BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Februari 08, 2009

Siapakah Juara Raja Lawak Astro Musim Ke-3?

Ulasan Terhadap Para Peserta Raja Lawak Astro Musim Ketiga
dan Sukatan-Sukatan Pelajaran Cadangan untuk Akademi Raja Lawak Astro
Tulisan dan Cadangan oleh Amiene Rev (C) 2009

Saya berkesempatan melihat siaran ulangan Raja Lawak Astro Musim Ketiga. Berdasarkan prestasi terkini para peserta Raja Lawak Musim ke-3, saya menyenaraikan peserta-peserta mengikut kegemaran atau favourite saya. Berikut adalah kedudukan peserta-peserta Raja Lawak Musim Ketiga Pilihan Amiene Rev berserta dengan ulasan-ulasan peribadi. Cadangan-cadangan saya mengenai subjek-subjek yang mungkin bermanfaat untuk para peserta Raja Lawak disertakan di dalam artikel ini, selepas ulasan-ulasan saya terhadap para peserta Raja Lawak Musim Ketiga, di bawah ini. Skala permarkahan yang saya berikan untuk setiap peserta adalah berdasarkan gred berikut:

A: Baik-Bagus
B: Biasa
C: Kurang Memuaskan

Skala adalah daripada C hingga A. Ini kerana saya percaya finalist Raja Lawak sudah ditapis daripada beribu-ribu orang peserta, maka sekiranya ada gred D, E, F atau Gagal, maka rancangan realiti Raja Lawak Astro adalah sebuah rancangan tidak ada standard.

LNJ merupakan salah satu kumpulan kegemaran saya. Saya suka LNJ sebab sering menyelitkan moral; teguran dan peringatan secara halus kepada masyarakat umum dalam lawak mereka. Saya tertarik dengan bakat anggota kumpulan LNJ yang berkepala botak tu. Tidak silap saya, namanya Wan Sharizon bin Rahim atau Jon. Saya rasa dia sangat berbakat dalam bidang lakonan. Kekuatan lawak LNJ terletak pada kebolehan Lan dan Jon membahagi-bahagikan peranan. Kebiasaannya, berdasarkan strategi lawak LNJ, Jon akan mengenakan Lan. Saya jangka LNJ mampu ke pusingan akhir dalam Pertandingan Raja Lawak Astro Musim Ke-3 ini.
Lakonan: A, Skrip: B, Dialog: B, Mesej: A, Tema: A, Lawak: A, Minat: A, Kreativiti: B
Komen Amiene Rev: Lakonan yang mantap dan versatil, namun perlu tingkatkan kreativiti supaya dapat bersaing dengan lebih hebat ke minggu terakhir.

Sepah dan LNJ sama-sama merupakan kumpulan kegemaran saya. Sepah dianggotai oleh Shahmira bin Muhamad, Mohd Nadzri bin Zainal Abidin dan Mohd Noor bin Murad. Lakonan mereka sentiasa bersahaja dan saya rasa kumpulan ini mempunyai potensi untuk mengendali rancangan berbentuk sitkom seperti kumpulan Senario. Saya tertarik dengan strategi Sepah iaitu memaparkan dua orang watak pada permulaan persembahan pertandingan Raja Lawak dan kemudian ditambah dengan satu watak ketiga pada pertengahan atau akhir persembahan pertandingan Raja Lawak. Hal ini membantu penonton fokus terhadap persembahan mereka. Strategi seperti ini wajar diteruskan dan saya rasa ia membantu menjadikan persembahan Sepah semakin tersusun. Saya berharap Sepah akan menjaga penggunaan perkataan atau ayat dialog yang ingin digunakan dalam persembahan mereka pada masa akan datang kerana kadangkala saya agak tersinggung mendengar dialog-dialog atau perkataan kasar yang mereka gunakan. Saya rasa Sepah mampu mara ke peringkat akhir Pertandingan Raja Lawak Astro Musim Ke-3 ini. Adakah Sepah Raja Lawak berkumpulan yang pertama akan menjuarai Pertandingan Raja Lawak Musim Ke-3 ini?
Lakonan: A, Skrip: A, Dialog: A, Mesej: C, Tema: A, Lawak: A, Minat: A, Kreativiti: B
Komen Amiene Rev: Sepah merupakan calon peserta pusingan akhir tetapi perlu berhati-hati dalam pemilihan perkataan dan pengunaan bahasa.

