BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, April 02, 2007

Dalam proses penukaran telefon bimbit

Dua hari lepas saya sempat berkunjung ke rumah kakak dan abang ipar saya. Saya dapati anak saudara saya yang berumur hampir 1 tahun itu sudah pandai berjalan. Berjalan dengan laju! Nampaknya dia mewarisi cara saya berjalan! Kemungkinan dia juga berbakat dalam acara lari pecut!

Sementara itu, berita kerosakan telefon bimbit saya sudah lama diketahui oleh kakak saya. Dia memberi telefon bimbit Nokia 3310 kepunyaannya kepada saya. Telefon itu setakat ini katanya masih boleh dipakai, tetapi tidak boleh bercakap lama, sebab usianya pun sudah lama juga, sekitar 8 tahun.

Buat masa ini, saya masih memakai telefon bimbit Nokia model Butterfly, hadiah daripada bonda saya semasa hari lahir saya, bersempena dengan Hari Raya. Katanya, sukar untuk menghubungi saya apabila saya tidak memakai telefon bimbit. Sejak hari itu, saya pandai menggunakan telefon bimbit Nokia Butterfly dan masih kekok dan agak jakun dengan model telefon bimbit yang lain. Ha! Ha! =.="

Sebenarnya saya sayang untuk meninggalkan Nokia Butterfly itu, walau pun bukan telefon baru (semasa dibeli, sudah dipakai oleh orang lain juga!). Namun, sekarang, saya sedang perlahan-lahan memindahkan no. telefon ke satu tempat selamat untuk dipindahkan kembali ke telefon Nokia 3310 ini.

Orang zaman dahulu dapat berurusan tanpa telefon bimbit. Pelajar-pelajar dulu dapat mengadakan aktiviti dan program juga, biar pun tidak ada telefon bimbit. Saya bersyukur, setakat ini, telefon bimbit yang mudah terpadam apabila dihubungi atau menghubungi orang lain ini tidak menjadi masalah besar dalam melaksanakan Program KITAB.

Namun, teknologi baru seperti internet juga memain peranan penting dalam kehidupan sekarang. Saya bersyukur kerana dapat memanfaatkan penggunaan internet dan komputer untuk melaksanakan Program KITAB.

Biar pun orang lain ada yang gah dengan telefon model yang baru dan lebih hebat. Sekiranya ada di kalangan mereka mengatakan model telefon ini ketinggalan zaman, maka sebelum mereka mengeluarkan komen sebegitu, tanya diri mereka, apakah perkara-perkara penting yang telah mereka lakukan dengan telefon bimbit hebat mereka itu?

Jadi, kepada pengguna model telefon bimbit lama, jangan kecil hati. Hebat bukan pada material, tetapi mesti pada diri dan tindakan pemiliknya. Tiba-tiba saya teringat peribahasa yang berbunyi, kera diberi bunga.