BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, April 22, 2007

Al-Fatihah: Tag Daripada Pak Teh - Diari 2004-2007

Merujuk kepada nama blognya, Diari 2004-2007, seperti ada suatu makna yang mengusik jiwa. Pada 11 Mac tahun 2007, Allahyarham Pak Teh, seorang guru dari Bandar Permaisuri, Terengganu, telah meninggalkan dunia ini. Catatan beliau boleh ditemui di blog beliau iaitu pakteh.blogspot.com.

Allahyarham Pak Teh menderita kanser tulang. Catatan-catatan kesakitan yang dideritainya boleh dihayati di blog beliau. Sayu, apabila membaca salah satu pernyataan yang ditulis oleh Allahyarham Pak Teh. Beliau sangat berminat dalam dunia penulisan, dan sangat-sangat berharap agar isi kandungan blognya dibukukan. Impian-impiannya... ... .. . .

Pada hari Isnin, 26 Februari 2007, Saya pernah dimasukkan dalam senarai 'tag' beliau. Seangkatan dengan Ricky Wan, Tok Rimau, Sinaganaga, Basri dan AM. Sekarang, 'tag' itu seolah-olah bermakna untuk dilaksanakan.

Entri ini adalah khas untuk Allahyarham Pak Teh. Hari ini, saya ingin menjawab 'tag' yang pernah dikenakan oleh Pak Teh kepada saya, sebagai menyempurnakan... ... .. .


1. LATAR BELAKANG: Saya dilahirkan di Kelantan. Namun keturunan asal saya (sebelah bapa) adalah dari benua Eropah manakala ibu saya dikatakan bersusur galur dari Aceh, Sumatera. Dalam keluarga, saya dianggap sebagai manusia paling unik. Seawal usia sekitar 3 tahun saya sudah pandai membaca tanpa diajar oleh sesiapa. Juga berminat dalam penulisan. Apabila masuk ke sekolah rendah, saya sudah mula berminat dengan perkara-perkara berkaitan dengan biologi dan menjalankan eksperimen sendiri di belakang rumah.


2. MINAT: Saya berminat dalam pelbagai perkara. Sukan semestinya. Sebarang bentuk penulisan juga. Lukisan dan grafik. Saya tidak berminat dengan komputer sehingga pada usia 11 tahun, di mana ketika itu, apabila keluarga sepupu saya berangkat ke Amerika. Komputernya yang berjenama Philip 8088 tanpa tetikus, CGA, dan pencetak dot matrik yang bingit, dijual kepada keluarga saya.

Sejak itu, saya mula pandai mengubahsuai program. Permainan pertama yang saya ubahsuai ialah satu permainan arked pada usia 12 tahun, saya mengubah struktur watak antagonis ke struktur lebih kecil dan mudah dikalahkan. Hal ini memeningkan abang-abang dan kakak-kakak saya kerana permainan itu sudah menjadi gila kerana watak hero tiba-tiba boleh berubah menjadi naga atau bebola api yang berbahaya. Begitu juga, abang-abang dan kakak-kakak saya tidak boleh berlagak sekiranya mereka mendapat mata atau markah yang tinggi dalam permainan komputer. Sebab saya boleh mengubahsuai markah tersebut. Oleh itu mereka pernah berkata,"Jangan cakap besar di depan Amien, nanti dia ubah markah!" Ha! Ha! Ha! Berani bercakap besar di depan saya. Zaman kanak-kanak sungguh kelakar. Pada tahun seterusnya, saya belajar mengubahsuai virus komputer dan mewujudkan ensiklopedia virus komputer, sehingga saya dilarang untuk meneruskan tindakan yang tidak baik itu.

Bersukan merupakan sesuatu yang saya suka. Bergaduh, kombat atau bertempur, berbasikal dan bola sepak juga merupakan 'bidang kerjaya' yang paling terampil untuk saya semasa kanak-kanak. Saya paling suka sukan memanah dan tenpin boling. Juga acara olahraga, lari pecut 100m dan 200m.

Bercakap mengenai dunia penulisan, sejak berada di tingkatan rendah lagi, karya-karya saya selalu dijadikan contoh oleh para guru untuk pelajar-pelajar senior di tingkatan menengah atas. Ucapan yang saya berikan di perhimpunan juga pernah dijadikan 'bahan pengajaran' oleh guru-guru di dalam kelas pelajar-pelajar lain. Malangnya, senior-senior ketika itu berasa tercabar dan hal ini menyebabkan timbul hasad dengki di kalangan mereka terhadap saya. Namun, ini menyebabkan saya tahu menilai, siapa yang boleh dijadikan kawan atau lawan. Sejak itu, saya mendapat kawan-kawan yang baik-baik sahaja.


3. MENYENANGKAN: Orang-orang yang menyenangkan saya ialah. Patut kata, saya paling suka dengan anak-anak yatim. Kedua, saya suka orang yang pandai menghormati orang lain, berfikiran rasional dan terbuka. Orang yang mempunyai matlamat dan semangat berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri.


4. TIDAK SUKA: Manusia yang busuk hati, ego dan berfikiran negatif. Orang-orang begini mudah dikesan. Setakat ini saya bersyukur sebab kawan-kawan saya semuanya baik-baik. Semoga Tuhan akan sentiasa menjauhkan saya daripada manusia yang zalim, dan mendekatkan saya dengan manusia yang baik-baik dan diredhai-Nya.


5. IMPIAN: Impian saya ingin memiliki hidup yang sederhana tetapi bahagia. Saya ingin memiliki ladang kambing dan tanaman yang luas. Pada masa yang sama saya juga ingin memiliki banyak masa untuk menulis pelbagai buku. Juga, saya ingin memiliki sebuah institusi khas untuk anak-anak yatim. Jika impian di atas tidak dapat dicapai, maka cukuplah dengan mengambil beberapa orang anak yatim piatu sebagai anak angkat untuk dilatih menjadi manusia yang hebat. Saya yakin, saya tahu, saya sedar apa maksud hebat. Tuhan sangat-sangat menyayangi hamba-Nya.


6. MASALAH: Kadangkala saya tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di persekitaran saya. Ada banyak cacat cela yang sepatutnya boleh diperbaiki lagi. Cuma mereka tidak nampak bagaimana cara untuk menyelesaikannya. Namun, sebagai manusia, saya harus menerima ketidaksempurnaan dalam dunia ini. Tidak semua orang boleh berlari selaju kita, dan tidak semua orang boleh menunggu kita. Setiap orang ada keistimewaan masing-masing. Kita harus bersyukur. Kadangkala kita harus saling tegur-menegur.


Saya sudah pun menyempurnakan 'tag' yang diberikan Allahyarham Pak Teh.

Sekian.

Al-Fatihah.