Raja Lawak Jihan atau Raja Lawak Chot? Jika ditakdirkan cuma tiga peserta sahaja yang layak masuk ke peringkat akhir, maka saya tidak pasti sama ada Jihan atau Chot yang mungkin berjaya masuk ke Pertandingan Akhir Raja Lawak Astro Musim Ketiga. Saya rasa Jihan boleh menjadi sumber inspirasi kaum hawa yang ingin menyertai Rancangan Realiti Raja Lawak Astro pada musim-musim yang akan datang. Ini kerana Jihan memiliki potensi yang tidak dapat diduga sebagai seorang bakal Raja Lawak Astro wanita yang pertama Saya juga berpendapat, Shamsul Ghau-ghau memiliki bakat untuk mengenalpasti kebolehan seseorang pelawak. Ini jelas dilihat menerusi kebangkitan lawak dan persembahan Jihan dalam setiap pertandingan Raja Lawak Astro. Tidak mustahil untuk melihat tajuk Jihan Raja Lawak wanita yang pertama tersiar di media pada suatu hari nanti. Saya berharap untuk melihat Jihan masuk ke pusingan akhir, tetapi saya juga tidak mahu Chot tersingkir.

Jihan umpama pheonix yang bangkit dari abu. Selepas melalui dua minggu dengan persembahan yang hambar, Jihan mula membuktikan semangatnya pada minggu ketiga. Saya berpendapat Jihan memiliki potensi sebagai penulis skrip. Hal ini semakin jelas dilihat menerusi persembahan Jihan dalam musim terbaru. Kebolehan merancang skrip persembahan untuk dipamerkan kepada penonton merupakan satu bakat istimewa bagi seorang pelawak. Menyaksikan persembahan Jihan mampu membuatkan hati saya berasa terharu. Barangkali keazaman Jihan seperti yang pernah dinyatakannya dalam minggu kedua yang bertemakan Azam Tahun Baru, iaitu untuk menjadi Ratu Lawak Astro yang pertama, benar-benar sedang direalisasikan oleh Jihan. Jihan tidak bercakap kosong. Andai kata dia tersingkir, maka dia akan tersingkir sebagai seorang ratu lawak yang tewas. Dia akan tersingkir dengan bermaruah. Dia tetap Jihan Raja Lawak. Pun begitu, saya tidak berharap untuk melihat Jihan tersingkir. Saya berpendapat Sabri Yunus merupakan seorang guru yang baik untuk Jihan.
Lakonan: B, Skrip: A, Dialog: A, Mesej: C, Tema: A, Lawak: B, Minat: A, Kreativiti: B
Komen Amiene Rev: Jihan memiliki potensi terpendam dan daya usaha yang tinggi. Penulis skrip yang berbakat. Jika saya seorang penerbit drama, saya mungkin berminat untuk menerima skrip Jihan.

Chot menarik perhatian saya dengan lawak mereka pada minggu ketiga. Dua peserta paling muda dalam Rancangan Realiti Raja Lawak Astro Musim Ke-3 ini ini sebenarnya memiliki potensi dalam dunia lawak biarpun lawak-lawak mereka selalunya sesuai untuk para penonton sebaya usia mereka. Saya biasa melihat lawak-lawak seakan-akan lawak-lawak yang dibuat oleh kumpulan Chot semasa belajar di universiti dahulu. Pendek kata, lawak mereka lebih kepada lawak kebudak-budakan. Namun, jangan dipandang rendah akan kebolehan mereka. Hazmeer dan Shaiful yang menjadi tunggak kumpulan Chot mampu bekerjasama dengan amat baik. Kombinasi mereka tidak kalah dengan kumpulan Sepah dan LNJ. Boleh dikatakan kesemua kumpulan lawak dalam Raja Lawak Astro Musim Ke-3 masing-masing memiliki kesepakatan dan semangat berpasukan yang baik. Tahniah kepada pihak Raja Lawak Astro kerana berjaya memilih pasukan-pasukan Raja Lawak yang cukup baik dan bersemangat kekitaan. Lawak Chot kadangkala menjadi dan kadangkala bermusim.
Lakonan: B, Skrip: B, Dialog: A, Mesej: C, Tema: A, Lawak: A, Minat: A, Kreativiti: B
Komen Amiene Rev: Chot kelihatan terlalu selesa di atas pentas sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Chot perlu lebih peka dengan suasana pertandingan.


