Panduan Uji Bakat Akademi Fantasia
Panduan Uji Bakat Akademi Fantasia
Bersempena dengan Akademi Fantasia Ke-7
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Bersempena dengan Akademi Fantasia Ke-7
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Sejak akhir-akhir ini program realiti semakin mendapat tempat di rancangan-rancangan televisyen di Malaysia. Saya meneliti rancangan uji bakat Akademi Fantasia 7 yang diadakan di seluruh Malaysia, seperti di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak. Berdasarkan uji bakat yang diadakan untuk Akademi Fantasia 7, saya mendapat beberapa idea mengenai cara pemilihan peserta-peserta finalist yang layak untuk masuk ke Akademi Fantasia 7. Di sini, ingin saya sertakan tips atau petua yang mungkin dapat membantu para pengunjung laman blog Duke Amiene Rev yang berminat untuk menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia Ke-7 pada tahun ini, agar berjaya masuk ke Akademi Fantasia 7.
Barangkali ramai yang berasa hairan kenapa ada penyanyi yang suaranya sedap tetapi masih tidak terpilih sebagai peserta finalist Akademi Fantasia Ke-7? Bagaimana caranya untuk mudah memenangi hati para juri untuk terpilih sebagai peserta Akademi Fantasia 7? Di sini saya sediakan beberapa panduan yang mungkin boleh membantu anda untuk menjadi salah seorang peserta finalist Akademi Fantasia Ke-7. Semoga anda berjaya menjadi peserta AF7.
1. Juri
Juri merupakan orang yang menentukan sama ada anda layak menjadi peserta finalist Akademi Fantasia 7. Pastikan anda tahu siapa juri anda. Kalau boleh lakukan sedikit kajian tentang orang yang bagaimanakah yang disukai oleh juri anda. Apakah perkara-perkara yang berkaitan dengan sikap manusia, gaya percakapan yang tidak disukai oleh juri anda? Apakah kegemaran juri anda? Pastikan anda tidak melakukan apa yang juri anda tidak suka semasa sesi uji bakat Akademi Fantasia berlangsung.
2. Penampilan
Penampilan anda mestilah tidak menjelekkan mata juri yang memandang. Sentiasa senyum dan yakin adalah kunci utama untuk anda terpilih sebagai peserta finalist Akademi Fantasia. Juri suka anda, juri mungkin akan bagi isyarat hijau kepada anda. Juri tidak suka anda, selain wajah yang merah menahan marah, anda juga mungkin akan mendapat isyarat merah daripada juri.
Pastikan anda tidak berwajah kusam. Pastikan juga anda tidak kelihatan terlalu berkeyakinan atau berlagak. Jadilah selamba tetapi mesra. Pastikan pemikiran anda sentiasa positif. Semangat merupakan satu perkara yang sangat penting. Anda mesti menunjukkan minat untuk menjadi seorang peserta Akademi Fantasia, untuk bergelar penghibur pada masa akan datang. Jika anda datang untuk suka-suka, lupakan Akademi Fantasia, kerana anda cuma akan menghabiskan duit SMS para penyokong dan belanjawan ASTRO.
Tampilkan diri anda sebagai seorang penghibur yang berwawasan. Fesyen pakaian tidak semestinya membantu anda untuk lulus. Jangan keterlaluan sehingga juri rasa tercabar dengan pemakaian anda. Belum jadi superstar sudah berpakaian seperti superstar. Rekaan fesyen pakaikan yang hebat tetapi wajah yang tidak mesra tetap tidak memberi apa-apa makna.
3. Sikap
Jadilah seorang yang mudah mematuhi arahan. Pastikan anda memberi perhatian apabila juri bercakap. Senyum sentiasa, tapi jangan senyum yang dibuat-buat. Senyumlah secara natural. Pastikan fikiran anda terbuka untuk menerima sebarang komen atau provokasi daripada juri di depan mata. Buat apa yang juri minta anda buat. Lakukan dengan rasa seronok. Kelakar dan pandai bergurau secara bertempat mungkin memberikan satu bonus untuk anda. Namun jangan keterlaluan atau buat apa yang tidak disuruh.
Anda juga seharusnya menghafal dan berlatih menyanyi beberapa buah lagu yang telah ditetapkan. Ini membantu memberi pemikiran positif kepada juri bahawa anda sememangnya berminat dan telah melakukan persediaan untuk uji bakat. Apabila juri melihat anda mampu menghafal lirik lagu dan menyanyikan beberapa buah lagu, anda ada peluang untuk lulus.
Saya melihat, kebanyakan peserta yang terpilih diminta menyanyikan beberapa buah lagu (2-3 buah lagu) sebelum diberikan isyarat hijau.
4. Vokal
Demam, atau sakit bukan alasan yang wajar untuk memancing belas kasihan juri. Melainkan anda sudah berjaya sebagai finalist Akademi Fantasia. Ini kerana juri Akademi Fantasia mahukan bukti bahawa anda boleh menyanyi dan menjadi penghibur yang baik. Pilihlah lagu yang sesuai dengan vokal anda.
