Petua Masakan - Daging dan Ikan
Cara Memilih Daging
- Daging yang disembelih (secara Islam) adalah pilihan yang terbaik. Ini kerana daging yang disembelih, sudah dikeluarkan semua darah yang mengangkut pelbagai bahan-bahan yang boleh memudaratkan pemakan daging. Darah yang terpendam di dalam daging akan membiakkan kuman dan bakteria pada kadar yang lebih pantas, oleh itu daging akan lebih cepat busuk.
- Jika membeli daging import, jangan terus simpan dalam peti sejuk, sila gantung daging itu untuk tujuan melembutkan serat-serat ototnya terlebih dahulu. Kemudian simpan dalam bahagian paling sejuk di dalam peti sejuk. Pastikan daging dimasak, tidak lebih tiga hari daripada tarikh membeli.
- Daging digantung terlebih dahulu untuk tujuan melembutkannya. Contohnya, perhatikan daging-daging bagi tujuan eksport khasnya di luar negara. Daging akan digantung dalam bilik khas dalam jangka masa tertentu. Ia bertujuan meredakan kembali ketegangan serat otot lembu yang kejang akibat "ketakutan" ketika disembelih. Bagaimanapun mengikut hukum Islam, terdapat bacaan dan cara penyembelihan tertentu yang mencegah daging menjadi liat.
- Sekiranya membeli daging beku, pengguna tidak dapat menikmati kesegaran dan perisa semula jadi daging. Sebaliknya daging menjadi kering dan liat. Ini disebabkan kehilangan air pada daging apabila proses melembutkannya dijalankan. Justeru itu, anda dinasihatkan mendapatkan daging segar yang baru disembelih untuk menjamin keenakannya apabila dimasak.
Cara Melembutkan Daging
Bagaimanapun daging yang liat masih bolih dilembutkan dengan pelbagai cara. Tetapi ingat, sebelum diperap atau direbus, biarkan daging setongkol untuk mengekalkan kandungan air didalamnya. Jangan dipotong-potong atau dikerat kebahagian yang lebih kecil kerana daging akan kecut dan hilang air dalam jumlah yang banyak.
Cara tradisional melembutkan daging - kaedah zaman dulu-dulu
- Mengikut secara tradisi, sediakan sebiji betik atau nenas muda untuk daging lebih kurang 3 kilo. Kisar nenas atau betik. Perapkan bahan tersebut dengan daging tadi dan simpan selama sejam. Selepas itu, bersihkan daging dan bolehlah dipotong mengikut citarasa masing-masing.
- Cara kedua, potong buah betik atau nenas. Kemudian rebus bersama dengan daging hingga mendidih. Angkat dan asingkan kedua-dua bahan tersebut. Setelah sejuk bolehlah dipotong mengikut kegemaran masing-masing.
- Ada orang kata apabila merebus daging, letakkan sudu ke dalam daging yang direbus tu. Kaedah ini biasanya berkesan untuk daging yang segar atau baru dibeli.
Cara moden melembutkan daging - kaedah zaman sekarang
- Rebus daging bersama-sama pati santan kelapa hingga mendidih. Untuk sekilo daging, gunakan sebiji kelapa. Selain mengempuk, daging juga lebih berasa lemak dan enak kerana telah diserap santan ke dalamnya.
- Terdapat cara lain melembut daging, kini menggunakan serbuk yang diperbuat daripada betik dan nenas yang boleh didapati disesetengah pasar raya.
Hilangkan Bau Daging
- Cara pertama, dengan menggunakan tepung gandum, ataupun dengan perahan air asam limau nipis atau asam jawa. Selepas daging dipotong, masukkan sesenduk tepung dan gaul rata-rata. Biarkan 10 minit dan bersihkan daging semula.
- Cara kedua, jika menggunakan teknik melembutkan daging dengan buah betik atau buah nenas, anda bukan sahaja mengempukkannya tetapi bau hanyir daging turut hilang.
- Cara lain: Untuk menghilangkan bau ayam yang baru di beli di pasar, anda hendaklah mengambil sedikit gandum dan merendam ayam atau pun daging.
- Selepas itu basuhkan ayam/daging ini bersih. Sekiranya masih lagi berbau maka sila ulangi process rendaman ini ke dalam air gandum.
Tambahan: Petua Masakan Berkaitan Ayam dan Ikan
Bagaimana pula petua yang berkaitan dengan daging ayam dan ikan? Sudah tentu suri rumah akan merasakan kesukaran setiap kali menggoreng ayam jika ayam yang digoreng itu melekat pada kuali. Cuba petua ini. Ambil beberapa ulas bawang merah (bergantung pada ayam), belah dua bawang tersebut bersama ayam. Anda akan dapat hasilnya ayam yang digoreng tadi tidak akan melekat pada kuali.
Ikan Air Tawar
Ikan puyu, keli dan haruan yang dimasak akan berbau hanyir jika tidak kena dengan cara membersihnya. Untuk hilangkan baunya, ambil secekak daun pisang, ramas bersama ikan-ikan tersebut dan bilas bersih-bersih. Cara ini akan dapat membersihkan dan menghilangkan bau hanyir ikan darat tersebut selain menambahkan kelazatannya. Kalau tak orang tak makan atas daun pisangkan? Nasi lemak terasa lebih enak dan harum apabila dimakan di atas daun pisang.
|