Amir, jejaka berbadan kerdil yang berasal dari Wakaf Che Yeh, Kelantan ini sebenarnya memiliki potensi untuk maju sebagai salah satu peserta akhir rancangan Raja Lawak jika dia dapat mempamerkan persembahan yang menarik pada setiap minggu. Namun, apa yang saya dapati, Amir memiliki masalah rendah diri yang agak ketara. Cuba bandingkan persembahan dan gelagat Amir pada minggu pertama dengan minggu keenam. Menyaksikan persembahan Amir, mampu membuatkan saya rasa hendak menangis. Saya dapat memahami kesedihan Zaibo dan Fauziah Nawi apabila melihat persembahan Amir yang semakin merosot. Amir juga kelihatan seperti mahu menangis semasa membuat persembahan dalam minggu ke-6.

Amir mungkin perlu dipertemukan dengan Otai-Otai Lawak seperti Imuda dan Sathiya bagi mengenalpasti lawak-lawak yang mampu disesuaikan dengan karektornya. Pada pandangan saya, Amir masih lemah dari segi menyusun dialog. Beliau juga tidak dapat menyusun skrip lawak dengan baik. Oleh itu satu-satu faktor yang dapat menyelamatkan Amir pada ketika ini ialah gelagat semula jadinya dan struktur fizikalnya.

Menyaksikan persembahan Amir pada minggu ke-6, seolah-olah sedang menyaksikan rancangan Raja Sayu Astro. Saya berharap beberapa hari sebelum pertandingan Raja Lawak Astro Minggu Ke-7 dimulakan, terdapat ilmu khusus seperti Menulis Skrip untuk Sketsa Raja Lawak berserta dengan program motivasi untuk menyembuhkan kembali luka mental yang mungkin dialami oleh Amir. Semoga Lawak Amir sebagai bakal Raja Lawak akan menjadi. Kadangkala saya rasa kritikan yang diberikan oleh Shamsul Ghau Ghau terlalu berat apabila Shamsul Ghau Ghau pernah menyentuh mengenai soal fizikal Amir. Namun di sebalik kritikan yang berat itu, ada juga kebenarannya. Ekspresi garang wajah Shamsul Ghau Ghau sambil memberi kritikan kadangkala kelihatan amat tajam buat Amir. Namun, Amir sebagai peserta Raja Lawak patut memiliki kebolehan untuk menghadapi kritikan dan tidak terus berasa bersalah atau rendah diri dengan kritikan yang diberikan. Amir seharusnya cuba membuktikan bahawa dia layak sebaris dengan finalist Raja Lawak yang lain. Cuma Amir agak kekurangan ilmu dan kemahiran-kemahiran tertentu untuk membantunya melonjak ke hadapan sebagai salah seorang finalist Raja Lawak yang berjaya dalam setiap persembahan di pertandingan Raja Lawak.

Amir mungkin terbeban antara rasa bersalah terhadap para penyokongnya menyebabkan dia bertukar daripada seorang pelawak, kepada seorang penyedih. Semoga Amir dapat mencipta keajaiban pada minggu hadapan.
Lakonan: B, Skrip: C, Dialog: C, Mesej: B, Tema: A, Lawak: C, Minat: C, Kreativiti: B
Komen Amiene Rev: Amir belum menunjukkan potensi sepenuhnya dan mengalami konflik dalaman. Namun saya percaya, berdasarkan prestasi Amir pada minggu pertama, Amir masih belum pulih ke standard asalnya.

Am merupakan satu lagi peserta Raja Lawak Astro musim ketiga yang menggunakan teknik public speaking. Saya tidak dapat menonton lawak Am pada minggu ke-6, maka kurang adil untuk saya memberi ulasan panjang lebar untuk beliau pada minggu ke-6. Am sering menggunakan strategi meniru gaya dan suara satu-satu watak. Antara watak yang begitu melekat dengan beliau ialah suara salah satu watak di dalam animasi Spongebob. Kebolehan unik Am ialah membuat lawak secara spontan, iaitu dengan memanfaatkan keadaan persekitaran.

