BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, April 23, 2007

PARODI: Zombi Kampung Pisang

PENGUNDI ZOMBI
Penulis: Amiene Rev (C) 2007

"Kau belum lagi mendaftar sebagai pengundi, Salman? Kenapa kau buat begitu?" Tiba-tiba Razak bertanya. Mukanya kelihatan serius.

"Untuk apa? Aku tidak mengenali seorang pun calon yang bertanding untuk pilihan raya kali ini." Jelas Salman. Dia berdiri membelakangi Razak. Tidak mahu bertentang mata. Jelas menunjukkan dia tidak berminat dalam hal-hal berkaitan dengan politik.

"Itu tanggungjawab engkau, Salman!" Tegas sekali suara Razak.

"Tanggungjawab? Cuba engkau jawab persoalan aku ini, patutkah kita mengundi orang yang tidak kita kenal?" Salman membalas dengan suara keras.

"Bagaimana kita tahu orang itu baik atau tidak? Rajin atau tidak? Amanah atau tidak? Mereka tidak berkempen dengan cara yang betul!"


Benar kata-kata Salman itu, fikir Razak di dalam hatinya. Pilihan raya sudah semakin hampir. Poster-poster "Undilah Saya" semakin giat ditampal di Kampung Pisang. Namun, tidak ada satu pun keterangan atau biodata yang jelas mengenai calon-calon yang bertanding.

Razak juga tidak kenal walau seorang pun calon-calon tersebut. Tidak tahu apakah jasa yang pernah diperbuat mereka, latar belakang pendidikan mereka, kerjaya mereka atau asal-usul mereka. Sepatutnya calon-calon perlu menghebahkan mengenai latar belakang mereka, aktiviti-aktiviti mereka, pandangan dan idea-idea mereka berkaitan usaha mereka sebelum ini. Ini tidak, mereka sibuk memburuk-burukkan calon-calon lain.

Lebih teruk, ada calon yang bertanding secara kotor, membawa masuk pengundi-pengundi hantu.

"Apa pun, engkau mahu ambil upah menampal poster atau tidak? Che Wan minta aku mengajak engkau. Upahnya lumayan juga." Razak mengendurkan ton suaranya.

"Boleh juga." Salman bersetuju. Soal duit, tidak perlu berfikir panjang, sebab itu ada manusia yang sanggup menjadi hantu. Hantu yang turun mengundi. Otak mereka sudah dimakan zombi, barangkali.

Malam itu sungguh gelap dan hitam. Sehitam dakwat Pen Parker. Malam gelap tanpa bintang. Suasana hening. Kelihatan beberapa orang anak muda sedang sibuk menampal poster.

Tiba-tiba kedengaran bunyi berpuluh-puluh tapak kaki. Bunyi ini dari jalan besar. Berderap-derap.

"Kawad apakah itu?" Bisik Salman.

"Oh, lebih baik kau diam. Jangan menegur mereka." Che Wan cepat-cepat menyampuk. Razak kelihatan gugup.

"Kenapa?" Salman bertanya lagi.

"Mereka adalah zombi. Zombi yang diundang untuk mengundi bagi salah seorang calon yang bertanding untuk pilihan raya kali ini. Mereka diberi upah dapat makan otak manusia secara percuma!"

"Whooaa! Wooo! Wargg!! Awooo!" Kedengaran suara-suara garau zombie berbicara. Zombi-zombi itu berjalan seperti manusia yang sedang mabuk alkohol. Mereka kelihatan agak bodoh, tetapi ganas dan menakutkan.

"Jangan tegur!" Razak sudah menggigil.

Ketiga-tiga anak muda itu menyembunyikan poster. Mereka tahu, zombi-zombi telah diarahkan untuk memakan otak penampal-penampal poster yang mewakil saingan pelanggan mereka.

"Jangan pandang belakang..." Zombi-zombi itu terus berarak. Menuju ke balai raya di Kampung Pisang. Salman, Razak dan Che Wan sedar, ada beberapa biji mata zombi sedang merenung ke arah mereka, dan sekeping poster yang tercicir di atas tanah...