Contoh Penggunaan Peribahasa dan Kiasan Dalam Menulis Karangan
Apakah maksud peribahasa? Peribahasa bermaksud ayat atau kelompok yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa meliputi simpulan bahasa, pepatah, perumpamaan, perbilangan dan bidalan.
Penggunaan peribahasa dalam karangan dapat meningkatkan lagi keyakinan pemeriksa jawapan terhadap tahap penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Kebiasaannya, peribahasa boleh wujud dalam ayat tunggal atau digabungkan menjadi satu perkataan baru.
Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Peribahasa ini amat bertepatan sekali dengan usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi memajukan industri batik di negara ini.
Ayat di bawah ini pula dicipta berdasarkan peribahasa tepuk dada, tanyalah selera. Ayat ini menunjukkan kemarahan penulis terhadap suatu isu negatif yang sedang dibincangkannya:
Tepuk dada, lihatlah punca! Lihatlah punca segala penyakit berbahaya ini. Puncanya adalah kerana amalan hidup masyarakat.
Peribahasa juga boleh disesuaikan pada akhir ayat seperti berikut:
Adakah para pengiklan juga meminggirkan soal masyarakat yang berpegang pada adat resam yang perlu diikut serta budaya mulia yang perlu dijunjung, seperti kata pepatah "adat dijunjung budaya dikelek"?
Jika terdapat kekeliruan tentang sesuatu barangan, Persatuan Pengguna perlulah dirujuk bak kata pepatah, "alah membeli menang memakai".
|