BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Februari 17, 2009

Amiene Rev dan Alam Sekitar

Semalam saya memandu kereta sporty hitam, melayari kabus pada waktu malam hari. Saya terfikir, bagaimana mahu membawa kereta ini ke seberang laut. Saya tidak pernah terlintas untuk memiliki kereta, kerana saya kurang suka dengan asap kenderaan yang mencemarkan udara. Kelakar? Saya tidak pasti berapa orang yang akan ketawa apabila membaca ayat yang ditaip tadi.


Tiba-tiba malam tadi, ibu saya memberitahu saya sesuatu. Kata ibu, semasa saya masih belajar di universiti, dia mahu belikan saya sebuah kereta. Katanya lagi, saya tidak mahu. Katanya lagi, saya mahu berjalan kaki ke kelas kuliah. Katanya lagi, saya tetap tidak mahu dibelikan kereta walau apa cara sekali pun; saya lebih suka berjalan kaki ke kelas kuliah. Untuk kesihatan, itu adalah perkataan saya kepada ibu, kata ibu saya.

Saya sudah lupa. Saya lupa bilakah masanya saya mengucapkan kata-kata itu. Namun, seingat saya, sememangnya saya tidak mahu memakai apa-apa kenderaan. Mengikut kajian yang pernah dijalankan oleh sekumpulan pengkaji di sebuah fakulti, seorang pelajar, sekiranya dia berjalan kaki ke kelas kuliah 5 kali seminggu, maka apabila dia tamat pengajian, jumlah kilometer yang telah dilaluinya adalah mencecah jutaan kilometer.

Maka saya adalah seorang mahasiswa (kini alumni) yang pernah berjalan berjuta-juta kilometer. Ke bandar, ke pasar raya, ke tepian pantai dan ke mana-mana pun dengan menggunakan kaki. Bas dan teksi adalah alternatif kedua. Tumpang kawan atau ditumpang kawan adalah alternatif yang jarang-jarang sekali.

Zaman itu sudah berlalu. Kehidupan sebagai seorang mahasiswa sudah menjadi satu kenangan, dan perkataan mahasiswa itu juga sudah menjadi satu nostalgia. Saya bersyukur kerana dapat juga merangkul anugerah dan hadiah khas sebelum menamatkan pengajian. Saya telah buktikan bahawa apa yang telah saya lalui selama bergelar mahasiswa telah memberikan hasil yang setimpal.

Kini, setiap kali saya memandu kereta, saya risaukan tentang pencemaran udara. Mungkin, ada orang memberi komen sebegini, "Apalah Amiene ni, sudah ada kereta tetapi masih berfikir tentang asap kereta. Sedangkan kereta itu yang mempermudahkan urusanmu untuk perjalanan berjarak jauh."

Betul juga. Barang-barang mudah diangkut. Tidak perlu melalui panas terik matahari seperti dulu. Kadangkala, kita tidak pernah bersyukur dengan apa yang telah kita dapat. Kadangkala, mengenangkan hal ini membuatkan saya berada dalam dilema.

Dulu semasa saya masih belajar, saya tidak pernah meminta apa-apa pun tentang kemudahan pengangkutan. Tetapi, saya sering terfikir, jika saya ada kenderaan, maka ingin saya menumpang beberapa orang pelajar universiti yang saya temui di jalanan untuk ke kelas kuliah atau ke masjid. Namun, saya tidak pernah terlintas untuk membeli atau meminta dibelikan kereta.

Dan saya masih ingat, semasa hari konvokesyen dahulu, saya masih memikul beg buruk yang menemani saya sepanjang saya ke kelas kuliah. Saya ditegur oleh kakanda saya kerana membawa beg buruk itu. Namun saya bertegas, beg buruk itu telah saya gunakan sekian lama sepanjang saya ke kelas kuliah, dan saya mahu membawa beg itu bersama-sama pada hari graduasi saya. Kini selepas sekian lama berlalu, beg itu sudah nazak dan mudah ditumbuhi spora. Usia beg itu sudah lanjut. Dan beg itu berpeluang untuk bersama-sama saya ke hari pengijazahan saya.

Begitu juga dengan dompet buruk yang saya kutip dari tong sampah beberapa tahun lalu. Dompet itu asalnya kepunyaan kawan saya, seorang juara catur peringkat negeri Kelantan. Pada akhir semester satu, dia membuang dompet itu ke tong sampah. Oleh kerana pada ketika itu dompet saya sudah koyak (dan sememangnya sudah koyak semasa saya pertama kali memilikinya), maka saya mengambil dompet terbuang itu untuk digunakan. Ketika itu, dompet itu masih berkeadaan baik.

Saya melalui zaman sebagai seorang pelajar dengan mengabaikan kemewahan dan keseronokan yang sering dirasai oleh pelajar-pelajar sebaya saya pada ketika itu. Jiwa saya terlalu dekat dengan pemikiran dan falsafah dalam pelbagai disiplin ilmu. Sama ada kesusasteraan, sukan, pendidikan, psikologi, teknologi dan lain-lain lagi bidang ilmu, sehingga saya banyak membataskan diri saya terhadap perkara-perkara tertentu.

Setiap kali, saya merindui titisan air terjun, daun-daun yang menghijau, flora yang menyebarkan semerbak bauan herba, dan binatang-binatang liar yang pada suatu ketika dahulu menjadi teman permainan saya. Bagi saya, suasana hutan dan alam semula jadi yang masih tidak tercemar begitu intim, mesra dan manja dengan saya.

Saya menanti saat itu, supaya saya dapat bersatu semula dengan alam. Saya menunggu, dan saya berdoa supaya alam semula jadi di dunia ini akan kekal terpelihara.