Saya anggap kesilapan ketara yang dilakukan oleh Am dalam mempersembahkan lawak, boleh dilihat dengan jelas pada rancangan Raja Lawak minggu ke-5. Ketika itu, lawak Am didapati agak menjengkelkan apabila dia cenderung menggunakan subjek jijik seperti kentut dan sebagainya. Hal ini berkemungkinan menjadi faktor undian terhadap Am tiba-tiba merosot dengan agak teruk sehingga dia dipanggil sebagai antara 3 peserta Raja Lawak yang mendapat undian tercorot.
Lakonan: B, Skrip: B, Dialog: B, Mesej: C, Tema: A, Lawak: B, Minat: B, Kreativiti: B
Komen Amiene Rev: Am perlu paparkan sesuatu yang lebih luar biasa! Ciptakan kelainan dalam persembahan. Lawak Am masih dibayangi Nabil.

Jenis-jenis Lawak Yang Perlu Dielakkan
Terdapat beberapa jenis lawak yang boleh menjatuhkan rating atau undian penonton terhadap peserta Raja Lawak. Pertama, lawak loyar buruk. Lawak seperti ini seolah-olah memperbodohkan penonton. Peserta Raja Lawak solo sering terperangkap dengan lawak seperti ini. Yann didapati melakukan kekerapan menggunakan lawak loyar buruk sehingga menyebabkan dia tersingkir pada minggu ke-6.

Kedua, lawak jijik atau apa yang diistilahkan oleh Fauziah Nawi sebagai lawak kentut atau lawak jamban. Tidak semua orang suka lawak seperti ini yang kadangkala dianggap kasar, jijik dan memualkan serta memalukan. Lawak seperti ini boleh menghilangkan ramai penyokong atau peminat.

Ketiga, lawak lucah. Lawak seperti ini sering dilakukan oleh kumpulan Sepah. Barangkali, inilah yang menyebabkan kedudukan Sepah sekejap naik dan sekejap turun dalam carta undian terbanyak.

Keempat, lawak meniru gaya perempuan. Tidak semua orang orang selesa melihat seorang lelaki menjadi wanita dan sebaliknya. Terutama apabila seorang lelaki yang menjadi perempuan, membuatkan seolah-olah kaum wanita ini terlalu lemah, terlalu manja, terlalu lembab atau sebagainya. Ini boleh mendatangkan rasa tidak senang di kalangan wanita terhadap lelaki yang melakonkan watak seorang wanita itu. Begitu juga sebaliknya.

Kelima, lawak mempersendakan fizikal. Kumpulan Chot didapati sering mengulangi lawak seperti ini. Telinga seperti kuali, hidung besar dan sebagainya. Tidak semua orang suka dengan lawak mempersendakan fizikal. Kadangkala ia dianggap kurang sopan.

Keenam, lawak yang sama secara berterusan. Contohnya lawak teka-teki. Lawak teka-teki amat berisiko. Pemilihan subjek untuk dijadikan teka-teki boleh menentukan kualiti persembahan lawak yang dibuat. Adakah teka-teki itu sudah boleh diduga, atau teka-teki itu mempunyai makna tersirat, atau teka-teki itu sekadar lawak memperbodoh-bodohkan orang. Dalam erti kata lain, lawak teka-teki boleh menjadi lawak memperbodohkan penonton jika tidak kena cara penyampaiannya. Hal ini boleh berlaku dalam lawak yang disampaikan secara ucapan.

Ketujuh, lawak slapstick atau lawak bodoh. Lawak seperti ini bergantung kepada tingkah laku atau gelagat pelik, kasar atau mencuit hati oleh seseorang pelawak yang dibuat-buat supaya mampu membuatkan orang ketawa. Pendek kata, lawak badut. Lawak seperti ini jika disalahgunakan, boleh menjadikan seseorang pelawak itu dipandang rendah. Ia menunjukkan seseorang pelawak itu kurang berilmu untuk mencipta lawak-lawak yang bertahap tinggi; mempunyai mesej yang bermakna untuk disampaikan. Kekerapan seseorang pelawak melakukan aksi lawak slapstick atau lawak badut mungkin boleh menyebabkan dia menjadi subjek bahan lawak kepada orang lain. Kita biasa mendengar haiwan-haiwan seperti kambing dijadikan bahan lawak kerana suaranya, monyet kerana gelagatnya, kucing kerana kecomelannya dan itik kerana cara berjalannya. Begitu juga dengan lawak badut. Pelawak yang sering melakukan lawak badut, akhirnya akan menjadi bahan lawak untuk pelawak-pelawak yang lain. Mereka akan diingati, tetapi bukan kerana dipandang tinggi.

