang baru. Seorang guru yang menjadi seorang pengarah besar. Seorang pelajar rajin yang dahulunya dibuli telah mendapat ijazah dan menjadi seorang pegawai kelas A. Seorang pelajar yang malas, biadab, kurang ajar yang kemudiannya selepas tamat sekolah terpaksa berjuang untuk menyara kehidupan sebagai tukang sapu dan patuh kepada arahan bekas guru dan bekas rakan sekolah yang pernah dibulinya dahulu.

Sungguh ironi....