Cara Melupakan Kenangan Terhadap Seseorang
Cara Melupakan Kenangan Terhadap Seseorang
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
Ada individu bertanya kepada saya, "Bagaimanakah caranya untuk melupakan kenangan manis terhadap seseorang?" Ini pasti satu soalan yang amat menyedihkan. Kadangkala kita suka atau sayang terhadap seseorang itu, tetapi sayangnya individu tersebut sering menyakiti atau mengecewakan hati kita. Saya kurang berminat untuk membicarakan soal hati dan perasaan, tetapi apabila ada orang bertanya, maka saya akan menjawabnya dengan harapan pandangan saya ini mampu mengubati hatinya yang telah terluka.
Kenapa mesti kita melupakan seseorang itu? Bagi sesetengah orang, selagi imej atau kenangan atau ingatan terhadap seseorang yang telah mengecewakan atau menyakiti hati mereka sama ada secara langsung atau pun tidak, akan menyebabkan mereka bersedih. Justeru, seperti duri yang tertanam di dalam daging, duri itu mesti dicabut, ingatan tersebut mesti dibuang jauh-jauh. Dapatkah kita menghilangkan kenangan?
Kenangan tidak dapat dihilangkan, tetapi boleh dilupakan. Ini kerana otak manusia tidak berfungsi seratus peratus seperti cakera keras atau alat-alat penyimpan maklumat. Album gambar boleh dibakar, cakera keras boleh diformat semula menjadi kosong, tetapi ingatan manusia akan dibawa sampai ke mati. Jadi cara yang ada ialah melupakan, mengabaikan dan bukannya menghilangkan.
Seperti duri yang baru dicabut dari daging, rasa sakit atau derita untuk menghilangkan ingatan atau kenangan terhadap seseorang itu pasti ada. Kita mungkin berasa berat hati untuk melupakan seseorang kerana perasaan sayang yang masih ada. Kasih sayang yang terbentuk itu tidak semestinya hubungan cinta, tetapi mungkin juga hubungan persahabatan, hubungan persaudaraan atau hubungan antara ibu atau ayah dengan anak dan sebagainya.
Kenapa kita mesti melupakan kenangan? Ya, kerana kenangan mengandungi isi hati atau perasaan dan kerana itu ia boleh meruntuhkan pertahanan emosi seseorang. Sebab itu, ada seseorang yang tahu atau diseksa oleh kenangan menyebabkan dia menganggap kenangan, cinta atau kesetiaan terhadap perasaan ini sebagai musuh ketat. Hasilnya muncullah individu-individu yang berhati dingin, keras hati dan tidak berperasaan, yang hidupnya cuma memandang matlamat dan kejayaan.
Sibukkan Diri Dengan Aktiviti Berfaedah
Kita boleh melupakan kenangan-kenangan ini dengan menyibukkan diri kita dengan pelbagai aktiviti. Bersedialah untuk berkorban demi kejayaan. Bersedialah untuk melaksanakan tugasan dan tanggungjawab baru. Kesibukan akan menyebabkan kita perlahan-lahan dapat melupakan kenangan lalu.
Elakkan Diri Daripada Bersendirian
Perasaan sayang yang mendalam dan keterlaluan mungkin sukar untuk dibuang dalam masa yang singkat. Untuk itu, elakkan diri kita daripada bersendirian. Carilah orang untuk berbicara, dan suatu masa nanti kita akan menemui nilai-nilai tertentu dalam diri orang-orang yang bertemu dengan kita, dan nilai-nilai ini akan mengubati luka akibat kesan kekecewaan, sakit hati yang telah diperkuatkan oleh kasih sayang kita terhadap orang yang ingin kita lupai.
Elakkan Persoalan Berkaitan Orang Yang Ingin Dilupai
Ada individu, apabila kecewa dengan seseorang, dia akan pergi menjauhkan diri daripada orang ramai, daripada kawan-kawan. Dalam sesetengah kes, ini benar sekiranya tujuan dia untuk mengelakkan daripada dikaitkan dengan soalan-soalan berkaitan dengan orang yang ingin dilupai. Namun, cubalah sedaya upaya minta orang lain menghormati pendirian anda.
Pulangkan Atau Buangkan Segala Barangan Yang Mengandungi Nilai Perasaan
Kadangkala kita melupakan seseorang bukan kerana kita benci lantaran perasaan kecewa kita terhadap seseorang itu, tetapi kerana masih ada nilai perasaan dalam kenangan-kenangan tertentu yang ingin kita lupakan. Nilai-nilai inilah yang menjana perasaan sedih dan murung dalam hidup kita. Sebab itu, ada orang yang mengambil langkah pantas dengan memadamkan semua benda yang boleh mengembalikan ingatan atau kenangan terhadap orang yang ingin dilupai. Cenderamata, hadiah, surat atau foto dibuang atau dibakar. Perasaan berat hati dilawan dan ditentang demi kebahagiaan pada kemudian hari.
Perundingan Terhormat
Salah satu cara lain ialah menerusi perundingan. Namun perundingan ini perlu mempunyai objektif tertentu supaya kita tidak berasa sakit hati. Kita harus memiliki keazaman yang kuat untuk melupakan dia sebelum perundingan dan selepas perundingan dibuat. Perundingan ini mungkin mengubah rasa untuk bercinta kepada perhubungan biasa atau kawan. Dalam keadaan ini, perasaan saling menghormati akan turut membantu menawarkan perasaan kecewa atau sakit hati kita terhadap seseorang.