Kelapan, lawak syok sendiri. Kadangkala tidak ada apa yang lawak pun. Cuma aksi-aksi bodoh atau susunan perkataan yang kelihatan pelik atau lawak yang sudah basi. Apabila seseorang pelawak melakukan lawak syok sendiri secara kerap, ini boleh mendatangkan rasa gerun kepada penonton terhadap pelawak tersebut. Penonton akan memilih untuk melupuskan pelawak seperti ini supaya mimpi ngeri tidak akan berulang lagi.

Kesembilan, lawak cukup makan atau lawak yang dibuat-buat. Mungkin dari sudut pandangan pelawak, apa yang diucapkannya itu adalah sesuatu yang kelakar, sedangkan ia tidak kelakar. Adakalanya lawak yang dibuat tidak kena dengan apa yang cuba disampaikan. Pelawak digalakkan menulis skrip atau teks bagi persembahan mereka supaya mereka dapat membaca atau menelitinya semula bagi menentukan sama ada lawak itu benar-benar menjadi atau pun hambar.

Kesimpulannya, saya berpendapat peserta-peserta yang masih tinggal di Rancangan Realiti Raja Lawak Musim Ke-3 ini masih mempunyai potensi untuk mara ke pusingan akhir.

Cadangan Kepada Pihak Penganjur Raja Lawak
Saya berharap agar pada masa akan datang, pihak tenaga pengajar untuk para peserta Raja Lawak Astro mengadakan sukatan pelajaran yang khusus bagi membolehkan para peserta Raja Lawak betul-betul memiliki pakej untuk menjadi seorang Raja Lawak.

Subjek: Kemahiran Menulis Skrip Untuk Sketsa Raja Lawak
Keterangan: Pelawak yang dapat merancang dan menulis skrip persembahan untuk pertandingan Raja Lawak mampu mencipta lawak yang baik. Contohnya ManBelon, beliau memiliki kebolehan untuk mewujudkan aksi-aksi lawak menerusi gerak badan tetapi tidak mampu untuk menghasilkan skrip untuk membuat persembahan lawak. Sekiranya beliau tahu cara-cara untuk menulis skrip lawak, maka beliau tentu boleh merancang persembahan yang lebih fleksibel dan versatile.

Menulis skrip untuk sketsa lawak yang bakal dipersembahkan secara tidak langsung membolehkan para peserta Raja Lawak menilai sendiri lawak-lawak dan persembahan mereka sama ada lawak tersebut benar-benar kelakar atau syok sendiri. Adakah mereka merasa kelakar semasa membaca dialog-dialog yang mereka tulis di dalam skrip? Adakah dialog-dialog mereka itu lawak atau loyar buruk yang seakan-akan cuba memperbodoh-bodohkan penonton? Apa perubahan yang mereka harus lakukan supaya skrip yang dibuat menjadi lebih?

Subjek: Teknik-teknik Mencipta Lawak Spontan
Mencipta lawak secara spontan merupakan satu kebolehan yang penting. Namun adakah lawak yang bakal dicipta itu benar-benar lawak, atau sekadar satu loyar buruk atau satu pertunjukan yang menyakitkan hati orang yang menyaksikannya. Otai-otai lawak tentu memiliki pengalaman yang luas dalam subjek ini dan mereka boleh berkongsi pengalaman dengan para peserta Raja Lawak.

Parodi dan Satira
Semasa Pengarah Terkenal Ahmad Idham tampil sebagai pengajar jemputan tempoh hari, beliau ada meminta para peserta Raja Lawak mewujudkan satu sketsa lawak berdasarkan watak di dalam filem. Di sini, para peserta Raja Lawak sebenarnya boleh mewujudkan parodi berdasarkan filem sedia ada. Contoh-contoh filem parodi yang terkenal dari Barat adalah Scary Movie, Epic Movie dan Meet The Spartan. Dengan adanya kebolehan memanipulasikan dialog-dialog, lakonan atau babak-babak dalam filem untuk dijadikan sumber lawak yang mungkin bersifat parodi atau satira mungkin membolehkan para peserta mencipta lawak yang lebih berperingkat antarabangsa.

