Penawar Pening Kepala Sakit Kepala
Mengubati Sakit Kepala dan Menghilangkan Pening Kepala
Dengan Menggunakan Rahsia Bawang Putih, Bawang Merah dan Daun Lemuni
Kata orang-orang tua, kalau kita sakit kepala, rasa pening-pening, ambillah sebiji bawang putih yang kecil. Hiris nipis-nipis dan tampal pada bahagian kiri dan kanan pelipis. Biarkan semalaman. Gunanya untuk menyerap bisa pada yang menyebabkan kepala kita sakit.
Kita tak perlu tanggalkan hirisan bawang itu tadi, sebab ia akan kering dan tanggal dengan sendirinya. Pelipis kita akan bertukar warna menjadi merah kehitaman dan mengelupas dalam masa dua atau tiga hari.
Selain bawang putih, ada juga satu cara yang lain untuk menghilangkan sakit kepala, iaitu dengan menggunakan ramuan bawang putih dan bawang merah. Sebiji bawang merah besar dan lima biji bawang putih dihancurkan sehingga lumat dan dicampurkan dengan satu sudu besar madu. Kemudian sapukan pada kulit kepala dan urut dengan lembut. Balut kepala dengan tuala suam. Biarkan semalaman dan pening kepala akan hilang.
Anda tidak suka dengan kedua-dua petua menghilangkan sakit kepala dan pening kepala seperti di atas? Baiklah, apa kata kita gunakan daun lemuni. Daun lemuni ni sebenarnya adalah ramuan untuk membuat nasi kerabu hitam. Air perahannya merupakan pewarna asli yang digunakan untuk memberi warna biru kepada nasi kerabu.
Selain itu daun lemuni ini juga boleh digunakan untuk membunuh jentik-jentik, menggalakkan pertumbuhan janggut bagi sesiapa yang inginkan janggut, dan mengubati penyakit mata berair. Saya akan ceritakan dengan lebih lanjut khasiat dan rahsia daun lemuni ini dalam entri yang akan datang.
Berbalik kepada topik asal entri kali ini, daun lemuni merupakan kaedah termudah dalam merawat sakit kepala atau pening kepala. Ambil daun lemuni berserta batangnya yang masih lembut dalam berat lingkungan satu kilogram. Masukkan ke dalam sarung bantal untuk kegunaan mengalas kepala. Pesakit kepala perlu menggunakan bantal berisi daun dan batang lemuni ini semasa tidur selama 2-3 hari. Sakit dan pening kepala akan hilang, kepala akan terasa ringan.
|