Bagaimana pula dalam kes cinta bertepuk sebelah tangan. Atau kita ingin berkawan atau mendekati seseorang tetapi ditolak bulat-bulat oleh orang tersebut tanpa perundingan. Setiap kali kita mahu mendekatinya, maka setiap kali itu juga dia cuba mengelakkan diri atau menjauhi diri daripada kita. Ya, ini juga soalan terbaru yang saya terima. Kepada anda yang bertanya, maka saya cadangkan anda mengikut langkah terawal yang saya sebutkan tadi. Perundingan mungkin sukar dilakukan, maka anda tidak mempunyai pilihan lain selain menghormati kehendak si dia dan meneruskan kehidupan baru anda.
Mulakan Kehidupan Lalu - Lupakan Titik Kepiluan Lalu
Bagaimana sekiranya anda rasa ada sesuatu yang perlu anda beritahu kepada dia. Salah faham tertentu, fitnah dan sebagainya? Kadangkala tidak semua keadaan memihak kepada kita. Cara terbaik ialah memulakan kehidupan baru tanpa si dia. Sebarang penganiayaan yang berlaku ke atas diri kita biarlah ditetapkan dengan kasih sayang dan keadilan Tuhan. Tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan mudah di dunia ini.
Apa pun teruskan kehidupan baru. Tanam azam dan matlamat. Carilah tujuan asal kehidupan kita. Apabila kita menemui tujuan sebenar kehidupan kita di muka bumi, maka bukan sahaja perasaan sakit hati atau kecewa terhadap orang yang ingin kita lupai akan hilang, malah masalah-masalah berkaitan perasaan yang lain juga mungkin akan sembuh secara semula jadi.
Wujudkan Matlamat Akhirat
Inilah keajaiban yang ada di muka bumi. Semakin kita cuba berusaha memperbaiki diri dan mencari keredhaan Allah, maka semakin luka di dalam jiwa kita akan sembuh. Semakin cerah sinar kebahagiaan dan harapan terhadap diri kita.
Cinta, perasaan dan hubungan sesama manusia mungkin topik yang menarik untuk dibicarakan sehingga dijadikan ilham untuk menulis lirik lagu, novel dan skrip drama kerana ia merupakan perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Namun, apabila kita menemui tujuan asal kita wujud di muka bumi ini, maka, perasaan kebahagiaan akan mula melindungi jiwa kita. Tetapkan satu matlamat berupa ganjaran akhirat, maka kita akan kebal daripada sebarang kekecewaan, kekesalan dan dendam dunia.
Menjadi Kekasih Allah
Ini adalah satu langkah yang terbaik untuk mengubati jiwa sebagai seorang hamba. Menerusi langkah ini, kita belajar dan cuba mengenali sifat-sifat Allah. Kita mendekati diri kita kepada Allah. Menghayati kekuasaan dan nikmat yang telah diberikan kepada diri kita. Jangan bersedih, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita pasrah dan menyerah diri kepada Allah. Dalam catatan sejarah berkaitan dengan para sahabat, wali dan sufi, terdapat kisah beberapa wali atau kekasih Allah yang sangat-sangat mencintai Allah sehingga tidak ada kasih sayang manusia berupa cinta atau kemewahan atau apa-apa sahaja nikmat dunia yang mampu menandingi perasaan cintanya kepada Allah. Mereka yang mempunyai perasaan cinta sejati kepada Allah ini, hatinya sentiasa tenang dan bahagia. Jika mereka bersedih, maka mereka bersedih kerana dosa mereka terhadap Allah, dan jika mereka menangis, juga kerana Allah, tidur kerana Allah, makan kerana Allah, berbicara kerana Allah, mandi kerana Allah, berjalan kerana Allah dan segala-galanya kerana Allah. Manusia seperti ini mengabaikan kemewahan dan kegemilangan dunia demi mencari keredhaan Allah.
Begitulah beberapa cara yang boleh digunakan bagi sesiapa sahaja yang ingin melupakan kenangan atau ingatan terhadap seseorang. Oh, ya. Saya berharap entri ini dapat membantu sesiapa sahaja. Jadi jangan ada yang syok sendiri bahawa entri ini dibuat khusus untuk orang-orang tertentu, ya? Semoga entri ini dapat membantu ramai lagi insan yang terluka kerana kecewa terhadap seseorang yang mereka suka, sayang atau cinta.
Amiene Rev dan Alam Sekitar
Saya sedang mencari lagu berunsur keagamaan yang sesuai untuk digunakan untuk mengubati hati yang terluka. Artikel ini akan dikemaskini pada masa akan datang dengan pautan ke lagu keagamaan yang berkaitan.
E-mel Pembaca: Ruangan Pos Masalah Anda
Sekiranya anda ada masalah untuk dikongsi dan mahukan pandangan daripada Amiene Rev, bolehlah menggunakan pautan di bawah untuk mengisi borang Pos Masalah Anda (Surat Pembaca). Anda diminta tidak menggunakan Bahasa SMS dan seangkatan dengannya. Setiap surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu.
|