Lakonan Sebagai Pelawak: Bahasa Badan dan Mimik Muka
Para peserta Raja Lawak didedahkan dengan kaedah-kaedah membentuk mimik muka dan gerak badan seorang pelawak. Para pelakon tempatan dan luar negara seperti Saiful Apek, Rosyam Nor, Jim Carey, dan beberapa Otai Lawak sesuai digunakan sebagai contoh untuk menyampaikan subjek ini.

Etika Sebagai Pelawak
Subjek ini lebih kepada pembentukan imej atau personaliti seorang pelawak. Menerusi subjek ini, para peserta Raja Lawak Astro didedahkan dengan prinsip, falsafah, tingkah laku dan pemikiran yang perlu ada sebagai seorang pelawak. Apakah dialog-dialog atau perkataan-perkataan yang baik dan tidak baik untuk digunakan dalam lawak? Apakah tingkah laku yang sesuai atau tidak sesuai untuk dipamerkan sebagai seorang pelawak? Saya rasa semasa dalam Raja Lawak Musim Pertama dan Kedua dahulu, perkara ini sering ditekankan oleh Otai-Otai Lawak kepada anak didik mereka.

Meningkatkan Daya Ingatan dan Fokus
Tidak ada gunanya skrip yang baik sekiranya para peserta tidak mampu mengingati skrip, dialog dan fokus terhadap persembahan mereka. Menerusi subjek ini, para peserta Raja Lawak akan diberi teknik untuk mudah mengingati skrip dan dialog, serta bagaimana caranya untuk fokus terhadap persembahan mereka.

Mengatasi Konflik Diri Dan Mental Block
Ilmu berkaitan motivasi perlu ada sebagai bekalan rohani seorang pelawak. Saya ambil contoh Amir, seorang peserta Raja Lawak yang agak ceria dan berkeyakinan pada minggu pertama, yang kemudiannya didapati menghadapi konflik diri dan merosot dalam persembahannya. Menerusi subjek ini, para pelawak diajar supaya menjadi seorang pelawak yang mampu menangani kritikan dan maklum balas penonton atau pengkritik dengan baik dan menggunakannya untuk meningkatkan lagi prestasi mereka sebagai seorang pelawak. Para peserta juga perlu pandai untuk melepaskan diri dari kekangan mental supaya mereka dapat pergi dengan lebih jauh dalam bidang lawak.

Pemikiran Kritis dan Kreatif
Teknik berfikir yang kritis dan kreatif akan menjana sketsa lawak yang bermesej, menghiburkan dan bertaraf antarabangsa. Para peseta raja lawak perlu diajar cara-cara untuk berfikir dengan kritis dan kreatif supaya mereka mampu mempengaruhi para penonton terhadap isu-isu semasa yang sedang berlaku, dan menyuarakan pandangan mereka sebagai seorang pelawak.

Hos/Pengacaraan dan Interaksi Dengan Penonton (Nama Lain: Stand Up Comedian/Public Speaking)
Salah satu cabang lawak yang tidak semua orang boleh lakukan dengan baik untuk menghiburkan para penonton. Tokoh pengacara seperti Datuk Aznil Haji Nawawi boleh dijadikan rujukan untuk para peserta.

Kemahiran Mencari Maklumat
Seorang pelawak perlu sentiasa memperkemaskan pengetahuan sedia ada mereka dengan berita-berita terkini yang boleh dijadikan lawak atau satira. Kadangkala mereka mungkin akan berada di dalam keadaan yang cukup sukar untuk mendapatkan satu-satu maklumat. Dalam keadaan ini, perbualan dengan rakan-rakan mungkin boleh membantu mereka untuk mencari maklumat baru. Semoga dengan adanya subjek ini, para peserta akan dapat mencipta lawak yang lebih bersifat global dan selaras dengan keadaan semasa.

Cadangan-cadangan di atas cuma bersifat kasar dan boleh diperbaiki oleh pihak penganjur Raja Lawak Astro. Semoga matlamat Rancangan Realiti Raja Lawak Astro untuk menghasilkan pelawak-pelawak yang berkualiti akan dapat dicapai.


NOTA: Banyak benar perkataan 'saya berharap' dalam artikel ini.