Sebagai seorang manusia, anda mungkin ada kelemahan untuk mencapai not-not tertentu. Jangan nyanyikan lagu yang boleh menunjukkan kelemahan vokal anda. Seorang penyanyi harus tahu kekuatan dan kelemahan diri. Lagi pun anda masuk ke Akademi Fantasia 7 adalah sebagai pelajar. Anda akan mendapat tunjuk ajar pada kemudian hari.
Jadi, semasa uji bakat, pastikan anda banyak menyanyi dan merakamkan suara nyanyian anda, bagi setiap lagu-lagu yang telah ditetapkan untuk Uji Bakat Akademi Fantasia Ke-7. Cuba dengar kembali dan singkirkan mana-mana lagu yang anda rasakan tidak sesuai dengan vokal anda. Pastikan anda bersedia dengan beberapa buah lagu sampingan (yang telah ditetapkan untuk uji bakat), kerana juri mungkin meminta anda menyanyikan beberapa buah lagu. Ya, ini petanda baik.
Jika anda benar-benar bersemangat, setahun atau dua tahun sebelum anda mahu menyertai uji bakat Akademi Fantasia Ke-7, masuklah ke kelas vokal dan kursus untuk memperbaiki imej dan penampilan anda. Wah, terlebih sudah!
5. Persembahan
Persembahan mestilah datang daripada diri anda sendiri. Selain vokal yang menarik, persembahan merupakan kunci utama untuk anda terpilih sebagai peserta Akademi Fantasia. Pastikan anda ada eye-contact, sentiasa memandang ke arah juri semasa menyanyi. Jangan syok sendiri. Kebanyakan peserta yang gagal adalah peserta yang menyanyi secara syok sendiri. Tidak ada eye-contact dengan juri semasa menyanyi.
Tangan anda perlu memainkan peranan. Saya lihat kebanyakan peserta yang terpilih pandai memainkan pergerakan tangan mereka untuk menyampaikan mesej sesuatu lagu. Jangan jadi kaku. Bergeraklah secara natural. Jangan lakukan langkah sumbang.
Anggap juri sebagai orang yang hendak anda hiburkan. Anggap juri sebagai penyokong setia yang amat anda hargai. Anggap juri sebagai seseorang yang ingin mengetahui sesuatu daripada anda.
Jangan buat sesuatu yang pelik atau tingkah laku yang membuatkan juri memandang anda seperti rusa masuk kampung. Juri mungkin berasa gerun untuk meluluskan anda.
6. Penghayatan
Anda mesti menghayati lagu yang dinyanyikan. Namun jangan keterlaluan sehingga anda lupa dunia, atau lupa bahawa juri sedang memerhatikan anda.
Mimik muka hendaklah sentiasa berkeyakinan semasa menyanyi. Saya lihat kebanyakan peserta yang terpilih mempunyai penghayatan semasa menyanyi. Mereka kelihatan seronok apabila menyanyikan lagu. Mereka cuba menyampaikan isi kandungan lirik lagu kepada juri. Mereka terus memandang juri dan menyampaikan mesej menerusi air muka dan sinar mata mereka kepada juri.
Tangan dan gerak badan mereka mengalun secara semula jadi mengikut rentak lagu yang mereka nyanyikan. Malah saya sebagai penonton juga merasa terhibur, seolah-olah ada aura pada peserta yang terpilih.
Ya, daya tarikan akan muncul secara semula jadi apabila anda sudah mampu menghayati sesuatu lagu, lirik lagu dan irama lagu. Ingat lagi bagaimana Hetty Koes Endang memberi tunjuk ajar tentang rentak lagu? Ya. Tap! Tap! Tap! Cha! Cha! Cha! Dan sebagainya. Konsert Akademi Fantasia 6 sedang ditayangkan, dan saya sarankan untuk para pengunjung blog Duke Amiene Rev yang berminat, untuk cuba melihat kembali cara menghayati rentak lagu yang pernah diajarkan oleh Ibu Hetty.
7. Ingat lirik
Pastikan anda tidak lupa lirik lagu. Salah satu ciri-ciri penting bagi seorang peserta Akademi Fantasia ialah ingat lirik lagu. Namun jika anda terlupa, redah saja. Jika nasib anda baik, anda akan terpilih. Paling penting, anda sentiasa menunjukkan minat dan semangat. Tidak syok sendiri dan menghargai kewujudan juri di depan mata anda.
Begitulah serba sedikit Panduan Uji Bakat Akademi Fantasia yang dapat saya berikan. Semoga panduan ini boleh memberi idea terhadap anda yang berminat untuk menjadi calon Akademi Fantasia Ke-7 atau yang seterusnya.
NOTA: Amiene Rev memiliki pengalaman beraksi di atas pentas, sebagai pelakon pentas, penulis skrip sketsa untuk lakonan pentas, pengarah runut bunyi untuk persembahan pentas dan pengarah sketsa lakonan pentas di peringkat sekolah dan universiti (minggu orientasi dan persembahan tugasan). Lakonan beliau setakat ini Alhamdulillah, sentiasa mendapat tepukan dan maklum balas positif daripada para hadirin dan dianggap sebagai seorang yang multi-talent. Malah ada dialog-dialog ciptaan beliau menjadi sebutan dan ikutan para hadirin, yang diulang-ulang dan dilakonkan semula oleh orang-orang yang pernah menonton lakonan beliau.
|