Contoh Ayat-ayat Karangan SPM Yang Mantap
Hari ini, Cikgu Amien akan mengajar anda teknik-teknik membentuk ayat karangan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang sesuai. Di bawah ini, Cikgu Amien akan memperkenalkan satu teknik yang dipanggil Teknik Acuan Ayat. Menerusi kaedah ini, para pelajar boleh menghasilkan ayat berdasarkan acuan ayat yang telah disediakan. Adakah guru-guru di sekolah anda mengajar teknik ini?
Perkataan dan gabungan perkataan (ayat) merupakan elemen utama yang menentukan baik buruknya sesuatu karangan, yang dihasilkan oleh para pelajar. Berikut adalah beberapa contoh ayat yang dapat digunakan untuk membantu para pelajar memantapkan lagi karangan anda. Karangan yang bagus bukan sahaja menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, tetapi huraian ayatnya tegas dan diiringi dengan hujah dan fakta yang bersesuaian.
Berikut adalah beberapa contoh ayat karangan yang dihasilkan dengan menggunakan beberapa perkataan terpilih. Apa yang para pelajar boleh lakukan ialah dengan mengisi ruang-ruang kosong yang terdapat di dalam acuan ayat dengan menggunakan perkataan-perkataan yang sesuai.
Perkataan berwarna biru gelap adalah perkataan teras manakala perkataan yang berwarna biru pudar adalah perkataan yang boleh diubahsuai berdasarkan perkataan-perkataan yang para pelajar gunakan untuk mengisi ruang kosong. Selamat berjaya dalam usaha untuk menghasilkan karangan Bahasa Melayu PMR atau SPM yang bagus dan mantap!
Industri Batik
ACUAN AYAT: Kerajaan sewajarnya ____ supaya ____ dapat ditingkatkan.
CONTOH: Kerajaan sewajarnya membaiki prasarana pengeluaran batik supaya kualiti dan kuantitinya dapat ditingkatkan.
ACUAN AYAT: Di samping itu, ____ disarankan supaya ____ bagi memantapkan dan menambahkan ____.
CONTOH: Di samping itu, para siswazah pula disarankan supaya bergabung tenaga bersama-sama usahawan industri kecil batik bagi memantapkan dan menambahkan nilai hasil fabrik batik.
ACUAN AYAT: Dalam memartabatkan ____ boleh menyemarakkan____ berdasarkan ____.
CONTOH: Dalam memartabatkan warisan busana bangsa Melayu, pereka fesyen tanah air boleh menyemarakkan sentuhan kontemporari mereka berdasarkan fabrik batik.
ACUAN AYAT: ____ wajar mengadakan ____ kerana ____ dengan ____.
CONTOH: Pihak-pihak tertentu wajar mengadakan pertandingan rekaan fesyen batik kerana para pereka fesyen di negara ini terkenal kreatif dengan hasil sentuhan yang mempersonakan masyarakat dalam dan luar negara.
ACUAN AYAT: Usaha lain yang boleh dilaksanakan bagi ____ adalah dengan menyarankan ____ bagi ____ untuk ____.
CONTOH: Usaha lain yang boleh dilaksanakan bagi memastikan industri batik berkembang maju adalah dengan menyarankan pihak pasar raya atau gedung beli-belah terkemuka memperuntukkan kuota tertentu bagi ruang pameran jualan untuk keluaran industri batik.
|